home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MERLIN SUBANG, SHAH 
			ALAM, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	29/08/87 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC 




 Yang Berhormat Dato' S. Samy Vellu,
     Presiden MIC;
Yang Berhormat Dato' S. Subramaniam,
     Timbalan Presiden MIC;
Ahli-ahli Exco MIC;
Para perwakilan MIC;
Wakil-wakil Parti-parti
     Komponen Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
    Saya   mengucapkan   terima  kasih  kepada  MIC  kerana
menjemput saya untuk merasmikan  Perhimpunan  Agungnya  bagi
tahun  ini.    Saya  juga  mengambil  kesempatan  ini  untuk
mengucapkan tahniah  kepada  Dato'  Samy  Vellu  yang  telah
menang  tanpa  bertanding  jawatan  Presiden  MIC.    Ucapan
tahniah juga kepada  Dato'  Subramaniam  yang  turut  menang
tanpa  bertanding.   Walau bagaimanapun, para perwakilan MIC
akan membuat pemilihan untuk jawatan-jawatan yang  lain  dan
dalam  hal  ini saya berharap pemilihan akan berjalan dengan
teratur mengikut lunas-lunas demokrasi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
2.   Dua hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kita
yang ke-30.  Kita bersyukur dan berbangga kerana negara kita
telah mencapai kemajuan dan kemakmuran.   Kita juga  sungguh
bernasib   baik  kerana  rakyat  Malaysia  mendapat  manfaat
daripada kemerdekaan ini.  Sepertimana kita maklum, kemajuan
dan pencapaian yang kita nikmati ini bukanlah datang  dengan
begitu  sahaja  tetapi ianya adalah hasil daripada sumbangan
dan pengorbanan rakyat Malaysia keseluruhannya.
3.   Dalam   memperjuangkan    kemerdekaan,    kita    telah
bekerjasama  dengan  erat,  bersikap toleran,   mengutamakan
persefahaman  serta mengambilkira  kepentingan  dan perasaan
masyarakat   majmuk   negara  kita  ini.   Kita telah banyak
bertolak-ansur dalam semangat persaudaraan   dan  perpaduan.
Begitu  juga  halnya   dengan   penubuhan  Malaysia.  Memang
benar,   banyak  perkara  telah  dibangkit  dan dibincangkan
ketika   itu     tetapi     ini    tidaklah    menghairankan
kerana   sudah   semestinya   berbagai-bagai   isu  terpaksa
diselesaikan  terlebih  dahulu  sebelum  persetujuan   dapat
dicapai.    Apa yang dibanggakan ialah walaupun ada terdapat
perbincangan-perbincangan   yang   begitu   hangat    tetapi
kepentingan rakyat serta negara sentiasa diutamakan.  Kerana
inilah kita dapat bersama-sama menikmati kejayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
4.   Kita  sedia  maklum  bahawa  dalam  rundingan-rundingan
Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional di masa-masa yang
lalu,   perbincangan-perbincangan   diadakan   dengan   cara
teratur, bersopan-santun dan dengan 'decorum'.   Sepertimana
kita  juga maklum, pada masa-masa yang lalu apa juga masalah
yang dihadapi oleh Barisan Nasional  telah  kita  bincangkan
melalui    saluran-saluran   yang   telah   kita   tentukan.
Berbagai-bagai perkara penting telah kita rundingkan  dengan
teliti dan terperinci, tetapi di dalam keadaan serta suasana
yang tenteram tanpa emosi.  Hasilnya ialah kata sepakat yang
mencerminkan  sikap  toleransi   dan   kesederhanaan    kita
semua.  Keupayaan    Barisan  Nasional  untuk  menyelesaikan
sesuatu  isu  tanpa  berlagak sebagai juara di hadapan orang
ramai adalah  salah satu  faktor  yang  menyebabkan  Barisan
Nasional kuat dan    kukuh.  Ahli-ahli Barisan Nasional juga
menaruh  kepercayaan  penuh  bahawa  kata  sepakat pemimpin-
pemimpin mereka semasa  berunding tidak  akan membelakangkan
perjuangan parti mereka.   Oleh  itu mereka berdiri teguh di
belakang  sebarang  keputusan  yang  dibuat  oleh   pemimpin
mereka.
