home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN TABUNG HAJI, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	07/12/87 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MEMPERINGATI JASA TOKOH-
			TOKOH TABUNG HAJI 




 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.
Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Nor,
     Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berbahagia Datuk Mohd. Shamsuddin
     Yaacob, Pengerusi Lembaga Urusan dan
     Tabung Haji;
Tokoh-tokoh Tabung Haji Yang Diraikan;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
kita  dapat  bersama-sama  hadir  dalam  majlis  malam  ini.
Majlis ini menunjukkan bahawa Tabung Haji tidak melupai jasa
mereka yang telah memberi sumbangan, bukan  sahaja  daripada
segi material, tetapi juga daripada segi usaha dan kerjasama
dalam  membantu  Tabung Haji mencapai tahap kejayaan seperti
yang kita dapati sekarang ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2.   Saya percaya, semenjak 25 tahun wujudnya  Tabung  Haji,
telah  banyak perkara-perkara dan masalah-masalah yang dapat
diselesaikan tentang pengendalian jemaah haji dan  di  dalam
bidang  perusahaan  dan pelaburan.  Maka masanya telah tiba,
pada pendapat saya, untuk Tabung Haji  melihat  pengendalian
jemaah  haji  daripada satu perspektif yang lebih luas lagi.
Pemergian  rakyat  Malaysia  yang  beragama  Islam  semenjak
turun-temurun  mengerjakan  haji di Tanah Suci telah sedikit
sebanyak memberi kesan serta perubahan, bukan sahaja  kepada
jemaah-jemaah berkenaan, tetapi juga kepada masyarakat Islam
di  Malaysia  daripada segi sikap, cara berfikir dan keadaan
sosio-ekonomi mereka.
3.    Tabung Haji dan  pihak-pihak  yang  berkenaan  mungkin
dapat  mengkaji implikasi jemaah-jemaah kita yang menunaikan
rukun Islam kelima lebih daripada sekali.  Kajian ini  bukan
sahaja  perlu menumpu kepada soal hukum tetapi juga daripada
perspektif kesan kepada mereka ini, kepada masyarakat, kesan
kepada ekonomi negara dan kesan terhadap kawalan keamanan di
Arab Saudi.  Seperti yang kita maklum, Nabi Muhammad  s.a.w.
sendiri  pun  mengerjakan  haji  sekali  sahaja seumur hidup
Baginda.  Kita ke Mekah buat kali kedua sekiranya mampu  dan
difikirkan  pemergian  yang  pertama  tidak begitu sempurna.
Mungkin  kita  dapat  memberi  panduan  kepada  mereka  yang
menunaikan  rukun haji lebih daripada sekali bahawa berbagai
amalan   seperti   membantu    fakir    miskin,    membiayai
projek-projek agama dan lain-lain usaha adalah juga dituntut
oleh Ilahi.
4.   Saya berharap supaya kajian ini menyeluruh dan mendalam
bagi mengelakkan salah sangka.  Apabila timbul salah sangka,
akan  timbul  pula  tohmahan  dan  ini akhirnya akan membawa
kepada pandangan  yang  negatif.    Cadangan  ini  hendaklah
difikirkan   secara  terbuka.    Sekiranya  menunaikan  haji
berulang kali ini  banyak  terjadi,  kita  harus  menekankan
kepada  pemberian  panduan  mengenai  berbagai  amalan  yang
dituntut oleh  Allah  sekiranya  berlebihan  rezeki.    Saya
berharap  juga supaya cadangan ini tidak ditakrifkan sebagai
galakan membelanja rezeki  yang  lebih  itu  kepada  hal-hal
duniawi,  sebaliknya  untuk  usaha-usaha  yang dituntut oleh
Islam.   Di samping itu, sekiranya  kajian  sebegini  hendak
dijalankan,  pandangan  institusi-institusi agama Islam yang
lain haruslah diperolehi  supaya  terdapat  perpaduan  dalam
sebarang panduan yang akan kita kemukakan kemudian kelak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Lima  tahun  yang  lepas, di dalam upacara Meletak Batu
Asas Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji  yang  tersergam  ini,
saya  telah  menekankan tentang peranan Tabung Haji di dalam
memulihkan ekonomi umat Islam yang  saya  anggapkan  sebagai
satu peranan yang penting.  Peranan ini hendaklah diteruskan
oleh Tabung Haji dengan lebih gigih lagi.  Walaupun terdapat
lebih kurang 7 juta umat Islam di negara ini, hanya 1.2 juta
sahaja  yang  menyimpan  dengan  Tabung  Haji.    Oleh  yang
demikian, adalah menjadi harapan kita  semua  supaya  Tabung
Haji  akan  terus  memberi  penerangan  yang  sebaik-baiknya
supaya lebih banyak lagi umat Islam di negara ini tampil  ke
hadapan dan membuka akaun simpanan masing-masing.
