home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/04/87 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM GAPENA - ESSO 




 Assalamu'alaikum  Warahmatullahi  Wabarakatuh,  serta  salam
bahagia.
Yang Berusaha Prof. Ismail Hussein,
     Ketua Satu GAPENA;
Yang Berusaha Encik Gerald Cox,
     Pengerusi Esso Malaysia;
Ahli-ahli Jawatankuasa GAPENA;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada   Jawatankuasa
Penganjur  Majlis  malam  ini  kerana sudi menjemput saya ke
Majlis  ini.    Saya  merasa  gembira  kerana  dapat   hadir
bersama-sama  dengan  para  penulis  dan sasterawan tanahair
yang telah  banyak  memberi  sumbangan  kepada  perkembangan
sastera  dan  budaya  negara.    Saya juga difahamkan bahawa
GAPENA akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilannya
esok.   Kepada saudara-saudari  sekalian,  saya  mengucapkan
selamat    bersidang    dan    berharap   semoga   mesyuarat
saudara-saudari  akan  membenihkan  idea-idea   yang   boleh
memperkayakan  lagi  bahasa, kesusasteraan dan budaya negara
kita.
2.   Saya berbangga kerana dapat  bersama-sama  di    majlis
penyampaian    hadiah   sastera     Esso-GAPENA  malam  ini.
Tahniah saya  ucapkan  kepada    kedua-dua pihak  penganjur,
iaitu   GAPENA  dan  Esso,  yang diharapkan dapat meneruskan
usaha yang sangat bermakna ini.
Saudara-saudari sekalian,
3.   Selaras   dengan   usaha-usaha   memperbanyakkan  karya
sastera dengan  kerjasama  rapat  firma-firma  swasta,  saya
yakin  banyak  lagi  firma-firma  swasta  yang dapat memberi
sumbangan  ke  arah  memperkayakan  bahan-bahan  bacaan  dan
buku-buku  dalam  Bahasa Malaysia.  Pada hari ini kita telah
mendapati  beberapa  firma  swasta  yang  bergabung   dengan
badan-badan  bahasa  atau badan-badan penulis seperti GAPENA
untuk  menganjurkan  pertandingan  sastera  seperti   novel,
cerita  pendek  dan puisi.   Saya mengucapkan tahniah kepada
firma-firma  dan  pertubuhan-pertubuhan   ini   yang   telah
berusaha mewujudkan karya-karya sastera yang bermutu.
4.   Walau  bagaimanapun, kita masih kekurangan bahan bacaan
atau buku-buku Bahasa Malaysia dalam  berbagai  bidang  ilmu
pengetahuan seperti sains dan teknologi, perubatan, ekonomi,
kaji bumi dan sebagainya.  Walaupun bahan-bahan bacaan dalam
bahasa  Malaysia  dalam  berbagai  bidang  ilmu  pengetahuan
semakin hari semakin bertambah,  tetapi  masih  banyak  lagi
yang  boleh  kita usahakan supaya kita dapat menimba kesemua
sumber pengetahuan dan  pelajaran  dalam  bidang-bidang  itu
melalui Bahasa Malaysia.
5.   Rangka  kerjasama firma-firma dan pertubuhan-pertubuhan
yang berkenaan  mungkin  dapat  diperluaskan  kepada  bidang
buku-buku  ilmu  pengetahuan.    Di  sini  firma-firma  yang
terlibat dalam pengeluaran dan  pemasaran  sesuatu  barangan
mungkin  dapat  menaja penulisan dan penterjemahan buku-buku
ilmu pengetahuan dalam Bahasa Malaysia yang sedikit sebanyak
ada berkaitan dengan  barangan  keluaran  mereka.  Misalnya,
firma  yang  mengeluarkan  barangan  makanan  mungkin  dapat
menaja penulisan yang mendalam yang berkaitan dengan  bidang
pemakanan   atau  nutrition.    Kajian  dan  penulisan  yang
dimaksdukan ialah mengenai perkara-perkara yang terbaru bagi
sesuatu bidang itu.
