home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 24/04/87 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-38 BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH Yang Mulia Pengerusi Majlis; Y.B. Timbalan Presiden; Y.B. Naib-naib Presiden; Ahli-ahli Majlis Tertinggi; Dif-Dif Kehormat; Para Perwakilan; Para Pemerhati; Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. PENDAHULUAN ___________ Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sekali lagi bersama-sama menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang ke-38 ini. Saya bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan, pemerhati dan tetamu sekalian ke Perhimpunan Agung ini. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala supaya kita diberi hidayat dan petunjukNya bagi menjayakan Perhimpunan Agung ini mengikut lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan tradisi parti demi keutuhan perjuangan murni parti UMNO. PERGOLAKAN POLITIK ANTARABANGSA _______________________________ 2. Kita berhimpun pada hari ini dalam keadaan dunia yang kehilangan arus dan arah. Manusia yang mempunyai pengetahuan sehingga mampu mendarat di bulan; mempunyai kebolehan berkomunikasi yang tidak kenal jarak jauh atau dekat; dapat melihat kuman yang terkecil sekali serta universe yang luasnya diukur dengan sejauh mana cahaya bergerak pada satu tahun atau 'light-years' dan lain-lain lagi yang lebih ajaib dari semua cerita ajaib; manusia ini, tidak dapat mengurus hal ehwal dunia dengan baik supaya segala sengketa dan masalah hidup rukun damai dapat diatasi. 3. Politik dunia sekarang ini memperlihatkan manusia terbahagi kepada tiga blok yang tiap-tiap satu menentang yang lain dengan kesan yang amat buruk kepada manusia. Jika puak Barat dan puak Komunis tidak berperang secara langsung, secara tidak langsung mereka berperang dengan memperalatkan negara-negara ketiga. 4. Bunuh membunuh, menculik dan perasugut bukan sahaja dilakukan oleh penjenayah tetapi juga oleh negara-negara. Bahawa perbuatan ini kerapkali menganiaya orang yang tidak terlibat dan tidak berdosa tidak diambil-kira. Ada negara yang cuba 'assassinate' orang-orang tertentu dengan mengebom kediaman mereka, sambil mengecam perbuatan mengganas atau terrorisme. 5. Di dalam dunia Islam bermacam-macam rusuhan berlaku. Culik dan perasugut menjadi senjata utama sehingga imej Islam terjejas. Sementara sedikit sahaja daripada puak Zionis yang dibunuh atau dicederakan dalam peperangan 40 tahun Arab-Israel, lebih daripada 1 juta orang Islam telah dibunuh oleh orang Islam sendiri dengan senjata yang dibekal oleh pihak Timur, Barat dan Israel. IMPERIALISME EKONOMI ____________________ 6. Dalam bidang ekonomi juga jenayah tidak kurang. Di Amerika Syarikat lebih seratus bank telah bankrap, sementara di Britain sebuah bank yang besar sedang disiasat oleh Kerajaan. Saham-saham syarikat gergasi telah dimanipulasikan oleh pengarah-pengarahnya melalui 'insider trading'; broker bursa saham terlibat dengan berbagai jenayah komersial, bahkan dengan pengedaran dadah. Saham-saham yang tidak berharga atau 'junk shares' dijual dengan harga yang tinggi yang tidak ada kena mengena dengan pulangan daripada pelaburan. 7. Kerajaan-Kerajaan Barat tidak mahu menaikkan cukai untuk membiayai perbelanjaan mereka. Oleh itu mereka bermuafakat mencari jalan keluar dengan mendesak negara-negara kaya yang mengeksport kepada mereka untuk menaikkan nilai matawang. Dengan itu maka nilai Yen dan Deutschmark meningkat naik dan menjadi beban kepada negara-negara miskin. 8. Tetapi negara-negara kaya ini tidak juga dapat mengurangkan import mereka dari negara-negara yang berkenaan. Masalah ekonomi Eropah-Amerika tidak juga dapat diatasi. 