6.   Begitu   juga,   jumlah  simpanan  tiap-tiap  penyimpan
hendaklah bertambah.  Pada hari ini, purata  simpanan  ialah
di  antara $400 hingga $500 seorang dan ini adalah merupakan
satu jumlah simpanan yang agak rendah. Semua pihak hendaklah
mengambil tindakan yang sepatutnya, supaya  jumlah  simpanan
purata bagi tiap-tiap seorang penyimpan dipertingkatkan lagi
sekurang-kurangnya kepada $1,000 seorang.
7.   Tugas  memulihkan  ekonomi umat Islam ini berkait rapat
dengan usaha memulihkan maruah umat Islam yang  pada  ketika
ini adalah pada tahap yang amat mendukacitakan.  Kebangkitan
kesedaran  Islam yang wujud pada hari ini tidak akan memberi
apa-apa makna, jika sekiranya kita hanya dapat  mengagungkan
pemerintahan  Islam  di  zaman  para  sahabat  Nabi  sahaja.
Kebangkitan Islam di zaman  ini  hendaklah  juga  merangkumi
bidang-bidang  ekonomi,  pendidikan dan politik.  Hanya umat
Islam yang kukuh dan tegap dalam bidang-bidang ini yang akan
dihormati dan bermaruah tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Saya  merasa  gembira  memerhatikan  bahawa  sebahagian
daripada undangan pada malam ini terdiri daripada yang bukan
Islam.      Ini  adalah wajar kerana di dalam usaha mencapai
matlamatnya, Tabung Haji juga menggunakan perkhidmatan pihak
yang bukan Islam.  Ini juga merupakan satu contoh yang  baik
kerana   di   akhir-akhir  ini  ada  juga  pihak-pihak  yang
menyarankan bahawa bekerjasama dan bergurukan  kepada  orang
yang    bukan    Islam   itu   menyalahi   kehendak   Islam.
Saranan-saranan serupa itu bukan sahaja  tidak  berlandaskan
kepada ajaran Islam yang sebenar, tetapi akan membawa kepada
kelemahan  dan  keruntuhan  umat Islam sendiri.   Umat Islam
tidak akan sampai ke mana-mana, jika kita  hanya  bergantung
kepada  pengetahuan  dan pengalaman yang diperolehi hanya di
antara kita sahaja.  Umat Islam seharusnya tidak  menghadkan
usahanya  kepada  satu-satu  sumber sahaja, tetapi hendaklah
bersikap liberal di dalam perkara seperti ini, supaya  dapat
menggunakan segala sumber yang ada demi kebaikan ummah.
9.   Saya  mengambil  kesempatan ini untuk menyatakan bahawa
saya akan mengikuti perkembangan Tabung Haji  dari  masa  ke
semasa.  Adalah menjadi harapan saya bahawa Tabung Haji akan
terus berusaha dan berkembang di dalam peranan pelaburannya,
di  samping  tugasnya  yang utama iaitu memberi perkhidmatan
yang baik dan cekap kepada jemaah haji.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10.  Kepada pihak pengurusan  dan  kakitangan  Tabung  Haji,
saya  berharap tuan-tuan dan puan-puan akan dapat meneruskan
prestasi  baik  yang  telah  dicapai  oleh  organisasi  ini.
Bagaimanapun   kita  mestilah  sentiasa  mencari  jalan  dan
meningkatkan lagi usaha bagi memajukan lagi prestasi  Tabung
Haji pada masa hadapan.
11.  Kepada   tokoh-tokoh   lama   yang   telah   menjayakan
pembangunan dan pengurusan Tabung Haji sehingga  ia  menjadi
contoh  dalam  dunia Islam dan bukan Islam, saya mengucapkan
berbanyak terima kasih.  Negara akan sentiasa terhutang budi
dan mengenang  jasa  tuan-tuan  dan  puan-puan.    Moga-moga
tuan-tuan  dan  puan-puan  akan  diberkati  Allah  Subhanahu
Wataala dan diberi ganjaran yang setimpal.
     Wabillahi    taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 



 
Google