Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	18/03/87 
Tajuk/Title  	:	MEMBENTANGKAN USUL MENGENAI LAPORAN 
			ULANGKAJI DAN PERSEMPADANAN 
			BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHANRAYA 
			PARLIMEN DAN NEGERI BAGI 
			NEGERI SARAWAK 




 Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan:-
     "Bahawa Dewan ini membuat ketetapan di bawah seksyen 10
     Jadual  Ketiga  Belas  Perlembagaan  Persekutuan bahawa
     draf Perintah Perlembagaan  Persekutuan  (Persempadanan
     Bahagian-Bahagian  Pilihanraya)  (Negeri Sarawak) 1987,
     yang telah dibentang dalam Dewan ini  pada  10hb.  Mac,
     1987  bersama  dengan  laporan  Suruhanjaya Pilihanraya
     bertarikh 14hb. Februari, 1987  mengenai  persempadanan
     bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri dalam
     Negeri Sarawak dan yang akan dibuat di bawah seksyen 12
     Jadual  tersebut  untuk  menguatkuasakan syor-syor yang
     terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan".
Tuan Yang di-Pertua,
2.   Sebagaimana  Ahli-ahli  Yang  Berhormat  sedia  maklum,
menurut  Fasal  (2)  Perkara  113  Perlembagaan Persekutuan,
Suruhanjaya  Pilihanraya   adalah   bertanggungjawab   untuk
mengulangkaji dan mempersempadankan semula bahagian-bahagian
pilihanraya Parlimen dan Negeri pada lat tempoh tidak kurang
daripada   8  tahun.    Sesuai  dengan  kehendak  peruntukan
tersebut,   Suruhanjaya   Pilihanraya   telah    menjalankan
ulangkaji  bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri
bagi  Negeri   Sarawak   mulai   daripada   15hb. Mac, 1986.
Ulangkaji terakhir yang dilakukan bagi Negeri Sarawak  ialah
pada 31hb. Disember, 1977.
3.   Ahli-ahli  Yang Berhormat tentu masih ingat bahawa pada
bulan Oktober 1985 Dewan Rakyat telah meluluskan  rang  Akta
Perlembagaan   (Pindaan)   1985   iaitu   Akta   A631   yang
berkuatkuasa pada 24hb. Februari, 1986.   Menerusi Akta  ini
pindaan  telah  dibuat  kepada  Perkara 46 Perlembagaan yang
mengakibatkan kerusi Parlimen bagi Negeri Sarawak  bertambah
daripada  24  kepada  27.    Di  samping itu, Dewan Undangan
Negeri Sarawak  telah  meminda  Perkara  14(2)  Perlembagaan
Negeri  Sarawak  pada 18hb. Mei, 1985 menerusi Ordinan No. 5
tahun 1985.    Ordinan  ini  juga  berkuatkuasa  pada  24hb.
Februari,  1986.   Dengan berkuatkuasanya Ordinan ini kerusi
bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak telah bertambah  sebanyak
8 kerusi lagi menjadikan jumlahnya 56 kerusi.
4.   Saya  ingin  menegaskan  bahawa  pembentangan  usul ini
tidak ada kaitan sama sekali dengan perkembangan politik  di
Sarawak  sekarang  ini.    Usul  ini  telah  dijadual  untuk
dibentangkan di sidang Parlimen kali  ini  lama  sebelumnya.
Berlakunya  perkembangan  politik di Sarawak itu semasa usul
ini dibentangkan adalah secara kebetulan semata-mata.
Tuan Yang di-Pertua,
5.   Sepertimana yang saya nyatakan  pada  awal  tadi  tugas
mempersempadankan bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan
Negeri   bagi   Negeri   Sarawak  ini  adalah  tanggungjawab
Suruhanjaya Pilihanraya.  Suruhanjaya itu di dalam memulakan
tugasnya untuk mengulangkaji  dan  mempersempadankan  semula
bahagian-bahagian   pilihanraya   perlu   mematuhi  kehendak
Perlembagaan Persekutuan.  Di samping terdapatnya peruntukan
berhubung dengan lat tempoh ulangkaji yang  perlu  dipatuhi,
Suruhanjaya  juga  perlu mematuhi had tempoh ulangkajian itu
perlu disiapkan.   Tugas-tugas ulangkaji  dan  persempadanan
ini perlu disiapkan dalam masa dua tahun selepas kerja-kerja
dimulakan berpandukan kepada Fasal (9) dan (10) Perlembagaan
Persekutuan.    Tugas  persempadanan  yang  dijalankan  oleh
Suruhanjaya bermula pada 15hb.  Mac,  1986,  bilamana  notis
pengesyoran sempadanan bahagian pilihanraya disiarkan kepada
umum.
6.   Sukacita  saya  memberitahu  Ahli-ahli  Yang  Berhormat
bahawa   Suruhanjaya   Pilihanraya    telahpun    menyiapkan
laporannya  setelah  mematuhi  sepenuhnya  prosedur-prosedur
yang  ditentukan  oleh  Bahagian  II  Jadual  Ketiga   Belas
Perlembagaan  Persekutuan.    Di  samping itu syor-syor yang
terkandung di dalam laporan itu adalah  juga  dibuat  dengan
berpandukan  kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam
Bahagian  I  Jadual  yang  sama.    Laporan  ulangkaji   dan
persempadanan  ini  telah  diserahkan kepada saya pada 18hb.
Februari, 1987, sebagaimana yang dikehendaki oleh syksyen  8
Jadual  Ketiga  Belas Perlembagaan Persekutuan.  Laporan itu
telah juga dibentangkan di dalam Dewan  ini  sebagai  Kertas
Statut No. 76 Tahun 1987.
7.   Sebagaimana   Ahli-ahli  Yang  Berhormat  dapat  lihat,
laporan Suruhanjaya Pilihanraya  itu  mengandungi  enam  bab
iaitu  Bab  'A'  hingga  Bab  'F'.   Saya percaya segala isi
laporan itu telah diteliti  oleh  Ahli-ahli  Yang  Berhormat
sekalian.    Walau  bagaimanapun,  izinkan  saya  memberikan
sedikit keterangan mengenai isi kandungan laporan tersebut.
8.   Bab 'A' mengandungi maklumat-maklumat  mengenai  bidang
kuasa     dan    lat    tempoh    ulangkaji    di    samping
penerangan-penerangan bersabit dengan unit  ulangkaji,  skop
dan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya, pindaan yang telah
dibuat  kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal
(2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak, bilangan  kerusi
Parlimen  dan Negeri bagi Negeri Sarawak dan juga penerangan
mengenai pindaan sempadan-sempadan Parlimen dan Negeri  yang
telah dijalankan.
9.   Berhubung   dengan   apa   yang   diistilahkan  sebagai
unit-unit ulangkaji, sukacita saya jelaskan bahawa  mengikut
Fasal  (6)  Perkara  113  Perlembagaan Persekutuan, Malaysia
telah dibahagikan kepada tiga unit ulangkaji yang berasingan
                         ___________________
iaitu   Negeri-Negeri   Tanah   Melayu   termasuk    Wilayah
        ______________________________
Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Negeri Sabah dan Negeri
                                     ____________     ______
Sarawak  .   Sepertimana yang Ahli-ahli Yang Berhormat sedia
_______
maklum ulangkaji bagi  unit  ulangkaji  Negeri-Negeri  Tanah
Melayu   (termasuk  Wilayah  Persekutuan  Kuala  Lumpur  dan
Labuan) dan Negeri Sabah telahpun dijalankan pada tahun 1984
dan  bahagian-bahagian  pilihanraya  yang   dipersempadankan
semula  bagi  unit-unit ulangkaji Negeri-Negeri Tanah Melayu
dan Sabah itu telahpun digunakan bagi pilihanraya umum tahun
1986 yang lepas.
10.  Bagi maksud pilihanraya  bahagian-bahagian  pilihanraya
yang  dipersempadankan  semula  oleh Suruhanjaya Pilihanraya
bagi Negeri Sarawak  setelah  ianya  diluluskan  kelak  akan
dapat  dikuatkuasakan  apabila Dewan Undangan Negeri Sarawak
dibubarkan untuk pilihanraya Negeri dan apabila Dewan Rakyat
dibubarkan untuk pilihanraya Parlimen.    Perlu  diterangkan
bahawa  selagi  Dewan-Dewan  yang  saya  nyatakan tadi tidak
dibubarkan atau tidak dengan sendirinya terbubar maka selama
itulah masih  terpakai  bahagian-bahagian  pilihanraya  yang
telah disempadankan mengikut urusan persempadanan yang akhir
tahun  1977  yang  lepas iaitu bahagian-bahagian pilihanraya
yang wujud pada masa sekarang ini.
11.  Di dalam Bab 'B' Suruhanjaya Pilihanraya ada memberikan
keterangan yang jelas mengenai ulangkaji  dan  persempadanan
yang     telah     dijalankan    termasuk    prinsip-prinsip
persempadanan,  daftar  pemilih   yang   digunakan,   purata
bilangan pemilih, pemetaan serta keterangan mengenai hal-hal
yang berkaitan dengan nama-nama bahagian pilihanraya.
12.  Untuk   makluman  Ahli-ahli  Yang  Berhormat  sekalian,
mengikut  keterangan  yang  terkandung  di   dalam   laporan
Suruhanjaya  itu  daftar pemilih yang digunakan sebagai asas
sebagaimana yang dikehendaki oleh  seksyen  (3)  Bahagian  I
Jadual  Ketiga  Belas  Perlembagaan Persekutuan ialah daftar
pemilih yang disahkan  pada  bulan  Januari  1986.    Jumlah
pemilih  bagi  Negeri  Sarawak  mengikut daftar pemilih yang
berkenaan ialah 607,232 orang.  Angka ini  merupakan  47.14%
lebih  daripada jumlah pemilih tahun 1977 bilamana ulangkaji
dan  persempadanan  semula   bahagian-bahagian   pilihanraya
Negeri  Sarawak  yang  terakhir dijalankan.   Jumlah pemilih
pada ketika itu ialah 412,676.
Tuan Yang di-Pertua,
13.  Satu perkara yang diambil  perhitungan  juga  berkaitan
dengan  jumlah  pemilih ini ialah purata pemilih bagi Negeri
Sarawak.   Mengikut laporan  yang  dibentangkan  ini  purata
pemilih Parlimen ialah 22,490 manakala purata pemilih negeri
ialah  10,843.  Di dalam laporannya, Suruhanjaya Pilihanraya
ada memberikan ulasan mengenai kesukaran yang dihadapi  oleh
pihaknya   di   dalam  usaha  mengseimbangkan  pemilih  bagi
tiap-tiap  bahagian  pilihanraya  berpandukan  secara  ketat
kepada  fakta  purata  pemilih.   Ini adalah disebabkan oleh
keadaan topografi dan demografi  Negeri  Sarawak  yang  amat
luar biasa menyebabkan bilangan pemilih yang diwujudkan bagi
bahagian   tertentu   di   kawasan   luar  bandar  khususnya
kawasan-kawasan pendalaman adalah lebih rendah daripada yang
sepatutnya.  Perkara ini memang tidak dapat  dielakkan  bagi
Negeri  Sarawak  memandangkan  bahawa  konsentrasi  penduduk
adalah  terhad  kepada  kawasan-kawasan   tertentu   sahaja.
Kesukaran  yang  timbul  ialah di dalam segi mengseimbangkan
bilangan pemilih dan keluasan kawasan pilihanraya yang patut
diwujudkan.
14.  Sepertimana  yang  kita  semua  sedia  maklum  Sarawak,
dengan  kawasan seluas 124,448 km persegi adalah negeri yang
terbesar di Malaysia.  Penduduk yang kecil, iaitu  kira-kira
1.5 juta orang tidak setimpal dengan keluasan kawasan negeri
itu.    Satu ciri demografi yang berbeza bagi Negeri Sarawak
ialah bahawa di samping konsentrasi penduduk yang  besar  di
kawasan  bandar,  terdapat  taburan  penduduk  yang  tinggal
secara berkelompok di merata-rata  kawasan  pendalaman  yang
sukar  dihubungi.    Masyarakat  di kawasan-kawasan ini yang
juga mempunyai hak yang sama untuk mengundi  dan  hak  untuk
memilih  wakil,  perlu  juga  diletakkan  di  bawah bahagian
pilihanraya tertentu.    Namun  demikian,  untuk  mengimbang
keadaan  penduduk  dengan  keluasan kawasan maka Suruhanjaya
telah cuba sedaya-upaya bukan sahaja untuk menentukan bahawa
terdapat bilangan pemilih  yang  berpatutan  bagi  satu-satu
bahagian  pilihanraya tetapi juga menentukan bahawa bahagian
pilihanraya itu tidak begitu luas hingga  memberi  kesukaran
yang  amat  besar  kepada  wakil-wakil  rakyat  yang dipilih
kelak.
15.  Ahli-ahli Yang Berhormat juga sedia  maklum  bahawa  di
samping keadaan topografi dan demografi yang luar biasa yang
terdapat  di  Negeri Sarawak, satu faktor yang sukar diatasi
tetapi memberi kesan  dan  mempengaruhi  keputusan-keputusan
Suruhanjaya    di   dalam   menentukan   sempadan   bahagian
pilihanraya khususnya bagi kawasan-kawasan  luar  bandar  di
Negeri   Sarawak  ialah  mengenai  faktor  pengangkutan  dan
perhubungan.      Sungguhpun   terdapat   banyak   perubahan
disebabkan  oleh  pembangunan  yang  pesat  yang berjalan di
Negeri Sarawak sejak persempadanan terakhir dijalankan dalam
tahun   1977   yang   lalu,   namun   kekurangan   kemudahan
pengangkutan dan perhubungan masih menjadi faktor penghalang
yang besar khususnya untuk memenuhi kehendak mewujudkan pada
keseluruhannya   bahagian-bahagian   yang  ideal  dari  segi
pentadbiran  termasuk  urusan  perjalanan  pilihanraya  bagi
bahagian-bahagian  berkenaan.  Sungai-sungai, sama ada kecil
atau  besar,  masih   menjadi   saluran   pengangkutan   dan
perhubungan  yang  utama  kerana  jalanraya-jalanraya  masih
berkurangan dan hanya terdapat di antara bandar-bandar besar
sahaja.    Dengan  hal  yang  demikian  amatlah  sukar  bagi
Suruhanjaya  Pilihanraya untuk benar-benar mempersempadankan
bahagian-bahagian  pilihanraya  secara  memenuhi  sepenuhnya
kehendak  berbagai  prinsip  yang terkandung di dalam Jadual
Ketiga    Belas    Perlembagaan    atau    mempersempadankan
bahagian-bahagian    pilihanraya   yang   kesemuanya   dapat
ditadbirkan  dengan  cara  yang  mudah  dan  berkesan   oleh
Wakil-wakil Rakyat yang akan dipilih kelak.
Tuan Yang di-Pertua,
16.  Di  dalam  Bab  'C'  laporan persempadanan ini terdapat
maklumat mengenai syor-syor  Suruhanjaya,  notis-notis  yang
telah  dipamerkan,  rayuan-rayuan dan bantahan-bantahan yang
telah diterima dan pindaan kepada syor-syor Suruhanjaya  dan
persempadanan  semula yang telah dibuat.  Sebanyak 66 rayuan
telah diterima apabila syor pertama dipamerkan  mulai  15hb.
Mac,  1986  hingga  15hb. April, 1986.  Sebanyak 38 siasatan
tempatan telah dijalankan di Negeri Sarawak dalam bulan  Jun
dan  bulan  September, 1986.  Pindaan-pindaan dibuat selepas
siasatan-siasatan tempatan dijalankan.   Setelah  notis  dan
syor-syor pindaan yang kedua dipamerkan pada 20hb. November,
1986,  sebanyak  17  rayuan  telah  diterima  dan sebanyak 5
siasatan tempatan telah  dijalankan  pada  20hb.  dan  21hb.
