home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA 
			PUTRA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/12/87 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MALAM PERTANIAN NEGARA 




 Assalamu  alaikum  warahmatullahi  wabarakatuh,  dan selamat
sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Seri Sanusi bin Junid,
     Menteri Pertanian;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
    Saya difahamkan  bahawa  Malam  Pertanian  Negara  yang
julung-julung  kali  diadakan  ini,  adalah satu usaha pihak
Kementerian Pertanian untuk menimbulkan  kesedaran  mengenai
kepentingan   sektor  pertanian  dalam  pembangunan  negara.
Walaupun saya seringkali dijemput hadir  dan  berucap  dalam
majlis atau seminar mengenai pertanian kepada petani-petani,
tetapi  pada  malam  ini,  audiencenya  berbeza  kerana para
jemputan  juga  adalah  terdiri  daripada  golongan-golongan
profesional,   cerdik   pandai,   ahli   politik,  ahli-ahli
perniagaan, pemimpin peladang  dan  nelayan,  dan  lain-lain
lagi.
2.   Saya  percaya  dengan suasana ini Kementerian Pertanian
akan dapat memupuk kesedaran yang lebih  menyeluruh  tentang
pentingnya  bidang  pertanian ini.   Saya berharap kehadiran
kita semua akan mewujudkan satu azam politik atau 'political
will' dalam proses pembangunan negara  menerusi  salah  satu
sektor yang penting ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3.   Saya  sengaja  memilih  perkataan 'political will' itu,
kerana saya melihat pembangunan  bidang  pertanian  kita  di
zaman  penjajahan  dahulu  adalah  diasaskan kepada kehendak
'political will'  Kerajaan  penjajah  itu  sendiri.    Dasar
pertanian   penjajah  telah  dilaksanakan  bagi  kepentingan
politik dan ekonomi negara dan negeri-negeri sekutu  mereka.
Walaupun  jelas Malaysia mempunyai potensi sebagai pengeluar
barang makanan, pengeluaran  ini  tidak  digalakkan.    Yang
digalakkan  oleh  penjajah ialah pengeluaran bijih timah dan
getah.   Sekarang  ini  barulah  kita  tahu  bahawa  kambing
biri-biri  pun  boleh  diternak  secara  besar-besaran untuk
eksport.    Demikian  juga  dengan  lain-lain  ternakan  dan
bahan-bahan makanan.
4.   Walaupun   kita   boleh  menyalahkan  penjajah  dahulu,
sekarang  ini  tidak  ada  gunanya  kita  menjadikan  mereka
sebagai  alasan kegagalan kita setelah kita berkuasa ke atas
dasar dan tindakan  kita.    Pandangan  kita  sudah  terbuka
terhadap potensi pertanian.  Jika kita tidak merebut peluang
atau   kita  gagal  menjayakan  perusahaan  pertanian  kita,
kitalah yang patut disalahkan.   Justeru itu,  marilah  kita
kaji   dan   kenali  akan  sebab-sebab  mengapa  kita  tidak
menggunakan peluang dan potensi kita itu.
