home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	24/09/87 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN BUKU SASTERAWAN 
			NEGARA USMAN AWANG 




 Yang Berbahagia Datuk Hassan Ahmad,
     Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka;
Saudara Usman Awang;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
    Saya   berbangga   kerana   diberi  penghormatan  untuk
melancarkan dua buah buku karya Sasterawan  Negara,  Saudara
Usman Awang pada pagi ini.  Saya percaya kedua-dua buah buku
ini  akan  menjadi  khazanah  yang  sangat berharga di dalam
kesusasteraan kita.
2.   Saudara Usman Awang adalah di antara  sebilangan  kecil
penulis  Melayu yang dibaca dengan meluas oleh pelbagai kaum
di negara  ini.    Beliau  juga  adalah  di  antara  penulis
tempatan  yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan
karya-karyanya   telah   banyak   diterjemahkan   ke   dalam
bahasa-bahasa  lain.    Ini membuktikan bahawa Saudara Usman
Awang telah berjaya melampaui batas bangsa dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Izinkan  saya  pada  mulanya  untuk  menyentuh  sedikit
mengenai   sastera  dan  sasterawan  secara  umum.    Memang
kesusasteraan milik masyarakat dunia.    Pengucapan  sastera
tidak  mengenal ras atau warna kulit.  Kerana itulah sastera
dapat dihayati oleh setiap  orang.    Karya  penulis-penulis
Barat  misalnya  dibaca oleh kita, sasterawan India dikenali
oleh  peminat  sastera   di   negara   ini,   seperti   juga
novelis-novelis  Afrika dan Amerika Latin dengan mudah dapat
diterima oleh pembaca di sini.
4.   Kita boleh bertanya dan soalan ini telah diulang beribu
kali dan telah menimbulkan  pelbagai      tanggapan      dan
reaksi.   Apakah agaknya   matlamat  sastera?     Memberikan
kepu  asan? Berkongsi  pengalaman?   Menyedarkan masyarakat?
Memberikan keinsafan? Atau hanya sebagai bahan untuk mengisi
masa lapang?   Soalan ini sampai bilapun tidak akan terjawab
sepenuhnya.  Setiap orang  mempunyai sikap    dan  pemikiran
yang  tersendiri.  Setiap sasterawan mempunyai sebab mengapa
dia menulis.
5.   Tetapi  satu perkara adalah jelas, bahawa sastera tidak
akan  bermakna  sekiranya  sasterawannya   tidak   mempunyai
sesuatu komitmen kepada diri atau pembacanya.  Sastera tidak
boleh  terhasil  dari satu ruang kosong.  Sastera tidak akan
mendapat perhatian masyarakat sekiranya  ia  tidak  bertolak
dari   suara   atau   aspirasi   masyarakat  itu.    Sastera
yang boleh diterima umum terhasil daripada tindak-balas yang
langsung di antara masyarakat  dengan  penciptanya.    Karya
yang  paling  eksperimental  sekalipun  sebenarnya merupakan
reaksi, baik keresahan atau kekecewaan, seseorang sasterawan
terhadap masyarakatnya.  Inilah yang kita harapkan  daripada
para  sasterawan  kita iaitu karya-karya dihasilkan daripada
suara dan aspirasi rakyat.
6.   Di samping itu sasterawan juga harus menyedari  realiti
politik  dan  sosial  kita.    Sastera  juga  lahir  sebagai
percikan  daripada  tuntutan  atau  keperluan  setempat  dan
diwarnakan  pula  dengan  ciri  atau  sifat yang khusus bagi
tempat di mana hasil karya itu lahir.   Walaupun  nasionalis
kita   menggunakan  sastera untuk memperjuangkan kemerdekaan
pada satu ketika dahulu,  seperti    juga pejuang kebangsaan
menggunakan sastera di negara-negara  lain   untuk  mencapai
tujuan yang sama,  namun  terdapat perbezaan yang tersendiri
daripada  segi  keperluan   dan  pendekatan  sesuatu  daerah
atau wilayah itu.   Biar apapun    cita-cita sasterawan, dia
tidak   boleh semata-mata  menolak masyarakatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Saudara  Usman Awang dikatakan telah mengubah cara kita
melihat hasil sastera lama.   Sajak-sajaknya berbau  tradisi
tetapi menampakkan suara ketegasan dan keberanian yang cukup
istimewa.    Kalau  Saudara Usman Awang   dikatakan  seorang
penyair romantis,mungkin pada cara berbahasa atau kelembutan
gubahannya, tetapi di sebalik kelembutan itu terdapat  suara
keresahan  dan kritikan yang tajam.
