Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KOMTAR, PULAU PINANG Tarikh/Date : 26/11/88 Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI GERAKAN Yang Berhormat Dato' Dr. Lim Keng Yaik, Presiden Parti GERAKAN; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN; Wakil-wakil Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Dr. Lim Keng Yaik dan Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini. Saya berharap Persidangan Perwakilan ini akan berjalan lancar dan akan dapat mencari langkah-langkah bagi menguatkan lagi parti ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Barisan Nasional telah wujud hampir satu setengah dekad. Kita bolehlah menganggap Barisan Nasional sebagai satu saluran yang baik untuk membangunkan negara ini. Dengan wujudnya Barisan Nasional yang diwakili oleh parti-parti untuk semua kaum di negara ini, kita dapat menumpukan lebih banyak masa kepada usaha-usaha pembangunan dan sebaliknya mengurangkan pembaziran masa dan usaha akibat daripada perselisihan faham. Melalui Barisan Nasional dan Perikatan sebelumnya, kita telah dapat menjalankan usaha-usaha untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan semua kaum, untuk menyusun semula masyarakat dan menjadikan ekonomi kita lebih mantap dan kukuh dari semasa ke semasa. Bahkan kita dapat menumpukan masa untuk membekalkan kemudahan-kemudahan asas kepada seberapa ramai penduduk negara ini, baik di bandar atau di luar bandar. Dalam erti kata yang lain Barisan Nasional berjaya mengurangkan perselisihan dan pergeseran sesama kita yang terdiri daripada berbagai kaum, dan sebaliknya dapat meningkatkan perhatian kepada usaha-usaha untuk kesejahteraan rakyat dan negara. 3. Walau bagaimanapun, banyak lagi yang patut kita usahakan dalam konteks memperkukuhkan Barisan Nasional untuk tahun-tahun yang akan datang. Seperti yang saya katakan tadi, kita telah dapat mengurangkan perselisihan faham dan pergeseran dengan adanya Barisan Nasional demi untuk membangunkan negara kita. Namun demikian masih terdapat segelintir ahli-ahli dalam parti-parti komponen yang tidak mengamalkan semangat Barisan Nasional. Mereka melatah dan terikut-ikut dengan gelagat parti-parti pembangkang. Reaksi ini memang menjadi tujuan parti pembangkang. Segelintir pemimpin Barisan Nasional mungkin memikirkan mereka hendaklah juga sekali-sekala bertindak seperti pemimpin-pemimpin parti pembangkang untuk mendapat sokongan daripada kaum yang mereka wakili. Walaupun benar yang kita hendaklah sentiasa menjaga kepentingan kaum yang kita wakili, para pemimpin Barisan Nasional haruslah dapat mengimbangkan apakah kepentingan yang patut kita mengambil berat dan apakah kepentingan yang harus kita imbangkan dengan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya. Para pemimpin juga harus memikirkan saluran-saluran yang lebih baik dan wajar untuk membangkitkan apa-apa kemusykilan. 4. Dalam konteks ini, kita perlulah menyampaikan penerangan kepada ahli-ahli parti tentang semangat Barisan Nasional sendiri dan usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan yang kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa terjamin. Janganlah kita hanya menunjuk kepada kegagalan kaum kita mendapatkan sesuatu, tanpa mengakui dan menunjuk kepada kejayaan yang telah kita capai bagi kepentingan kaum kita. Sebenarnya parti-parti yang mewakili kaum-kaum telah berjaya mendapat kebanyakan daripada apa yang dituntut oleh mereka. Tetapi oleh kerana mereka tidak menunjukkan kejayaan ini, mereka bukan sahaja menyebabkan kaum yang mereka wakili tidak puas hati dengan Kerajaan, tetapi juga kaum mereka tidak puas hati dengan peranan yang dimainkan oleh parti mereka. Dengan itu sokongan kepada parti mereka merosot. Ini adalah tidak sihat bagi Barisan Nasional dan juga bagi negara. 5. Seperkara lagi yang ingin saya sentuh di sini ialah kesanggupan kita sebagai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk memimpin dan bukan dipimpin oleh ahli-ahli parti. Pemimpin-pemimpin parti mestilah berani memberi penerangan-penerangan yang tepat untuk mengelakkan sebarang salah faham sesama kita. Kalau kita terikut-ikut dengan sentimen yang dibakar di kalangan rakyat dan kita hanya menjadikan sentimen itu untuk mendapat sokongan, kita sebenarnya bukan pemimpin tetapi pengikut. Jika semua pemimpin mengikut sentimen rakyat yang berlainan kaum yang terdapat di Malaysia, lambat laun rusuhan kaum akan berlaku. Tuan-tuan dan puan-puan, 6. Memang menjadi lumrah alam untuk kita seronok mendengar orang lain dikritik. Begitu jugalah kalau Kerajaan dikritik oleh parti-parti pembangkang. Bukan sahaja penyokong-penyokong mereka merasa seronok, bahkan pemerhati-pemerhati lain seronok bersama. Tetapi kita tahu sebenarnya kemampuan parti pembangkang mentadbir dan membetulkan perkara-perkara yang mereka kritik amatlah terhad. Sebenarnya mereka tidak mampu menguruskan parti mereka yang sering dilanda oleh sengketa antara pemimpin dan rebutan jawatan. Kritikan mereka adalah strategi politik mereka untuk menghala pandangan kepada orang lain. 7. Sejarah politik negara telah membuktikan bahawa apabila dua-tiga buah parti pembangkang diberi tanggungjawab memerintah di peringkat negeri, parti-parti itu gagal mengatasi isu-isu yang diperjuangkan oleh mereka. Sementara mereka berkata Kerajaan tidak demokratik dan suka menindas, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak sanggup dikritik oleh rakan-rakan mereka sendiri. Jika ada sahaja kritikan, pengkritik disingkirkan terus daripada parti. 8. Mengenai Parti GERAKAN, saya berbangga dengan perpaduan dalam parti ini walaupun terdapat sedikit-sebanyak dugaan yang dialaminya. Para pemimpin parti ini haruslah sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kekukuhan dan keutuhan Parti GERAKAN. Pada keseluruhannya, parti-parti komponen Barisan Nasional telah dapat mengukuhkan lagi kedudukan masing-masing tahun ini sekiranya dibandingkan dengan setahun-dua yang lalu. Ini termasuklah UMNO dan MCA yang telah mengalami dugaan daripada segi perpaduan parti. Kita harus berbangga yang perpaduan parti-parti komponen dapat kita tingkatkan dewasa ini. Kekuatan setiap parti komponen sudah tentu akan dapat meningkatkan lagi kekukuhan Barisan Nasional sendiri. Dengan itu keutuhan Parti GERAKAN akan mengembirakan juga parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Setiap kali kita bertemu, saya memperkatakan hal ekonomi kerana ekonomi menjadi salah satu asas penting untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Kita harus berbangga dengan prestasi ekonomi negara tahun ini. Kita dapat bernafas dengan selesa dengan meningkatnya harga-harga komoditi dan dengan meningkatnya eksport bagi keluaran sektor perkilangan kita. Tahun depan, ekonomi negara dijangka berkembang dengan kadar yang baik juga iaitu pertumbuhan 6.4% bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar atau Gross Domestic Product. Dengan adanya kerjasama daripada semua pihak -- sektor awam, pihak swasta dan parti-parti politik dalam Barisan Nasional -- kita mungkin dapat mencapai pertumbuhan yang lebih baik lagi pada tahun depan. 10. Kerajaan juga sedang berusaha untuk menjadikan pelancongan sebagai satu sumber perkembangan ekonomi negara. Usaha-usaha kita setakat ini bolehlah dikatakan berjaya. Bukan sahaja kadar sewa hotel telah menurun sedikit, bahkan kemudahan-kemudahan pelancongan telah dapat dipelbagaikan. Daripada segi ketibaan melalui udara, kita telah mula dapat menarik lebih ramai pelancong, walaupun dua-tiga buah negara jiran juga sangat agresif dalam industri ini. 11. Kita juga dapat memberi galakan kepada industri pelancongan dengan meningkatkan pelancongan dalam negeri. Di samping itu kita akan mengadakan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990. Kerajaan berharap setiap pihak yang terlibat dengan pelancongan akan bekerjasama dengan Kerajaan dalam pembentukan strategi menarik para pelancong supaya industri ini dapat menyumbangkan tukaran asing yang tinggi. Dengan adanya usaha-usaha bersama ini kita berharap ekonomi negara akan berkembang dengan pesatnya. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Saya berharap Persidangan ini akan dapat memperkukuhkan lagi Parti GERAKAN. Dengan kekukuhan itu Parti GERAKAN akan dapat memainkan peranan yang lebih bermakna lagi dalam membangunkan masyarakat dan negara. 13. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN kerana menjemput saya ke Persidangan Perwakilan ini. Saya berharap Parti GERAKAN akan terus mencapai kejayaan pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini.