home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/01/89 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN MAJLIS PERUNDINGAN 
			EKONOMI NEGARA SELEPAS 1990 




 Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Anggota-Anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan,
    Bagi   pihak   Kerajaan  dan  bagi  pihak  rakyat  yang
menyokong penubuhan Majlis Perundingan Ekonomi  Negara  ini,
saya  ingin  mengalu-alukan  tuan-tuan dan puan-puan sebagai
anggota Majlis  yang  akan  menentukan  masa  depan  ekonomi
negara kita.
2.   Saya  juga  ingin  mengucapkan  berbanyak  terima kasih
kerana kesudian tuan-tuan dan puan-puan menjadi ahli  Majlis
ini  yang mana tugas yang dipertanggungjawabkan kepada tuan-
tuan  dan  puan-puan  adalah  amat  berat  dan  tidak  mudah
dilaksanakan.
3.   Dasar  ekonomi sesebuah negara bukan perkara yang kecil
yang boleh ditentukan dengan  mudah.    Dasar  ekonomi  bagi
negara  majmuk  seperti  Malaysia  lebih  susah  lagi  untuk
dibentuk, kerana tujuannya bukan sahaja pertumbuhan ekonomi,
tetapi juga melibatkan aspirasi ekonomi, politik dan  sosial
berbagai  kaum  yang  mempunyai masalah dan kepentingan yang
tersendiri.   Justeru  itu,  tuan-tuan  dan  puan-puan  akan
menghadapi  berbagai  masalah  dan kerumitan dalam membentuk
dasar yang boleh diterima oleh rakyat negara kita ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4.   Setelah penduduk berbilang  kaum  di  Malaysia  berjaya
membebaskan   diri   mereka  daripada  belenggu  penjajahan,
masalah yang kita hadapi tidak lagi boleh disalahkan  kepada
penjajah.      Mungkin   buat   beberapa  tahun  kita  boleh
menyalahkan  penjajah  tentang  ketidakseimbangan  kedudukan
ekonomi,  politik  dan sosial kita.  Tetapi selepas 31 tahun
merdeka, jika kita masih lagi tidak dapat mengatasi  masalah
kita  sendiri,  kita  tidak  berhak  menyalahkan orang lain.
Kegagalan  kita  mestilah  dipikul  sepenuhnya   oleh   kita
sendiri.
5.   Sesuatu  bangsa atau kaum yang berjaya membebaskan diri
daripada belenggu penjajahan tidak akan  rela  dijajah  pula
oleh  bangsa  atau  kaum yang lain.  Di negara Malaysia yang
merdeka, orang-orang Melayu tidak  mahu  dijajah  oleh  kaum
lain,  dan  demikian  juga orang-orang Cina, India, Kadazan,
Iban, Murut, Bajau, Kenyah dan lain-lain suku kaum.   Mereka
berkehendakkan  kebebasan,  baik  dalam  bidang politik atau
ekonomi atau sosial.  Dengan perkataan lain,    setiap  kaum
mesti  mempunyai  peluang  dan kemungkinan untuk memperolehi
kejayaan yang sama dalam semua bidang dan lapangan.
6.   Tidak ada kaum yang  mahu  hanya  menjadi  petani  atau
penoreh  getah atau pemandu teksi sahaja.  Setiap kaum mesti
ada yang menjadi ahli profesional,  peniaga  dan  pengusaha,
pegawai  tinggi  dan  rendah dan lebih tepat lagi orang yang
berada.  Jikalau di Malaysia yang berbilang kaum ini,  hanya
satu  kaum  sahaja  yang  kaya,  tinggal  dalam mahligai dan
menguruskan semua kekayaan negara, maka kaum yang lain tetap
akan berasa tidak puas hati.
7.   Lainlah halnya jika semua kaum  akhirnya  menjadi  satu
bangsa  dengan  mempunyai  identiti yang khusus dan istimewa
bagi negara Malaysia.   Jika assimilasi  seperti  ini  boleh
berlaku, maka soal kaum tidak akan timbul.  Tetapi awal-awal
lagi  kita  berkeras  tidak mahu asal-usul kita diketepikan.