9. Penipuan yang ketara sekali ialah penekanan yang dibuat ke atas harga bahan mentah. Dengan menggunakan teknologi baru mereka meningkatkan pengeluaran bahan mentah sehingga melebihi permintaan terhadap barang-barang ini. Di masa yang sama negara-negara industri yang terbesar mencipta teknologi baru yang boleh mengurangkan penggunaan bahan mentah yang dijual oleh negara-negara membangun. Dengan bertambahnya pengeluaran dan kurangnya penggunaan, maka pasaran bahan mentah dibanjiri dengan barang-barang yang tidak ada pembeli. Dengan itu harga bahan-bahan mentah turun dengan mendadak. 10. Kita biasa mendengar cogankata "yang kaya menjadi lebih kaya, yang miskin menjadi lebih miskin". Dalam masyarakat manusia biasanya jika seseorang menjadi kaya, ada sahaja orang yang miskin yang dapat menumpang kekayaan ini. Sebab itu apabila pelombong maju dan kaya banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan wujud. Kerajaan juga dapat mengutip cukai yang kemudiannya diagihkan di kalangan rakyat, melalui subsidi dan projek. 11. Tetapi negara-negara kaya yang menjatuhkan harga bahan mentah dengan sengaja berjaya menambahkan kekayaan mereka dari kerugian negara yang miskin. Dalam tahun 1986 tidak kurang daripada 70,000 juta atau 70 billion dolar Amerika telah dinikmati oleh negara kaya kerana harga bahan mentah jatuh dengan teruk. Di samping itu harga barangan buatan mereka telah meningkat tinggi dan sekali lagi negara miskin terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa membeli dengan harga yang mahal. Dalam masa yang sama nilai hutang negara miskin meningkat kerana kenaikan nilai matawang negara yang memberi pinjaman. POLITIK KUASA-KUASA BESAR _________________________ 12. Politik Barat dan Timur tidak pernah sejuk. Masing-masing menuduh bahawa satu pihak mempunyai niat jahat apabila mana-mana pihak membuat cadangan perdamaian atau keamanan. Rundingan di meja menjadi konfrontasi yang kemudian menjadi pertandingan tuduh-menuduh. Apabila pemimpin tertinggi Barat dan Timur berjumpa di Iceland, awal-awal lagi pihak akhbar Barat berkata bahawa perjumpaan itu tidak akan memberi hasil yang baik. Justeru itu sikap pemimpin lebih mirip kepada permusuhan. 13. Apabila rundingan gagal maka berkatalah nujum-nujum akhbar "Bukankah kami sudah berkata perjumpaan itu tidak mungkin membawa hasil?". Maka mereka memuji diri sendiri kerana mereka anggap mereka begitu bijak. Dan negara-negara kecil pun mengeletar kerana takut perang nuklear akan berlaku dan dunia ini musnah sama sekali. 14. Hakikatnya kuasa besar tahu perang nuklear akan memusnahkan kedua-dua pihak, tetapi masing-masing ingin mempunyai bilangan senjata nuklear yang terbanyak. Maka mereka berbelanjalah sehingga bukan sahaja kedudukan kewangan negara mereka terjejas, tetapi kewangan dunia pun menjadi buruk. Yang betul-betul menderita ialah negara-negara membangun seperti Malaysia. 15. Walaupun umumnya negara-negara di seluruh dunia ternampak tidak sihat, tetapi tidaklah semua negara-negara ini menderita. Ada yang semakin maju dan kaya. Pada analisa yang terakhir maju-mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada bangsa itu sendiri. Negara-negara seperti Korea dan Taiwan memperolehi begitu banyak nikmat semasa dunia tidak sihat kerana sikap bangsa mereka. 16. Kita dapati mereka ini sanggup bekerja keras supaya barangan keluaran mereka dapat menandingi dari segi mutu dan harga barangan keluaran negara lain. Soal tidak ada bahan utama atau pasaran tempatan yang besar tidak menghalang mereka. Semua ini diatasi dengan ketekunan, kerajinan dan disiplin yang dipupuk oleh kebudayaan mereka secara sedar atau tidak sedar. 17. Apa yang jelas daripada prestasi yang dicapai oleh negara-negara di dunia di zaman kemelesetan ini ialah maju-mundurnya bangsa dan negara bergantung kepada sifat-sifat yang ada pada penduduk atau rakyat. Jika rakyat sanggup berusaha dengan penuh minat maka berjayalah negara dan bangsa itu. Jika sebaliknya rakyat tidak sanggup berusaha, segala bantuan menjadi sia-sia sahaja. DASAR-DASAR NEGARA __________________ Para Perwakilan sekalian, 18. Setelah memenangi pilihanraya 1986 dengan mendapat mandat yang besar daripada rakyat, Kerajaan telah menumpukan perhatiannya kepada strategi dan usaha untuk meneruskan pembangunan negara. Dengan tidak ada lagi gangguan-gangguan daripada parti-parti lawan, adalah difikir bahawa langkah yang diatur oleh Kerajaan dapat dijalankan dengan licin dan lancar. 