home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA BESAR JOHOR BAHRU, JOHOR 
Tarikh/Date 	: 	11/05/89 
Tajuk/Title  	: 	PERHIMPUNAN SAMBUTAN HARI 
			KELAHIRAN UMNO 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dif-Dif Kehormat;
Para Pengasas UMNO;
Ahli-Ahli UMNO;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama  pada
hari yang bersejarah ini.
2.   Hari   ini  kita  menempah  satu  lagi  peristiwa  yang
bersejarah dalam riwayat  UMNO  atau  Pertubuhan  Kebangsaan
Melayu  Bersatu.    Hari  ini  kita rayakan hari lahir UMNO.
Pada 11 Mei 1946, di Istana  Besar  Johor  Bharu,  ini  UMNO
telah ditubuh dan dilancarkan sebagai parti politik dan alat
bagi  perjuangan  orang-orang Melayu menangkis usaha British
untuk menghapuskan bangsa Melayu, negeri-negeri  Melayu  dan
sistem Raja-Raja Melayu.
3.   Cadangan  menubuhkan sebuah parti politik yang mewakili
semua  orang  Melayu  telah  dipersetujui   di   perhimpunan
pertubuhan-pertubuhan  orang Melayu dari seluruh Semenanjung
termasuk Singapura yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di
Kampung Baru, Kuala Lumpur dari 1hb. hingga 4hb. Mac, 1946.
4.   Di zaman pemerintahan Tentera Jepun, orang-orang Melayu
memikirkan jika British kembali  semula,  maka  mereka  akan
diberi semula taraf kerakyatan negeri-negeri yang dilindungi
oleh  British  dan  mereka  akan  diiktiraf  semula  sebagai
warganegara tunggal negeri-negeri Melayu.    Hanya  penduduk
Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sahaja yang ditakluk oleh
British secara langsung yang akan menjadi rakyat British.
5.   Tetapi  setibanya  sahaja  British,  mereka mengumumkan
rancangan  menyatukan  semua  negeri-negeri  Melayu,   Pulau
Pinang  dan Melaka dalam sebuah jajahan takluk British terus
yang dinamakan Malayan Union.
6.   Semua penduduk berbagai kaum di wilayah berkenaan  akan
diberi  taraf  warganegara  tanpa membezakan yang Melayu dan
yang bukan, yang baru datang dan yang  telah  lama  tinggal.
Raja-Raja   Melayu   diberi   peranan  simbolik  sahaja  dan
bertanggungjawab hanya terhadap  adat  istiadat  Melayu  dan
agama Islam.
7.   Taraf sama rata atau equal citizenship yang akan diberi
kepada  semua  penduduk Tanah Melayu akan mendedahkan orang-
orang Melayu kepada  persaingan  dari  kaum-kaum  lain  yang
tetap  akan  menjadikan orang Melayu kaum yang termiskin dan
daif di Malaysia.  Pada ketika itu orang-orang Melayu  hanya
menjadi  penanam padi, nelayan persisiran dan ada segelintir
yang bernasib baik menjadi kerani kecil  di  jabatan-jabatan
Kerajaan.  Tidak ada di antara mereka ahli peniaga atau ahli
profesional.    Demikianlah  pemerintahan  British  sehingga
tanda-tanda bahawa Semenanjung Tanah  Melayu  adalah  negeri
asal   orang  Melayu  sudah  hampir  luput.    Bandar-bandar
terutamanya tidak sedikitpun mencerminkan kebudayaan Melayu.
Jika ada orang   Melayu   di   bandar  mereka    tinggal  di
kawasan-kawasan  miskin  di  pinggir  bandar atau di kawasan
tanah rizab.
8.   Keadaan  orang  Melayu  semasa   pemerintahan   British
samalah  dengan orang Red Indian di Amerika Syarikat.  Lebih
kuat British berkuasa lebih buruk  kedudukan  orang  Melayu.
Di  Negeri-Negeri  Selat,  iaitu Singapura, Melaka dan Pulau
Pinang orang-orang Melayu  memegang  jawatan-jawatan  rendah
sahaja.    Di  Negeri-Negeri  Melayu  Bersekutu iaitu Perak,
Selangor,  Pahang  dan  Negeri  Sembilan,  keadaannya   baik
sedikit, dengan beberapa elite dari golongan pembesar negeri
memegang  jawatan pentadbir.   Di Negeri-Negeri Melayu Tidak
Bersekutu,  iaitu  Johor,  Kedah,   Perlis,   Kelantan   dan
Terengganu,  di  mana British kononnya boleh memberi nasihat
sahaja, kakitangan Kerajaan kebanyakannya  terdiri  daripada
orang-orang  Melayu  walaupun ketua jabatan terdiri daripada
pegawai-pegawai British.
9.   Di bandar-bandar tidak ada orang-orang Melayu  berniaga
di kedai-kedai batu.  Bilangan penjaja Melayupun lebih kecil
daripada kaum lain.  Tidak ada sama sekali pengusaha Melayu.
Di   kawasan-kawasan   kediaman   orang-orang  berada  tidak
terdapat barang sebuah pun rumah orang Melayu.  Pendek  kata
di bandar-bandar besar orang-orang Melayu menjadi kaum asing
yang  tidak  mempunyai tempat.   Jika British bertimbangrasa
sedikit, orang-orang Melayu ditempatkan dalam kawasan  rizab
Melayu seperti Red Indian.
10.  Di  estet  dan lombong juga tidak kelihatan orang-orang
Melayu.  Bukan sahaja mereka tidak memiliki  punca  kekayaan
ini,  tetapi  juga mereka tidak berpeluang bekerja.  Mungkin
mereka tidak berminat bekerja  dalam  lombong  atau  menjadi
penoreh   getah,   tetapi  jawatan-jawatan  dalam  syarikat-
syarikat juga  tidak  terdapat  kepada  orang-orang  Melayu.