Kita ingin mengekalkan  identiti  kita  dengan  negara  asal
moyang kita, bahasa ibunda dan kebudayaan asli kita.  Dengan
itu  kita  kekalkan perbezaan kita daripada segi kaum.  Maka
perlulah pula kita  berusaha  mengimbangkan  kedudukan  kita
dalam  masyarakat  yang berlainan kaum di Malaysia ini.  Dan
ini bukanlah perkara yang mudah.   Negara-negara Barat  yang
sering mengkritik kita kerana tekanan kepada 'ethnic origin'
amat   berhati-hati   dalam  negara  mereka  sendiri  supaya
dominasi ethnik Caucasian tidak terancam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Beberapa tahun  selepas  pencapaian  kemerdekaan,  kita
khayal dengan kebebasan negara sehingga pucuk pimpinan tidak
sedar   akan   desas-desus   di   kalangan  rakyat  mengenai
ketidakseimbangan yang terdapat di antara kaum dalam  bidang
politik, ekonomi dan sosial.
9.   Akibatnya   pada  13  Mei  1969  kita  dikejutkan  oleh
peristiwa   rusuhan   kaum.      Dengan   kesedaran   bahawa
ketidakseimbangan  ini boleh membawa rusuhan, maka kita cuba
mengatasi masalah ini melalui satu rancangan  socio-economic
engineering  yang tidak pernah dicuba oleh mana-mana negara.
Dasar Ekonomi Baru  atau  DEB  yang  kita  ciptakan  amatlah
bercita-cita  besar  atau  ambitious.    Dalam jangkamasa 20
tahun kita percaya kita boleh  menghapuskan  kemiskinan  dan
mengimbangkan   kedudukan   ekonomi   berbagai   kaum  tanpa
menjejaskan kemajuan negara.
10.  Menghapuskan kemiskinan amatlah tidak  realistik.    Di
negara-negara  yang  maju dan kaya seperti Amerika Syarikat,
Eropah dan Jepun, masih terdapat  kemiskinan  yang  menyayat
hati.  Ramai daripada penduduk negara maju bergantung kepada
'dole'  untuk  hidup  di  paras  yang  amat rendah.   Sistem
komunis  dan  sosialis  juga  tidak   berjaya   menghapuskan
kemiskinan.  Pembahagian kekayaan sama-rata tidak menjadikan
semua   anggota  masyarakat  kaya.    Sebaliknya,  kedudukan
sebenar di negara  komunis  dan  sosialis  ialah  kebanyakan
daripada  rakyat  mereka menghadapi serba kekurangan.  Sebab
itulah sekarang beberapa prinsip komunis dan sosialis  telah
diubahsuai dan ada juga yang digugurkan.
11.  Sebenarnya  masyarakat manusia hanya boleh mengurangkan
paras kemiskinan sehingga tidaklah berlaku kebuluran seperti
yang terdapat di beberapa buah negara.   Dengan  usaha  yang
gigih  oleh  rakyat  dan  pentadbiran yang bertanggungjawab,
kemiskinan boleh  dikurangkan,  walaupun  kemiskinan  secara
relatif tetap wujud.
12.  Objektif  Kedua  DEB  ialah  menyusun semula masyarakat
supaya  pengenalan  kaum  mengikut  fungsi   ekonomi   dapat
dikurangkan dan akhirnya dihapuskan.  Dalam bidang korporat,
ini  ditafsirkan  sebagai  memberi  milik  ekuiti bidang ini
sekurang-kurangnya 30%  kepada  bumiputera  dan  40%  kepada
bukan bumiputera dan bakinya kepada orang-orang asing.
13.  Hari ini kita sedar bahawa target kita ini agak terlalu
optimistik.  Walaupun Kerajaan telah menubuhkan beratus buah
syarikat  yang  modalnya  disediakan  oleh  Kerajaan  secara
langsung untuk meningkatkan ekuiti bumiputera  dalam  bidang
korporat,  kita dapat mencapai hanya hampir 20% dalam ekuiti
sektor  ini.    Jika  tidak  ada  PNB,  Pernas,  Perbadanan-
Perbadanan  Kemajuan  Ekonomi Negeri dan lain-lain institusi
amanah bumiputera, ekuiti bahagian  bumiputera  perseorangan
hanyalah 12%.