19. Dasar luar dan dasar dalam negeri telah diselenggarakan dengan tegas. Walaupun Malaysia adalah negara kecil, kita tegas dalam memperjuangkan sesuatu yang kita fikir adil. Kita telah mengambil bahagian cergas dalam perbahasan dan tegas dalam tindakan mengenai beberapa masalah penting di dunia. 20. Kita mengecam Soviet Russia kerana menakluk Afghanistan. Secara terbuka kita menyokong Mujahideen Afghan dan kita memberi tempat dan bantuan kepada perwakilan mereka di Malaysia. Sikap kita ini didorong oleh perasaan persaudaraan Islam dan sifat kemanusiaan kita. 21. Di Asia Barat, kita terus menyokong PLO sebagai wakil tunggal orang-orang Palestin. Kita tidak mahu mengiktiraf kumpulan-kumpulan serpihan. Pendirian kita adalah konsisten. 22. Berkenaan dengan perang Iraq-Iran kita bukan sahaja berkecuali tetapi berusaha untuk mendamaikan kedua-dua negara ini. Kita menganggap peperangan ini sebagai pembaziran yang hanya menguntungkan Israel dan penyokong-penyokong mereka. 23. Sikap kita terhadap regim Afrika Selatan dan apartheid adalah jelas. Kita mengutuk sekeras-kerasnya apartheid dan kita menyokong pemerintahan majoriti kulit hitam di Afrika Selatan. 24. Kita tidak bermusuh dengan Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah, bahkan kita tidak mahu bermusuh dengan sesiapa selain daripada Afrika Selatan dan Israel. Tetapi tidak bermusuh tidak bermakna kalau sesiapa melakukan perbuatan yang kejam, yang tidak adil kita harus berdiam diri. Sebab itulah kita kecam tindakan Amerika Syarikat dan United Kingdom terhadap Libya. 25. Memang benar sebagai sebuah negara kecil pendirian kita tidak akan menggoncang dunia, tetapi negara dan bangsa yang bermaruah tidak boleh berdiam diri hanya sanya kerana perbuatan yang buruk dilakukan oleh kuasa yang besar. Keadilan tidak bererti jika ada pilih kasih atau takut. Demikian juga ketegasan tidak bermakna jika kita memilih-milih untuk bersikap tegas. 26. Dalam sejarah negeri-negeri Melayu terdapat amalan menghantar bunga emas ke negara-negara yang lebih kuat daripada kita. Kita hormati adat tetapi bukan semua adat perlu dikekalkan. Amalan sujud kepada sesiapa sahaja kerana takut atau kerana wang bukanlah adat yang harus kita kekalkan. 27. Maruah bangsa dan maruah negara perlu kita pertahankan. Jika tidak, kemerdekaan tidak bermakna. Apa dianya kemerdekaan jikalau sesiapa sahaja boleh mengongkong kita? Apa dianya kemerdekaan jika kita letakkan diri kita di bawah telunjuk orang-orang lain? 28. Kita tidak harus angkuh dan sombong. Kita harus berbaik-baik dengan orang lain. Kita harus sederhana dan toleran. Tetapi semua ini diasaskan kepada reciprocity, atau timbalbalas, iaitu jika kita menghormati mereka pihak mereka pula hendaklah menghormati kita. Inilah asas dasar luar negeri kita. Kita bukan client state atau negara pelanggan kepada sesiapa. 29. Di dalam negeri, kita bersikap pragmatis dan terbuka. Malangnya ramai pihak yang mengambil kesempatan menyalah-gunakan sikap kita. Satu langkah yang diambil pada tahun 1981-82 ialah untuk tidak menghalang penerbitan akhbar, majalah dan buku-buku dalam negeri. Jika pada hari ini terdapat begitu banyak akhbar-akhbar dan buku-buku, termasuk buku-buku yang melempar fitnah dan tuduhan liar, sebabnya ialah kerana semenjak tahun 1981 kita bersikap lebih liberal. 30. Sikap liberal Kerajaan diasaskan kepada kepercayaan bahawa masyarakat Malaysia sudah dewasa dan matang dan kenal antara kaca dengan permata. Namun demikian jika kebebasan ini sering disalah-guna, sikap liberal ini terpaksa ditamatkan. 