home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	04/12/87 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG 
			BERNAMA SUATU AKTA UNTUK MEMINDA 
			AKTA POLIS 1967 




 Tuan Yang di-Pertua,
    Saya   mohon  mencadangkan  supaya  Rang  Undang-undang
bernama suatu Akta untuk meminda Akta Polis  1967  dibacakan
kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
2.   Kerajaan  menyedari  beberapa  Seksyen dalam Akta Polis
1967  perlu  dipinda  dengan  tujuan  untuk  mengemaskinikan
undang-undang  tersebut  supaya  dapat pihak polis mengambil
tindakan yang lebih berkesan ke atas pihak-pihak yang  tidak
mematuhi   undang-undang   dalam  menganjurkan  perhimpunan,
perjumpaan dan perarakan.
3.   Dalam  masyarakat  kita,  perhimpunan,  perjumpaan  dan
perarakan  boleh  menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan
ketenteraman awam jika ia bermaksud mencabar  dan  mengancam
pihak-pihak  yang  tertentu.    Dalam  masyarakat  kita yang
majmuk tindakan melahirkan perasaan tidak  puashati  melalui
perhimpunan  berkemungkinan  mencetuskan  perbalahan  antara
kaum.   Bagi maksud  mengawal  perhimpunan,  perjumpaan  dan
perarakan,  Akta  Polis  memperuntukkan di bawah Seksyen 27,
peraturan yang perlu dipatuhi oleh penganjur dan orang-orang
yang  mengambil  bahagian.    Seksyen  ini  juga  menetapkan
peraturan  dan  syarat  mengenai  kelulusan lesen mengadakan
perhimpunan, perjumpaan dan perarakan dan kuasa polis  untuk
menyuraikan perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang tidak
sah.    Seksyen berkenaan juga memperuntukkan kesalahan yang
boleh dijatuhkan ke atas mereka yang didapati bersalah.
4.   Dari pengalaman pihak polis terdapat beberapa kelemahan
dalam peruntukan itu yang menyebabkan pihak  berkuasa  tidak
dapat   bertindak   dengan  berkesan  ke  atas  mereka  yang
melanggar undang-undang.
5.   Di  antara  peruntukan  yang   dikenalpasti   mempunyai
kelemahan itu termasuklah:-
          Pertama,
          Mengikut undang-undang yang sedia ada sekarang ini
     orang-orang     yang     bertanggungjawab    mengadakan
     perhimpunan awam tidak dapat didakwa dan hanya pemegang
     lesen sahaja yang selalunya didakwa.    Pemegang  lesen
     tidak  semestinya  merupakan  orang-orang  yang penting
     dalam organisasi yang  menganjurkan  perhimpunan  haram
     berkenaan.
          Kedua,
          Hukuman  yang  boleh  dikenakan ke atas orang yang
     disabit kesalahan adalah terlalu ringan dan  ini  boleh
     menggalakkan  wujudnya  satu  budaya  yang  menggunakan
     demonstrasi sebagai alat untuk menonjolkan  kepentingan
     mereka.  Ini bukanlah satu trend yang sihat.
          Ketiga,
          Kelemahan  dalam  undang-undang  yang ada sekarang
     ini  telah  diperalatkan  oleh  pihak   yang   dilarang
     mengadakan    perhimpunan    di   tempat   awam   untuk
     menganjurkan perhimpunan itu di tempat persendirian dan
     dengan menggunakan  pembesar  suara,  perbincangan  dan
     ucapan   yang   diadakan   telah  dapat  didengar  oleh
     orang-orang yang berada  di  luar  tempat  persendirian
     tersebut.  Dengan cara ini perhimpunan yang diadakan di
     tempat persendirian itu menjadi satu perhimpunan awam.
Tuan Yang di-Pertua,
6.   Menyedari   kelemahan-kelemahan   itu,  Kerajaan  yakin
bahawa perkara ini perlulah  diatasi  dengan  segera  supaya
keselamatan dan ketenteraman awam dapat terus dipelihara.