14.  Sebaliknya   bahagian  bukan  bumiputera  dalam  sektor
korporat tidaklah statik di paras  38%  yang  terdapat  pada
permulaan   DEB.     Mengikut  angka  yang  diperolehi  oleh
Kerajaan, bahagian rakyat Malaysia yang lain telah meningkat
kepada kira-kira 57%.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Di  zaman  kemelesetan,  tekanan  terhadap   penyusunan
semula  masyarakat  telah dikurangkan kerana kita tidak mahu
pembahagian kekayaan antara yang  berada  menjejas  peluang-
peluang  pekerjaan  bagi  yang  menganggur  yang sudah tentu
ramai  daripada  mereka  terdiri   daripada   yang   miskin.
Penubuhan   institusi-institusi   pelajaran   dan   tambahan
bilangan biasiswa juga bertujuan mengurangkan kemiskinan, di
samping  mengurangkan  pengenalan  fungsi  ekonomi  mengikut
kaum.
16.  Kita  masih mempunyai orang-orang yang miskin dan masih
ada  pembahagian  aktiviti  ekonomi  mengikut   kaum   serta
ketidakseimbangan  pembangunan  antara  kaum.   Justeru itu,
soalan yang pertama ialah menentukan sama ada matlamat  kita
ini perlu dibetulkan atau tidak?  Apakah kita masih bercita-
cita   memperjuangkan  matlamat  yang  lama  atau  membentuk
matlamat yang baru?
17.  Kita harus ingat bahawa di negara berbilang kaum, lebih
daripada negara yang penduduknya terdiri daripada satu  kaum
sahaja,  ekonomi mempengaruhi politik.  Stabil atau tidaknya
sesuatu negara berbilang kaum  bergantung  kepada  interaksi
antara  satu  kaum  dengan  kaum  yang  lain.   Mungkin juga
persepsi   sesuatu   kaum   terhadap   masalah   ini   lebih
mempengaruhi daripada hakikat yang sebenar.
18.  Di  Malaysia,  kita  tahu bahawa setiap kaum menganggap
kaum  yang  lain  lebih  beruntung.     Bumiputera   umumnya
menganggap  bukan  bumiputera lebih maju dan mewah kehidupan
mereka.  Sebaliknya, kaum bukan bumiputera  pula  menganggap
bumiputeralah  yang  hidup  lebih  bahagia  di  negara  ini.
Siapakah  yang  benar?    Mungkin  kedua-duanya  benar  atau
mungkin kedua-duanya salah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
19.  Walau  apa  pun  pendapat kita terhadap kesan DEB, kita
perlu  mengakui  dan  berbangga  dengan  pencapaian   negara
Malaysia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial semasa DEB
dilaksanakan.    Selama  31 tahun merdeka kita telah berjaya
mengamalkan sistem demokrasi, kita telah berjaya  mengadakan
pilihanraya  di  mana  calon  parti  pembangkang  juga boleh
menang, jika itu yang  dikehendaki  oleh  pengundi-pengundi.
Tidak   sesiapa  dapat  menafikan  bahawa  sistem  Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan  berjaya  diamalkan  di
Malaysia.
20.  Tetapi  kejayaan  yang ketara ialah pembangunan ekonomi
negara.  Daripada sebuah negara yang  hanya  membekal  bijih
timah  dan  getah  mentah  kepada  negara-negara Barat, kita
telah menjadi bukan sahaja  pembekal  timah,  getah,  kelapa
sawit,  koko, kayu tropika dan lain-lain bahan mentah kepada
dunia, tetapi juga barang-barang  buatan  seperti  komponen,
elektronik,  penghawa  dingin,  permainan  kanak-kanak,  dan
insya-Allah motokar juga.
21.  Pertumbuhan ekonomi meningkat dengan pesatnya  sehingga
dalam  tahun-tahun tujuh puluhan paras pertumbuhan adalah 8%
setahun.    Pertumbuhan  ini  merosot   sedikit   di   waktu
kemelesetan   ekonomi   dunia,  tetapi  telah  pulih  semula
sekarang.
22.  Pendapatan per kapita yang ditaksirkan sebanyak  US$350
di  waktu  pencapaian  kemerdekaan,  telah  meningkat kepada
US$2,000 pada awal lapan puluhan.  Sekarang ini oleh  kerana
beberapa   faktor   termasuklah   kejatuhan  nilai  ringgit,
pendapatan per kapita turun  kepada  US$1,800  tetapi  taraf
hidup tidak terjejas kerana inflasi semasa kemelesetan hanya
1%  sahaja.    Jika  dibandingkan  dengan  sesetengah negara
membangun, di mana inflasinya  meningkat  begitu  tinggi  di
waktu   kemelesetan  sehingga  ada  negara  yang  inflasinya
meningkat   1,700%,   pencapaian   negara   kita    bolehlah
dibanggakan.
23.  Perkara  yang  tidak disenangi ialah paras pengangguran
yang tinggi di zaman kemelesetan.  Namun masalah ini  sedang
diatasi dengan peningkatan pelaburan asing.  Satu tahap yang
luar  biasa  telah dicapai pada tahun 1988 di mana pelaburan
asing meningkat 200%, iaitu 2 kali ganda  peningkatan  biasa
berbanding dengan tahun-tahun yang terbaik dahulu.
24.  Kebanyakan kejayaan dalam bidang ekonomi ini dicapai di
dalam  tempoh  DEB.   Mungkin negara dapat mencapai kejayaan
yang lebih jika tidak ada  DEB  seperti  yang  didakwa  oleh
sesetengah pihak.  Tetapi hakikat yang tidak boleh dinafikan
ialah  pertumbuhan  ekonomi  di  Malaysia  semasa DEB adalah
lebih  baik  daripada  pertumbuhan  di   kebanyakan   negara
membangun  yang tidak menghadapi apa yang dikatakan gangguan
kerana DEB.
25.  Pelaksanaan DEB memang diubah-suaikan mengikut  keadaan
dan  iklim  ekonomi  dalam dan luar negeri.   Di waktu dunia
mengalami kemelesetan  dan  negara  kita  turut  merasainya,
penekanan  DEB  ialah  kepada  matlamat  yang pertama, iaitu
membasmi kemiskinan.  Pada masa ini  peratusan  pengangguran
telah  meningkat  bukan  sahaja  di  kalangan  pekerja biasa
tetapi juga di kalangan mereka yang berpelajaran tinggi.  Di
masa ini juga kemampuan bumiputera dan Kerajaan melabur atau
membeli saham amat  terhad.    Justeru  itu  tekanan  diberi
kepada pengwujudan peluang-peluang pekerjaan.  Amatlah tidak
adil  jika  pekerja-pekerja yang menganggur dipaksa menunggu
sehingga bumiputera yang lebih berada mampu melabur  sebelum
pelaburan   asing   atau   pelaburan   tempatan  dibenarkan.
Kerajaan telah  melonggarkan  syarat  pemilikan  saham  oleh
bumiputera untuk memudahkan pelaburan dan penubuhan syarikat
oleh  para  pelabur asing.  Strategi ini telah membawa hasil
yang baik  dan  ini  terbukti  dengan  pesatnya  peningkatan
pelaburan serta bertambahnya peluang-peluang pekerjaan.
26.  Namun  demikian  kita  perlu  mengakui fakta-fakta lain
yang menolong meningkatkan pelaburan asing di  negara  kita,
seperti  tekanan  terhadap  matawang Jepun, Korea dan Taiwan
supaya dinaikkan nilainya, fakta GSP yang ditarik balik oleh
negara  maju  terhadap  negara-negara  NIC,  turunnya  nilai
matawang  ringgit dan lain-lain lagi.  Walaupun benar fakta-
fakta lain ini memainkan peranan, hakikat yang perlu  diakui
ialah  negara  lain juga mendapat kesan daripada fakta-fakta
ini tetapi  mereka  tidak  begitu  berjaya  mengatasi  kesan
kemelesetan.  Pemulihan ekonomi yang kuat di Malaysia dengan
penduduk  berbilang  kaumnya  tidak  terdapat  di kebanyakan
negara membangun termasuk di negara-negara yang  penduduknya
lebih homogeneous.