6.   Seperti yang kita maklum pasaran untuk  buku-buku  ilmu
pengetahuan,  pada  amnya, adalah terhad dan sekiranya tiada
galakan   atau   penajaan,   perkembangan   buku-buku   ilmu
pengetahuan  ini  mungkin tidak memuaskan dan tidak mendapat
sambutan.   Penajaan kewangan dari  firma-firma  akan  dapat
membantu para penulis untuk menghasilkan karya-karya mereka.
Dalam hal ini, adalah diharapkan bahawa firma-firma besar di
negara  ini  akan menimbangkan kemungkinan bekerjasama dalam
usaha-usaha  memperbanyakkan   bahan-bahan   dan   buku-buku
berbagai  bidang  ilmu pengetahuan ini.   Usaha-usaha begini
sudah tentu akan mendaulatkan lagi Bahasa  Malaysia  sebagai
bahasa  kebangsaan,  perpaduan dan ilmiah di negara kita dan
juga di rantau Asia Tenggara ini.
7.   Pada  hemat  saya  usaha-usaha   yang   sebegini   akan
membolehkan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar
lagi  dalam  bidang-bidang  kebudayaan,  termasuklah  bidang
bahasa  ini.    Ini  akan  merupakan   sebahagian   daripada
sumbangan  pihak  swasta  kepada  perkembangan  dan kemajuan
masyarakat sekelilingnya.  Justeru itu  kegiatan  sedemikian
akan   memberi   manfaat   kepada   kedua-dua   pihak  dalam
mempertingkatkan perkembangan ilmiah.
Saudara-saudari sekalian,
8.   Sepertimana kita sedia  maklum,  semakin  hari  semakin
terbukti  bahawa Bahasa Malaysia berjaya menjadi bahasa ilmu
dan bahasa perpaduan di  negara  kita.    Walaupun  terdapat
pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya bagi bahasa-bahasa
lain  di  negara kita, Kerajaan berbangga dengan terdapatnya
kesedaran di kalangan rakyat negara ini  tentang  pentingnya
mendaulatkan  satu  bahasa  kebangsaan.      Walaupun Bahasa
Kebangsaan telah mampu menjadi bahasa ilmiah, namun demikian
kita masih lagi mendengar suara-suara  daripada  pihak-pihak
tertentu  yang  masih  lagi menyoal tentang kemampuan Bahasa
Kebangsaan.  Mereka ini merupakan kumpulan kecil yang  tidak
mahu menerima realiti.  Saya ingin menegaskan di sini bahawa
Bahasa   Kebangsaan   atau   Bahasa   Malaysia   akan  tetap
didaulatkan.
Saudara-saudari sekalian,
9.   Saya  juga  ingin  memberikan  sedikit  pendapat   saya
mengenai  sastera keseluruhannya.   Pada pendapat saya, para
sasterawan haruslah juga berusaha  dengan  lebih  lagi  bagi
menyemaikan nilai-nilai yang murni, dinamis dan positif oleh
kerana  nilai-nilai  ini keseluruhannya akan membentuk watak
yang kita  cita-citakan.    Dengan  membenihi  dan  membajai
nilai-nilai  murni, dinamis dan positif ini, maka watak yang
positiflah yang  akan  lahir.    Salah  satu  kumpulan  yang
berpengaruh  dalam  hal  ini ialah saudara-saudari sekalian.
Saya percaya para sasterawan tidak akan menghampakan harapan
kita bersama.
10.  Walaupun terdapat perkembangan yang menggalakkan  dalam
usaha-usaha ini, masih banyak lagi kelemahan yang harus kita
atasi.    Para  sasterawan  boleh  membantu  mewujudkan satu
masyarakat yang  mampu  menghadapi  persaingan  ekonomi  dan
sosial  serta  persaingan  politik,  terutama  di  peringkat
antarabangsa.     Kita  perlukan  sebuah   masyarakat   yang
mempunyai  kesanggupan  menghadapi hidup yang kian mencabar.
Selain daripada itu, saya yakin kita semua  inginkan  kepada
masyarakat    yang    sanggup    mengenali   dan   mengatasi
kelemahan-kelemahan   diri   sendiri.      Dengan   wujudnya
masyarakat  yang  sedemikian,  saya percaya berbagai cabaran
yang dihadapi dapat diatasi, insya-Allah.
