Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	28/09/87 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR ANTARABANGSA 
			MENGENAI PERPADUAN UMMAH 




 Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Noor,
     Menteri Di Jabatan Perdana Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu  Wata'ala
kerana  dengan  limpah  kurnia  dan  rahmatNya  dapat   kita
berkumpul  di  Seminar yang bermakna ini untuk mencari jalan
ke arah perpaduan ummah.  Terlebih dahulu  saya  mengucapkan
selamat  datang ke Malaysia kepada semua peserta luar negeri
yang menghadiri Seminar ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Soal perpaduan ummah merupakan  soal  pokok  yang  amat
penting  sekali  bagi  masa  hadapan dan survival masyarakat
Islam.  Ianya juga merupakan ikatan dan nadi kekuatan ummah.
Ada segolongan orang yang berfikir dan menganggapkan  bahawa
soal  perpaduan  ini tidak begitu penting.   Pada  tanggapan
mereka,  soal     perpecahan ummah adalah lumrah alam.   Ada
setengahnya pula yang sengaja  menimbulkan isu-isu tertentu,
walaupun mereka  tahu  ia  akan  membawa  kepada  perpecahan
umat. Yang    diutamakan  oleh  mereka  ini ialah populariti
dan sanjungan oleh satu-satu golongan.  Tindakan mereka  itu
amat jelas terkeluar dan lari daripada prinsip-prinsip pokok
dan ajaran Islam   yang   menyuruh   kita   bersatupadu  dan
melarang berpecah-belah.
3.   Al-Quran sentiasa  menyuruh  orang-orang  yang  beriman
supaya   bersatupadu  dan  bersaudara  serta  melarang  dari
bermusuh-musuhan dan berpecah-belah.   Gesaan  Al-Quran  ini
adalah kerana  kesan  dan  akibat  dari  perpecahan itu akan
menjadikan  kita   umat yang lemah dan  mudah  digugat serta
diperhinakan oleh orang lain.
4.   Sejarah    telah   membuktikan   kepada   kita   bahawa
kecemerlangan yang telah dicapai oleh umat  Islam  di  zaman
Baginda  Rasullullah  S.A.W. dahulu adalah disebabkan mereka
bersatu dan tidak  berpecah-belah.    Perpaduan  umat  Islam
ketika  itu jelas kelihatan melalui sambutan dan pengorbanan
yang telah diberikan oleh golongan Ansar di  Madinah  kepada
orang-orang Muhajirin yang berhijrah ke kota itu.  Perpaduan
yang  berteraskan  pengorbanan,  takwa  dan iman inilah yang
melahirkan suatu  umat  yang  kuat  dan  teguh,  yang  dapat
membangun    dan    memperluaskan    agama     dan    negara
Islam  ketika  itu, serta dapat memberi sumbangan yang besar
kepada tamadun manusia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Ada juga setengah-setengah  orang  yang  ingin  membuat
sesuatu  perubahan.  Pada pendapat mereka, sesuatu yang baik
itu   hendaklah   dikejar,   walaupun   dengan   menggunakan
pendekatan-pendekatan    yang    keterlaluan    yang   jelas
menyeleweng dari ajaran Islam.  Apabila pandangan mereka itu
tidak diendahkan, lantas mereka menuduh  bahawa  pihak  yang
berkenaan lemah dan banyak bertolak ansur.
6.   Kita golongan orang-orang yang berfikir hendaklah sedar
bahawa  jika  kita  mahu orang menerima sesuatu perkara yang
baik yang kita  utarakan,  maka  kita  hendaklah  memikirkan
bagaimanakah  strategi,  cara dan pendekatan yang harus kita
lakukan supaya perkara itu dapat diterima dengan baik.  Jika
sekiranya kita tidak menggunakan pendekatan yang baik,  maka
sudah  pasti  apa  yang kita hendak perkenalkan kepada orang
akan ditolak atau ditentang.
