home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ANGKASAPURI, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 27/12/87 Tajuk/Title : PELANCARAN MINGGU PENYIARAN DAN PENERANGAN Yang Berhormat Dato' Mohamed bin Rahmat, Menteri Penerangan; Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kita bersyukur kerana dapat bersama-sama merayakan Minggu Penyiaran dan Penerangan pada pagi ini. Saya difahamkan ini adalah pertama kali perayaan seperti ini diadakan mengambil sempena ulangtahun ke 25 TV dilancarkan, 10 tahun TV warna dipancarkan ke udara, 42 tahun siaran Radio dimulakan dan juga 42 tahun Jabatan Penerangan memberi khidmatnya kepada masyarakat. Semua sambutan itu disatukan supaya semua pihak dapat meraikan hari ulangtahun masing-masing dengan penuh makna dan faedah. 2. Perayaan ini, yang dibuka kepada orang ramai, akan merapatkan lagi hubungan antara orang ramai dengan semua agensi di bawah Kementerian Penerangan dan seterusnya dengan Kerajaan. Hubungan rapat itu amatlah penting kerana dalam sesebuah negara demokrasi, perhubungan antara Kerajaan dengan rakyat bukanlah perhubungan satu hala sahaja. Ia mestilah merupakan perhubungan dua hala. Kerajaan akan menyampai dan menerangkan berbagai-bagai maklumat mengenai dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang diambil untuk kepentingan rakyat dan rakyat pula seharusnya memberikan maklum-balas kepada Kerajaan. 3. Pendapat-pendapat daripada rakyat adalah merupakan 'input' yang sangat penting dalam segala aspek perancangan Kerajaan dan dalam segala usaha untuk melaksanakan rancangan-rancangan pembangunan. Ini adalah supaya perancangan dan pelaksanaan dasar dapat memenuhi aspirasi rakyat sendiri. Sesungguhnya dalam konteks pemerintahan berdemokrasi, Kerajaan ialah rakyat kerana rakyatlah yang memilih wakil-wakil mereka di dalam Kerajaan. Sebaliknya pula, rakyat ialah Kerajaan kerana kehendak merekalah yang menentukan bentuk dasar dan rancangan-rancangan yang dijalankan. Oleh kerana itulah, perhubungan timbal-balik antara Kerajaan dan rakyat merupakan keperluan asas bagi menjamin kejayaan sistem pemerintahan demokrasi itu sendiri. Tuan-tuan dan puan-puan, 4. Sepertimana yang kita sedia maklum, Radio dan TV memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Ia bukan sahaja menjadi alat penghibur tetapi juga menjadi sumber berita dan pengetahuan am yang sangat mudah untuk digunakan. Mungkin sekarang ini kalau Radio dan TV kita rosak dalam sehari dua pun, kita akan berasa sunyi. Memang banyak surat-surat khabar, majalah dan buku yang boleh dibaca untuk dijadikan ganti, tetapi nampaknya semua itu tidak sama dengan Radio dan TV. 5. Ingin saya tegaskan bahawa pihak Radio dan TV mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan masyarakat. Radio dan TV bukan sahaja perlu memberi hiburan yang sihat dan membina kepada masyarakat, tetapi juga memberi maklumat dan penerangan yang bermanfaat. Ia haruslah dapat membawa berita dan maklumat serta ilmu pengetahuan yang terbaharu kepada pendengar-pendengar dan penonton-penonton. Radio dan TV haruslah mengelakkan diri daripada menyiarkan sesuatu yang bertentangan dengan matlamat dasar dan pembangunan negara atau yang boleh merosakkan akhlak serta maruah bangsa dan negara. Ia juga mestilah menyebarkan semangat taat setia serta cintakan tanahair. 6. Radio dan TV perlu membanteras dan menentang sebarang percubaan untuk merosakkan kebudayaan dan nilai-nilai bangsa kita dengan kemasukan unsur-unsur kebudayaan asing yang tidak sihat. Kemasukan dan pengaruh kebudayaan serta nilai-nilai asing yang negatif ini boleh berlaku dengan cara yang halus sekali melalui muzik, lagu-lagu, filem-filem dan lain-lain bahan maklumat. Pencerobohan fizikal dapat kita tangkis dengan tindakan-tindakan tegas oleh Pasukan Keselamatan kita. Tetapi unsur-unsur penjajahan mental dan kebudayaan ini, lebih sukar untuk dibanteras. Ianya perlu dibanteras dengan memperkuat, menyebar dan mempopularkan seni budaya kita sendiri dan dalam hal ini peranan Radio dan TV serta filem-filem sangatlah penting bagi menanamkan rasa cinta dan bangga dengan seni budaya kebangsaan kita sendiri. 