11.  Malaysia memerlukan  rakyat  yang  mempunyai  kesedaran
nasional   dan  semangat  patriotisme  yang  tinggi.    Kita
memerlukan warganegara yang cintakan negara dan  yang  tidak
akan  melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan dan
keharmonian  negara.    Kita  memerlukan  warganegara   yang
berdisiplin,  berdedikasi dan beramanah tinggi.  Lebih-lebih
lagi,  kita  memerlukan  warganegara  yang  sentiasa  bangga
bahawa dia adalah rakyat Malaysia.
12.  Saya  sedar  bahawa  hasrat ini bukan mudah dicapai dan
akan memakan masa yang panjang.  Namun demikian, kita  mesti
berusaha  dengan  bersungguh-sungguh  oleh kerana hasrat ini
adalah mulia dan murni.   Saya yakin  para  sasterawan  juga
mempunyai  cita-cita  yang  tinggi.    Dari itu marilah kita
bersama -- para sasterawan, para penulis, ahli-ahli politik,
pemimpin masyarakat dan semua golongan -- berusaha  ke  arah
membina sebuah masyarakat Malaysia yang berdisiplin, dinamis
dan  yang dihormati.  Insya-Allah kita akan berjaya akhirnya
walaupun melampaui umur sebahagian daripada kita.
Saudara-saudari,
13.  Pada 31hb. Ogos  ini  kita  akan  menyambut  Ulangtahun
ke-30 kemerdekaan negara.  Saya berbangga oleh kerana GAPENA
menggunakan   kesempatan  di  upacara  ini  untuk  memulakan
perayaan ulangtahun ke-30 kemerdekaan  negara  kita.    Jika
kita  merenung  kembali, dalam jangkamasa  30    tahun  ini,
Malaysia  telah mencapai kemajuan yang pesat dalam  berbagai
bidang.    Kemajuan  yang  dicapai  setakat ini adalah hasil
daripada  usaha  gigih  kita  sendiri   memupuk   perpaduan,
mengekalkan   kestabilan  politik  serta  memajukan  ekonomi
negara.  Oleh itu adalah menjadi  tanggungjawab  kita  semua
untuk  menentukan  kemerdekaan  kita  ini  terus  kekal  dan
bermakna.
14.  Sumbangan para penulis dan sasterawan kepada perjuangan
mencapai kemerdekaan tercatit dengan tinta emas.  Masyarakat
keseluruhannya  merakamkan  setinggi  penghargaan   terhadap
perjuangan  dan  pengorbanan  mereka  di dalam membela nasib
bangsa dan negara.  Saya merasa gembira kerana  pada  Majlis
malam   ini,   terdapat  sebilangan  daripada  para  pejuang
kemerdekaan yang masih  terus  memberikan  sumbangan  mereka
terhadap  pembangunan tanahair.  Dalam hal ini, saya percaya
bahawa saudara-saudari para pejuang kemerdekaan  akan  terus
menyumbangkan  khidmat  bakti  demi meningkatkan lagi maruah
bangsa dan negara.
Saudara-saudari sekalian,
15.  Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada  pihak
penganjur  kerana menjemput saya ke majlis permai ini.  Saya
mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang hadiah  sastera
Esso-GAPENA   dan   juga   kepada  semua  para  penulis  dan
sasterawan yang telah mengambil bahagian  menjayakan  Majlis
ini.    Dengan  adanya semangat ingin meningkatkan lagi mutu
karya dan sastera ini, saya yakin ia akan  mendorong  kepada
peningkatan   pencapaian   kita  dalam  bidang  sastera  dan
kebudayaan.
16.  Saya juga berterima kasih  kerana  diberi  penghormatan
untuk   melancarkan   buku  'Pertemuan  Dunia  Melayu  '82',
terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka  yang  merupakan  kumpulan
kertas  kerja  'Pertemuan  Dunia  Melayu'  yang  diadakan di
Melaka pada tahun 1982.   Dengan ini saya  dengan  bangganya
melancarkan buku 'Pertemuan Dunia Melayu '82' ini.
     Wabillahitaufik       walhidayah      wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh, serta salam bahagia.

 
 



 
Google