home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 24/03/87 Tajuk/Title : PERASMIAN SEMINAR PERINGKAT KEBANGSAAN ANJURAN GEMAPUTRA Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz, Menteri Perusahaan Awam; Yang Berbahagia Dato' Mohd Ali Haji Hashim, Pengerusi Gemaputra; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Gabungan Agensi-Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan-Perusahaan Awam, atau Gemaputra, yang telah menjemput saya untuk merasmikan Seminar Peringkat Kebangsaan ini. Saya berharap Seminar ini akan memberi perspektif yang lebih luas lagi kepada agensi-agensi amanah dan perusahan-perusahaan awam dalam menghadapi cabaran-cabaran korporat pada masa depan terutama pada tahun-tahun 1990an. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Adalah menjadi dasar Kerajaan pada masa ini untuk memberi peranan yang lebih besar kepada sektor swasta dalam membangunkan negara. Ini dapat dilakukan kerana kita telah dapat mewujudkan penyertaan bumiputera yang lebih aktif lagi dalam dunia perniagaan dan perindustrian, termasuklah melalui usaha-usaha agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam. Dengan itu apabila Kerajaan memberi peranan yang lebih penting kepada sektor swasta untuk membangunkan negara ini, bumiputera tidak seharusnya ketinggalan seperti zaman sebelum merdeka dahulu. 3. Walau bagaimanapun proses meningkatkan peranan swasta dalam membangunkan negara mestilah dilakukan secara berperingkat-peringkat dan dalam hal ini, Kerajaan akan mempastikan bumiputera mempunyai peluang yang secukupnya untuk menyertai aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha perniagaan dan perusahaan swasta ini. 4. Justeru itu Kerajaan telah juga membuat pendirian berkenaan dengan peranan agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam pada tahun-tahun yang akan datang, dan pendirian itu adalah selaras dengan dasar meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan negara. Kerajaan akan mementingkan daya usaha individu bagi mewujudkan satu masyarakat perniagaan dan perusahaan di kalangan bumiputera. Ini bermakna Kerajaan tidak akan menggalakkan pemberian bantuan terus kepada mereka. Agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam Kerajaan yang menjadi saluran utama bagi mewujudkan masyarakat seperti itu hendaklah menyesuaikan diri supaya dapat menyediakan projek yang lebih mementingkan daya usaha individu daripada memberi bantuan terus kepada mereka. 5. Salah satu langkah bagi mewujudkan daya usaha individu yang saya maksudkan tadi ialah menswastakan perbadanan-perbadanan dan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang mempunyai potensi untuk disertai atau diambilalih oleh para pengusaha bumiputera. 6. Saya berharap Kementerian Perusahaan Awam, serta agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam yang menganggotai Gemaputra akan memberi perhatian yang serius terhadap penekanan Kerajaan ini. Ini tidak bermakna kita mesti tergesa-gesa melaksanakan penswastaan tanpa mengambilkira kesediaan bumiputera untuk mengambilalih perusahaan dan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu. Sebaliknya kita harus menilai bukan sahaja kesanggupan individu bumiputera tetapi juga kemungkinan mereka berjaya dalam bidang yang berkenaan. 7. Kerajaan menyedari bahawa agensi-agensi amanah dan perusahaan awam telah memberi sumbangan dalam mewujudkan satu masyarakat perniagaan dan perusahaan di kalangan bumiputera. Namun demikian kita harus ingat bahawa biasanya agensi dan perusahaan awam mendapat perlindungan istimewa dari Kerajaan. Justeru itu pengalaman bumiputera dalam badan-badan awam sahaja tidak mencukupi untuk mereka bersaing apabila mereka mengambilalih badan awam yang diswastakan. Untuk menentukan kemampuan pengurusan bumiputera setelah diswastakan, badan-badan awam hendaklah mengurangkan pergantungan mereka kepada Kerajaan untuk perlindungan, kontrak dan sebagainya. 8. Kerajaan yakin bahawa bumiputera di dalam sektor swasta akan dapat mewujudkan daya usaha yang lebih dinamik lagi bagi memajukan satu-satu perusahaan atau perkhidmatan. Unsur yang penting di sini ialah penanggungan risiko daripada penanaman modal sendiri yang diperlukan. Sudah menjadi kelaziman bahawa seseorang individu itu akan lebih berusaha, lebih teliti dan lebih kreatif apabila menanggung tanggungjawab yang berat sendiri. Ini dapat dibuktikan apabila seseorang eksekutif daripada perusahaan-perusahaan awam atau perkhidmatan awam berpindah ke sektor swasta. Mereka yang berpindah ke sektor swasta ini biasanya tidak bekerja hanya antara jam lapan pagi hingga empat petang sahaja. Sebaliknya tenaga dan masa sepenuhnya digunakan untuk menjayakan perniagaannya. 