7.   Kajian yang teliti telah dibuat ke atas masalah ini dan
Kerajaan  dengan  ini  memperakukan  supaya  pindaan  dibuat
kepada Seksyen 27 Akta Polis berkenaan.   Secara  ringkasnya
pindaan itu adalah seperti berikut:-
     Fasal 3(a)
     __________
          Fasal  3(a)  ini  bertujuan  meminda Seksyen 27(1)
     untuk memberi  kuasa  kepada  mana-mana  pegawai  polis
     untuk  mengarahkan  perjalanan  perhimpunan, perjumpaan
     dan perarakan di tempat awam.  Pada masa sekarang kuasa
     ini  terletak  kepada   pegawai-pegawai   kanan   polis
     berpangkat  (Inspektor  ke  atas).   Pindaan ini adalah
     perlu supaya polis dapat bertindak  dengan  segera  dan
     berkesan.
     Fasal 3(b)
     __________
          Mewujudkan  subseksyen  baru  (2A), (2B), (2C) dan
     (2D) yang  memperuntukkan  syarat-syarat  bagi  memohon
     lesen  untuk  mengadakan  perhimpunan,  perjumpaan  dan
     perarakan di tempat awam.    Mengikut  peruntukan  yang
     dipinda   ini   sebarang  permohonan  untuk  mengadakan
     perhimpunan hendaklah dibuat oleh suatu pertubuhan atau
     bersesama oleh tiga orang individu.  Tujuan pindaan ini
     ialah untuk  menentukan  supaya  mana-mana  perhimpunan
     adalah   dianjurkan   oleh   sesebuah  organisasi  atau
     sekurang-kurangnya oleh tiga orang.
     Fasal 3(c) dan 3 (d)
     ____________________
          Fasal 3(c)  bertujuan  untuk  mengkanunkan  semula
     subseksyen 4(a) yang sedia ada dan fasal 3(d) bertujuan
     untuk   memperkenalkan   subseksyen   baru   4(A)  bagi
     menggantikan subseksyen 4(b) yang sedia ada.
     Fasal 3(e) dan 3(f)
     ___________________
          Fasal 3(e) meminda subseksyen 5  seksyen  27  yang
     memperuntukkan  bahawa adalah menjadi kesalahan ke atas
     sesiapa  yang  hadir   dalam   mana-mana   perhimpunan,
     perjumpaan  dan perarakan yang tidak dikeluarkan lesen.
     Fasal 3(f) pula bertujuan meminda subseksyen yang  sama
     untuk   memperuntukkan   bahawa  orang-orang  yang  ada
     sangkut-paut  memanggil,  mengumpul  ataupun   mengarah
     satu-satu  perhimpunan,  perjumpaan dan perarakan tanpa
     lesen adalah melakukan kesalahan.   Pindaan ini  dibuat
     dengan  tujuan untuk memastikan supaya orang-orang yang
     terlibat    tidak    terlepas     daripada     tindakan
     undang-undang.
     Fasal 3(g)
     __________
          Fasal  3(g)  mewujudkan tiga subseksyen baru iaitu
     subseksyen  (5A),  (5B),   (5C).      Subseksyen   (5A)
     memperuntukkan  bahawa  seseorang  yang  dituduh  tidak
     boleh membela dirinya dengan  alasan  bahawa  ia  tidak
     mengetahui  yang  perhimpunan, perjumpaan dan perarakan
     itu adalah satu perhimpunan, perjumpaan  dan  perarakan
     yang  haram.   Walau bagaimanapun seseorang yang berada
     di tempat perhimpunan,  perjumpaan  dan  perarakan  itu
     secara  kebetulan  dan  tidak  berniat  untuk mengambil
     bahagian boleh menggunakan  alasan  itu  untuk  membela
     dirinya.    Ini  diperuntukan  dalam  subseksyen  (5B).
     Subseksyen  (5C)  pula  memperuntukkan  bahawa  kesemua
     ahli-ahli  pengelola mana-mana pertubuhan yang terlibat
     dalam sesuatu perhimpunan haram adalah  melakukan  satu
     kesalahan  kecuali jika mereka dapat membuktikan bahawa
     mereka   tidak   tahu-menahu   mengenai    perhimpunan,
     perjumpaan   dan   perarakan  yang  diadakan  itu  atau
     telahpun mengambil tindakan untuk menghalang atau telah
     mengumumkan  pendirian  yang  mereka  tidak   bersetuju
     dengan keputusan mengadakan perhimpunan, perjumpaan dan
     perarakan itu.
     Fasal 3(h)
     __________
          Fasal  3(h)  menggantikan  subseksyen 8 Seksyen 27
     yang menetapkan denda minima $2,000 ringgit dan maksima
     $10,000 ringgit  dan  penjara  tidak  lebih  dari  satu
     tahun.    Hukuman  sekarang  ialah denda tidak melebihi
     $500 ringgit atau penjara tidak lebih dari  enam  bulan
     atau kedua-keduanya sekali.
     Fasal 4
     _______
          Mewujudkan  seksyen  baru  27A,  27B dan 27C untuk
     mengawal  perhimpunan  di  tempat-tempat  bukan  tempat
     awam.      Di   bawah   peruntukan   ini   polis  boleh
     memberhentikan mana-mana aktiviti  yang  dijalankan  di
     tempat    persendirian   jika   didapati   perhimpunan,
     perjumpaan dan perarakan itu  memudaratkan  keselamatan
     atau  ketenteraman awam.   Polis juga boleh menyuraikan
     orang-orang yang berkumpul di luar premis  persendirian
     itu   jika  bilangan  orang-orang  yang  berkumpul  itu
     melebihi 20 orang.  Pihak polis juga diberi kuasa untuk
     menyuraikan perhimpunan, perjumpaan dan perarakan  yang
     diadakan di dalam atau di luar premis persendirian itu;
     dan  jika  mereka  yang  terlibat tidak mematuhi arahan
     polis untuk bersurai, pihak polis  diberi  kuasa  untuk
     kanan  polis berpangkat Inspektor ke atas.  Oleh kerana
     bukan di semua tempat ada  pegawai  kanan  polis,  maka
     peruntukan  ini  telah  menghadkan  tindakan yang boleh
     diambil  oleh  pihak  polis.    Peruntukan  ini   telah
     menghalang  pihak polis bertindak dengan segera.  Untuk
     mengatasi  masalah  ini  adalah  perlu  pindaan  dibuat
     supaya    kuasa    ini   diberikan   kepada   mana-mana
     pegawai-pegawai  polis  supaya  tindakan  segera  dapat
     diambil untuk mengadakan sekatan jalanraya.
10.  Seksyen  30  dalam Akta Polis pula memperuntukkan kuasa
kepada Pesuruhjaya Polis  atau  Ketua  Polis  Negeri  dengan
persetujuan   Menteri   bagi  melarang  penggunaan  bendera,
sepanduk dan pembesar suara.  Bagi membolehkan  pihak  polis
bertindak  dengan segera, maka peruntukan ini dipinda supaya
kuasa ini dapat dijalankan oleh Pesuruhjaya Polis atau Ketua
Polis  Negeri  sahaja  tanpa  mendapat  persetujuan  Menteri
terlebih dahulu.
Tuan Yang di-Pertua,
11.  Ini  adalah  kali  yang  kedua  saya membentangkan rang
undang-undang (pindaan) yang Kerajaan tidak dapat  berbangga
dengannya.    Sepatutnya  bukan  sahaja Kerajaan tetapi juga
rakyat keseluruhannya tidak boleh berbangga  dengan  pindaan
undang-undang ini.
12.  Sebabnya   saya   berkata   demikian  ialah  kerana  ia
membuktikan   bahawa   terdapat   dalam   masyarakat    kita
individu-individu  dan  kumpulan-kumpulan  yang belum dewasa
politik mereka, yang tidak tahu mengawal diri sendiri,  yang
tidak menghargai sikap liberal Kerajaan.