31. Kerajaan juga tidak suka menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya. Orang-orang dalam tahanan yang tidak benar-benar mengancam keselamatan negara telah dibebaskan. Daripada hampir 600 orang dalam tahanan sebelum Kerajaan ini mengambil-alih, kini hanya 30 orang hard-core terrorists sahaja yang masih ditahan. Namun demikian jangan sesiapa memikir bahawa Kerajaan ini lemah. Jika ada sesiapa yang cuba menimbulkan huru-hara tindakan tegas akan diambil. EKONOMI DAN KEWANGAN ____________________ Para Perwakilan sekalian, 32. Semenjak tiga tahun yang lepas kita telah cuba memperbaiki kedudukan kewangan negara. Kita tidak lagi berhutang tanpa mengambil kira pembayaran balik yang mesti dipikul oleh negara kelak. Kita telah mengurangkan perbelanjaan Kerajaan yang sering meningkat dahulu. Kita telah cuba mengurangkan beban bayaran gaji dengan cara memindah kepada swasta bahagian-bahagian khidmat Kerajaan yang difikirkan tidak semestinya diuruskan oleh Kerajaan. 33. Kemelesetan ekonomi dunia serta kejatuhan secara menyeluruh semua harga bahan mentah memerlukan perubahan strategi ekonomi kita. Di waktu ini negara-negara yang mengeluarkan barangan buatan seperti Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong mendapat lebihan dagangan yang amat tinggi. Kita bernasib baik kerana di waktu bahan mentah masih berharga tinggi kita tidak lupa akan sektor pembuatan. Kita telah meningkatkan perkembangan industri asas (basic industries) dan lain-lain perusahaan pembuatan. 34. Justeru itu di zaman kemelesetan harga bahan mentah ini kita dapat menumpang industri pembuatan. Kita sudah menjadi negara utama di dunia dalam pengeluaran komponen elektronik dan alat pendingin. Industri tekstil dan pakaian juga mencapai kejayaan yang cemerlang. 35. Di antara industri berat, kilang kereta Proton mempunyai potensi yang tinggi. Semenjak ianya mula mengeluarkan kereta, kilang Proton menarik minat bukan sahaja mereka yang ingin mengimport Proton Saga ke negara-negara mereka, tetapi juga syarikat-syarikat motor antarabangsa yang bercadang menggunakan kilang Proton untuk mengeluarkan komponen kereta mereka. 36. Kilang Proton juga membantu kilang-kilang komponen tempatan dan ramai peniaga dan pengusaha lain. Peniaga kecil dan penjaja juga mendapat nikmat daripada industri kereta ini. PENGUSAHA-PENGUSAHA DAN PENIAGA-PENIAGA KECIL _____________________________________________ Para Perwakilan sekalian, 37. Sepertimana termaklum tumpuan tidak diberi kepada perniagaan dan perusahaan besar sahaja. Perusahaan-perusahaan kampung, peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja semuanya mendapat bantuan dalam bentuk wang atau kemudahan seperti ruang atau tempat berniaga. Barangan kerja tangan mendapat pasaran yang baik dan mutu barangan ini dipertingkatkan. Di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur terdapat pusat pasaran kraftangan iaitu Karyaneka. Masalahnya sekarang ialah untuk mendapat barangan yang bermutu yang memenuhi permintaan yang kian meningkat. 38. Demikianlah usaha yang dibuat sehingga pelukis-pelukis yang dahulunya tidak mempunyai tempat untuk mempamerkan hasil karya mereka, sekarang ini sudah dapat banyak tempat. Hatta para penyair pun boleh menarik pelanggan dengan mendeklamasikan sajak mereka di tempat-tempat yang dikhaskan untuk mereka. 39. Perniagaan dan perusahaan yang bukan tradisional telah diperkenalkan oleh agensi-agensi Kerajaan dan disambut baik oleh bumiputera. Jambu, pisang emas, jagung, kelapa muda, asparagus dan beberapa buah-buahan tempatan laris dijual dan dieksport. Sate yang dahulu dapat dijual oleh orang yang pandai buat sate sahaja, sekarang dapat dijual oleh sesiapa sahaja melalui sistem franchise. Pendek kata jika ada kesanggupan, memang ada peluang berniaga atau berusaha. PENTINGNYA DASAR EKONOMI BARU (DEB) ___________________________________ Para Perwakilan sekalian, 40. Kemelesetan ekonomi membawa kesan yang buruk kepada hampir semua negara membangun. Memang ada sebuah negara jiran yang ekonominya mencatatkan pertumbuhan. Pertumbuhan ini, di antara lain, disebabkan mereka tidak ada masalah pembahagian kekayaan antara bumiputera dengan bukan bumiputera. 