home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN RAJA CHULAN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/11/87 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN BANGUNAN ARAB-MALAYSIAN 




 Yang Berbahagia Dato Azman Hashim,
     Pengerusi Lembaga Pengarah
     Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya    berterima   kasih   kepada   Lembaga   Pengarah
Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad  kerana  menjemput  saya
merasmikan Bangunan Arab-Malaysian ini.  Di negara kita ini,
banyak   institusi   kewangan   mempunyai  bangunan-bangunan
sendiri  yang  besar  dan  indah  termasuklah Arab-Malaysian
Merchant  Bank  ini.  Saya  berharap Bank ini akan  menempuh
masa hadapan yang kukuh seperti tersergamnya bangunan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Dasar  kewangan  negara  kita  telah dilaksanakan untuk
menyokong pertumbuhan ekonomi,  mendorong  aktiviti-aktiviti
sektor  swasta  dan  mengekalkan  kestabilan di dalam sistem
kewangan.   Kerajaan telah mengambil  langkah-langkah  untuk
membebaskan  industri kewangan daripada kawalan-kawalan yang
tidak penting.  Di masa yang sama, Kerajaan  telah  berusaha
mengadakan  peraturan-peraturan untuk melindungi kepentingan
awam.  Semua ini adalah untuk  menggalakkan  persaingan  dan
kecekapan,  serta mempastikan wujudnya kejujuran di kalangan
institusi-institusi kewangan.
3.   Institusi-institusi kewangan di  negara  kita,  seperti
bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan, telah
juga  digalakkan  membantu  Kerajaan  dalam usaha memulihkan
ekonomi negara.    Sebagai  komponen  penting  dalam  sistem
kewangan   negara,   institusi-institusi  kewangan  haruslah
bersedia memainkan peranan mereka  dalam  pemulihan  ekonomi
negara ini.
4.   Salah  satu  asas  bagi perkembangan ekonomi masa depan
ialah   meningkatkan    peranan    sektor    swasta    dalam
aktiviti-aktiviti  ekonomi.    Institusi-institusi  kewangan
berperanan  penting  dalam  hal  ini.    Institusi-institusi
kewangan  haruslah  bekerjasama  supaya  sektor swasta dapat
meningkatkan  penyertaan  aktiviti  mereka.    Sebelum   ini
Kerajaan  pernah menyeru institusi-institusi kewangan supaya
membantu usaha pemulihan perniagaan yang menghadapi  masalah
aliran  wang  tunai dewasa ini.  Bank-bank terutamanya telah
digalakkan bersikap  'accommodative'  dengan  tidak  menutup
atau   foreclose  sesuatu  perniagaan,  sebaliknya  membantu
perniagaan-perniagaan yang mempunyai prospek masa depan yang
baik dan berdaya maju. Apa-apa usaha ke arah  hal  ini  oleh
institusi-institusi kewangan haruslah dipuji.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Menyentuh   tentang  bank-bank  saudagar  di  Malaysia,
bank-bank ini telah mengalami perkembangan  yang  memuaskan.
Walaupun  kesan  ekonomi yang lembab dewasa ini dirasai juga
oleh bank-bank perdagangan dan  syarikat-syarikat  kewangan,
bank-bank  saudagar  telah  mengalami  beberapa perkembangan
lain  yang  menggalakkan.   Saya berharap bank-bank saudagar
akan terus memainkan peranan yang aktif bagi  membantu  para
pengusaha  dan  ahli-ahli perniagaan dalam  mempertingkatkan
aktiviti-aktiviti perdagangan, perindustrian dan perniagaan.
6.   Salah satu perkembangan baru dalam sistem kewangan kita
ialah  pengwujudan  pasaran  cagaran  kedua  atau  secondary
mortgage market. Pasaran cagaran kedua ini diwujudkan  untuk
membolehkan  institusi-institusi  kewangan  menjual  cagaran
pinjaman perumahan mereka  di  pasaran  cagaran  kedua  ini.
Pasaran   ini  akan  dapat  membebaskan  institusi-institusi
kewangan daripada terus memegang pinjaman-pinjaman perumahan
jangka panjang, dan ini akan membolehkan institusi-institusi
kewangan    menyalurkan    lebih    banyak    wang     untuk
pinjaman-pinjaman  yang  lebih produktif.  Seperti yang kita
maklum, Kerajaan  telah  menubuhkan  Cagamas  Berhad,  iaitu
sebuah  perbadanan  yang akan memainkan peranan yang penting
dalam pembangunan pasaran kedua ini.
7.   Bank-bank  saudagar  mempunyai  peranannya   tersendiri
berkaitan  dengan  pasaran  cagaran  kedua  ini.   Bank-bank
saudagar diharapkan akan memainkan peranan yang  aktif  bagi
membangun pasaran dan mempertingkatkan perdagangan baru yang
berasaskan cagaran yang dikeluarkan oleh Cagamas Berhad ini.
