home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN TUN DR. ISMAIL, PUSAT 
			DAGANGAN DUNIA PUTRA, KL 
Tarikh/Date 	:	06/11/87 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR KEBANGSAAN 
			KEBAJIKAN MASYARAKAT 




 Assamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan selamat pagi,
Yang Berhormat En. Mustaffa Mohamad,
     Menteri Kebajikan Masyarakat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Penganjur kerana menjemput saya  untuk  menyampaikan  ucapan
dan   seterusnya  merasmikan  Seminar  Kebangsaan  Kebajikan
Masyarakat pada pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Saya difahamkan bahawa salah  satu  perkara  yang  akan
dibincangkan   di   dalam   Seminar   ini   ialah   mengenai
kanak-kanak, orang tua dan  orang  cacat.    Kebajikan  bagi
ketiga-tiga  golongan yang tertentu ini amatlah perlu diberi
perhatian yang khusus, bukan  sahaja  oleh  pihak  Kerajaan,
bahkan  juga  oleh  masyarakat keseluruhannya.   Ketiga-tiga
golongan ini adalah terdiri dari mereka yang
memerlukan bimbingan, sokongan dan bantuan dari Kerajaan dan
masyarakat untuk membantu mereka hidup dalam  kesejahteraan.
Tanpa bantuan dan perhatian oleh masyarakat, ada kemungkinan
masyarakat   akan   menghadapi  masalah  sosial  yang  berat
kemudiannya.
3.   Kita sangat bertuah kerana negara kita telah  membangun
dengan  begitu  pesatnya  dan  membawa kemajuan kepada semua
lapisan masyarakat, sehingga ada yang dapat hidup selesa dan
mewah.    Malangnya  terdapat  juga  masalah  sampingan   di
kalangan    masyarakat    ataupun   individu   yang   kurang
berkemampuan untuk mengikuti arus perubahan ini.
4.  Norma dan nilai masyarakat telah turut berubah,  di mana
pada masa ini ramai  yang  terlalu   mengutamakan   kekayaan
kebendaan.  Akibatnya  ialah  segala  nilai-nilai yang mulia
diketepikan  dalam   perbuatan   mengejar  kekayaan sehingga
merosotlah tahap dan piawaian akhlak masyarakat.    Keluarga
yang dahulu menjadi asas dan  benteng  masyarakat,  sekarang
ini sudah  retak.    Ibu-bapa  tidak  lagi dekat dengan anak
mereka dan tidak lagi dapat mendidik dan menguasai gerakgeri
anak  mereka  secara berkesan.   Sudah tentu abang dan kakak
tidak dapat mengawal adik-adik mereka seperti dahulu.
5.   Dengan  lemahnya  institusi  kekeluargaan,  maka   akan
terjejaslah   prestasi      masyarakat     dan      kemajuan
negara.    Kerajaan  memerlukan  rakyat  yang   cergas   dan
berdisiplin   untuk  menjamin  kebahagiaan  dan  pembangunan
negara.   Justeru itu pelbagai  kemudahan  dan  perkhidmatan
telah   disediakan   oleh   Kerajaan  ke  arah  meningkatkan
pencapaian  rakyat.  Tetapi Kerajaan dengan sendirinya tidak
akan dapat mencapai matlamat  yang  mulia  tanpa  penyertaan
secara  langsung  dan  penuh minat oleh keluarga dan anggota
masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6.   Di zaman serba mencabar ini  ibu  bapa  dan  masyarakat
hendaklah    selalu   berwaspada   terhadap   kelakuan   dan
tingkahlaku  anak-anak  mereka.      Seseorang   kanak-kanak
memerlukan  perhatian,   kasih-sayang  serta  bimbingan  dan
pengawasan yang  rapi  dari ibu  bapa  atau  penjaga  mereka
untuk  membolehkan   mereka  membesar  sebagai  seorang yang
berjaya.  Ibu bapa perlulah juga  memberi penekanan terhadap
pendidikan rohaniah kepada   anak-anak mereka, kerana dengan
adanya asas keagamaan  yang   kuat   akan   dapat   membantu
seseorang itu menangkis pengaruh-pengaruh yang kurang sihat.
7.   Masyarakat  perlu  memainkan   peranan   mereka   untuk
membantu,  mengawal  dan  mengambil  berat terhadap perilaku
kanak-kanak dan memberi teguran yang  membina.    Masyarakat
desa  dahulu  di  mana tiap-tiap orang individu saling bantu
membantu di antara  satu  sama  lain  di  dalam  semua  soal
kemasyarakatan, perlu  dihidupkan  semula  dan  dikembangkan
ke semua kawasan perumahan, terutama sekali dibandar-bandar.
Sifat   individualisme  atau   mementingkan   diri   sendiri
tanpa   menghiraukan   jiran   tetangga,   perlulah  dikikis
kerana   kestabilan  sesuatu   masyarakat   itu   bergantung
kepada     keutuhan  ahli-ahlinya.  Melalui usaha badan atau