Selain   daripada  kebun  kecil  getah  yang  dimiliki  oleh
beberapa kerat orang  Melayu,  mereka  sekali  lagi  menjadi
orang  asing  dalam estet dan lombong.  Di sini bukan tempat
mereka.  Ini adalah seolah-olah negara asing di mana  mereka
tidak boleh faham bahasa yang ditutur atau ditulis.
11.  Walaupun  British  mengakui  sebelum perang dunia kedua
dalam  perjanjian  mereka  dengan   negeri   Melayu   bahawa
Semenanjung   ini  adalah  Semenanjung  Melayu,  atau  Malay
Peninsular,  tetapi  selain  daripada  kawasan   sawah   dan
kawasan-kawasan   yang   terpencil,  Semenanjung  ini  sudah
dijadikan negara orang bukan Melayu.
12.  Demikianlah kedudukan orang-orang Melayu sehingga  jika
mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain, mereka tetap akan
kalah   dalam  semua  bidang  dan  akan  menjadi  kaum  yang
termiskin dan daif sekali dalam negeri-negeri Melayu.   Jika
mereka  berpeluang menjadi petani dan memiliki sawah padi di
zaman British,  sebabnya  ialah  kawasan  sawah  padi  telah
dirizabkan bagi mereka. Di mana sawah tidak dirizabkan, kaum
lain dengan mudahnya mengambil alih dan mengerjakannya.
13.  Jika  semua  penduduk  berbagai  kaum  di Malaya diberi
kerakyatan dan  hak  samarata  dan  persaingan  dalam  semua
bidang   dibenarkan  tanpa  apa-apa  sekatan,  bukan  sahaja
KeMelayuan negeri-negeri  Melayu  akan  luput,  tetapi  juga
orang-orang  Melayu  akan  diperhambakan  di tanahair mereka
sendiri.   Ini tidak  bermakna  bahawa  mereka  tidak  mampu
mempertingkatkan   taraf   mereka,  tetapi  penjajahan  oleh
British yang mengutamakan kepentingan  ekonomi  diri  mereka
semata-mata telah menyebabkan orang Melayu tertinggal begitu
jauh  sekali  sehingga  kemungkinan mereka berupaya bersaing
atau mengejar kaum-kaum lain tanpa pertolongan  sudah  tidak
ada.
14.  Kita  sering  mendengar  ungkapan  'yang miskin menjadi
lebih miskin, yang kaya lebih kaya'.   Ungkapan  ini  memang
mempunyai  asas  pada  masa penjajahan British.  Yang miskin
tidak  mempunyai  sebarang  modal,  iaitu  pelajaran,   wang
ringgit, peluang, kredibiliti, contacts, pengalaman, tempat,
kebolehan meminjam modal dan lain-lain fakta lagi yang boleh
menolong mereka meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka.
Sebaliknya  yang kaya mempunyai semua fakta-fakta yang boleh
menolong mereka  menjadi  lebih  kaya  dengan  lebih  cepat.
Dengan itu jika persaingan secara terbuka dan bebas diadakan
antara  rakyat  yang  mempunyai  hak sama rata, semakin lama
semakin jauhlah jarak perbezaan antara  yang  miskin  dengan
yang kaya.  Dalam keadaan ini benarlah ungkapan 'yang miskin
menjadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya'.
15.  Di  zaman  British  orang-orang Melayu adalah kaum yang
miskin dan orang-orang bukan Melayu rata-ratanya adalah kaum
yang lebih kaya.  Jika taraf yang sama rata diberikan kepada
semua penduduk  Malaya  mengikut  rancangan  Malayan  Union,
orang-orang  Melayu  yang sudah miskin dan serba ketinggalan
tetap akan menjadi lebih miskin dan mereka yang  lain  lebih
kaya.   Jarak pencapaian antara kaum-kaum akan menjadi lebih
jauh dan tidak mungkin boleh dirapatkan semula.
16.  Sebab  itu,  apabila  British  mendakwa  bahawa Malayan
Union  adalah  langkah  ke  arah pemerintahan sendiri, ramai
orang Melayu   pada   masa   itu   menyatakan  mereka  tidak
mahu pemerintahan sendiri --  tidak mahu kemerdekaan. Mereka
menulis  kepada akhbar Majlis menyatakan mereka mahu naungan
British diteruskan  untuk  keamanan  dan  tunjuk-ajar  dalam
bidang pentadbiran.
17.  Kita  menganggap  sikap  seperti ini adalah aneh tetapi
memanglah orang-orang Melayu sendiri pada  masa  itu  kurang
kepercayaan  kepada kebolehan mereka dalam semua bidang, dan
ketidakmampuan mereka untuk bersaing dengan kaum-kaum  lain.
Mereka  yakin  tanpa  perlindungan British, kacau-bilau akan
berlaku  dalam  negeri-negeri  di  Semenanjung   termasuklah
Negeri-Negeri  Selat  dengan  kemungkinan  negeri-negeri ini
jatuh ke tangan bangsa asing, khususnya orang  Cina  Komunis
yang  pada  masa  itu  mempunyai  pasukan gurila yang sedang
mengganas di merata tempat di Semenanjung.
18.  Ramai orang-orang Cina pada masa itu masih  mengibarkan
bendera  Kuomintang dan menganggap diri mereka rakyat Negara
Cina dan Negara Cina pula mengakui semua orang Cina di  mana
juga  mereka  berada  sebagai rakyat Negara Cina.   Tidaklah
menjadi sesuatu yang luar biasa, pada fikiran orang  Melayu,
jika  Negara  China memberi pertolongan kepada rakyat mereka
dalam usaha merebut negeri-negeri Melayu.
19.  Selepas tamat perang Dunia  Kedua  dan  sebelum  sempat
tentera  British  kembali  ke  Malaya,  gurila Komunis telah
bermaharajalela.  Mereka telah mengambilalih balai polis  di
beberapa  kawasan  terpencil  dan  menaikkan bendera Komunis
Bintang Tiga dan Bintang Satu.  Ada orang-orang kampung yang
dibunuh  untuk  menakutkan  mereka  supaya  mereka  menerima
pemerintahan   Komunis.      Memang   hasrat  Komunis  untuk
mendirikan Republik Komunis di Malaya.
