home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	:	06/06/87 
Tajuk/Title  	: 	PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI GERAKAN 




 Yang Berhormat Dato Dr. Lim Keng Yaik,
     Pengerusi Parti GERAKAN;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
GERAKAN   kerana   telah   sudi  menjemput  saya  merasmikan
Persidangan Perwakilan Parti ini.  Saya berharap Persidangan
Perwakilan ini akan  berjalan  lancar  dan  hal  ini  dengan
sendirinya akan menggambarkan kematangan ahli-ahli parti.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2.   Barisan   Nasional  telah  wujud  berbelas  tahun,  dan
sebelumnya Perikatan juga telah wujud sekian lama.    Dengan
itu,   parti-parti   komponen  bolehlah  sekarang  dikatakan
sebagai sudah matang.  Walaupun sesebuah parti komponen  itu
akan  menempoh  masa  turun  atau naiknya, namun parti-parti
komponen telah membuktikan keupayaan  mereka  untuk  bersatu
padu   dalam    menghadapi    pilihanraya-pilihanraya    dan
berbagai-bagai cabaran yang lain.  Ini telah dibuktikan dari
masa  ke semasa.   Pada masa-masa yang akan datang juga saya
percaya  parti-parti  komponen   yang   menghadapi   sedikit
sebanyak  cabaran  akan  dapat  menempohnya  dengan jaya dan
bersatu  akhirnya.     Perpaduan  yang  jitu   di   kalangan
parti-parti  komponen  sangatlah  penting  supaya dapat kita
bersama-sama memberikan kepimpinan yang diperlukan  ke  arah
membangunkan negara kita.
3.   Buat  masa  ini  ada parti-parti komponen dalam Barisan
Nasional yang  sedang  menghadapi  sedikit-sebanyak  cabaran
dalam  parti  sendiri,  dan  ini  termasuklah UMNO dan parti
GERAKAN.  Perkara ini tidaklah merisaukan sangat oleh kerana
Barisan  Nasional  telah  pun  menempa  kecemerlangan  dalam
pilihanraya  umum  tahun lalu.  Bahkan dalam pertandingan di
Gopeng baru-baru ini, kemampuan  Barisan  Nasional  mencapai
kejayaan  nyata  sekali.   Apa yang diharapkan ialah apa-apa
cabaran yang terdapat di kalangan parti-parti komponen  akan
di  antara lain meningkatkan kematangan berpolitik ahli-ahli
mereka.
4.   Pada  kita  yang  penting   ialah   menjaga   perpaduan
keseluruhannya   terutama  apabila  kita  sedang  menghadapi
satu-satu   cabaran   seperti   kemelesetan   ekonomi   atau
ketegangan  politik  atau  sosial.    Perpaduan  di kalangan
ahli-ahli  sesebuah   parti   komponen   dan   di   kalangan
parti-parti  komponen  sendiri  adalah  sangat  penting bagi
mengatasi  segala  masalah  atau  cabaran.    Kejayaan  yang
cemerlang  pula  adalah sangat penting bagi Barisan Nasional
supaya dapat memerintah negara  ini  dengan  lebih  berkesan
lagi.  Tidak mungkin kita dapat memerintah negara ini dengan
lebih  berkesan sekiranya Barisan Nasional mendapat sokongan
yang terhad.
5.   Mengenai  GERAKAN  pula,  saya  berasa  bangga   dengan
kejayaan  yang  telah ditempa oleh parti ini.  Kekukuhan dan
keutuhan mana-mana parti komponen sesungguhnya  adalah  satu
sumbangan  kepada  kekuatan  dan kekesanan Barisan Nasional.