7.   Laungan  yang  penuh  bersemangat  yang  membelakangkan
tatasusila  dan  prinsip-prinsip akhlak Islamiyah tidak akan
membuahkan sesuatu yang baik.  Sebaliknya usaha itu  sendiri
akan      membawa       kesan      yang       buruk      dan
membawa   kepada   tentangan   yang  hebat  dan  perpecahan.
Tentangan ini biasanya meningkatkan lagi  semangat  sehingga
ke  peringkat  keterlaluan.    Kerana keterlaluan ini, mesej
yang asal akan dilupakan dan permusuhan  antara  pihak  yang
terlibat  akan  berlaku.   Dengan perkataan lain, perpecahan
akan mengganti perpaduan yang wujud dahulu.  Jelaslah bahawa
membelakangkan   tatasusila   dan   prinsip-prinsip   akhlak
Islamiah  dalam  usaha mengembangkan ajaran Islam tidak akan
menghasilkan  matlamat  yang  ditujui,   tetapi   sebaliknya
menghalang perpaduan ummah.
8.   Dengan  hal  yang  demikian Islam amat menentang segala
bentuk  ekstremism,  sama  ada  ia   berbentuk   percakapan,
tindakan, pendekatan dan  sebagainya.    Ini  adalah  kerana
ianya  bukan sahaja   mengancam  keharmonian,  keamanan  dan
kedamaian sesebuah  masyarakat,  bahkan  juga akan mengancam
keselamatan  negara.   Penentangan  Islam terhadap sikap ini
bukan sahaja  tertakluk  kepada  satu  bangsa ataupun agama,
bahkan juga kepada semua bangsa dan agama.
9.   Dengan sebab itu Islam menganjurkan kepada kita  supaya
mengamalkan  prinsip kesederhanaan dan bertindak dengan cara
hikmah, sama ada dari segi pendekatan,  strategi,  cara  dan
sebagainya.    Ini  tepat  dengan apa yang telah difirmankan
oleh  Allah  di  dalam  Surah  Al-Baqarah,  ayat  143   yang
bermaksud:     "Kami      jadikan     kamu     wahai    umat
Muhammad  satu  umat  pilihan  lagi  adil,  iaitu suatu umat
pertengahan (yang sederhana) supaya kamu layak menjadi orang
yang memberi keterangan kepada umat manusia".
10.  Maksud  ayat  tadi  amat  jelas  kepada   kita   bahawa
kesederhanaan  adalah  merupakan suatu prinsip yang dituntut
di dalam Islam.  Ini adalah kerana dari sikap  dan  tindakan
yang sederhanalah akan lahir keadilan.  Dari keadilan inilah
akan  lahir  sebuah  masyarakat yang harmoni dan aman damai.
Bentuk dan sikap kesederhanaan inilah menjadi kayu pengukur,
sama ada kita layak ataupun tidak, untuk menjadi orang  yang
boleh memberi keterangan dan keadilan kepada orang lain.
11.  Prinsip  yang  telah  dianjurkan  ini  meletakkan Islam
sebagai satu agama yang sesuai di setiap  tempat,  masa  dan
zaman.    Islam  menentang ekstremism dan pelampau dan Islam
menganjurkan  kepada  umatnya   supaya   mengamalkan   sifat
kesederhanaan dan mengambilkira suasana, keadaan masyarakat,
serta  'uruf  masyarakat  setempat,  dalam apa saja tindakan
yang akan kita laksanakan atau satu-satu mesej  yang  hendak
kita  perkenalkan.  Setengah orang menganggap bahawa suasana
dan 'uruf masyarakat itu bukan merupakan kriteria yang pent-
ing untuk diambil kira di dalam melaksanakan  suatu  prinsip
atau   menggubal   sesuatu  dasar  hukum.     Sejarah  telah
membuktikan bahawa Khalifah Saidina Umar  telah    mengambil
'uruf  masyarakat  sebagai panduan dalam  menentukan sesuatu
dasar  negara  di zaman  pemerintahannya.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
12.  Prinsip 'uruf masyarakat, prinsip menjaga  kemuslihatan
umum  dan  lain-lain  lagi  prinsip  yang seumpamanya adalah
merupakan  sumber   hukum   yang   diiktiraf   oleh   Islam.