20.  Apabila British mendirikan Pemerintahan Tentera, mereka
mengiktiraf dan menghalalkan Parti Komunis  Malaya.    Dalam
sekelip mata Parti Komunis Malaya telah menubuhkan kesatuan-
kesatuan   sekerja  yang  dikuasai  oleh  Komunis.    Mereka
bergerak bebas dan sombong kerana mereka yakin  Malaya  akan
jatuh  ke  tangan mereka.   Hanya apabila mereka melancarkan
perang gurila pada 1948 baharulah pihak British bertindak.
21.  Ketakutan  orang-orang  Melayu  yang  disebabkan   oleh
kedaifan  mereka  dan  oleh  berbagai kemungkinan ini, telah
membawa kepada kesedaran politik luar biasa.    Dari  bangsa
yang  tidak  pernah mendatangkan masalah kepada pemerintahan
British,  mereka  telah  bangun  untuk  menentang  rancangan
Malayan Union British dengan kerasnya.
22.  Pada  mulanya  penentangan  dibuat secara berasingan di
negeri masing-masing.  Ini tidak berkesan.    Pihak  British
terus  juga menghantar MacMichael untuk mendapat persetujuan
Raja-Raja Melayu.
23.  Raja-raja  Melayu  pula  pada  ketika  itu  tidak   ada
hubungan  dengan rakyat dan tidak pula mengharapkan sokongan
daripada rakyat.  Mereka berasa lemah dan  kedudukan  mereka
bergantung  semata-mata  kepada  British.   Sebelum daripada
Malayan Union pun, ada  masanya  bakal  raja  disingkir  dan
digantikan  dengan anggota keluarga di Raja yang lain kerana
tidak mematuhi kehendak British.  Tidaklah hairan jika Raja-
Raja menandatangani perjanjian  Malayan  Union  yang  dibawa
oleh MacMichael, iaitu menyerahkan hak mereka dan hak orang-
orang Melayu.
24.  Memandang  bahawa  tindakan  berasingan  oleh kumpulan-
kumpulan  kecil  Melayu  di   negeri   masing-masing   tidak
dihiraukan  oleh  British, maka desakan dibuat supaya orang-
orang Melayu dari semua negeri di  Semenanjung  bersatu-padu
dan  bergerak  bersama dan serentak.   Akhirnya pada 1hb Mac
1946,  pertubuhan-pertubuhan  dan  kesatuan-kesatuan  sosial
Melayu  telah  mengadakan  Kongres  Melayu  Se  Malaya  yang
pertama  di  Kelab  Sultan  Sulaiman,  Kampung  Baru,  Kuala
Lumpur.      Sesuatu   yang  menarik  di  majlis  itu  ialah
persetujuan Duli Yang Maha  Mulia  Sultan  Hishamuddin  Alam
Shah,  Sultan  Selangor  yang  berkenan merasmikan pembukaan
Kongres ini.  Inilah kali pertama raja bersama rakyat  dalam
menghadapi masalah dengan British.  Tarikh dan peristiwa ini
tidak  kurang pentingnya kepada perjuangan nasib orang-orang
Melayu dari  tarikh  keramat  11  Mei  di  waktu  mana  UMNO
ditubuhkan secara rasminya.
25.  Selain  daripada Party Kebangsaan Melayu Sa-Malaya atau
Malay  Nationalist  Party  (MNP)  yang  dipimpin  oleh   Dr.
Burhanuddin  dan  sebuah pertubuhan lain, 39 pertubuhan yang
lain sebulat suara bersetuju menubuhkan sebuah parti politik
orang-orang Melayu di  peringkat  nasional  yang  dianggotai
oleh  semua  pertubuhan  yang hadir dalam Kongres dan pihak-
pihak  lain  yang  bersetuju  menyertainya.     Allahyarham-
allahyarham  Dato  Onn,  Dato  Panglima  Bukit Gantang, Dato
Zainal Abidin dan Dato Nik Kamil adalah  antara  tokoh-tokoh
terkenal  yang  dipilih  untuk  menubuhkan  PEKEMBAR,  iaitu
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,  atau  UMNO  -  United
Malays  National Organisation, nama yang diilhamkan daripada
nama Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations  Organisation
(UNO).
26.  Sementara  usaha-usaha  menubuhkan  UMNO  dilaksanakan,
kegiatan menentang Malayan Union tidak dikurangkan.  Pada 11
Mei 1946 di Kongres Melayu ketiga yang  diadakan  di  Istana
Besar Johor Bahru, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
UMNO  ditubuhkan  dengan rasminya.   Hanya Malay Nationalist
Party atau MNP sahaja yang tidak menyertai UMNO.
Tuan-tuan dan puan-puan,
27.  Sejarah perjuangan orang-orang Melayu dan sejarah  UMNO
perlulah  diketahui  oleh  semua ahli UMNO.   Keahlian tidak
bermakna jika kita tidak tahu asal-usul kita.  Sejarah  kita
adalah pengajaran bagi kita, adalah panduan perjuangan kita.
28.  Kita  lihat daripada sejarah yang menunjukkan bagaimana
lemahnya orang-orang Melayu apabila mereka  menganggap  diri
mereka sebagai rakyat negeri-negeri yang berasingan.  Mereka
memang sudah lemah kerana mereka tidak mempunyai orang-orang
yang  terpelajar,  profesional, ahli-ahli peniaga yang kaya,
pekerja mahir dan cekap, penglibatan dalam  berbagai  bidang
usaha  yang  penting  dan lain-lain lagi kelemahan.   Tetapi
apabila mereka membahagi-bahagikan diri mereka kepada rakyat
negeri masing-masing dan bertindak secara berasingan, mereka
menjadi  lebih  lemah.    Sebab  itulah  walaupun   terdapat
tentangan daripada orang-orang Melayu apabila sahaja Malayan
Union   diumumkan,   pihak   British   tidak   sedikit   pun
menghiraukan  tentangan  ini.    Mereka  meneruskan   sahaja
rancangan mereka itu.