9. Berbalik semula kepada peranan agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam ini, kita berbangga kerana melalui agensi-agensi dan institusi-institusi ini, kita telah dapat meningkatkan hakmilik dan penguasaan bumiputera dalam sektor korporat. Peningkatan hakmilik ini mungkin tidaklah seperti yang kita harapkan, tetapi ianya adalah lebih baik dari keadaan tanpa badan-badan awam dahulu. Saya berharap kejayaan ini akan menggalakkan kita untuk terus berusaha bagi meningkatkan lagi hakmilik dan penguasaan bumiputera dalam sektor korporat. Hakmilik dan penguasaan bumiputera adalah jelas terdapat dalam sektor kewangan dan bank, sektor perladangan dan sektor perlombongan. Tetapi pada masa yang sama kaum-kaum bukan bumiputera juga bergerak dan penyertaan mereka telah meningkat kepada kira-kira 56.7% pada awal Rancangan Malaysia Kelima. Hanya perniagaan orang bukan warganegara sahaja yang berkurangan. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Mengenai Seminar Peringkat Kebangsaan ini, saya tertarik hati dengan tajuknya iaitu 'Peranan Agensi-Agensi Amanah Bumiputera dalam Kontek Menjayakan Matlamat DEB Selepas 1990'. Perubahan zaman dan desakan ekonomi antarabangsa akan memerlukan peniaga dan pengusaha bumiputera, sama ada sebagai usahawan individu, sebagai syarikat, mahupun agensi yang ditubuhkan untuk membantu bumiputera, tidak lagi bersikap mengharapkan bantuan Kerajaan. 11. Sekiranya terdapat sebilangan pengusaha bumiputera yang tidak sanggup berdikari, maka agak sukarlah bagi pihak Kerajaan membantu mereka ini. Namun demikian Kerajaan sedar bahawa kita sedang menghadapi masalah ekonomi yang meleset yang begitu menekan peniaga dan pengusaha bumiputera. Pada masa ini Kerajaan akan memberi pertolongan yang mampu diberi. Adalah diharapkan apabila keadaan pulih semula, dan tanda-tanda pemulihan ekonomi sudah pun ada, bantuan dan pertolongan Kerajaan tidak akan diperlukan lagi, peniaga dan pengusaha bumiputera akan mampu berdikari dan bersaing dengan semua pihak. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Pada satu ketika kita sering mendengar desakan supaya peniaga dan pengusaha bumiputera bercita-cita besar atau "think big". Tetapi ini tidak bermakna kita tidak perlu bermula secara kecil-kecilan sebelum kita membesar. Pengalaman semasa berniaga secara kecil-kecilan akan menolong kita mengelak dari melakukan kesalahan-kesalahan yang akan merugikan kita. Di masa perniagaan masih kecil, kerugian, jika berlaku, tidak banyak dan kita masih boleh mengatasinya. Tetapi, jika pengalaman pedih berlaku dalam perniagaan besar, kita mungkin tidak mampu untuk mengatasinya. Perniagaan yang kecil biasanya berkembang dan membesar. Jika dipupuk ia boleh jadi perniagaan gergasi. Oleh itu bersabar dan belajarlah. Dengan itu, masa dan pengalaman semasa mengendalikan perniagaan kecil sebenarnya tidaklah sia-sia jika kita menjadi pintar dan cekap dalam peniagaan. 13. Bagi agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam, sekiranya mereka gagal menguruskan harta dengan cekap dan baik, dan lebih penting lagi, gagal meningkatkan nilai harta yang ada pada mereka untuk faedah masyarakat dan bangsa, maka Kerajaan akan memutuskan sama ada sesuatu agensi atau perusahaan itu patut terus hidup atau patut ditutup sahaja, ataupun diserahkan kepada pihak swasta. Pengurus-pengurus badan-badan awam ini harus ingat bahawa semasa mereka mengurus badan-badan ini mereka mendapat pengalaman yang tidak terhingga nilainya tanpa risiko yang dipikul oleh peniaga-peniaga persendirian. 14. Di samping itu jangan pula agensi-agensi amanah dan perusahaan awam mencari bidang persaingan yang boleh merosakkan peluang _ sistem ekonomi yang berpadu. Kita tidak mahu melihat desa-desa dan kampung tradisional terus terbiar, tanah ladang tidak diusahakan, nilai harta terus lembab dan beku. Sebaliknya, desa dan perkampungan perlu dijadikan pusat pertumbuhan ekonomi. Di sini saya berharap perusahaan-perusahaan awam akan dapat, bersama-sama dengan agensi-agensi lain, memajukan lagi sektor luar bandar. Tuan-tuan dan puan-puan, 16. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Gemaputra yang telah menjemput saya ke Seminar ini. Adalah diharapkan Seminar ini akan dapat memberi pandangan baru kepada para eksekutif agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam mengenai perancangan dan strategi yang lebih bermakna pada masa depan. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Peringkat Kebangsaan anjuran Gemaputra ini. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |