home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ANGKASAPURI, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/04/87 
Tajuk/Title  	:	PELANCARAN HARI KESEDARAN SIVIK 




 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh  dan  selamat
sejahtera.
Yang Berhormat Tengku Ahmad Rithauddeen,
     Menteri Penerangan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu  Wataala,
kerana   dengan   limpah   dan   izinNya  dapat  kita  hadir
bersama-sama di Majlis Pelancaran rasmi Hari Kesedaran Sivik
pada  pagi  ini.    Saya  juga  mengucapkan  tahniah  kepada
saudara-saudari  sekalian di atas sambutan dan sokongan yang
telah diberikan bagi menjayakan Majlis kita ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2.   Tema  yang  dipilih  bagi  Hari  Kesedaran  Sivik   ini
'Kesedaran  Sivik  Bermula Di Rumah', adalah amat sesuai dan
tepat sekali.   Kita sedia  maklum  bahawa  kesedaran  sivik
seharusnyalah  bermula  di  rumah,  kerana  kesedaran  sivik
seharusnya ditanam kepada setiap anggota masyarakat semenjak
dari kecil
lagi,  dengan  sifat-sifat  positif  dan  nilai-nilai  murni
terhadap keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
3.   Sivik  adalah  satu  perkataan asing yang dipinjam oleh
kita tetapi konsep kesedaran sivik adalah konsep  lama  yang
baru  diberi  nilai  yang tinggi.   Kesedaran sivik bermakna
perasaan  bertanggungjawab  bukan  sahaja   terhadap   harta
sendiri, tetapi juga terhadap harta orang ramai.  Konsep ini
menjadi  penting  kerana  dalam masyarakat moden harta orang
ramai  meningkat  dan  perlu  dihargai  oleh   rakyat   demi
kepentingan rakyat sendiri.
4.   Sebenarnya  dalam  memelihara  harta  orang ramai, kita
memelihara kepentingan kita sendiri.    Walaupun  harta  itu
tidak   berguna   kepada   kita   secara   langsung,  tetapi
kerosakannya akan menambah beban kita.   Ini  adalah  kerana
Kerajaan atau pihak kuasa tempatan terpaksa memperbaiki atau
menggantikan  harta  itu dengan menggunakan wang rakyat yang
secara langsung atau tidak langsung dikutip daripada kita.
5.   Walaupun tidak semua daripada kita yang membayar cukai,
tetapi  perbelanjaan  yang   diperuntukkan   oleh   Kerajaan
bermakna  pengurangan  perbelanjaan bagi lain-lain kemudahan
untuk kita semua.
6.   Mungkin  kita  berpendapat  bahawa  wang  ini   sedikit
sahaja.    Tetapi, jika dijumlahkan kerosakan seluruh negara
kerana kurangnya perasaan sivik, nilai harta yang rosak  ini
boleh meningkat kepada puluhan juta ringgit setahun.
7.   Selain   daripada   itu,   kerosakan   itu   mengganggu
masyarakat.    Jika  sebuah  lif  dirosakkan,  bukan  sahaja
belanja    memperbaikinya    perlu   dibuat,   tetapi   juga
pengguna-pengguna  lif   terpaksa   turun-naik   menggunakan
tangga.  Bagi mereka yang tua dan yang sakit, banyak masalah
akan  timbul.  Di samping itu, keselesaan dan keindahan juga
akan terjejas dan semua penduduk negara  ini  akan  menerima
imej yang tidak baik.
8.   Sebaliknya,  jika  kita  mempunyai  kesedaran sivik dan
cermat dengan harta awam, kita akan membawa  manfaat  kepada
masyarakat, termasuk diri kita sendiri, bangsa dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Masyarakat  yang  mempunyai  kesedaran sivik akan hidup
mulia dan  bahagia.    Segala  urusan  kehidupan  kita  akan
menjadi  licin dan mudah.  Segala kerja akan berjalan dengan
baik dan cepat.  Dan kita tidak perlu membazirkan masa  atau
wang.
10.  Dalam  ruang-ruang  akhbar, kita sering membaca tentang
sungutan-sungutan orang ramai kerana tidak mendapat  layanan
yang  baik  di  pejabat  Kerajaan atau di kedai atau di mana
sahaja  khidmat   diberi.      Sementara   ada   di   antara
sungutan-sungutan  ini yang berasas, kita harus ingat bahawa
mereka yang cuai ini adalah manusia biasa yang tidak berbeza
dengan  mereka  yang  membuat  sungutan.    Sebenarnya  yang
membuat   sungutan   itu   juga   mungkin   bersikap   tidak
bertanggungjawab jika dia yang memberi khidmat.
11.  Perkara ini menjadi nyata kepada segolongan  kita  yang
memandu   kereta.      Walaupun  seseorang  itu  tertib  dan
berbudi-bahasa,  tetapi  apabila  ia  memandu   kereta,   ia
kehilangan   kesabaran   dan   amat  marah  jika  kereta  di
hadapannya terlambat sedikit.   Sebabnya  ialah  kita  tidak
memupuk kesedaran sivik.
12.  Di  negara  di  mana  kesedaran  sivik  kuat, seseorang
pemandu kereta bukan sahaja bersabar tetapi sanggup  memberi
jalan  kepada kereta lain.  Ini adalah kerana pada kali yang
lain pula, ia akan diberi jalan.  Dengan itu, memandu kereta
tidak menjadi beban, perjalanan  menjadi  lebih  selesa  dan
kemalangan  kurang  berlaku.   Hasilnya ialah mereka sendiri
terpelihara.