Kerajaan   berharap  bank-bank  saudagar  akan  bersama-sama
membangunkan pasaran cagaran untuk  berbagai  alat  kewangan
atau  financial instruments, termasuklah surat-surat jaminan
Kerajaan.  Insentif yang diberikan kepada bank-bank saudagar
bagi melibatkan diri dalam pasar kedua kewangan ini patutlah
digunakan sepenuhnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada  Arab-Malaysia  Merchant  Bank  yang  merupakan  bank
saudagar  yang  pertama  yang  memegang  ekuiti dalam sebuah
firma  broker  saham  atau  stockbroking  firm.     Kerajaan
berharap  lain-lain  bank saudagar yang layak akan mengambil
peluang  dalam  penyertaan  ekuiti  ini,  supaya   cita-cita
Kerajaan  bagi  meningkatkan  sumber  modal dan meningkatkan
profesionalisma dalam industri broker saham akan berjaya.
9.   Di samping  itu,  beberapa  buah  bank  saudagar  telah
dibenarkan  mengeluarkan sijil-sijil simpanan boleniaga atau
negotiable certificates  of  deposits.    Walaupun  terdapat
beberapa  syarat yang dikenakan, pengeluaran sijil-sijil ini
merupakan  satu  lagi  perkembangan  yang  disediakan   oleh
Kerajaan  bagi  bank-bank  saudagar  bagi  meningkatkan lagi
penglibatan  mereka  dalam  sektor  kewangan.      Bank-bank
saudagar  hendaklah  juga menggunakan initiatif mereka untuk
mempastikan  mereka  memainkan  peranan  yang  aktif  supaya
ekonomi  negara  ini berkembang dengan lancar.  Ekonomi yang
berkembang semestinya dapat menjamin masa depan semua pihak,
termasuklah bank-bank saudagar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Saya  ingin  menyentuh   sedikit   mengenai   institusi
kewangan  dalam  bidang  perniagaan.    Sebenarnya  bank dan
lain-lain institusi kewangan bukan berniaga dengan duit atau
wang.  Yang menjadi komoditi  jual-beli  institusi  kewangan
ialah  amanah.    Mereka yang menggunakan institusi kewangan
untuk  menyimpan,  meminjam   atau   menggunakan   lain-lain
kemudahan   seperti   cek,  letters  of  credit,  negotiable
certificates  dan  lain-lain  berbuat demikian kerana mereka
percaya kepada institusi ini. Jika tidak, mereka tidak  akan
menyimpan  wang  mereka,  atau  membayar dahulu atau membeli
nota-nota janji atau promissory notes yang dikeluarkan  oleh
bank-bank.    Yang mereka dapat ialah kertas atau surat yang
tidak  dengan  sendirinya  mempunyai  harga.    Hanya   yang
menentukan  nilai  bagi  kertas-kertas ini ialah kepercayaan
bahawa  bank  akan  menunaikan  janji  yang  terdapat  dalam
kertas-kertas berkenaan.
11.  Oleh kerana komoditi yang terpenting yang diperniagakan
oleh   bank-bank  dan  lain-lain  institusi  kewangan  ialah
amanah, maka  mereka  mestilah  menentukan  bahawa  sebarang
janji  yang  dibuat  akan dihormati seratus peratus.  Dengan
amalan ini mereka akan mempunyai kredibiliti dan  perniagaan
akan  menjadi  laris,  lebih  daripada  wang  yang  dimiliki
sebenarnya.
12.  Tetapi bank dan institusi kewangan tidak menjadi  badan
perniagaan  jika tidak mempunyai pengurus, pegawai eksekutif
dan kakitangan.  Jika bank-bank ingin mewujudkan amanah maka
semua anggota bank mestilah beramanah.   Hanya apabila  bank
terkenal  dengan  mempunyai  pengurusan  dan kakitangan yang
beramanah sahaja baharulah bank  mempunyai  kredibiliti  dan
boleh berfungsi sebagai bank.
13.  Pengurusan  bank  mestilah tegas dalam soal amanah ini.
Tiada  maaf  bagi  sesiapa  daripada  kakitangan  bank  yang
mengabaikan kepercayaan pelanggan.  Tindakan segera mestilah
diambil.
14.  Negara juga tidak boleh membiarkan pengurusan bank yang
tidak   jujur   kerana  seluruh  masyarakat  perniagaan  dan
pengusaha  tidak  akan  mengadakan  hubungan  dengan  sebuah
negara  yang  terkenal  dengan  anggota  banknya  yang tidak
beramanah.  Memandangkan betapa pentingnya  kredibiliti  dan
amanah  dalam  pengurusan  bank  untuk  perkembangan ekonomi
negara, Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil  tindakan
tegas terhadap sebarang penyelewengan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Saya   sekali  lagi  mengucapkan  terima  kasih  kepada
Lembaga Pengarah Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad  kerana
menjemput  saya  ke  Majlis  ini.    Dengan ini, saya dengan
sukacitanya  membuka  Bangunan  Arab-Malaysian  ini   dengan
rasminya.

 
 



 
Google