29.  Apabila  orang-orang  Melayu disedarkan bahawa tindakan
secara berasingan tidak berkesan, maka  pada  ketika  itulah
desakan  dibuat  oleh  berbagai  pihak  supaya disatupadukan
orang-orang  Melayu  sebagai  satu  bangsa  bagi   menentang
rancangan   British.    Dan  kita  telah  melihat  bagaimana
berkesannya perjuangan  orang-orang  Melayu  setelah  mereka
bergabung  tenaga  melalui  Kongres  Melayu  Se  Malaya  dan
kemudian, dengan lebih tepat lagi, melalui UMNO.
30.  Walaupun British sudah melancarkan Malayan Union secara
rasmi, akhirnya mereka terpaksa  menarik  balik  Union  itu;
satu  tamparan hebat kepada sebuah kuasa dunia yang terkenal
kerana kepintaran pemerintahan kolonial mereka.   Semua  ini
adalah  hasil  semangat, kesedaran dan perpaduan orang-orang
Melayu.
31.  Jika kita disoal apakah yang  memberi  kejayaan  kepada
satu  bangsa  yang  begitu  lemah,  iaitu bangsa Melayu pada
tahun 1946, jawapannya ialah semangat perpaduan yang berjaya
mengumpulkan  orang-orang  Melayu  dari  negeri-negeri  yang
berasingan, dari pertubuhan-pertubuhan yang berlainan, untuk
menghadapi  ancaman terhadap bangsa mereka.  Inilah semangat
yang  muncul  pada  1946  apabila  bangsa   diancam   dengan
kemungkinan dihapuskan.
32.  Orang-orang  Melayu menangkis usaha-usaha British untuk
memecah-belahkan mereka.   Sebaliknya  mereka  bersatu-padu.
Orang-orang  atasan  juga  sanggup  bergabung  tenaga dengan
rakyat jelata dan rakyat memberanikan  diri  mendesak  Raja-
Raja supaya menentang British.
33.  Tidak  pernah  berlaku  dalam  sejarah bangsa Melayu di
mana mereka begitu kuat bersatu.   Yang mencacatkan  sedikit
ialah  kelakuan  Malay Nationalist Party atau MNP yang bukan
sahaja mengasingkan diri daripada UMNO, tetapi  juga  semasa
orang-orang  Melayu  berjuang  untuk  menghapuskan   Malayan
Union,  mereka  mengadakan   kerjasama   dengan  All  Malaya
Council of Joint Action atau  AMCJA,  sebuah  gabungan  kiri
yang  menyokong Malayan Union.  Tetapi MNP adalah pertubuhan
yang kecil yang mendapat sokongan daripada hanya  segelintir
orang-orang Melayu.   Ramai  daripada  penyokong  MNP  telah
berpihak  kepada UMNO apabila mereka melihat gerak-geri para
pemimpin MNP.
34.  Dengan MNP menjadi lumpuh, perpaduan Melayu dalam  UMNO
menjadi  begitu kuat sehingga UMNO boleh menggerakkan orang-
orang  Melayu  di  seluruh  Semenanjung  bertindak  serentak
dengan  pendirian  yang  sama pada bila-bila masa.   Apabila
UMNO memutuskan orang-orang Melayu berkabung  sebagai  tanda
penolakan  Malayan  Union,  orang-orang  Melayu  di  seluruh
Semenanjung berkabung.   Apabila disuruh  memulaukan  segala
istiadat  menyambut  Malayan  Union,  mereka  semua mematuhi
arahan itu.
35.  Pihak British yang dahulu tidak  menghiraukan  pendapat
orang-orang  Melayu  kerana  mereka  berpendapat orang-orang
Melayu adalah satu bangsa yang tidak  berwibawa  yang  boleh
diketepikan  dengan  mudah,  terpaksa  menukar sikap apabila
UMNO ditubuhkan.    Jika  dahulu  mereka  tidak  menghormati
pemimpin-pemimpin  Melayu  selepas  UMNO ditubuhkan, British
terpaksa berunding dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan memberi
pertimbangan yang wajar kepada pendapat dan pendirian  UMNO.
Dan  ini  dibuat  di  peringkat  yang tertinggi sekali iaitu
dengan melibatkan Gabenor British dan Kerajaan di London.
36.  Dengan  tertubuhnya  UMNO   hasil   daripada   semangat
perpaduan  yang  tidak  mementingkan  diri,  dengan sokongan
sebulat suara kepada pemimpin-pemimpin UMNO,  maka  pengaruh
dan  kuasa  orang-orang  Melayu  meningkat.   Raja-Raja juga
mengakui kekuatan UMNO dan menerima pandangan UMNO.    Raja-
Raja  yang  sebelum  UMNO  wujud  telah menandatangani triti
MacMichael menolak perjanjian rasmi itu dengan beraninya dan
mengambil langkah untuk menentang Malayan Union.
37.  Demikianlah satu bangsa yang lemah menjadi satu  bangsa
yang berwibawa dan dihormati.  Perjuangan orang-orang Melayu
tidak diasaskan kepada kekayaan, kepada kemampuan mengadakan
revolusi  bersenjata,  kepada apa-apa jenis kekerasan.  Asas
perjuangan  Melayu  ialah  perpaduan   mereka.      Semangat
perpaduan  yang  tidak mementingkan diri inilah yang memberi
kejayaan kepada perjuangan orang-orang Melayu.
38.  Di waktu Kongres Melayu Sa-Malaya dan  penubuhan  UMNO,
tidak sesiapapun berasa irihati dengan tempat yang utama dan
tinggi  yang  diberikan  kepada  Allahyarham  Dato  Onn  dan
pemimpin-pemimpin  lain.    Sebenarnya  ramai  yang  menolak
jawatan-jawatan  pada  masa  itu kerana mereka dengan ikhlas
dan terus terang menyatakan bahawa mereka tidak layak kerana
sebab-sebab tertentu.
39.  Bukan sahaja yang tidak memegang jawatan tidak cemburu,
tetapi  juga  mereka  memberi  sokongan  yang  penuh  kepada
pemimpin-pemimpin   yang   dipilih  dan  menggesa  ahli-ahli
pertubuhan  mereka  menerima  kepimpinan  parti.     Apabila
Allahyarham  Dato  Onn  dan lain-lain pemimpin menjelajah ke
seluruh Tanah Melayu, orang-orang Melayu melupakan  perasaan
kenegerian   dan  menyambut  Allahyarham  Dato  Onn  sebagai
pemimpin bangsa Melayu.
40.  Memang benar  akhirnya  Allahyarham  Dato  Onn  diganti
dengan  Yang  Teramat  Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
sebagai Yang Di-Pertua UMNO.   Tetapi  penukaran  ini  bukan
disebabkan  kerana Tunku meminati jawatan.  Apa yang berlaku
adalah perbezaan pendapat antara Allahyarham Dato Onn dengan
majoriti pemimpin UMNO dan juga majoriti orang-orang Melayu.
41.  Allahyarham Dato Onn bercadang  menjadikan  UMNO  bukan
lagi  parti  orang-orang  Melayu,  tetapi parti yang terbuka
kepada semua kaum.  Orang-orang Melayu pada masa  itu  belum
merasa diri mereka terselamat, bahkan sekarang inipun mereka
belum  bersedia  membuka  UMNO kepada kaum-kaum lain.   Oleh
sebab itulah majoriti Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan  ahli-
ahli  tidak bersetuju dengan cadangan Dato Onn.  Jika beliau
sanggup menerima  pandangan  majoriti  ini,  ahli-ahli  UMNO
sanggup terus menerima kepimpinan Dato Onn.  Tetapi Dato Onn
tidak  mahu  menukar  pendiriannya  dan oleh itu telah tidak
mendapat sokongan majoriti.
42.  Tidak ada  kempen  yang  dijalankan  oleh  Tunku  Abdul
Rahman.   Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain pula
tidak berebut-rebut untuk mendapat  jawatan  Yang  di-Pertua
yang  dikosongkan  oleh  Allahyarham  Dato Onn.   Sebaliknya
mereka bersetuju menjemput Tunku Abdul Rahman yang  bukanpun
ahli  Majlis  Kerja  Tertinggi  dan  tidak  terlibat  dengan
penubuhan UMNO.  Tidak ada perasaan tamak kepada jawatan  di
pihak  sesiapa.  Yang dianggap penting ialah kredibiliti dan
keutuhan UMNO dan kejayaan  perjuangan  orang-orang  Melayu.
Pada pendapat Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakannya, Yang
Teramat  Mulia  Tunku,  kerana  umur dan statusnya di Kedah,
adalah orang yang boleh memberi imej yang baik kepada UMNO.
43.  Dengan itu  Tunku  Abdul  Rahman  dijemput  dan  beliau
menerima  jawatan  dan  tugas  Yang di-Pertua UMNO.   Selain
daripada mereka yang sependapat dengan Allahyarham Dato Onn,
yang bilangannya kecil, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO
merapatkan semula barisan mereka dan memberi  sokongan  yang
penuh  kepada  Tunku  Abdul  Rahman.    Kekuatan  UMNO tidak
terjejas.  Pihak British tidak dapat  mencari  peluang  atau
alasan  daripada  'perpecahan'  UMNO  ini.   Mereka terpaksa
terus mengiktiraf UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul  Rahman
sebagai suara majoriti orang-orang Melayu.  Justeru itu UMNO
berjaya menuntut kemerdekaan.
44.  Sekali lagi kita melihat semangat perpaduan dalam UMNO.
Selepas  peralihan  kepimpinan  kepada  Tunku  Abdul Rahman,
tidak ada rebutan jawatan dalam UMNO walaupun pada tiap-tiap
tahun UMNO mengadakan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi.   Di
peringkat  cawangan  dan  bahagian pun pertandingan diadakan
dengan sopan, tanpa kempen dan penggunaan wang.  Jika adapun
pertandingan di peringkat MKT, ianya adalah untuk  ahli-ahli
biasa  MKT  sahaja,  tidak  untuk  Presiden,  atau  Timbalan
Presiden, atau Naib Presiden.    Hanya  jika  ada  mana-mana
kekosongan  jawatan  Naib Presiden oleh kerana kematian atau
lain-lain  sebab,  maka  baharulah   ada   pertandingan   di
peringkat  Naib  Presiden.    Jika  tidak,  maka  semua Naib
Presiden,  Timbalan  Presiden  dan  Presiden  menang   tanpa
bertanding.
45.  Ketertipan  dalam  UMNO  mengukuhkan  parti dan memberi
kredibiliti  kepada   pemimpin.      Kerana   pemimpin   ada
kredibiliti, pendapatnya dihormati dan dipercayai oleh semua
pihak,  sama  ada  British  ataupun  kaum-kaum  lain.   Maka
mudahlah pemimpin menjaga kepentingan orang-orang Melayu.
46.  Mungkin ada  yang  berpendapat  ini  tidak  demokratik.
Tetapi  peristiwa  tidak  bertanding  dan perlantikan semula
berlaku sepanjang masa dalam demokrasi.   Setiap  kali  kita
mengadakan   pilihanraya,   ada  sahaja  yang  menang  tanpa
bertanding.  Di negara-negara lain  pemimpin-pemimpin  parti
kerap juga dipilih semula tanpa bertanding.
47.  Hasil  daripada  adat  dan  tradisi UMNO tidak merebut-
rebut  jawatan  ini  ialah  parti  yang  kukuh  dan  stabil.