13.  Orang  yang  sudah dewasa akan tahu mengawal diri tanpa
dikawal oleh undang-undang yang ketat.   Mereka  tidak  akan
membuat  sesuatu  yang  mereka  tahu boleh membawa keburukan
kepada masyarakat.  Mereka bertanggungjawab dan  tidak  akan
membuat   apa-apa   yang   boleh   menjejas  kestabilan  dan
pembangunan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
14.  Malangnya, golongan ini  sentiasa  mencari  'loopholes'
dalam  undang-undang  supaya  mereka boleh melakukan sesuatu
yang tidak baik tanpa Kerajaan dapat membuat apa-apa  kepada
mereka melalui undang-undang.
15.  Oleh   kerana   denda   yang  dikenakan  adalah  rendah
umpamanya,  mereka  sanggup  melanggar   undang-undang   dan
membayar  denda dengan tidak berasa malu sedikitpun.  Bahawa
tindakan mereka  memburukkan  keadaan  politik  dan  ekonomi
negara  tidak  sedikitpun  menghalang mereka.   Yang penting
bagi mereka ialah parti mereka  dan  politik  parti  mereka.
Jika negara Malaysia mendapat gambaran sebagai sebuah negara
yang tidak tenang dan tidak menarik kepada para pelabur, ini
sangat  disukai  oleh mereka ini.   Biarlah rakyat menderita
kerana tidak ada peluang kerja asalkan mereka boleh mendakwa
bahawa Malaysia tidak demoktratik, tidas  stabil  dan  tidak
dapat menarik para pelabur.  Mereka berharap dengan cara ini
mereka  dapat  memburukkan  imej  Kerajaan untuk kepentingan
politik parti mereka.
16.  Mereka inilah yang sering mencerita kepada  orang-orang
asing  kononnya  keadaan  di Malaysia sangat buruk.   Mereka
berbohong  mengenai  keadaan  di  Malaysia  untuk   mendapat
simpati   kepada   perjuangan  parti  mereka.    Bahawa  ini
menjejaskan pembangunan negara  dan  rakyat  Malaysia  tidak
menjadi  masalah kepada mereka.  Jika dikatakan mereka tidak
setia, mereka amat marah.    Tetapi  apa  lagi  yang  hendak
dipanggil mereka ini?
17.  Mereka   tahu   jika   mereka  dapat  memaksa  Kerajaan
bertindak keras ke atas mereka, tindakan Kerajaan  ini  juga
boleh  dijadikan  isu  politik.    Oleh  itu  mereka sengaja
mempermainkan undang-undang yang ada untuk memaksa  Kerajaan
mengadakan  undang-undang yang lebih keras.  Kemudian mereka
mengecam Kerajaan dan menyoal mengapa membuat  undang-undang
yang  begitu  keras.    Mereka  akan  berkata Kerajaan tidak
demokratik, walhal merekalah yang sengaja menjolok Kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua,
18.  Kerajaan menghadapi dilemma dalam perkara  ini.    Jika
undang-undang  tidak  diperkukuhkan, mereka ini akan membuat
bermacam-macam untuk mencetuskan  huru-hara  dan  ketegangan
dalam   negara   kita.         Jika   Kerajaan   mengukuhkan
undang-undang,  Kerajaan  akan   dikecam   dengan   berbagai
tohmahan dan tuduhan.  Kerajaan akan dituduh tidak liberal.
19.  Tetapi   Kerajaan   ini   tidak   akan   lari  daripada
tanggungjawabnya.  Biar apa juga tohmahan  dan  fitnah  yang
dilemparkan  terhadapnya,  Kerajaan  akan  terus menjalankan
tugasnya   dan   bersikap    bertanggungjawab.        Kepada
individu-individu   yang   tidak  menghargai  sikap  liberal
Kerajaan, kita tidak perlu liberal.  Bersikap liberal kepada
individu-invididu ini samalah seperti memberi  bunga  kepada
kera.    Kecantikan  bunga  tidak  menawan  hati kera dan ia
biasanya mengoyak-ngoyakkan bunga itu.
