home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/12/87 
Tajuk/Title  	:	PELANCARAN "GERAKAN CINTAILAH 
			BAHASA KITA" 




 Assalamu'alaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan  salam
sejahtera.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim,
     Menteri Pendidikan merangkap
     Pengerusi Jawatankuasa Pusat Gerakan
     Cintailah Bahasa Kita;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
Gerakan  Cintailah  Bahasa  Kita   kerana   menjemput   saya
melancarkan  upacara  pagi  ini.   Saya berharap Gerakan ini
akan mengukuhkan lagi status Bahasa  Malaysia  sebagai  alat
perpaduan kebangsaan dan juga alat komunikasi yang berkesan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Lebih   tiga   puluh  tahun  dahulu,  rakyat  dan  para
cendekiawan berpadu tenaga, bersatu  tekad  dan  membulatkan
kesetiaan  untuk  memperjuangkan  kedudukan dan taraf Bahasa
Melayu di tanahair tercinta  ini.    Di  dalam  usaha  untuk
membangkitkan   kesedaran  rakyat  berbilang  kaum  terhadap
pentingnya diwujudkan satu Bahasa Kebangsaan, Bahasa  Melayu
telah  dipersetujui  bersama  menjadi  Bahasa Kebangsaan dan
bahasa rasmi negara yang baru merdeka.  Maka secara rasminya
bahasa rasmi ini dikenali sebagai Bahasa Malaysia.
3.   Kita  juga  telah  menyaksikan  peristiwa  perkembangan
Bahasa  Malaysia  sebagai  bahasa  pengantar  utama di dalam
sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan  menyatu-padukan
rakyat dan membina masyarakat yang berjiwa Malaysia.
4.   Pelbagai  usaha dan rancangan telah dijalankan di dalam
proses mengisi kehendak dan semangat Perlembagaan  dan  Akta
Bahasa Kebangsaan untuk membina, mengembang dan mendaulatkan
bahasa  itu,  sesuai dengan taraf dan peranan yang diberikan
kepadanya.  Pembinaan dan pengembangan Bahasa Malaysia untuk
memenuhi fungsinya sebagai Bahasa Kebangsaan,  bahasa  rasmi
dan   bahasa   pendidikan   berlaku   dengan   program  yang
terperancang, bukan sahaja  pada  peringkat  nasional  malah
pada peringkat wilayah di Asia Tenggara.
5.   Badan-badan   pembinaan  dan  pengembangan  bahasa  dan
institusi-institusi pengajian tinggi memainkan peranan  yang
penting   bagi  peningkatan  mutu  bahasa  dan  pengembangan
penggunaannya di dalam pelbagai bidang.  Penyelidikan korpus
atau   aspek-aspek   bahasa,   penyeragaman   ejaan    rumi,
pembentukan istilah sains dan teknologi dan penerbitan telah
dijalankan bagi memantapkan aspek-aspek Bahasa Malaysia.
6.   Proses memaju dan mengembangkan Bahasa Malaysia sebagai
Bahasa  Kebangsaan,  bahasa  rasmi dan bahasa pendidikan itu
dilakukan tanpa menafikan kedudukan dan fungsi bahasa-bahasa
lain sebagai bahasa bukan rasmi dan bahasa ibunda  kaum-kaum
tertentu serta kedudukan dan peranan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa kedua di negara ini.
7.   Kini,  selepas  tiga  puluh  tahun  merdeka, kita tidak
seharusnya lagi mempersoalkan  kedudukan  dan  taraf  Bahasa
Malaysia di sisi undang-undang.  Sehubungan dengan ini, kita
juga  tidak  seharusnya  mempersoalkan  kedudukan  dan taraf
bahasa-bahasa kaum yang  lain,  seperti  bahasa-bahasa  kaum
Cina  dan bahasa Tamil, di sisi undang-undang.  Bukan sahaja
kerana  sudah  diperuntukkan  dalam  undang-undang,  malahan
dalam   amalan   pun   tidak   pernah  kita  melarang  orang
menggunakan, mempelajari atau  mengajar  bahasa-bahasa  yang
lain daripada Bahasa Malaysia.  Di antara negara-negara yang
membangun,  amalan  ini adalah unik.   Di negara-negara yang
maju pun sikap liberal ini jarangkali diamalkan.