8.   Kita harus sedar yang lama itu  tidak  semestinya  kuno
atau  tidak  penting.    Sebaliknya  banyak  yang boleh kita
pelajari dari tradisi kebudayaan, kesusasteraan dan kesenian
yang silam.  Jikalau kita menyingkap kekuatan dan daya cipta
orang-orang yang terdahulu daripada kita dan menyesuaikannya
dengan keperluan atau kehendak semasa,  kita  akan  mendapat
nilai-nilai  yang  ideal di dalam membina tradisi masyarakat
semasa.
9.   Tidak semua yang lama itu pula baik dan boleh  diikuti.
Ada  nilai-nilai  yang  perlu dikikis atau dilupakan.   Maka
dalam     usaha      membina         satu         masyarakat
Malaysia  yang  bermaruah  dan  dihormati,  dan  dapat diuji
ketahanannya, kita harus bersedia untuk  menimba  yang  baik
dari  yang silam dan mengenepikan pula nilai-nilai yang akan
merugikan masyarakat.
10.  Kita harus berani menyatakan sesuatu  nilai  yang  lama
itu  salah  atau  tidak  secocok  dengan keperluan sekarang.
Kita  juga  harus  berani  menerima  hakikat  bahawa   dalam
membentuk  satu  masyarakat  yang  baru  dan progresif, kita
perlu menolak mana-mana nilai yang kita rasa merugikan  atau
boleh  menghalang  cita-cita  masyarakat semasa.   Kita juga
harus berani memberi tafsiran baru terhadap nilai-nilai lama
itu   seperti  yang  telah  dilakukan  dengan   jayanya oleh
Saudara Usman Awang di dalam beberapa buah karyanya.
11.  Sasterawan tidak  harus  menggunakan  kertas  dan  pena
untuk  menyuarakan  sikap  atau  pemikirannya sahaja, tetapi
seharusnya sentiasa peka kepada perubahan dan  kecenderungan
semasa  dan secara aktif terlibat di dalam kegiatan-kegiatan
masyarakat.  Semenjak sekian lama, Saudara Usman Awang tidak
hanya bergiat sebagai sasterawan tetapi turun ke  gelanggang
memperjuangkan  nasib rakyat sebagai wartawan, budayawan dan
sebagai pembela sosial.
Tuan-tuan  dan  puan-puan,
12.  Saya  ingin  mengambil  kesempatan  ini untuk menyentuh
sedikit mengenai amalan membaca  di  negara  ini.    Mungkin
ianya   agak   terpesong   sedikit   daripada   sastera  dan
sasterawan, tetapi saya rasa ini adalah  satu  perkara  yang
kita sama-sama harus fikirkan.
13.  Negara-negara  maju  mempunyai peratusan yang tinggi di
kalangan rakyat mereka yang membaca  akhbar,  majalah,  buku
pengetahuan,  buku cerita dan sebagainya.  Di Malaysia hasil
daripada usaha-usaha Kerajaan untuk menggalakkan minat  suka
membaca,  kegemaran  membaca  semakin lama semakin meningkat
dan dengan itu ilmu pengetahuan juga turut meningkat.
14. Walau bagaimanapun ramai akan mengakui bahawa kita belum
lagi berpuas hati dengan  perkembangan  minat  suka  membaca
ini. Mungkin di  bandar-bandar    kita,    telah    mencapai
sedikit-sebanyak kemajuan tetapi di bandar-bandar pun banyak
lagi  yang  harus  kita lakukan untuk menyemaikan minat ini.
Jikalau kita tidak begitu berpuas hati  dengan  kemajuan  di
bandar-bandar,  apatah  lagi perasaan kita dengan keadaan di
luar bandar.  Tabiat suka membaca ini kurang  berkembang  di
desa  mungkin  kerana  faktor  ekonomi  dan  mungkin  kerana
kurangnya masa lapang.   Walaupun terdapat  berbagai  faktor
yang  menghalang  meningkatnya  kegemaran  membaca  di  luar
bandar, kita harus berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan
supaya kedudukan sekarang ini akan menjadi bertambah   baik.
Minat  suka  membaca  ini mestilah ditanamkan daripada kecil
lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Saya difahamkan dua buah buku yang dilancarkan hari ini
mengandungi karya-karya Saudara Usman Awang yang terbaik dan
setengah-setengahnya   telah   menjadi   lagenda   sepanjang
penglibatannya dalam bidang kesusasteraan.   Kepada  Saudara
Usman  Awang, kumpulan karya yang dilancarkan hari ini tidak
seharusnya bermakna bahawa beliau tidak boleh berkarya lagi,
atau telah mencapai  kemuncak  daya-ciptanya.    Sebaliknya,
kita masih berharap akan karya-karya daripada beliau.
16. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan kedua-dua
buah buku karya Sasterawan Negara, Saudara Usman Awang.
     Terima kasih.

 



 
Google