5.   Salah satu sebab  mengapa  kita  tidak  begitu  berjaya
dalam  bidang pertanian dan perikanan, selain daripada getah
dan kelapa sawit, ialah  kerana  kita  menganggap  pertanian
bukan  sebagai  satu kegiatan komersial tetapi hanya sebagai
satu usaha untuk keperluan makanan diri kita sahaja.    Kita
tidak  memikirkan  akan keperluan negara lain terhadap hasil
pertanian  kita.     Dengan  perkataan  lain,   kita   tidak
memikirkan  tentang  pasaran  dunia  dan eksport.   Oleh itu
kebanyakan  daripada  usaha  pertanian  kita  ialah   secara
kecil-kecilan dan tidak bercorak estet seperti ladang getah,
kelapa  sawit  dan koko yang jelas mendapat manfaat daripada
economies of  scale.    Selagi  kita  mengamalkan  pertanian
sebagai  kegiatan kecil-kecilan yang melibatkan hanya petani
tradisional, selama itulah perusahaan pertanian  kita  tidak
akan berkembang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6.   Daripada  segi  pertanian,  negara  kita  adalah negara
bertuah.   Tanah kita subur, iklim  kita  baik,  dan  selain
daripada banjir sekali-sekala yang tidak menimbulkan bencana
yang  besar, kita tidak dilanda oleh ribut taufan atau gempa
bumi  serta  gunung  berapi.     Faktor-faktor  ini   dengan
sendirinya   menolong   supaya  kita  lebih  berupaya  untuk
bersaing atau  menjadi  kompetitif.    Kita  juga  mempunyai
kawasan   bukit-bukau   dengan   iklim   yang  sesuai  untuk
tanam-tanaman negara temperate.    Dengan  baja  tiruan  dan
teknik-teknik  baru,  boleh dikatakan hampir tidak ada pokok
yang tidak boleh tumbuh dan  mengeluarkan  hasil  di  negara
kita ini.
7.   Begitu  juga  dengan bidang perikanan.  Laut dalam kita
adalah sumber kekayaan negara kita.  Kini kita  baru  sahaja
sedar  akan  hakikat ini.   Sudah berpuluh-puluh tahun orang
asing meneroka dan meraih kekayaan  dari  laut  dalam  kita.
Kita  bertempik  marahkan  orang-orang  itu,  sedangkan kita
sendiri   tidak   berupaya   atau   tidak   berminat   untuk
mengambilnya.   Hari ini, apabila kita adakan satu kerjasama
atau cooperation dalam penangkapan ikan laut dalam,  barulah
kita  sedar bahawa kita telah sekian lama mengabaikan bidang
yang berpotensi besar ini.    Saya  rasa  saya  tidak  perlu
mengulas  lebih  lanjut  lagi mengenai faedah perikanan laut
dalam ini kerana ianya  sudah  jelas.    Dengan  tertubuhnya
Angkatan  Nelayan  Laut  Dalam yang akan meneroka bidang ini
secara agresif tidak berapa lama lagi,  nelayan  dan  negara
akan menikmati banyak faedah.
8.   Dalam  bidang  penternakan pula, bukanlah mustahil kita
dapat menghasilkan semua jenis daging untuk  keperluan  kita
dan  untuk  eksport.    Kita tidak terhad kepada ayam, itik,
kambing dan lembu.   Kita boleh  mengeluarkan  daging  rusa,
arnab,  lamb  atau daging kambing biri-biri dan mungkin juga
ayam piru atau turkey.
9.   Melihat kepada  suasana  ini  dan  ditambah  lagi  oleh
penekanan Kerajaan ke atas sektor pertanian, maka kita harus
bertindak  atas garis-garis 'thinking big' dalam bidang ini.
Pendekatan  kita  dalam   mengurus   usaha-usaha   pertanian
mestilah  bersifat  'national'  dan pemasarannya mestilah di
peringkat 'global'.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10.  Di zaman dahulu apabila penduduk Malaysia tidak  begitu
ramai,  kita  boleh mengeluarkan barang-barang makanan untuk
keperluan sendiri dan tempatan sahaja.  Setiap kampung  atau
bandar  boleh  mengadakan  kebun-kebun sayur, menternak ayam
dan  lembu  secara   kecil-kecilan   untuk   membekalkannya.
Tambahan  pula  sistem  kenderaan dan simpanan makanan segar
tidak mengizinkan  pengeluaran  yang  banyak  untuk  seluruh
negara.
11.  Tetapi  sekarang  ini  kita  mempunyai penduduk 16 juta
orang.  Sebahagian besarnya tinggal di  bandar-bandar  besar
dan  dikelilingi  bukan  lagi  oleh kebun-kebun sayur tetapi
oleh kilang-kilang, ladang getah dan  kelapa  sawit.    Enam
belas juta manusia ini memerlukan punca makanan secara tetap
dan  mencukupi.    Dengan  itu  pembekalan  makanan terpaksa
dijadikan industri yang besar dan  sofistikated.    Ternakan
secara kecil-kecilan, berkebun di atas lot tanah yang kecil,
memancing  ikan  dengan  menggunakan perahu tidak lagi dapat
menampung keperluan ini.  Kita perlu kepada pertanian secara
besar-besaran walaupun untuk bekalan  dalam  negara  sahaja.
Sudah   tentu  untuk  mengeksport  kita  memerlukan  susunan
industri pertanian seperti susunan  dalam  bidang  penanaman
getah dan kelapa sawit.
12.  Keperluan  masyarakat  moden  dan besar ini menyebabkan
pertanian  dan   petani   tradisional   tidak   lagi   mampu
menjalankan  tanggungjawab  mereka  sebagai pembekal.   Kita
perlukan industri pertanian yang moden dan besar.  Malangnya
jika pertanian moden menggantikan pertanian tradisional maka
akan  terputuslah  punca  pendapatan  petani   dan   nelayan
tradisional.    Inilah dilemma kita.   Sudah tentu jika kita
ingin mengadakan  industri  eksport,  hasil  pertanian  kita
tidak  mungkin  berjaya  selagi  kita  kekal  dengan  sistem
pertanian tradisional.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13.  Ramai daripada kita yang  sering  menyatakan  kesedihan
kita akan nasib nelayan.  Mereka adalah golongan yang paling
miskin  sekali  dalam  negara  kita.    Malangnya kita boleh
mengeluarkan air mata  darah,  kita  boleh  menangis  seribu
tahun,  tetapi kita tidak akan dapat mengurangkan kemiskinan
mereka ini, selagi mereka kekal dengan  cara-cara  menangkap
ikan  yang  lama atau menghadkan aktiviti-aktiviti mereka ke
sungai-sungai dan persisiran pantai sahaja.
14.  Sebenarnya  mereka  yang  mempertahankan   cara   hidup
tradisional ini menganiayakan kaum ini.  Mereka yang terlalu
bersimpati   dengan   nelayan-nelayan      tradisional   ini
sebenarnya menghalang kemajuan mereka.   Lebih  awal  mereka
ini  menerima cara moden, menerima perubahan, lebih cepatlah
nasib mereka dipulih.   Demikian juga  dengan  bidang-bidang
lain.
15.  Tetapi  kita  tidak boleh khayal dengan pendapat bahawa
pertukaran  daripada  yang  tradisional  kepada  yang  moden
dengan  sendirinya  akan  membawa kejayaan.   Persiapan yang
cukup mestilah diadakan  untuk  menjayakan  pertukaran  ini.
Kita  perlu  kepada  orang-orang  yang  terlatih terutamanya
dalam bidang  pengurusan.    Hanya  dengan  pendekatan  yang
tersusun  dan  lengkap barulah dapat kita menikmati kejayaan
daripada pendekatan yang baru ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16.  Pertanian bukan lagi satu bidang  untuk  'peasants'  di
negara  Malaysia yang moden ini.  Sebab itu kehadiran cerdik
pandai  serta  pemimpin-pemimpin  petani  dan  nelayan  amat
bermakna  dalam  Majlis ini.   Terpulanglah kepada tuan-tuan
dan puan-puan mencari jalan untuk melakukan  perubahan  yang
diperlukan   tanpa  membelakangkan  kepentingan  petani  dan
nelayan tradisional.  Dengan adanya begitu ramai orang  yang
berpelajaran tetapi menganggur, inilah masanya untuk membuat
pertukaran.
17.  Saya   berharap   kita  dapat  bersama-sama  memikirkan
tentang dilemma ini.  Mudah-mudahan Allah Subhanahu  Wataala
akan  membuka  hati  kita  semua bukan sahaja untuk menerima
hakikat perubahan di alam sekeliling  tetapi  mencipta  cara
untuk  mendapat  manfaat  daripadanya khususnya dalam bidang
pertanian.
     Wabillahi   taufik   walhidayah    wassalamu    alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 

 



 
Google