8.   Segala-galanya sudah begitu jelas dan tidak harus  sama
sekali  dijadikan  isu  oleh mana-mana pihak pun.   Di dalam
konteks ini, bahasa tidak akan dibenarkan lagi  menjadi  isu
politik,  apatah  lagi  menjadi  isu  perkauman  yang  boleh
menjejaskan  kestabilan   dan   perpaduan   negara,   kerana
kedudukan  dan  taraf setiap bahasa yang wujud di negara ini
telah disepakati bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Pertemuan hari ini  menyaksikan  suatu  lagi  peristiwa
bersejarah  di  dalam  usaha  kita bersama hendak menegakkan
kedaulatan Bahasa Malaysia yang sudah diterima umum  sebagai
Bahasa  Kebangsaan  dan bahasa rasmi negara.  Pertemuan hari
ini  juga  menekankan  pentingnya  kita   mencintai   Bahasa
Kebangsaan  Kita.  Cinta atau kecintaan sebagai sesuatu yang
abstrak dan yang bersifat peribadi tidak dapat dipaksakan ke
atas seseorang individu, tetapi saya percaya  bahawa  setiap
orang mempunyai perasaan cinta yang bersemi terhadap sesuatu
dan  perasaan  cinta  itu  dapat  dimekar  atau dikembangkan
apabila  ada  kesempatan  atau  persekitaran  untuk  berbuat
demikian.  Dalam hal ini, kecintaan terhadap bahasa kita pun
dapat  bersemi,  menjadi  mekar  dan  bercambah apabila kita
berusaha dari dalam diri sendiri atau dengan  pengaruh  dari
luar.
10.  Bukti  yang jelas di depan mata kita menunjukkan bahawa
Bahasa Malaysia  tidak  digunakan  seratus  peratus  sebagai
Bahasa   Kebangsaan,  iaitu  sebagai  alat  komunikasi  yang
menyeluruh di kalangan semua rakyat di dalam  semua  keadaan
dan  urusan  kerja  sehari-hari.    Tidak  habis-habis  kita
mendengar rungutan, malah kecaman  tentang  Bahasa  Malaysia
tidak  diberikan  keutamaan atau diabaikan langsung di dalam
bidang-bidang tertentu di sektor swasta,  perindustrian  dan
bidang profesional.
11.  Umpamanya   masih   ada   papan  tanda  perniagaan  dan
pengiklanan yang tidak mendaulatkan  Bahasa  Kebangsaan  dan
menggunakan  bahasa  yang  tidak tepat.   Tidak ada larangan
terhadap  penggunaan  bahasa   lain,   tetapi   keistimewaan
hendaklah   diberikan  kepada  Bahasa  Kebangsaan  di  dalam
tulisan rumi yang menjadi huruf yang diterima rasmi.
12.  Kita  tidak  menafikan  tentang  penting  dan  perlunya
Bahasa  Inggeris  di dalam kebanyakan urusan pentadbiran dan
perniagaan di sektor swasta, terutama  di  syarikat-syarikat
besar  yang  berkomunikasi  di  dalam Bahasa Inggeris dengan
dunia antarabangsa.  Tentulah tidak adil dan tidak munasabah
apabila kita  memaksa  atau  mengharapkan  syarikat-syarikat
besar  menggunakan  Bahasa Malaysia apabila berurusan dengan
syarikat-syarikat di  Amerika,  negara-negara  Arab,  Jepun,
India atau Republik Rakyat China.
13.  Tetapi  apa yang kita persoalkan ialah kecenderungan ke
arah penggunaan Bahasa Inggeris secara besar-besaran, bahkan
dengan  membelakangkan  Bahasa   Kebangsaan   sama   sekali.
Perbuatan  ini  menunjukkan  bahawa kita tidak berbangga dan
tidak mencintai Bahasa Kebangsaan kita.    Amalan  ini  amat
ketara di pusat-pusat membeli-belah dan di setengah-setengah
tempat  awam.    Saya  syak  bahawa amalan ini timbul akibat
daripada  kurang  keyakinan  akan  kedudukan  dan  keupayaan
Bahasa  Kebangsaan.   Sikap ini perlulah dikikis.  Tidak ada
kekurangan di dalam Bahasa Kebangsaan kita  untuk  apa  juga
jurusan komunikasi.
14.  Saya  percaya  bahawa Gerakan yang akan dilancarkan ini
mempunyai hikmatnya yang tersendiri, iaitu bertujuan  supaya
menimbulkan   kesedaran   untuk  memupuk  dan  mengembangkan
perasaan "cinta yang sejati" atau  "cinta  yang  suci"  atau
"cinta  yang  tulus  ikhlas"  di  dalam hati sanubari setiap
rakyat Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan kita,  yang  mana
ia  akan  meningkatkan  prestij dan maruah bangsa dan negara
Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Generasi baru  yang  akan  mewarisi  kita  sudah  dapat
menguasai   Bahasa   Malaysia  dengan  baik.     Dengan  ini
penggunaan Bahasa Kebangsaan  menjadi  lebih  penting.    Ia
tidak  akan  menjejaskan komunikasi antara satu pihak dengan
pihak yang lain  kerana  semua  pihak  sudah  pun  menguasai
Bahasa   Kebangsaan.     Sebaliknya,  ia  akan  mengurangkan
keperluan menguasai dan menggunakan  berbagai  bahasa  untuk
berhubung dengan penduduk berbagai kaum di Malaysia.  Dengan
satu  bahasa  sahaja,  iaitu  Bahasa  Kebangsaan, kita sudah
boleh berhubung dengan semua rakyat dan penduduk Malaysia.
16.  Sikap  kita  harus  segera  berubah  daripada   sekadar
melihat  dan  menggunakan  Bahasa Malaysia untuk urusan yang
mudah-mudah sahaja, atau untuk berkomunikasi dengan Kerajaan
semata-mata, kepada penerimaannya  sebagai  lambang  prestij
bangsa  dan  negara  serta  menjadikannya bahasa perhubungan
yang  berkesan  di  antara  pelbagai  kaum  di  negara  ini.
Kecintaan  terhadap Bahasa Kebangsaan sebagai asas kecintaan
terhadap  negara  perlu  dipupuk  dan  dikembangkan   dengan
amalan.    Amalanlah  yang  menjadi  bukti  perasaan  cinta.
Amalanlah yang akan memberikan keyakinan kepada  kita  untuk
terus  mencintai  bahasa kita.   Tanpa mengamalkannya, sukar
kita hendak meyakinkan diri  kita  sendiri  dan  orang  lain
bahawa  kita  mencintai Bahasa Kebangsaan.  Inilah faktor di
dalam diri yang harus dibina tanpa  paksaan  oleh  mana-mana
pihak.
17.  Untuk  tujuan  tersebut, saya suka menggesa semua pihak
di sektor swasta khususnya supaya lebih  banyak  menggunakan
Bahasa   Malaysia  dalam  urusan  mereka  dengan  masyarakat
Malaysia, sama ada di dalam tulisan ataupun dengan lisan dan
bukan sekadar dalam urusan  rasmi  dengan  Kerajaan  sahaja.
Walau bagaimanapun, faktor luaran yang berupa kesempatan dan
persekitaran perlu dipertimbangkan dalam membina semula atau
memupuk  kecintaan  rakyat  terhadap Bahasa Kebangsaan kita.
Unsur yang paling utama adalah  berupa  perhatian,  galakan,
dorongan dan kawalan daripada pihak perancang dan pengembang
bahasa, di samping daripada Kerajaan sendiri.
18.  Badan-badan perancangan bahasa seperti Dewan Bahasa dan
Pustaka  perlu  memainkan peranan yang lebih besar dan lebih
berkesan  serta  meningkatkan  usaha  untuk  memperluas  dan
mengawal  penggunaan Bahasa Kebangsaan.  Pertubuhan sukarela
dan pertubuhan bahasa dan  sastera  mempunyai  peranan  yang
penting,   bukan   sahaja   untuk   membantu   membina   dan
mengembangkan bahasa tetapi juga mengawal penggunaannya.
19.  Pada pihak Kerajaan, penggunaan Bahasa  Malaysia  dalam
bidang  pendidikan tidak menjadi isu dan masalah lagi kerana
segala-galanya  berjalan  dengan  baik  menurut  perancangan
dalam  sistem pendidikan kebangsaan.  Di samping itu, Bahasa
Malaysia sebagai bahasa rasmi di sektor awam sudah  mencapai
tahap   penggunaan   yang  hampir  menyeluruh.    Sungguhpun
demikian,  mutu  bahasa  rasmi  Kerajaan   dikatakan   belum
mencapai  tahap  paling  tinggi  yang  dapat dibanggakan dan
boleh  menjadi  teladan  bagi  sektor  pengguna  yang  lain.