41. Jika kita tidak perlu mengawasi pertumbuhan ekonomi untuk menentukan perbezaan antara kaum tidak menjadi lebih ketara, atau dengan perkataan lain, jika kita sanggup gugurkan sahaja DEB, pertumbuhan ekonomi negara kita juga akan meningkat dengan pesat. Tetapi DEB adalah pilihan kita. Kita tidak mahu berbangga dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat tetapi bumiputera menjadi papa-kedana. Dasar Kerajaan sekarang masih lagi diasaskan kepada agihan kekayaan secara adil dan saksama antara kaum walaupun terjejas sedikit pertumbuhan ekonomi. Biarlah kita lambat sedikit asalkan selamat. PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM ___________________________ Para Perwakilan sekalian, 42. Di antara dasar dan matlamat terpenting Kerajaan ialah dasar penerapan nilai-nilai Islam. Tekanan utama Kerajaan ialah terhadap nilai-nilai seperti persaudaraan, amanah, disiplin, kejujuran, keadilan, tuntutan kekayaan di dunia secara halal, toleransi dan lain-lain nilai murni. 43. Di antara nilai-nilai Islam ialah kita tidak menggunakan paksaan untuk menentukan orang lain turut kita. Islam lebih mengutamakan pujuk rayu daripada paksaan. Menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak toleran, tidak bertimbang rasa dan kejam adalah perbuatan yang mencemar nama baik Islam dan menyekat perkembangannya. 44. Selaras dengan penerapan nilai-nilai Islam kita telah berusaha untuk membersihkan pengurusan dalam semua bidang. Setelah ekonomi negara mengalami kemerosotan, maka terdedahlah beberapa amalan yang tidak sihat di kalangan para peniaga dan para pengurus. Tindakan telah diambil terhadap mereka yang menyamun duit orang lain yang diamanahkan kepada mereka. Malangnya kita tidak dapat mengesan dan mendapat bukti secukupnya akan kecurangan pengarah-pengarah, pengurus-pengurus dan peniaga-peniaga ini. Tetapi kita tidak putus asa. Akan kita tentukan penipu akan menerima balasan yang setimpal dengan jenayahnya. 45. Di samping itu Kerajaan tidak mahu melihat mereka yang tertekan kerana kemelesetan ekonomi dijadikan sasaran tindakan bank-bank umpamanya. Institusi-institusi kewangan telah dinasihatkan supaya tidak terlalu keras menuntut bayaran atau mengambil tindakan undang-undang. Kerajaan tidak mahu melihat peniaga dan pengusaha bumiputera khususnya, tersekat apabila ekonomi pulih semula. PENINGKATAN PENGURUSAN KERAJAAN _______________________________ Para Perwakilan sekalian, 46. Pengurusan Kerajaan tidak dilupakan dalam usaha memelihara ekonomi negara di zaman kemelesetan. Kerajaan percaya ubat yang mustajab sekali di waktu kita tidak berada ini ialah mengurangkan belanja ke paras yang kita mampu sahaja dan meningkatkan lagi daya pengeluaran. Kita boleh meminjam lagi untuk berbelanja seperti di zaman mewah, tetapi ini bermakna menggadaikan masa depan kita. 47. Tindakan penswastaan dan pengurangan kakitangan Kerajaan adalah bertujuan mengurangkan beban Kerajaan. Seberapa yang mungkin kita akan tentukan tidak ada sesiapa yang teraniaya kerana pendekatan ini. 48. Sebenarnya, kesan baik dari tindakan-tindakan Kerajaan sudahpun mula dirasai. Rizab kita sudah meningkat sekali ganda berbanding dengan keadaan tiga tahun dahulu. Perbelanjaan pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kelima dapat ditingkatkan semula daripada 37 ribu juta kepada 48 ribu juta ringgit. Kita telah dapat menyelamatkan 2 ribu juta ringgit wang pampasan kerana projek-projek yang telah diikat janji tidak perlu dibatalkan. 49. Projek-projek Kerajaan di zaman dahulu adalah projek sosial semata-mata. Jalanraya dibina tanpa banyak mengambil kira perolehan daripadanya. Demikian juga khidmat telefon, pelabuhan, pelajaran, perubatan dan lain-lain. Jika bayaran dikenakan, ini adalah sebagai mengambil syarat sahaja. 