5.   Tetapi, akhir-akhir ini  keadaan  sudah  agak  berubah.
Pemimpin-pemimpin nampaknya suka berlagak sebagai hero untuk
mendapat sokongan ahli dan sekumpulan orang bagi diri mereka
sendiri      tanpa      mengambil-kira     kesan    terhadap
Barisan Nasional, bahkan negara.    Dalam  negara  berbilang
kaum,  dalam parti campuran kaum dan fahaman seperti Barisan
Nasional, kita tidak boleh  menjadi  hero  kaum  kita  tanpa
menjejaskan  imej  kita sebagai pemimpin semua rakyat.  Kita
tidak dikehendaki  membelakangkan  terus  semua  kepentingan
kaum  dan  parti  kita  demi kepentingan kaum dan parti lain
dalam  Barisan  Nasional.    Sementara  kita  patut  menjaga
kepentingan  kaum  kita,  janganlah  kita  mudah tersinggung
dengan perkara titik-bengek atau  remeh-temeh.    Jika  kita
ingin  perkara  kecil  ini diketengahkan, memang ada saluran
untuk kita berbuat demikian  dalam  Barisan  Nasional  tanpa
heboh-heboh.  Gunakanlah saluran yang ada ini.
6.  Dalam   pada   itu   pihak   yang tidak perlu menghadapi
pengadilan   masyarakat  lima   tahun  sekali hendaklah juga
mengenal prioriti  dalam  sesuatu   perjuangan.    Janganlah
kerana  kedudukan sendiri tidak boleh digugat, maka tidak di
ambilkira    masalah    orang   yang  terpaksa    menghadapi
pengadilan rakyat lima tahun sekali.  Satu daripada sebabnya
kita gagal  mengimbangkan kedudukan antara kaum ialah kerana
kita begitu asyik dengan simbolisma yang tidak ada substance
atau  isi.    Dengan menghabiskan segala  tenaga  dan   masa
memperjuangkan   simbol-simbol   yang  kita  ciptakan,  maka
perjuangan  yang sebenar tidak lagi mendapat perhatian.
7.  Jika   kita  mengkaji   sejarah   Perikatan  dan Barisan
Nasional,  kita  akan tahu bahawa kita telah dapat mengatasi
semua pertelingkahan  antara  parti  atau  kaum  yang  telah
muncul sejak sebelum merdeka  lagi.  Rusuhan kaum pada tahun
1969  pun dapat diselesaikan dengan baik. Justeru itu,  kita
harus  yakin   bahawa  sebarang  masalah  antara  kita dalam
Barisan  Nasional  atau  antara  kaum di Malaysia dapat kita
selesaikan akhirnya.   Yang diperlukan ialah  kesabaran  dan
penggunaan cara-cara yang tidak  menambahkan  lagi kerumitan
kepada  masalah  yang  dihadapi.  Semua pihak haruslah sedar
akan perkara ini  dan berusaha  supaya penyelesaian sebarang
masalah menjadi lebih mudah. Disamping itu, kita harus ingat
bahawa penyelesaian yang terbaik  ialah  satu   penyelesaian
yang tidak memenuhi sepenuhnya tuntutan mana-mana pihak yang
terlibat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Perbandingan  antara dahulu dengan sekarang tidak boleh
dibuat dengan sewenang-wenangnya.   Dakwaan bahawa  semuanya
baik  dahulu dan semuanya tidak baik sekarang tidak berasas.
Perkauman yang ketara  juga  wujud  dahulu.    Sebab  itulah
berlaku  Peristiwa  13  Mei.   Yang berbeza ialah kita lebih
liberal  sekarang  dan  ramai  yang   mengambil   kesempatan
daripada    kebebasan    yang    diberi    untuk   menyentuh
perkara-perkara sensitif.  Perlembagaan juga  telah  dicabul
berkali-kali tanpa tindakan oleh Kerajaan.