Prinsip-prinsip  tersebut telah disusun dengan begitu teliti
oleh ulamak-ulamak yang  muktabar  untuk  dijadikan  panduan
kepada kita dalam mengatur strategi tindakan dan pelaksanaan
sesuatu  rancangan,  supaya tindakan-tindakan yang kita akan
buat itu tidak lari dari landasan yang dituntut oleh Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Sebenarnya asas semua ilmu di dunia moden ini diterokai
oleh ulamak-ulamak Islam.   Sebelum datangnya  Islam,  orang
Barat  menggunakan  sistem  angka Roman yang sukar digunakan
dalam  ilmu  hisab.    Tetapi  orang  Islam  mencipta  sifir
(cypher) kiraan nought atau kosong sampai ke kiraan sembilan
yang  boleh disusun sehingga keangka yang infinit iaitu yang
tidak ada penghujung.  Dari sistem angka  ini  telah  terbit
ilmu  seperti  al-gebra,  logarithm  (Al-logarizmi dari nama
penciptanya yang lahir di Khawarizmi) yang mana  sistem  ini
membolehkan  ahli  hisab  dan  sains moden membuat perkiraan
untuk perjalanan ke angkasa lepas.
14.  Di antara ulamak yang terkenal dalam bidang hisab ialah
Al-Khawarizmi, Ulugh Beg,  dan  Al-Bukhari  (penyusun  kitab
Sunnah  Nabi).  Ulamak dahulu arif bukan sahaja dalam bidang
ibadah dan hukum tetapi juga dalam bidang sains  dan  hisab.
Dengan  itu  maka  umat  Islam  di  zaman  mereka  kuat  dan
terkenal.  Di zaman mereka juga, Islam berjaya berkembang ke
Asia Tengah termasuk bahagian-bahagian Selatan  Rusia,  Asia
Minor (Turki) dan Eropah Timur.  Tetapi apabila ulamak Islam
kemudiannya menghadkan tuntutan ilmu hanya kepada ritual dan
hukum,  maka  bermulalah  kemunduran tamadun Islam.  Sedikit
demi sedikit, ilmu-ilmu  yang  diterokai  oleh  orang  Islam
mengalir ke Barat di mana penyelidikan dilanjutkan.
15.  Sementara  itu  dalam dunia Islam rebutan kuasa berlaku
yang  menyebabkan  negara-negara  Islam   berpecah   menjadi
negara-negara  yang kecil dan lemah.  Namun demikian rebutan
kuasa dan ajaran yang kolot tidak dihentikan.  Negeri-negeri
Islam yang kecil ini jatuh ke tangan musuh Islam, satu  demi
satu.  Tokoh-tokoh di kalangan orang Islam yang bercita-cita
untuk  merebut  pemerintahan  negeri-negeri Islam yang kecil
ini, sanggup  bekerjasama  dengan  musuh-musuh  Islam  untuk
menggulingkan   pemerintah-pemerintah  Islam.    Dengan  itu
semakin lemahlah umat Islam.   Akhirnya, ramai  orang  Islam
kecewa  dengan  pencapaian  Islam  sehingga  mereka  sanggup
menolak agama Islam.   Inilah yang  kita  lihat  di  Selatan
Rusia dan di beberapa buah negara Arab.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.  Satu   perkara   yang  muncul  sekarang  ialah  tuduhan
percubaan orang-orang Kristian mengkristiankan  orang  Islam
di  Malaysia.    Dalam  negara  berbilang kaum dan berbilang
agama ini, selisih faham antara penganut-penganut agama yang
berlainan amatlah merbahaya.   Kita lihat  bagaimana  Lubnan
hancur  kerana  permusuhan  antara  Kristian  dan  Islam, di
Ireland Utara  kerana  permusuhan  di  antara  Katholik  dan
Protestant,  di Punjab India antara orang Sikh dan Hindu, di
India antara orang Hindu dan Islam, di Iran dan Iraq  antara
Shiah  dan  Sunni dan lain-lain lagi.  Oleh kerana bahayanya
perselisihan  antara  penganut   agama  yang berlainan, kita
harus  berhati-hati  apabila  membuat   kenyataan  berkenaan
dengan perkara yang mungkin membawa  kepada  rusuhan  antara
penganut-penganut berbagai agama di Malaysia.