pertubuhan  sukarela,   saya   menyeru   supaya  usaha-usaha
kemasyarakatan dan perpaduan hendaklah dipupuk di   kalangan
semua ahli masyarakat di negara ini.
8.   Tuan-tuan  dan  puan-puan  hadirin  diharapkan dapatlah
berganding bahu di  antara  satu  sama  lain  tanpa  mengira
keturunan,  bangsa  dan agama, bagi mencurahkan tenaga bakti
dan   memberi    perkhidmatan    kepada    ahli   masyarakat
yang  memerlukannya.    Melalui  kerja-kerja  kebajikan  dan
bantuan yang dihulurkan sama ada berupa wang ringgit, tenaga
atau     kepakaran   akan   mengeratkan   lagi   perhubungan
silaturrahim  dan  juga  semangat  perpaduan  di negara ini.
Sebagai    rakyat    Malaysia    kita     perlulah     hidup
hormat-menghormati   di   antara   satu   sama  lain  kerana
kesejahteraan dan kestabilan negara ini adalah bergantung di
atas keharmonian dan keteguhan rakyat keseluruhannya.
9.   Sumbangan  dan  penyertaan  masyarakat  serta  individu
dalam  aktiviti-aktiviti  kebajikan  amatlah diperlukan oleh
Kerajaan untuk mengatasi dan membendung sesuatu masalah yang
timbul    di  kalangan      masyarakat     kita.     Melalui
Seminar yang  akan  berjalan  selama  tiga  hari  ini,  saya
berharap   semoga   para   peserta   sekalian   akan   dapat
membincangkan  dengan  terperinci  mengenai  masalah-masalah
semasa  dan  cara  bagaimana  untuk  membendung  dan mencari
pendekatan yang sesuai  di  segi  penyelesaiannya,  terutama
sekali  di  dalam  bidang  penglibatan  masyarakat  di dalam
kerja-kerja pencegahan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Tiap-tiap individu atau  seseorang  itu  dilahirkan  ke
dunia   ini   dengan  sesuatu  keistimewaannya.     Walaupun
seseorang  itu   mengalami   sesuatu   kekurangan,   seperti
kecacatan  dan  sebagainya,    namun  ia   masih   mempunyai
sesuatu keupayaan yang boleh digunakan jika  diberi  peluang
dan pengasuhan yang sempurna.  Justeru itu, tiap-tiap tenaga
yang ada di dalam masyarakat kita perlulah digembeling untuk
memberi  sumbangan  dan khidmat terhadap pembangunan negara.
Seseorang itu sama ada ia seorang  kanak-kanak,  orang  tua,
atau  orang  cacat,  mempunyai  sesuatu kebolehan yang boleh
digunakan dan  digembeling  untuk  kepentingan  dirinya  dan
secara  langsung  atau  tidak  langsung kepada   masyarakat.
Sehubungan dengan ini, sangatlah penting  bagi  mereka  ini,
terutama  mereka  yang  tua  dan  yang  cacat, diberi segala
kemudahan dan sokongan untuk membolehkan mereka hidup dengan
lebih bermakna dan tidak tersisih dari masyarakat.
Tuan-tuan  dan Puan-puan,
11.  Rakyat  di  negara  ini sudah terkenal kerana  kebaikan
atau kemurahan hati mereka,  di  mana  ramai  daripada  kita
tidak  teragak-agak  untuk  tampil  ke  hadapan atau memberi
sumbangan, sama ada tenaga atau wang ringgit, untuk membantu
mereka yang ditimpa kemalangan ataupun bencana.  Sifat murah
hati dan suka membantu  atau  menolong  seseorang  di  dalam
kesusahan  adalah  satu  ciri yang baik yang ada di kalangan
masyarakat   kita,   dan   tabiat   ini   sudah   seharusnya
dikembangkan  dan  digembeling  untuk kepentingan masyarakat
yang kurang bernasib baik melalui kerja-kerja  amal  ataupun
kebajikan.    Saya  berharap  semoga  kegiatan dan penubuhan
persatuan   atau   badan   sukarela  di negara   ini   dapat
diperkembangkan  dan  pihak  Kerajaan  sentiasa akan memberi
galakan dan dorongan, ataupun bantuan yang munasabah ke arah
pencapaian matlamat itu.
12.  Melalui  Seminar  ini  bolehlah  dibincangkan cara yang
lebih  berkesan  untuk  mempertingkatkan  dan  menggembeling
tenaga  sukarela  untuk kerja-kerja kebajikan di negara ini.
Saya  berkeyakinan  penuh  bahawa  Seminar  ini  akan  dapat
memberi manfaat seperti yang diharapkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Akhir  kata,  saya  ingin  mengucapkan  tahniah  kepada
Kementerian Kebajikan Masyarakat di atas usahanya mengadakan
Seminar ini.  Seterusnya, saya dengan sukacitanya merasmikan
Seminar  Kebangsaan  Kebajikan Masyarakat ini.
Wabillahitaufik  walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh, dan salam sejahtera.

 
 



 
Google