Perkara   ini  perlulah  mendapat  perhatian  segera  kerana
pedoman ejaan, peristilahan dan tatabahasa sudah dimantapkan
dan   tidak   menjadi   masalah   yang   besar   lagi   bagi
pegawai-pegawai Kerajaan menggunakannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20.  Untuk  tujuan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Malaysia
dalam urusan rasmi dan melaksanakan dasar Bahasa  Kebangsaan
sepenuhnya,    kita   perlu   mengkaji   semula   peruntukan
undang-undang dan  peraturan  yang  ada  hubungannya  dengan
penggunaan  bahasa, tanpa menyentuh persefahaman antara kaum
yang dicapai semasa perjuangan kemerdekaan.
21.  Kita harus juga mengkaji beberapa  langkah  yang  patut
dilaksanakan   untuk   meluaskan   lagi   penggunaan  Bahasa
Malaysia.   Kaji selidik  perlu  diadakan  untuk  mengetahui
kemajuan  dan  pencapaian  serta mengenal pasti masalah yang
utama dalam pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi
di sektor awam, iaitu di kalangan  semua  Jabatan  Kerajaan,
Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Kajian   juga   perlu   dilakukan  secara  menyeluruh  untuk
mengetahui pencapaian dan masalah utama yang dihadapi  dalam
penggunaan   bahasa   di  sektor  swasta  dan  dalam  bidang
profesional seperti  perundangan,  kehakiman,  kejuruteraan,
perubatan,   perindustrian   dan  perdagangan.     Rancangan
tindakan untuk mengatasi masalah perlu juga diadakan.
22.  Dalam usaha  mengembangkan  Bahasa  Kebangsaan,  rakyat
yang  bahasa ibundanya ialah Bahasa Melayu mempunyai peranan
yang istimewa.  Adalah menjadi tabiat  kita  mengikut  telor
atau loghat orang yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu.
Dengan  perbuatan  ini, maka Bahasa Kebangsaan yang standard
tidak dapat berkembang.  Sebaliknya, wujud Bahasa Kebangsaan
loghat Tamil, loghat Cina dan  lain-lain.    Pencemaran  ini
hanya  boleh  diatasi  jika orang-orang Melayu tidak sengaja
mengikut loghat rakan percakapan mereka.    Mereka  mestilah
menggunakan  Bahasa Kebangsaan yang baik walau siapapun yang
mereka temui.
23.  Seperkara  lagi  ialah  pementasan  lawak  jenaka  yang
berunsur   etnik.      Adalah  menjadi  perkara  yang  mudah
diketawakan  apabila  loghat-loghat  kaum   lain   dijadikan
perkara  ejekan  dalam  pementasan.   Tetapi ini membuktikan
ketandusan idea seseorang pelawak.   Seseorang pelawak  yang
betul-betul  cekap  tidak  perlu menggunakan kelemahan orang
lain  dalam  menggunakan  Bahasa  Kebangsaan  sebagai   daya
penarik.
24.  Sebenarnya  percakapan  yang  pelat dan telor ini tidak
lagi  menjadi  amalan  orang-orang  bukan  Melayu.     Ramai
daripada   mereka   sekarang  amat  fasih  berbahasa  Bahasa
Kebangsaan.  Demikianlah kefasihan mereka sehingga jika kita
hanya dengar mereka  bercakap  tanpa  melihat  mereka,  kita
tidak  akan  mengetahui  sama  ada  yang  bercakap itu orang
keturunan Cina  atau  keturunan  India  atau  orang  Melayu.
Ramai  juga  daripada  mereka  yang  telah  dipilih  sebagai
juruhebah Bahasa Kebangsaan di radio dan televisyen.    Soal
loghat  tidak  begitu ketara lagi.   Saya percaya dalam satu
generasi  lagi,  penguasaan  Bahasa  Kebangsaan  oleh  bukan
Melayu akan meningkat ke tahap yang penuh.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25.  Walaupun  proses  perkembangan  Bahasa  Kebangsaan akan
berterusan, ia  tidak  bermakna  kita  tidak  perlu  memupuk
perkembangannya.    Jika  kita alpa dan kita biarkan sahaja,
ada kemungkinan ia akan berhenti dan terus merosot.   Inilah
sebabnya  saya  menyokong  kempen  Gerakan  Cintailah Bahasa
Kita, dan saya dengan gembiranya  melancarkan  Gerakan  ini.
Mudah-mudahan  ianya  diberi  taufik  dan hidayah oleh Tuhan
yang Maha Esa.
     Wassamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 
Google