17.  Berhubung dengan dakwaan orang Kristian mengkristiankan
orang Melayu, bukti yang jelas tidak  ada,  selain  daripada
orang  Kristian  yang  memeluk agama Islam kerana berkahwin,
atau  lain-lain  sebab,  yang  kemudiannya  balik  ke  agama
Kristian  kerana  kecewa dengan sesuatu.   Sudah tentu tidak
ada langsung bukti yang 66,000 orang Melayu menjadi Kristian
atau pengganut agama lain atau atheist.  Kita juga tidak ada
bukti yang 2000 orang Islam menjadi Kristian.
18.  Saya berharap dakwaan yang tidak  bertanggungjawab  ini
tidak  dibuat  lagi.   Kita tidak mahu rusuhan di negara ini
antara penganut agama-agama, sedangkan perpaduan antara umat
Islam sendiri tidak  begitu  teguh.    Kita  sudah  berpisah
sesama   kita  dengan  imam  berasingan,  masjid  dan  kubur
berasingan,  mengerjakan  haji   berasingan   dan   sekarang
percubaan  mendirikan  kampung untuk memisahkan antara Islam
dengan Islam.   Jika perselisihan  dengan  agama  lain  pula
berlaku, maka negara kita tidak akan aman lagi.
19.  Sekarang  ini timbul pula soal murtad bagi menggantikan
soal kafir-mengkafir.   Untuk membantu  hujah  bahawa  ramai
orang Islam sudah murtad  dan  murtad  berlaku di  mana-mana
sahaja, sepotong ayat Al-Quran diasingkan dan ditafsir tanpa
mengambil  kira  ajaran  Al-Quran  seluruhnya.   Yang selalu
diketepikan ialah pentingnya hikmah dalam  menurut  perintah
Allah Subhanahu Wataala.  Dalam hal ini terdapat sebuah buku
yang  menggariskan  sepuluh  kategori  yang boleh menjadikan
seseorang   itu   murtad,   tetapi   buku   tersebut   tidak
mengambilkira  kedudukan  dan  keadaan  alam  sekelilingnya.
Orang Islam minority dalam sebuah negara bukan Islam dihukum
murtad kerana terpaksa memilih  orang  bukan  Islam  sebagai
pemimpin.  Sudah ada yang menyoal sama ada orang Islam boleh
tinggal  sebilik  dengan  bukan  Islam, atau duduk dan makan
bersama dengan bukan Islam.
20.  Jika  sepuluh  kategori  ini  dianggap  murtad,    maka
benarlah  ramai  orang  Islam  murtad,  terutama   di negara
berbilang kaum seperti Malaysia.    Dengan keraguan mengenai
ke  Islaman  sebegitu  ramai  orang    Islam,  maka  semakin
sukarlah  perpaduan  di kalangan umat Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21.  Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu Wata'ala semoga memberi taufik dan hidayah  kepada
kita,  dalam usaha untuk memupuk perpaduan ummah supaya kita
dapat merancang  dan  melaksanakan  tugas-tugas  yang  telah
dipertanggungjawabkan   kepada  kita,  demi  untuk  mencapai
sebuah masyarakat yang adil dan harmoni yang  diredhai  oleh
Allah.
22.  Dengan  kata-kata  itu  dan  dengan  lafaz 'Bismillahir
rahmanir rahim', saya dengan sukacitanya merasmikan  Seminar
Antarabangsa Mengenai Perpaduan Ummah ini.
Wabillahitaufik walhidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 
 



 
Google