Pemimpin  UMNO dianggap suara parti apabila mereka berunding
dengan pihak lain.  Tidak ada sesiapa daripada  dalam  parti
yang menolak pendapat yang disuarakan oleh pemimpin.  Kuasa-
kuasa  yang  diberi  kepada  pemimpin  dihormati  oleh semua
pihak.
48.  Ini tidak bermakna pemimpin boleh berbuat  apa  sahaja.
Pengunduran  Allahyarham Dato Onn adalah kerana beliau ingin
membuat sesuatu yang tidak dipersetujui oleh majoriti orang-
orang Melayu, bukan kerana Tunku Abdul Rahman ingin  menjadi
Yang  Di-Pertua  parti.    Pemimpin  hanya  bebas  bertindak
asalkan  tidak  terkeluar  daripada  prinsip  dan   matlamat
perjuangan parti.  Selagi pemimpin tidak bertentangan dengan
pendirian  parti, ia akan disokong oleh semua anggota parti,
walaupun   kadang-kadang,   seperti   keputusan   menubuhkan
Malaysia dan penyingkiran Singapura, pemimpin tidak terlebih
dahulu   berunding   dengan   parti   melalui  Majlis  Kerja
Tertinggi.   Tentangan oleh Allahyarham  Syed  Jaafar  Albar
terhadap   pemisahan   Singapura   tidak  mendapat  sokongan
daripada Majlis Kerja Tertinggi atau ahli-ahli biasa UMNO.
49.  Tradisi dan adat UMNO tidak mencabar  kepimpinan  parti
menjadikan UMNO tenang, kuat dan berkesan.  Tidak semua yang
dibuat  oleh  pemimpin  dipersetujui  100%  oleh  ahli-ahli.
Demikian dalam peristiwa 13 Mei  1969,  ada  ahli-ahli  UMNO
yang  berpendapat  bahawa pemimpin pada ketika itu bersalah.
Mereka ini  disingkirkan  daripada  UMNO  tanpa  menjejaskan
kewibawaan  parti  walaupun  pendirian  mereka  menarik  dan
mendapat simpati daripada ramai ahli.
50.  Secara  halus  dan  tertib,  pendirian  ahli-ahli  UMNO
disampaikan  kepada  pemimpin  berkenaan  dan beliau menarik
diri secara terhormat dan timbalannya mengambil tempat tanpa
rebutan.  Demikianlah seperti rambut  ditarik  tanpa  tepung
berkecai.    UMNO  terus  kuat dan pemimpin barunya mendapat
kesetiaan ahli-ahli dan tidak kurang dihormati  oleh  orang-
orang  luar.    Tidak  ada perpecahan berlaku.   Mereka yang
bersimpati  dengan  Tunku  tidak  membuat  angkara.    Tunku
sendiri   tidak  sengaja  mencuba  subvert  atau  melemahkan
kepimpinan Allahyarham Tun Razak, walaupun  ada  tanda-tanda
Tunku  tidak  begitu  bersetuju dengan tindakan-tindakan Tun
Razak sebagai pemimpin parti dan Perdana Menteri.
51.  Semangat  perpaduan  dan  tradisi  serta   sopan-santun
bangsa  Melayu  telah berjaya membentuk sebuah parti politik
yang kukuh di kalangan rakyat satu bangsa yang hampir  tidak
mempunyai  pengalaman  dalam  bidang  politik,  jauh  sekali
politik berparti dalam demokrasi.  Di segenap kampung, walau
bagaimana  terpencil   sekalipun,   cawangan-cawangan   UMNO
ditubuhkan  lengkap  dengan Ketua, Setiausaha, Bendahari dan
lain-lain ahli jawatankuasa.   Jika ada  sahaja  pilihanraya
kecil  atau  pilihanraya  umum,  semua cawangan ini bergerak
serentak dan menjalankan tugas-tugas yang diperlukan.   Pada
masa-masa  lain,  cawangan-cawangan  terlibat  dengan usaha-
usaha  pembangunan  negara.     Sementara  itu   diperingkat
pemerintahan,  Kerajaan  pimpinan  UMNO berjaya menyesuaikan
diri dan menghadapi segala cabaran  pentadbiran  zaman  yang
moden dan mencabar ini.
52.  Dengan  perkataan  lain,  UMNO telah berjaya menjadikan
orang-orang Melayu satu bangsa yang cukup sofistikated dalam
bidang politik.  Mereka boleh mengemblingkan  tenaga  orang-
orang  Melayu  dalam  satu jentera politik yang berkesan dan
berwibawa   sehingga   sukar   dikalahkan.       Demikianlah
berkesannya  perjuangan UMNO, sehingga hari ini setiap orang
Melayu, bahkan setiap rakyat Malaysia, secara langsung  atau
tidak langsung mendapat nikmat daripadanya.
53.  Semua  ini adalah hasil semangat, tradisi dan adat yang
membawa  orang-orang  Melayu   serta   pertubuhan-pertubuhan
mereka  ke  suatu  Kongres pada 1 Mac 1946.  UMNO ditubuhkan
secara rasmi pada 11 Mei 1946, kerana semangat, tradisi  dan
adat  yang  sama.   Dan semangat, tradisi dan adat ini telah
menjadi  sebahagian  daripada   sifat-sifat   UMNO   sendiri
sehinggalah pada tahun 1984.
54.  Pada  tahun  1984  Timbalan  Presiden  UMNO  yang telah
dipilih pada tahun 1981  dicabar.    Segala  nasihat  supaya
tidak melanggar tradisi dan adat UMNO dan orang-orang Melayu
tidak  dihiraukan.    Semangat  UMNO  sudah luput dalam hati
pencabar.  Sebenarnya pada ketika itu ia sudah  mengasingkan
dirinya  daripada  UMNO.   Tidak hairanlah kejadian-kejadian
yang menyusuli usaha  tokoh  ini  merebut  jawatan  Timbalan
Presiden.    Yang mendorongnya bukanlah semangat UMNO tetapi
kepentingan diri yang mendesak supaya apa  sahaja  dilakukan
termasuklah membinasakan UMNO.
