Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 29/08/87 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM DAN PELANCARAN BUKU DAFTAR HARI MERDEKA 1986 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Seri Sanusi Junid, Pengerusi Jawatankuasa Pusat Perayaan Hari Kebangsaan; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya mengucapkan terima kasih kerana telah diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata pada Malam Pelancaran Buku Daftar Hari Merdeka 1986 ini. 2. Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Pusat Perayaan Hari Kebangsaan dan Jawatankuasa Buku Daftar Hari Merdeka yang telah berjaya menerbitkan buku ini buat kali keduanya. Saya yakin buku ini penting dari segi nilai sejarah. Ia dapat dijadikan bahan rujukan yang amat berguna kepada generasi muda untuk memahami aspek sejarah, ekonomi, sosial dan kebudayaan penduduk negara ini. Bagi para pelancong pula, ia dapat memberi gambaran sepintas lalu tentang suasana dan cara kehidupan di negara ini. Saya berharap buku ini, yang merakamkan peristiwa-peristiwa sejak negara ini mula mencapai kemerdekaan dan rakaman-rakaman sambutan Perayaan Hari Kebangsaan pada tahun-tahun yang lepas, akan menarik minat kita semua, terutama anak-anak muda supaya semangat kemerdekaan negara sentiasa subur. 3. Buku ini juga merekodkan nama-nama beberapa buah syarikat yang telah berjaya di dalam beberapa aspek pertandingan. Ini adalah merupakan pengiktirafan Kerajaan Malaysia kepada sektor swasta di atas sumbangan mereka di dalam perkembangan dan kemajuan negara. Penyertaan sektor swasta ini adalah selaras dengan konsep Persyarikatan Malaysia iaitu bertujuan mewujudkan satu kerjasama yang erat, bermakna dan berkesan di antara pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam menjayakan pembangunan negara yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Ianya juga menggambarkan semangat tinggi di kalangan semua peringkat rakyat negara ini dalam menegakkan maruah bangsa dan negara kita yang bertuah ini. 4. Di upacara sambutan tahun lalu, saya perhatikan bahawa sambutan yang diberikan oleh pihak swasta dalam pertandingan yang telah diadakan amatlah menggalakkan meskipun ketika itu keadaan ekonomi negara kurang memuaskan. Pada masa sekarang keadaan ekonomi negara telah beransur pulih dan adalah diharapkan pertandingan seperti ini pada masa- masa akan datang lebih menggalakkan lagi. Saya mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat yang telah berjaya di dalam pertandingan yang telah dijalankan. Tuan-tuan dan puan-puan, 5. Setiap 31 Ogos kita menyambut Hari Kebangsaan. Kita merayakan Hari Kebangsaan pada setiap tahun bukanlah kerana kita terpaksa merayakannya, tetapi ianya adalah salah satu cara untuk mengingatkan kita akan penjajahan negara dan bangsa kita selama kira-kira 400 tahun. Semangat dan keberanian para pejuang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Semangat perjuangan mereka seharusnya terus hidup menyala dalam jiwa kita dan dalam jiwa generasi yang akan datang. Kepada kita, semangat itu menjadi azimat dalam usaha kita mengisi dan mencorakkan kemerdekaan ke arah yang kita cita-citakan. Justeru itu marilah kita memupuk semangat memperjuangkan maruah bangsa, negara dan agama. 6. Salah satu cara untuk kita menebalkan semangat perjuangan ini ialah memperingati jasa-jasa para pemimpin yang telah berjuang dan berusaha gigih bagi memperjuangkan kemerdekaan negara daripada tangan penjajahan. Para pejuang kita itu bukan sahaja mereka yang berjuang selepas Perang Dunia Kedua, tetapi juga mereka yang menentang penjajahan berpuluh-puluh tahun sebelumnya, seperti Dato' Bahaman, Datuk Naning, Datuk Janggut, Rosli Dobi dan Mat Salleh. 7. Tugas mereka dahulu telah selesai dan pada hari ini kita merasa bersyukur dan terhutang budi atas perjuangan mereka yang telah membolehkan kita mengecapi nikmat hidup di dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Tanggungjawab dan perjuangan kita pada hari ini merupakan penerusan daripada apa yang telah diperjuangkan dahulu iaitu memenuhi cita-cita rakyat untuk mencorakkan negara ini mengikut dasar-dasar yang telah ditentukan, dan mengekalkan kemerdekaan dan kemakmuran negara ini buat selama-lamanya, serta mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi yang ada sekarang. 8. Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang sukar dilaksanakan sekiranya kita tidak cukup persediaan untuk menghadapi ujian dan cabaran yang mesti dihadapi atau tidak sanggup berkorban untuk kepentingan negara ini. Kejayaan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang tidak pernah patah semangat walaupun dalam keadaan serba kekurangan seharusnya menjadi teladan kepada kita khususnya anak-anak muda yang akan mewarisi kepimpinan negara kita kelak. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Marilah kita menyambut Hari Kebangsaan 1987 ini dengan penuh kesedaran dan bersemangat wira untuk kemajuan negara. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran 'Buku Daftar Hari Merdeka 1986' ini. Wabillahitaufik walhidayah, wassalamu'alaikum warahmatullhi wabarakatuh.