Dalam hal ini,  seharusnya  tidak  timbul  apa-apa  perasaan
cemburu  di  antara ahli-ahli komponen Barisan Nasional yang
lain,  dan  sememangnya  saya  percaya  tidak  ada  perasaan
cemburu  di antara satu parti komponen dengan parti komponen
yang lain dalam Barisan Nasional mengenai  apa-apa  kemajuan
yang  dikecapi  oleh  mana-mana parti komponen.  Sebaliknya,
kita  harus  saling  sokong  menyokong  kerana  kita   semua
sebenarnya  merupakan  ahli-ahli  dalam  satu  keluarga yang
besar di mana kekuatan kita ibarat kata orang puteh,  adalah
"as strong as the weakest link".
6.   Barisan  Nasional  merupakan satu parti yang matang dan
mempunyai cukup pengalaman untuk menakhodakan negara kita ke
arah kejayaan yang lebih pesat  lagi.    Ini  adalah  kerana
Barisan  Nasional mempunyai ahli-ahli yang mewakili berbagai
kaum di  negara  ini  dan  diterima  dan  mendapat  sambutan
daripada  rakyat  keseluruhannya.   Ini terbukti pada setiap
kali kita mengadakan pilihanraya.    Tidak  ada  parti  lain
daripada   Barisan  Nasional  yang  boleh  mengaku  dirinya,
ataupun  telah  membuktikan  kemampuannya   untuk   mewakili
masyarakat  majmuk seluruh negara kita ini.  Dan hakikat ini
jelas kerana pada setiap kali  diadakan  pilihanraya  rakyat
akan menolak segala rayuan, janjian atau laungan parti lain.
Dan  keyakinan  rakyat  kepada  Barisan Nasional inilah yang
harus kita pelihara dan pupuk dengan  sebaik-baiknya  supaya
ianya berterusan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
7.   Mengenai  ekonomi  pula,  kita  harus  berbangga dengan
perkembangannya akhir-akhir ini.  Harga barangan kita  telah
mula meningkat semula.  Pelaburan juga telah meningkat, sama
ada  pelaburan  daripada  para  pelabur  luar  mahupun dalam
negeri.    Keyakinan  terhadap  iklim  ekonomi  negara  kita
semakin  menebal.    Semua ini adalah fakta-fakta yang tidak
boleh kita nafikan.  Kita bertanggungjawab  untuk  sama-sama
menguatkan  lagi  keyakinan  ini.    Salah satu langkah yang
boleh  kita  sama-sama  lakukan   ialah   menangkis   gejala
khabar-khabar   angin  yang  diada-adakan  bagi  mengeruhkan
semula suasana ekonomi kita.
8.   Kita seharusnya tidak terpengaruh dengan berita  rekaan
yang dibawa oleh anasir-anasir anti nasional itu, sebaliknya
kita  harus  menaruh  keyakinan  dan meneliti beberapa fakta
yang jitu mengenai ekonomi negara  kita.    Umpamanya  rizab
antarabangsa  Bank  Negara  kita  telah meningkat tahun lalu
sebanyak $3,883 juta berbanding daripada tahun  1985.    Ini
menjadikan   rizab  antarabangsa  kita  berjumlah  kira-kira
$16,358 juta, iaitu satu jumlah yang tertinggi  yang  pernah
negara  kita  capai  sejak hampir 30 tahun kemerdekaan kita.
Jumlah rizab kita ini adalah sama juga dengan keupayaan kita
mengimport selama 7.1 bulan.    Sebagai  perbandingan,  pada
penghujung   tahun   1985,  rizab  antarabangsa  kita  boleh
menampung import selama 5 bulan sahaja.    Pada  suatu  masa
rizab  negara kita pernah turun sehingga bersamaan kira-kira
3.5 bulan import sahaja.
