home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KL Tarikh/Date : 19/09/87 Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA Yang Berbahagia Encik Mazlan Nordin, Pengerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya ke majlis ini. Saya berasa gembira kerana dapat sekali lagi hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan di Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawanan ini. 2. Saya mengambil kesempatan ini untuk terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang yang telah berjaya di dalam kategori masing-masing. Kepada yang masih belum lagi berjaya, teruslah berusaha. 3. Pertandingan-pertandingan yang diadakan ini, saya percaya, akan menyumbang ke arah meninggikan lagi tahap kemahiran para wartawan kita dan ini akan secara langsung berperanan dalam meningkatkan lagi profesyen kewartawanan di negara ini. Tuan-tuan dan puan-puan juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan meluaskan pengetahuan umum kepada para pembaca. Laporan-laporan dalam akhbar-akhbar yang dibaca pada setiap hari oleh begitu ramai daripada ahli masyarakat kita sudah tentu, sedikit sebanyak, mempunyai kesan ke atas pemikiran dan pendapat mereka. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 4. Pihak media massa dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan kerjasama yang boleh kita sama-sama banggakan. Kerjasama ini harus kita pupuk dan pelihara supaya ianya terus erat. Kita sedar bahawa ada pihak-pihak tertentu yang kurang senang dengan kerjasama kita ini dan akan cuba melemahkan hubungan rapat kita. Kita hendaklah berhati-hati. 5. Adanya kerjasama ini tidak bermakna bahawa pihak media massa tidak harus dan tidak boleh membuat kritikan atau teguran terhadap Kerajaan. Kerajaan sebenarnya menggalakkan kritikan-kritikan dan ini kerap dibuat seperti yang dapat kita baca dalam akhbar-akhbar dan penerbitan-penerbitan. Tetapi kritikan-kritikan yang dibuat biarlah yang berasas, membina, jujur dan dengan niat baik untuk meningkatkan lagi persefahaman dan perpaduan. 6. Media massa juga bertanggungjawab memelihara ketenteraman dan harmoni yang terdapat di negara kita. Peranan ini adalah berat dan media massa di negara ini telah memikul dan melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi perpaduan dan kestabilan supaya pembangunan sosio-ekonomi negara ini terus berkembang. Segala usaha yang boleh diberikan oleh pihak media massa dan juga lain-lain pihak bagi mencapai objektif ini bukan sahaja dialu-alukan tetapi juga merupakan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Media massa mestilah bersama-sama bertindak ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera. Dalam hal ini adalah penting bagi pihak media massa menentukan agar laporan-laporan yang dibuat tidak mendatangkan kesan negatif. Jika persefahaman dan perpaduan tergugat, maka ketenteraman dan keselamatan negara akan terancam. Mengawal dan memulihkan keadaan memerlukan banyak masa dan tenaga selain daripada kesulitan-kesulitan yang timbul. 8. Tidaklah benar bahawa untuk membuktikan kredibiliti, pihak media massa harus bersikap konfrantasi. Hubungan yang rapat dan mesra antara Kerajaan dengan media massa tidak semestinya akan menghilangkan kredibiliti media massa. Sepertimana kita sedia maklum kefahaman yang wujud di antara Kerajaan dengan media massa di negara kita ini merupakan satu kerjasama positif yang telah memberi manfaat kepada pembangunan dan kemajuan negara kita. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan Kerajaan kepada pihak media massa di atas sumbangannya kepada usaha-usaha Kerajaan dalam membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat. Walaupun terdapat sebilangan kecil di kalangan media massa yang mempunyai sikap yang berlainan, tetapi pada keseluruhannya media massa di negara ini telah membuktikan keikhlasan dan kewibawaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 10. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada yang menang hadiah-hadiah kewartawanan pada kali ini. Saya juga mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis yang mesra ini. Terima kasih. |