50. Kerajaan membiayai khidmat-khidmat ini melalui cukai daripada punca lain -- seperti cukai pendapatan, cukai eksport dan import, cukai jalan dan cukai jualan. Di waktu kos pentadbiran rendah kita dapat membiayai khidmat-khidmat sosial dari cukai biasa. Tetapi sekarang kos sudah meningkat berpuluh kali ganda. Oleh kerana itu sebahagian daripada kos khidmat perlu dipindahkan kepada pihak swasta atau Kerajaan memungut sedikit bayaran daripada khidmat tertentu. 51. Kerajaan tidak boleh dan tidak berhajat untuk mendapat balik semua kos yang terlibat. Jika diswastakan sekalipun, elemen subsidi terpaksa diadakan kerana pihak swasta juga tidak mungkin menampung semua kos dengan kutipan yang akan diperolehi. Sebab itulah kita sanggup memajak seluruh sistem keretapi dengan bayaran $1/- sahaja. MARUAH BANGSA _____________ Para perwakilan sekalian, 52. Maruah sesuatu bangsa tidak boleh dipertahankan semata-mata dengan meminta supaya orang lain tidak menghinakan bangsa itu. Apa yang perlu dibuat ialah membuktikan bahawa bangsa berkenaan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berjaya. 53. Dalam bidang politik orang-orang Melayu telah berjaya sehingga kini. Tetapi dalam bidang agama, sosial dan ekonomi pencapaian kita belum begitu memuaskan. 54. Kita belum berjaya dalam bidang agama kerana jelas sekali kita tidak mengamalkan banyak daripada ajaran Islam. Ada di antara kita tidak mahu bersaudara, kita sering membelakangkan amanah, kita tidak begitu toleran, kita tidak begitu memberi penghargaan kepada keadilan dan lain-lain lagi. Sebab itulah kita menganjurkan penerapan nilai-nilai Islam. 55. Dalam bidang sosial orang-orang Melayu sering memencilkan diri daripada orang lain. Justeru itu kita tidak begitu berjaya mempengaruhi sesiapa. Kita lebih suka menggunakan kuasa untuk mendapat kerjasama daripada mengguna kemesraan untuk tujuan yang sama. Untuk kejayaan dalam bidang politik, sosial dan ekonomi, pergaulan kita sesama sendiri dan dengan kaum-kaum lain adalah faktor yang penting. 56. Di dalam bidang ekonomi kejayaan kita amat terhad. Pencapaian sebanyak 18% bagi kaum bumiputera dalam bidang ekonomi diperolehi kerana peranan agensi-agensi Kerajaan. Sebilangan kecil orang-orang Melayu yang mencapai sedikit kejayaan bergantung semata-mata kepada perniagaan dengan Kerajaan. Tanpa Kerajaan, orang Melayu tidak dapat bersaing. 57. Ini bukanlah pencapaian yang dimaksud dan diharapkan oleh kita dalam perancangan DEB. Kita hendak orang-orang Melayu menyertai bidang ekonomi dengan kebolehan dan kekuatan mereka sendiri. Jika Kerajaan membantu, ini adalah pada permulaan sahaja atau dalam pembekalan kemudahan-kemudahan asas untuk menembusi bidang yang dimonopoli oleh kaum-kaum lain. 58. Menyedari hakikat ini kita telah cuba mengenalpasti akan sebab-sebab kegagalan orang-orang Melayu dalam berbagai bidang. Kita dapati ada kelemahan yang ketara daripada segi sifat-sifat serta sikap-sikap orang-orang Melayu. Untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ini Kerajaan bercadang untuk mengadakan kursus-kursus secara menyeluruh untuk mendedah dan memperkenalkan kepada orang-orang Melayu khususnya akan sifat-sifat dan sikap-sikap yang menjadi penghalang kepada kejayaan mereka dan bagaimana mereka boleh mengatasi halangan-halangan ini. 59. Kem-kem latihan untuk maksud ini, serta juga pelatih-pelatih sudah disediakan. Demikian juga kurikulum dan bentuk kursus. Dalam peringkat pertama pemimpin-pemimpin politik di peringkat tertinggi sekali dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri telahpun mengikuti kursus ini. 60. Tekanan dalam kursus ini ialah mengkritik diri sendiri dan bukan mengkritik orang lain. Setelah mengenali kelemahan diri sendiri maka baharulah seseorang itu akan dapat membetulkan dirinya. Amalan mengkritik orang lain tidak digalakan kerana orang lain tidak akan membetulkan diri mereka kerana teguran dari kita. 61. Setakat ini hasil kursus ini adalah memuaskan. Adalah diharapkan melalui kursus-kursus ini kita akan dapat melahirkan orang-orang Melayu yang lebih cekal, lebih bertanggungjawab dan lebih berdedikasi dalam segala usaha mereka. Jika maksud kursus ini dicapai, orang-orang Melayu khususnya, tidak akan lagi bergantung semata-mata kepada Kerajaan dan kuasa politik untuk menentukan kejayaan mereka. Mereka akan berjaya kerana kebolehan mereka sendiri. Dengan ini masa depan mereka akan lebih terjamin. UMNO: TERAS POLITIK NEGARA __________________________ Para perwakilan sekalian, 62. UMNO adalah harapan orang-orang Melayu. Segala-galanya yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan UMNO. Kita telah menangkis Malayan Union, kita telah mencapai kemerdekaan, kita telah mengisikan kemerdekaan ini dengan pembangunan, kita telah meningkatkan ekonomi dan pelajaran orang-orang Melayu dengan menggunakan kekuatan yang kita dapati daripada UMNO. 63. Jika UMNO berjaya menghasilkan semua ini sebabnya bukanlah semata-mata kerana UMNO merupakan sebuah pertubuhan yang bersemangat kebangsaan. Semangat kebangsaan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan dan semua parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan memang mempunyai semangat kebangsaan. Bahkan banyak parti-parti politik yang lebih kuat semangat kebangsaan mereka daripada UMNO. 64. Tetapi setelah merdeka, banyak parti-parti politik kebangsaan di lain-lain negara tidak dapat memerintah dengan sempurna dan membawa kebahagiaan kepada bangsa mereka. Bermacam-macam masalah dan penyakit menyerang parti-parti ini. Akibatnya negara yang mereka bebaskan daripada penjajah menjadi lemah dan mundur dan rakyat menderita lebih daripada di zaman penjajah. Banyak daripada parti-parti ini bertukar corak dan mengenepikan demokrasi. Banyak yang berpecah dan hilang begitu sahaja. 65. Sebaliknya, UMNO mempunyai falsafah yang membolehkannya membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. Kerana UMNO tidak terlalu ekstrim, UMNO dapat membentuk satu rangka kerjasama dengan lain-lain kaum dan parti-parti politik di Malaysia. UMNO mengutamakan keamanan dan tidak suka kepada keterlaluan. UMNO menghormati dan memegang kuat kepada konsep dan amalan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. 66. Hasilnya ialah Sabah dan Sarawak dapat menyertai Semenanjung dan tertubuhlah Malaysia. Penduduk berbagai kaum dan suku-kaum dapat hidup aman dan dapat bekerjasama dengan tidak merusuh seperti berlaku di negara-negara lain. 67. Hasilnya ialah pembangunan desa dan pembangunan bandar yang pesat. Hasilnya ialah pelaburan yang banyak yang dapat menampung dan memberi peluang pekerjaan kepada sebahagian besar daripada belia-belia yang membanjiri pasaran kerja daripada sekolah-sekolah dan universiti-universiti. 68. Memang benar kita menghadapi bermacam-macam masalah dan dugaan. Parti-parti lawan tumbuh dengan subur dalam sistem demokrasi tajaan UMNO. Pada satu ketika, negara-negara jiran berkonfrantasi dengan kita. PAP semasa Singapura berada dalam Malaysia telah mengugut ketenteraman dengan slogan 'Malaysian Malaysia' mereka. Pakistan memutuskan hubungan diplomatik dengan kita kerana sokongan kita kepada India. Kita dianggap sebagai neo-colonialis kerana dasar kita menyokong kuasa-kuasa barat ketika itu. 69. Di dalam negeri pula, Kelantan mengugut menarik diri dari Persekutuan. Sarawak di bawah seorang pemimpin tertentu menolak kuasa pusat dan Sabah bergelora apabila sebilangan daripada penduduk Sabah mengugut untuk keluar dari Malaysia kerana Singapura sudah disingkir dari Malaysia. 70. Pengganas komunis terus mengganas selepas merdeka. Ketua Polis Negara dibunuh di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur dan Tugu Peringatan dibom. Ketua Polis Perak ditembak mati. Ramai anggota keselamatan terbunuh atau cedera. 71. Tentera Merah Jepun menawan Bangunan American International Assurance. Rusuhan kaum berlaku pada tahun 1969 dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dibakar. 