9.   Di samping itu kita harus juga bersyukur yang  imbangan
pembayaran  atau  balance of payments negara kita tahun lalu
mencatatkan lebihan sebanyak $4,131  juta.    Ini  pun  satu
rekod  iaitu  yang  tertinggi  yang  pernah  dicatitkan oleh
negara kita.   Jumlah lebihan ini  adalah  $922  juta  lebih
tinggi daripada lebihan tahun sebelumnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10.  Kita   tidak  harus  panik  apabila  berhadapan  dengan
sesuatu  masalah  seperti  kemelesetan  ekonomi.    Melempar
tuduhan  bahawa  orang itu salah, orang ini salah atau dasar
itu salah dan dasar ini salah bukan caranya bagi membetulkan
keadaan.   Apa yang penting ialah  mengkaji  sesuatu  gejala
dengan  tenang,  menentukan  sebab-sebab  yang  sebenar, dan
menyusun langkah untuk mengatasi masalah  itu.    Jika  kita
panik  dan  react  secara  membuta-tuli,  maka  keadaan akan
menjadi lebih buruk lagi.
11.  Kemelesetan ekonomi negara kita disebabkan kita terlalu
bergantung  kepada  eksport  bahan  mentah  untuk   mendapat
tukaran  asing.   Sebaliknya kita boleh lihat beberapa Newly
Industrialising Countries atau NICs di Timur Asia  mengalami
pertumbuhan   ekonomi   yang   amat   tinggi  kerana  mereka
bergantung kepada eksport barangan buatan.   Dalam pada  itu
kita  juga  harus sedar bahawa kurang larisnya eksport bahan
mentah kita ialah kerana kita adalah high-cost producers dan
tidak  dapat  bertanding  dengan   bahan-bahan   lain   atau
punca-punca lain.
12.  Memandang   kepada  hakikat  ini  strategi  kita,  yang
pertama,  ialah  cuba  mengurangkan  kos  pengeluaran  bahan
mentah  kita  dan  yang  kedua  ialah  menumpu kepada bidang
pembuatan  atau  manufacturing  untuk  membantu   pendapatan
tukaran asing.
13.  Pihak  Kerajaan  telah  membenarkan nilai matawang kita
jatuh sedikit dan ini menolong mengurangkan kos  pengeluaran
kita.    Tetapi  ini  tidak  boleh  diharapkan sangat kerana
ringgit  yang  murah  meningkatkan  kos  bahan  import  yang
diperlukan  untuk manufacture.   Penurunan kadar faedah bank
juga boleh menolong.  Tetapi, akhirnya yang terpenting ialah
kecekapan   pengurus-pengurus    kita    mengurangkan    kos
pengeluaran.
14.  Dalam  bidang  pembuatan, kepakaran atau expertise kita
agak terhad.  Namun demikian kita boleh mengatasinya  dengan
mengadakan   usahasama   dengan   pedagang-pedagang   asing.
Tanda-tanda menunjukkan bahawa kemampuan kita  dalam  bidang
pembuatan  sudah meningkat.  Saya yakin bahawa akhirnya kita
akan mempunyai "optimum mix"  antara  eksport  bahan  mentah
dengan eksport barang buatan.  Yang penting ialah kita tidak
mudah  kecewa.   Sebagai rakyat Malaysia kita harus menerima
"the good with the bad".  Kalau kita menjadi "fine  weather"
citizen   sahaja,  janganlah  marah  jikalau  ketaatan  kita
dipersoalkan.    Pemimpin-pemimpin  Gerakan,  seperti   juga
pemimpin-pemimpin  parti-parti  komponen  Barisan  Nasional,
mempunyai tanggungjawab  menjelaskan  keadaan  yang  sebenar
kepada rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15.  Saya   berharap  Persidangan  ini  akan  dapat  membawa
GERAKAN  ke  arah  kekuatan  yang  bertambah  lagi.     Saya
mempunyai  keyakinan  bahawa  GERAKAN  akan  dapat memainkan
peranan yang lebih lagi dalam  membangunkan  masyarakat  dan
negara.
16.  Sekali   lagi  saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada
Jawatankuasa  Pusat  GERAKAN  kerana   menjemput   saya   ke
Persidangan  Perwakilan  ini.    Saya  berharap GERAKAN akan
terus mencapai kejayaan pada tahun-tahun yang akan datang.
17.  Dengan harapan  ini  saya  dengan  sukacitanya  membuka
Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini dengan rasminya.
     Terima kasih.

 
 



 
Google