Januari,  1987.    Dengan  tindakan-tindakan  itu saya yakin
bahawa  rakyat  Negeri  Sarawak  telah   diberikan   peluang
sepenuhnya   untuk   mengambil   bahagian  di  dalam  proses
persempadanan  ini   sepertimana   yang   dikehendaki   oleh
Perlembagaan.        Ulasan-ulasan    sepenuhnya    mengenai
rayuan-rayuan dan siasatan-siasatan  yang  telah  dijalankan
ada terkandung di dalam Bab 'E' laporan itu.
17.  Bab 'D' dalam laporan itu mengandungi perakuan-perakuan
Suruhanjaya  mengenai  bahagian  Parlimen  dan  Negeri  bagi
Negeri Sarawak.  Butir-butir lanjut mengenai segala perakuan
Suruhanjaya ini adalah terkandung  di  dalam  Jadual  I  dan
Jadual II kepada laporan itu dan peta yang menunjukkan semua
bahagian  pilihanraya Parlimen dan Negeri adalah sepertimana
yang diberikan di dalam Jilid II iaitu Bab 'F'.   Peta  yang
disediakan  adalah  berasaskan  kepada peta asas yang paling
kemaskini    yang    mengandungi    rangkaian     jalanraya,
sungai-sungai   dan   sebagainya   yang   didapati  sehingga
penghujung tahun 1985.
Tuan Yang di-Pertua,
18.  Saya percaya bahawa Ahli-ahli Yang  Berhormat  sekalian
adalah    sependapat    dengan    saya    bahawa   ulangkaji
bahagian-bahagian  pilihanraya  bagi  Negeri  Sarawak  perlu
dibuat   bukan   semata-mata   sebagai   menepati   kehendak
Perlembagaan bahawa bahagian-bahagian pilihanraya di  negeri
tersebut  harus  diulangkaji  pada  lat  tempoh tidak kurang
daripada  8  tahun  sekali  bahkan  ianya  harus  dijalankan
memandangkan  kepada  perkembangan-perkembangan  yang  pesat
yang berlaku di Negeri  Sarawak  terutama  di  dalam  bidang
ekonomi  dan  sosial  dalam  tempoh  kira-kira 10 tahun yang
lalu.   Di samping itu, dengan  adanya  penambahan  bilangan
penduduk dan bilangan pengundi yang pesat di negeri tersebut
maka  pertambahan  kawasan  pilihanraya  Parlimen dan Negeri
juga akan  membukan  peluang  kepada  rakyat  Sarawak  untuk
mendapat  perwakilan yang lebih seimbang dan berkesan.  Saya
percaya  Ahli-ahli  Yang  Berhormat  akan   menyambut   baik
ulangkaji dan persempadanan semula yang telah dijalankan itu
dan  memberi  sokongan  terhadap syor-syor yang telah dibuat
oleh Suruhanjaya Pilihanraya.
Tuan Yang di-Pertua,
19.  Draf Perintah persempadanan bahagian pilihanraya Negeri
Sarawak 1987 adalah dibentangkan bersama ini sebagai  Kertas
Statut  No.  77  Tahun  1987  dan  sebelum saya mencadangkan
supaya draf Perintah itu diluluskan oleh  Dewan  yang  mulia
ini, sukalah saya mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa
penghargaan kepada Pengerusi, Ahli-ahli, Pegawai-pegawai dan
kakitangan-kakitangan  Suruhanjaya  Pilihanraya  yang  telah
bekerja  dengan  penuh  dedikasi  bagi  menjalankan   urusan
ulangkaji   bahagian-bahagian   pilihanraya  dan  seterusnya
menyediakan laporan untuk dibentangkan di  dalam  Dewan  ini
dalam masa yang lebih pendek daripada yang dijangkakan.
Tuan Yang di-Pertua,
     Saya mohon mencadangkan.

 




 
Google