9.  Kerajaan  sanggup  meneruskan  dasar liberal ini  tetapi
Kerajaan  bertanggungjawab  menentukan  bahawa   liberalisma
tidak disalahtafsir dan disalahgunakan.  Liberalisma   bukan
bermakna lesen atau permit untuk membuat apa sahaja sehingga
ketenteraman negara terancam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Ada pendapat yang berkata bahawa Kerajaan sekarang  ini
lemah  dan boleh dipermainkan.  Tetapi, jikalau ketenteraman
negara terancam, maka keutamaan diberikan  kepada  pemulihan
ketenteraman dan bukan kepada dasar liberal Kerajaan.
11. Jika  rakyat   menghargai  liberalisma,   rakyat   mesti
pandai memelihara  kebebasan  yang  diberi.    Untuk  tujuan
ini,  undang-undang  tidak berkesan.   Ramai daripada rakyat
sudah bijak dan pandai mengelak daripada  tuduhan  mencabuli
undang-undang.  Lebih buruk lagi, ramai daripada rakyat yang
sudah   pandai   menggunakan  undang-undang  untuk  mengelak
daripada tindakan undang-undang.   Ada orang  yang  menuntut
"Rule  of  Law".    Tetapi  orang yang sama, atau jenis yang
sama, yang  menidakkan  "Rule  of  Law"  melalui  kepintaran
mereka  memperalatkan  undang-undang  --  termasuk  apa yang
dikenal sebagai "British Common Law".   Saya khuatir  aliran
ini   akan   membawa   discredit   kepada   profession   dan
institusi-institusi    tertentu.    Jika    ini     berlaku,
akibatnya  buruk  sekali kepada semua pihak, termasuk mereka
yang begitu pintar menyalahgunakan liberalisma tadi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Satu daripada tugas utama Kerajaan di waktu  ini  ialah
pemulihan  dan pembangunan ekonomi.  Untuk mencapai matlamat
ini, kita perlukan kestabilan politik.  Memandang pentingnya
kestabilan  politik  untuk  ekonomi   dan   minat   Kerajaan
memulihkan   ekonomi,  nampaknya  ada  setengah  pihak  yang
sengaja cuba mengambil kesempatan dengan mencabar  Kerajaan.
Mereka  ini  lupa  bahawa  sungguhpun bermacam-macam masalah
menyerang negara pada tahun  1986,  Barisan  Nasional  masih
juga dapat  mengekalkan pemerintahannya dengan kelebihan dua
pertiga.
13.  Barisan Nasional tidak begitu mudah  ditewaskan  dengan
taktik  memperkecilkan suara ramai.  Rakyat negara ini tidak
akan rela demokrasi dihapus dan digantikan dengan oligarchy.
Tugas Barisan Nasional dan Kerajaan Barisan  Nasional  ialah
melindungi   demokrasi.      Parti-parti   komponen  Barisan
Nasional,  termasuk  MIC,   mestilah   berjuang   memelihara
demokrasi.     Kita  mesti  tentukan  kekuatan  dalam  parti
masing-masing dan kita jalinkan kerjasama antara parti-parti
komponen.  Dengan itu, segala usaha oleh 'the destabilizers'
akan   dapat   dipatahkan   dan  kestabilan   politik  serta
pembangunan ekonomi dapat diteruskan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Parti kita, Barisan Nasional sangat istimewa.  Beberapa
negara  merasa  kagum dengan keistimewaan dan kebolehan kita
bekerjasama untuk mentadbirkan negara ini.  Pengalaman  kita
ini  sangat  unik.    Janganlah  kita  benarkan  suara-suara
sumbang  dalam   masyarakat   kita   cuba   menghalang   dan
mengubahkan  haluan  yang  kita telah setujui bersama.  Kita
mesti kukuhkan lagi perpaduan dan persefahaman  sesama  kita
dalam  menentang  mereka  yang mempunyai kepentingan politik
yang sempit.
Tuan-tuan  dan  puan-puan sekalian,
15.  Sekali  lagi  saya  mengucapkan terima kasih kepada MIC
kerana menjemput saya ke Perhimpunan  ini.    Saya  berharap
Perhimpunan  ini  akan  menentukan dengan bijaksana dan adil
mereka yang akan memenuhi jawatan-jawatan  yang  ditandingi.
Saya   juga   berharap   Perhimpunan   MIC  ini  akan  dapat
mengukuhkan lagi MIC dan Barisan Nasional.   Dengan  harapan
ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpuan Agung MIC
ini.

 

 



 
Google