55.  Kita  tidak  perlu  ceritakan tentang percubaan merebut
jawatan Presiden oleh tokoh ini pada 1987.   Kononnya  tidak
bersetuju  dengan  dasar.    Kononnya  kerana ekonomi negara
meleset disebabkan Kerajaan tidak cekap.  Kononnya diktator.
Semua ini adalah alasan  yang  diada-adakan  sahaja.    Yang
penting  dan  utama  ialah  rebutan  jawatan  Presiden untuk
menjadi Perdana Menteri.
56.  Hasil tekanan  cita-cita  besar  ini  ialah  pada  4hb.
Februari,  1988 UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan
haram.  UMNO yang diperjuangkan  oleh  pertubuhan-pertubuhan
Melayu  pada  tahun  1946,  UMNO  yang dimiliki oleh berjuta
orang-orang Melayu, UMNO yang telah menjadi  benteng  kepada
orang-orang  Melayu  dan  negara, UMNO ini diharamkan kerana
diseret ke mahkamah oleh orang yang ingin mendapat jawatan.
57.  UMNO mempunyai jenteranya sendiri  untuk  menyelesaikan
masalah  tanpa  campurtangan  orang  luar.    Jika tidak ada
kepercayaan kepada Majlis Tertinggi,  boleh  dirujuk  kepada
Perhimpunan  Agung.    Tetapi  jentera parti diketepikan dan
kuasa parti diserahkan kepada  mahkamah.    Inikah  tindakan
orang  yang  bersemangat  UMNO?    Inikah semangat UMNO pada
tahun  1946  yang  kononnya  orang  ini  ingin  pertahankan?
Saudara-saudari  tahu apa dianya semangat orang-orang Melayu
dan UMNO pada tahun 1946.  Apakah ada persamaan antara nafsu
yang mendorongkan tindakan golongan  yang  menyebabkan  UMNO
diharamkan  dengan  semangat  yang  kita  tahu  terdapat  di
kalangan  orang-orang  Melayu  dan  UMNO  sewaktu  menentang
Malayan  Union?    Apakah  kerjasama  dengan  DAP  umpamanya
melawan UMNO mencerminkan semangat itu?
58.  Tidak sesiapa dapat  menafikan  bahawa  UMNO  yang  ada
sekarang  mendapat  sokongan  majoriti  yang  besar daripada
orang-orang Melayu.   Bilangan ahli-ahli UMNO  sekarang  ini
sudah  sama  dengan bilangan ahli-ahli UMNO dahulu, walaupun
bilangan ahli-ahli dahulu tidak tepat dan diragukan.   Tidak
syak lagi bahawa ahli-ahli UMNO akan terus bertambah, insya-
Allah.    Mereka  yang  percaya dan inginkan perpaduan tidak
boleh  menolak  UMNO  kerana  tanpa  UMNO  perpaduan   tidak
bermakna.      Apakah   dengan  disatukan  kumpulan-kumpulan
serpihan dan minoriti orang Melayu  dan  menentang  majoriti
orang Melayu, maka perpaduan tercapai?  Mereka yang inginkan
perpaduan mestilah bersatu dengan pihak majoriti.
59.  Apakah  perpaduan bermakna jika masing-masing mempunyai
tujuan yang  berlainan,  masing-masing  ingin  memperalatkan
yang  lain?    Jika  perpaduan  hendak dicapai, maka masing-
masing mestilah menyetujui akan asas dan  dasar  yang  sama.
Jika  tidak,  maka  yang dilakukan bukanlah perpaduan tetapi
satu pakatan sahaja.
60.  Perpaduan hanya boleh dicapai dalam UMNO di mana  ahli-
ahli tahu dan menerima akan asas dan dasar perjuangan parti.
Pintu  UMNO  masih  terbuka.    Jika  benar  ada  orang yang
mempunyai semangat 46 di luar UMNO, mereka  harus  menyertai
UMNO.    Hanya  dengan  bersatu dengan pihak majoriti sahaja
baharulah  perpaduan  boleh  dicapai.     Apabila   minoriti
menentang majoriti, pecah-belah namanya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
61.  Perjuangan  orang-orang  Melayu  belum  tamat.   Mereka
belum mencapai tahap pembangunan yang boleh membantu  mereka
bersaing  dalam  masyarakat  majmuk Malaysia dengan jayanya.
Sudah tentu mereka belum  sampai  ke  tahap  untuk  bersaing
dengan bangsa-bangsa maju di dunia.
62.  Justeru  itu  mereka masih memerlukan kuasa politik dan
pengaruh yang kuat  dalam  Kerajaan.    Dengan  adanya  UMNO
orang-orang  Melayu  telah  dapat  mempertahankan  kedudukan
mereka  sementara  meningkatkan   kebolehan   mereka   untuk
bersaing dalam dunia yang penuh cabaran.  Insya-Allah dengan
diberi  perlindungan dan peluang, mereka akan mencapai tahap
kebolehan yang  boleh  menjamin  kejayaan  mereka.    Tetapi
sebelum  itu  mereka perlu kepada perlindungan kuasa politik
dan Kerajaan.
63.  Selagi pencapaian orang-orang Melayu  belum  sampai  ke
tahap yang boleh menjamin kejayaan masa depan mereka, selagi
itulah orang-orang Melayu harus menentukan kemenangan mereka
dalam  bidang politik.  Politik orang-orang Melayu masa kini
bukan untuk mendapat  tempat  tertentu  bagi  diri  sesiapa,
tetapi  untuk  mempertahankan  kedudukan  orang-orang Melayu
yang masih lemah.  Demikianlah juga dengan UMNO.  UMNO bukan
alat sesiapa untuk mendapat jawatan yang tinggi, tetapi UMNO
adalah alat perjuangan orang-orang Melayu.
64.  Jika pada tahun 1946 orang-orang Melayu membentuk  UMNO
dan memilih Allahyarham Dato Onn sebagai pemimpin, tujuannya
ialah kerana tanpa sebuah parti politik nasional dan seorang
pemimpin   dan   jurucakap,  perjuangan  orang-orang  Melayu
melawan Malayan Union  tidak  mungkin  berjaya.    Pemilihan
Allahyarham Dato Onn bukan untuk beliau menjadi orang besar.
Jika ini berlaku, ia adalah secara kebetulan sahaja.
65.  Sebabnya   UMNO   diteruskan   selepas   Malayan  Union
dibubarkan ialah kerana perjuangan orang-orang Melayu  belum
tamat.    Orang-orang  Melayu  masih belum memerintah negara
mereka  sendiri  selepas  Malayan   Union   diganti   dengan
Persekutuan  Tanah Melayu.  Berkat perpaduan yang berterusan
orang-orang Melayu dalam UMNO,  Perikatan  telah  menang  51
daripada  52 kerusi dalam pilihanraya 1955.  Dengan majoriti
yang besar ini pihak  British  tidak  mempunyai  helah  bagi
menolak   tuntutan   orang-orang   Melayu   untuk   mendapat
kemerdekaan.
66.  Selepas merdeka pada tahun  1957,  masalah  orang-orang
Melayu  belum selesai.   Apakah maknanya merdeka jika orang-
orang Melayu masih mundur  dalam  segala  bidang  dan  masih
lemah?    Jika  Kerajaan  dikehendaki  menolong  orang-orang
Melayu,  maka  Kerajaan  itu  mestilah  berteraskan  Melayu.
Melalui  UMNO,  sokongan  orang-orang Melayu kepada Kerajaan
dibulatkan dan langkah-langkah dapat diambil  oleh  Kerajaan
bagi meningkat pencapaian orang-orang Melayu.
67.  Perisitiwa  13  Mei 1969 mengingatkan pemimpin-pemimpin
UMNO supaya tidak lalai  dalam  menjalankan  tugas  membantu
orang-orang  Melayu.    Dasar  Ekonomi Baru atau DEB digubal
kerana Kerajaan dikejutkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei.
68.  Tetapi kita belum  mencapai  matlamat  DEB  sepenuhnya.
Walaupun  kedudukan  orang-orang Melayu sekarang begitu baik
sehingga ada yang lupa akan  sebabnya  mereka  tidak  berasa
cemas,  tetapi  ini  adalah  kerana  UMNO  masih  ada  untuk
menentukan orang-orang Melayu terlindung.   Jika UMNO  tidak
ada  dan  parti  yang  memerintah  dianggotai  oleh 40 wakil
rakyat Melayu dan yang lainnya daripada kaum  lain,  seperti
yang  dirangka  oleh  kumpulan  serpihan, orang-orang Melayu
tidak akan mendapat perlindungan lagi.  Pada masa  itu  kita
akan  balik kepada situasi semasa British memerintah, bahkan
lebih buruk daripada itu.
69.  Hari ini, 11 Mei, kita merayakan bukan sahaja  kejayaan
bapa-bapa kita membentuk UMNO, tetapi kita juga merayakannya
supaya  kita  dapat  memperingati  dan menyedarkan diri kita
akan perlunya kita meneruskan perpaduan  orang-orang  Melayu
dalam  UMNO dan kita meneruskan usaha-usaha untuk menjadikan
orang-orang Melayu bangsa  dan  kaum  yang  berwibawa  dalam
negara kita.
70.  Insya-Allah,  jika  kita  seperti  pada hari ini, tidak
lupa  akan  sejarah  dan  asal-usul  kita,  jika  kita  tahu
menghargai  jasa  mereka  yang begitu berani dan bersemangat
berusaha  untuk  menyatupadukan   orang-orang   Melayu   dan
menubuhkan  UMNO,  jika kita insaf dan selalu bersyukur akan
nasib baik kita, insya-Allah  kita  akan  mendapat  ganjaran
lagi,  kita akan mencapai kejayaan, kita akan menjadi bangsa
yang gagah, yang mulia dan  dihormati.    Kita  perlu  ingat
bahawa  mereka  yang  lupa  akan  sejarah akan didera dengan
mengulangi berkali-kali segala  kesalahan  mereka  dan  akan
menerima keburukan yang menimpa mereka terdahulu.
71.  Mereka  yang belum insaf, insaflah dan balik ke pangkal
jalan.   Mereka yang  tahu  insaf,  insaflah  dan  bersyukur
mudah-mudahan  Allah  S.W.T.  akan mengurniakan lebih banyak
kejayaan.
71A. Bagi negeri Johor dan bagi Duli Yang Maha Mulia  Sultan
Iskandar,  Sultan  Johor,  11hb.  Mei  mempunyai  makna yang
istimewa kerana pada  11hb.  Mei,  1982  Duli  Tuanku  telah
diisytiharkan  Sultan  dan Yang Di-Pertua Negeri Johor Darul
Rakzim.
72.  Oleh itu rayakanlah hari ini, 11 Mei, sebagai hari yang
mulia, hari yang bahagia,  hari  yang  keramat  bagi  bangsa
Melayu yang beragama Islam.  Rayakanlah hari ini kerana kita
semua berhak merayakannya.  Mudah-mudahan anak-cucu kita dan
seluruh  zuriat  kita  tidak  akan  mudah menjadi orang yang
tidak tahu berterima kasih kepada jasa.
73.  Akhir  kata  saya   mengucapkan   Selamat   Hari   Raya
Aidilfitri  kepada  sekalian  yang  hadir  dan  semua  orang
Melayu.   Saya mengucapkan selamat merayakan  11  Mei,  hari
bertuah  dalam sejarah orang-orang Melayu dan sejarah negara
kita  Malaysia  yang  kita  kasihi.      Insya-Allah,   akan
berhasillah perhimpunan kita ini.
     Wabilahi     taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google