7. Nilai seni budaya kita perlu dipertingkatkan melalui Radio dan TV di samping nilai maklumat dan penerangan yang diberikan. Siaran-siaran Radio dan TV harus dapat merumus, menggembleng dan menggambarkan seluruh kekuatan tenaga senibudaya kita, lama dan baru, supaya dapat membina ketahanan budaya yang tidak mudah diganggu-gugat oleh pengaruh kebudayaan asing. Keteguhan budaya dan sosial yang dapat melambangkan cara hidup masyarakat Malaysia akan juga memupukkan lagi perpaduan rakyat di negara ini. Perpaduan amatlah penting dan perlu diutamakan dalam semua rancangan Radio dan TV, baik dalam bentuk dokumentari, hiburan atau rancangan-rancangan lain. 8. Ini adalah tugas yang besar dan berat dan ia terletak di atas bahu para artis, seniman dan budayawan kita di seluruh tanahair. Ia juga terletak di bahu orang ramai, khususnya anak-anak muda kita, sebagai pendokong seni dan kebudayaan kebangsaan. Jika mereka sendiri tidak kenal dan cinta kepada seni budaya sendiri, maka senang sekalilah unsur-unsur kebudayaan asing bertapak dihati sanubari mereka. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Di samping memberikan maklumat, penerangan dan hiburan kepada orang ramai, RTM sebagai sebuah agensi Kerajaan yang memerlukan belanja yang banyak haruslah juga berusaha untuk menampung perbelanjaannya sendiri. RTM harus meningkatkan lagi hasil komersialnya bagi mendapatkan peruntukan untuk menukar atau menambah alat dan peralatan yang diperlukan. 10. Langkah-langkah perlulah juga diambil untuk menjimatkan belanja dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang sedia ada dengan lebih efisien. Produktiviti perlu ditingkatkan dalam segala bidang dan ini boleh dilakukan dengan perancangan kerja dan pelaksanaan tugas yang lebih cekap. Kerajaan telahpun melancarkan kempen produktiviti di seluruh negara. Saya berharap ia akan benar-benar memberi kesan kerana semua agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dikehendaki berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan lagi produktiviti negara. Ini amatlah penting untuk mengatasi masalah kemelesetan ekonomi pada masa ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 11. Jabatan Penerangan adalah penyambung suara Kerajaan di kawasan-kawasan bandar dan di luar bandar. Ia menyampaikan maklumat secara bersemuka dengan orang ramai dan oleh itu boleh mendapat maklumbalas daripada mereka secara spontan. Ini bererti banyak pertukaran pendapat dapat dijalankan dan sudah tentu pendapat-pendapat rakyat itu sangat berguna kepada Kerajaan. Oleh yang demikian, Jabatan Penerangan, di samping menyampaikan maklumat-maklumat penting kepada orang ramai, juga harus mendapat maklumbalas yang tepat daripada masyarakat. 12. Filem Negara juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Maklumat tidak akan begitu menarik jika disampaikan secara lisan sahaja. Ia akan lebih berkesan apabila disampaikan dalam bentuk filem cereka yang menarik atau filem-filem dokumentari. Filem-filem ini akan pula dijadikan bahan-bahan perpustakaan dan rujukan kepada generasi akan datang. 13. Memandangkan tentang betapa beratnya tanggungjawab dan betapa luasnya peranan media-media ini, amatlah penting bagi mereka yang bertugas dengan media-media tersebut untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan mereka di samping mempelajari kaedah-kaedah terbaru supaya dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan lebih baik dan berkesan. Tuan-tuan dan puan-puan, 14. Dalam konteks masyarakat kita sekarang ini, matlamat utama ialah memupuk rasa cinta dan setia rakyat kepada negara dan semangat bersatupadu di kalangan rakyat sekalian. Saya yakin dengan adanya kerjasama yang ikhlas dan erat di antara semua kakitangan, diantara kakitangan Kerajaan dengan rakyat dan diantara rakyat dengan rakyat, negara kita akan menjadi negara yang lebih aman, makmur dan dihormati. 15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Minggu Penyiaran dan Penerangan dengan rasminya. |