13.  Jika  kita  sedar  bahawa  soal  kesedaran  sivik   ini
bukanlah  soal  orang  lain  membetulkan  diri mereka tetapi
soalnya ialah kita semua sanggup mengakui kesalahan kita dan
membetulkan diri  kita,  maka  usaha  ke  arah  meningkatkan
kesedaran sivik akan lebih berjaya.
14.  Kesedaran  sivik  merupakan  satu  usaha  menukar nilai
hidup kita atau usaha membentuk sifat yang lebih  baik  bagi
kita.    Langkah  pertama  ialah pengakuan oleh setiap orang
daripada kita bahawa kita bersalah dan perlu  kita  betulkan
diri  kita.    Jika  kita suka menunjukkan jari kepada orang
lain dan mendesak mereka membetulkan diri mereka, maka usaha
ini akan gagal.  Sebabnya ialah mereka yang kita tunjuk  itu
menunjuk  pula  kepada  orang  lain  atau  kepada  diri kita
sendiri sebagai pihak  yang  salah  yang  mesti  membetulkan
dirinya  dahulu.    Disebabkan  semua  pihak menunjuk kepada
orang lain dan tidak seorang pun yang mengaku dirinya salah,
maka tiada siapa pun yang akan membetulkan  dirinya.    Maka
sudah  tentulah  usaha  untuk  membentuk kesedaran sivik ini
akan gagal.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15.  Pendapat umum ialah usaha membentuk kesedaran sivik ini
perlu dimulakan di masa  kecil.    Kita  sedar  bahawa  jika
sesuatu  tabiat  yang  baik  telah  dipupuk semasa kecil, ia
bukan sahaja lebih mudah diamalkan tetapi adalah juga  lebih
kekal.   Bagi tujuan ini, kita perlukan penglibatan ibu bapa
dan guru-guru secara besar-besaran.
16.  Kesedaran sivik tidak boleh diajar dalam  bilik  darjah
sahaja.    Ia mesti diajar sepanjang masa.  Ini bermakna ibu
bapa dan guru-guru terpaksa mengawasi gerak-geri kanak-kanak
di bawah jagaan mereka  sepanjang  masa.    Terdapat  banyak
harta  dan  kemudahan  awam  di  sekolah-sekolah  yang mesti
dijaga  dengan  baik  dan  guru-guru   mestilah   menentukan
kemudahan-kemudahan  tersebut terpelihara.   Sekolah-sekolah
yang tidak mengalami  kerosakan  mencerminkan  setakat  mana
kesedaran sivik telah dipupuk di sekolah-sekolah berkenaan.
17.  Sungguhpun  kesedaran  sivik  boleh menjamin keselesaan
hidup kita, fakta-fakta lain perlu juga diambilkira.    Pada
kebiasaannya,  sama  ada orang ramai menyambut desakan untuk
menjaga harta awam atau tidak bergantung kepada pemeliharaan
yang  telah  dibuat  oleh  mereka  yang   ditugaskan   untuk
memelihara  harta  awam  itu.    Jika sesuatu harta awam itu
berada dalam keadaan yang terbiar kerana tidak dijaga dengan
baik, maka  orang  ramai  tidak  akan  menjaganya,  walaupun
mereka mempunyai kesedaran sivik.
18.  Ini  dapat  dilihat  daripada  tabiat  dan  sikap  kita
mengenai  keadaan  yang  bersih.    Kita  telah   mengadakan
undang-undang  supaya  orang  ramai tidak membuang sampah di
sana-sini.  Undang-undang ini gagal pada mulanya.    Tetapi,
apabila  bandar Kuala Lumpur dibersihkan dan di tanam dengan
pokok-pokok bunga yang dijaga  rapi,  didapati  orang  ramai
tidak  lagi  membuang  sampah di sana-sini.  Ini menunjukkan
bahawa jika kita ingin kesedaran sivik  berkesan,  persiapan
yang  teliti  dan  baik  mesti  disediakan  terlebih dahulu.
Mereka yang ditugaskan untuk membuat persiapan ini hendaklah
menjalankan kerja mereka dengan sebaik-baiknya.
19.  Manusia adalah makhluk yang  berakal.    Manusia  dapat
membendung  nafsunya  jika  ia  dapat  memahami  akan  sebab
sesuatu itu.  Jika kita hendak memupuk kesedaran sivik, maka
kita harus menerang dan menjelaskan sebabnya kesedaran sivik
ini baik bagi diri kita.  Oleh itu adalah penting bagi  kita
memperkenalkan   makna   dan   maksud  kesedaran  sivik  dan
sebab-sebabnya mengapa kesedaran ini penting bagi mewujudkan
masyarakat yang berdisiplin dan  bahagia.    Hari  Kesedaran
Sivik  ini  bolehlah  dianggap  sebagai  salah satu daripada
langkah bagi meningkatkan kesedaran  ini.    Langkah-langkah
yang lain hendaklah menyusulinya supaya sedikit demi sedikit
kesedaran  sivik menjadi sebahagian daripada peribadi rakyat
Malaysia.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
20.  Akhir kata  saya  berharap  semua  pihak  akan  memberi
perhatian  dan sokongan dan bersama-sama berusaha menyumbang
serta mempraktikkan kesedaran sivik di  kalangan  masyarakat
demi  keutuhan  dan kesejahteraan bangsa dan negara.  Dengan
ini, saya  dengan  sukacitanya  merasmikan  pelancaran  Hari
Kesedaran Sivik peringkat kebangsaan ini.
     Wabillahi     taufik     walhidayah    wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google