27.  Dakwaan  ini  bukan  bertujuan untuk merendah-rendahkan
pencapaian negara lain tetapi ianya adalah  satu  kebenaran.
Jika  negara kita tidak mencapai kejayaan, tidak dapat tidak
perbandingan akan dibuat dengan negara  lain  yang  mencapai
kejayaan.    Mengikut  pendekatan  yang  sama,  apabila kita
mengukur   prestasi   kita,   terpaksalah    kita    membuat
perbandingan  pula  dengan prestasi negara lain yang setaraf
dengan kita.
28.  Dakwaan bahawa DEB tidak adil, bahawa Kerajaan memutar-
belitkan angka-angka statistik sering dibuat  sekarang  oleh
satu   kumpulan   chauvinist   dengan   lantang.    Kumpulan
chauvinist  yang  lain  juga  boleh  membalas dengan dakwaan
yang  sama  terhadap   tuduhan-tuduhan   yang   dilemparkan.
Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak  akan  menyelesaikan
masalah kita,  tetapi  ia   sebenarnya  akan  menambah   dan
memburukkan  lagi masalah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
29.  Kerajaan  amat  dukacita  kerana  langkah  liberal yang
diambil oleh  Kerajaan  menubuhkan  Majlis  Perundingan  ini
telah  cuba  dipolitikkan  oleh  kumpulan-kumpulan tertentu.
Mereka  cuba   mengaitkan   keahlian   Majlis   ini   dengan
kepentingan  politik  mereka.   Mereka cuba mendapat sesuatu
bagi  diri  mereka  dengan  mengambil  kesempatan   daripada
kesediaan  Kerajaan  memberi peluang kepada mereka memainkan
peranan dengan lebih bermakna dalam  menentukan  masa  depan
dan  nasib negara.   Mereka cuba memberi gambaran yang buruk
terhadap satu usaha Kerajaan yang melebihi amalan  demokrasi
biasa.
30.  Kerajaan   khuatir   jika   sikap  dan  pendekatan  ini
diteruskan,  usaha  yang  mulia  ini  akan  gagal   mencapai
matlamatnya.     Kerajaan  tidak  sanggup  dan  tidak  boleh
dipersalahkan jika usaha ini menemui kegagalan.    Oleh  itu
Kerajaan   merayu   kepada  semua    pihak,  sama  ada  yang
menganggotai Majlis Perundingan ini atau yang tidak,  supaya
memberi  perhatian  yang  serius  kepada usaha yang istimewa
ini.  Terimalah pendekatan ini sebagai satu tindakan  ikhlas
Kerajaan   untuk   melibatkan   lebih   ramai  rakyat  dalam
menentukan nasib negara.
31.  Jika pendekatan ini mendatangkan hasil yang  baik  yang
membawa  manfaat  kepada  negara,  ia  boleh digunakan dalam
menghadapi berbagai masalah lain.   Tetapi, jika  pendekatan
ini  diperalatkan  untuk  tujuan  politik  atau  kepentingan
tertentu yang lain, maka sukarlah bagi Kerajaan  dan  negara
menerima  cara ini untuk mengatasi masalah-masalah lain yang
mungkin timbul dalam negara ini dari semasa ke semasa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
32.  Kerajaan sekali lagi mengucapkan  terima  kasih  kepada
semua anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara Selepas 1990
ini  kerana  sudi  menerima  jemputan  Kerajaan.    Kerajaan
berharap perbincangan Majlis ini akan berjalan dengan lancar
dan akhirnya membawa kejayaan yang diharapkan.
33.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan  Majlis
Perundingan Ekonomi Negara Selepas 1990 dengan rasminya.

 
 



 
Google