Tuan Yang di-Pertua,
20.  Tidak dapat tidak pihak DAP akan berkata bahawa  dengan
adanya  pindaan  kepada  Akta  Polis  ini  maka  negara akan
menjadi tidak demokratik.  Mereka akan berkata 'Loceng Maut'
berbunyi  lagi  kerana  kematian  demokrasi.    Mereka  akan
menambah  bahawa pelabur-pelabur tidak akan datang ke negara
ini.
Tuan Yang di-Pertua,
21.  Jika benar seperti  kata  DAP  bahawa  dengan  berbagai
undang-undang  yang  telah  diluluskan oleh Dewan ini dahulu
'loceng maut' sudah berbunyi terhadap demokrasi di Malaysia,
bagaimanakah demokrasi boleh mati berkali-kali?
22.  Dengan DAP berkata bahawa 'loceng maut' telah  berbunyi
sekali lagi bermaknalah undang-undang yang diluluskan dahulu
tidak  membunuh  demokrasi.   DAP sebenarnya mengakui bahawa
demokrasi masih hidup di  Malaysia,  dan  akan  terus  hidup
melainkan parti DAP memerintah.
Tuan Yang di-Pertua,
23.  Sebenarnya  pelabur-pelabur  asing  tidak mengambilkira
sama ada wujud atau tidak demokrasi dalam negara-negara yang
mereka ingin melabur.    Perkara  utama  bagi  mereka  ialah
kestabilan   politik   dan  Kerajaan  yang  kuat  dan  boleh
menguat-kuasakan undang-undang.
24.  Jika kita mengkaji dengan ikhlas  kita  akan  mendapati
bahawa  pelaburan  asing  yang  terbesar di rantau Timur ini
ialah dalam negara-negara  yang  kurang  atau  tidak  begitu
demokratik,  tetapi  mempunyai Kerajaan yang kuat yang dapat
menentukan kestabilan politik dalam negara.   Tidak  sesiapa
pun  yang  mahu  melabur  dalam  sesebuah negara yang begitu
demokratik sehingga setiap hari tunjuk perasaan berlaku  dan
Kerajaan jatuh dua bulan sekali.
25.  Para  pelabur  tidak  melabur  kerana  ingin menegakkan
demokrasi di negara-negara  di  dunia  ini.    Para  pelabur
datang  kerana  keuntungan  yang boleh diperolehi.   Keadaan
kacau bilau yang  disebabkan  oleh  penyalah-gunaan  hak-hak
demokrasi  tidak akan menarik mereka.  Sebab itulah Kerajaan
yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kesejahteraan
rakyat negara ini perlu menentukan kestabilan  walaupun  ini
bermakna    sedikit    sebanyak    kebebasan    yang   boleh
disalah-gunakan oleh  sebilangan  kecil  daripada  ahli-ahli
politik yang 'frustrated' terpaksa dibendung.
Tuan Yang di-Pertua,
26.  Inilah sebabnya pindaan undang-undang ini dibuat kepada
Akta  Polis.    Ia bertujuan menentukan tindakan polis lebih
cepat dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan negara.
Tuang Yang di-Pertua,
27.  Dengan pindaan ini suatu kawalan  yang  lebih  berkesan
dapat diwujudkan untuk mengawasi perhimpunan, perjumpaan dan
perarakan.      Dengan   kawalan   ini   adalah   diharapkan
perhimpunan, perjumpaan dan  perarakan  yang  diadakan  pada
masa hadapan akan berjalan dengan lebih bertanggungjawab dan
mengikut   batasan-batasan   yang   wajar   demi  memelihara
keselamatan dan ketenteraman awam.
Tuan Yang di-Pertua,
28.  Saya mohon mencadangkan.

 



 
Google