72. Memang terdapat tragedi dan peristiwa buruk dalam sejarah Malaysia yang merdeka. Tetapi negara yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO, negara yang Kerajaan mempunyai UMNO sebagai teras Kerajaan campuran telah berjaya mengatasi semua masalah ini. Semua peristiwa buruk menjadi peristiwa sementara, berkat kecekapan UMNO yang menerajui Kerajaan. 73. Selagi UMNO kukuh dan kuat, keupayaan UMNO mengatasi masalah tidak boleh dipertikaikan. Falsafah UMNO amat sesuai untuk pemerintahan sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. UMNOlah yang memberi kestabilan kepada negara Malaysia ini. 74. Allahyarham Tun Dr. Ismail telah berkata bahawa apabila generasi selepas merdeka dewasa, mereka akan menimbulkan masalah. Mereka ini tidak tahu pahit maung perjuangan untuk kemerdekaan. Mereka ini akan menganggap kemerdekaan dan segala nikmat daripadanya sebagai perkara biasa. Mereka ini juga akan mempunyai expectation yang tinggi. 75. Memang benar apa yang diperkatakan oleh pemimpin terkemuka UMNO ini. Tetapi Allahyarham Tun Dr. Ismail tidak menduga semua masalah yang akan menyerang UMNO. Oleh kerana generasi muda perlu diberi tempat dalam UMNO maka terkecewalah beberapa ahli yang lebih awal menyertai UMNO. 76. Masalah pemimpin-pemimpin UMNO ialah sementara minat untuk memeluk gunung ada, tetapi apakan daya tangan tak sampai. Seperti selimut yang pendek, menutup dada mendedahkan peha, menutup peha mendedahkan dada. Telan mati emak, luah mati bapa. Masalah ini akan menyerang sesiapa juga yang memimpin UMNO. 77. Falsafah perjuangan UMNO tidak ada tolok bandingnya. Ia tidak boleh dipertikaikan. Ia amat sesuai bagi negara berbilang kaum ini di mana kaum bumiputera, khususnya orang-orang Melayu begitu memerlukan perlindungan dan bantuan. 78. Tetapi setelah ada di antara kita yang memilih untuk membelakangkan tradisi, dan setelah beberapa orang ahli mendahulukan cita-cita mereka daripada cita-cita bangsa, falsafah UMNO tergugat dan tidak lagi dapat menjamin kejayaan UMNO. 79. Nasib sesuatu bangsa ditentukan oleh bangsa itu sendiri. Allah S.W.T tidak menghampakan bangsa yang berikhtiar dan berusaha. Tuhan juga tidak akan menolong mengubah nasib sesuatu bangsa jika bangsa itu tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka sendiri. 80. UMNO sebagai kumpulan yang terpenting dalam masyarakat Melayu tidak boleh mengecualikan diri daripada terlibat dengan perubahan dan nasib bangsa Melayu. Dan sebenarnya penubuhan UMNO dan perlembagaannya mengiktiraf dan mengakui tanggungjawab UMNO dalam menentukan nasib bangsa Melayu, agama Islam dan negara. PENUTUP _______ Para perwakilan sekalian, 81. Sejarah menyaksikan peranan UMNO, ahli-ahlinya dan pemimpin-pemimpinnya. Sejarah akan memuji atau mengutuk orang Melayu mengikut kejayaan atau kegagalan mereka. Kita tahu sejarah memberi nilai yang tinggi terhadap pencapaian UMNO sehingga hari ini. Terpulanglah kepada kita semua untuk menentukan hukuman sejarah terhadap apa yang akan terjadi dari hari ini sehingga kepada dekad-dekad yang akan datang. 82. Ingatlah, tidak ada seorang pun daripada kita, termasuk saya sendiri, yang penting. Tidak ada seorang ahli UMNO atau pemimpin-pemimpin UMNO yang penting walau apapun jawatan mereka. Yang penting ialah pertubuhan ini, UMNO, sebagai sebuah badan untuk mengubah nasib orang-orang Melayu. Tanpa UMNO tidak ada satu pun yang boleh dibuat oleh sesiapa daripada kita, walau bagaimana bijak dan pintar orang itu. 83. Oleh itu, haruslah kita berfikir dengan sedalam-dalamnya tentang peranan kita dalam Perhimpunan ini. Janganlah sejarah, janganlah generasi yang akan datang, janganlah anak cucu kita mengutuk kita kerana kita membenarkan nafsu menguasai kita dan kita kecewakan harapan mereka. 84. Saya berdoa supaya kita akan selamat bersidang. Saya berdoa semoga kita semua diberi taufik dan hidayah oleh Allah Subhanahu Wataala. WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMU ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH. |