home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	07/06/89 
Tajuk/Title  	: 	UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT-SETIA 
			DI MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN 
			SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
			RASMI DULI YANG MAHA MULIA SERI 
			PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG 




 Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah,
Ampun Tuanku,
    Dengan  hormat  dan  penuh  takzimnya, patek bagi pihak
Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri,  mohon
menyembah  setinggi-tinggi  tahniah  Ke Bawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku di  atas  pemilihan  Tuanku  sebagai  Yang  Di-
Pertuan  Agong  yang  ke-sembilan  dan  Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Bainun sebagai Raja Permaisuri Agong.
2.   Seterusnya patek bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat
juga mohon menyembah setinggi tahniah  Ke  Bawah  Duli  Yang
Maha  Mulia  Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi
Tuanku hari ini.   Patek sekalian  berdoa  ke  hadrat  Allah
Subhanahu  wa  Ta'ala semoga Ke Bawah Duli Tuanku serta Duli
Yang  Maha  Mulia  Tuanku  Bainun  dilanjutkan  usia   serta
dilimpahkan rahmat dan hidayahNya, mudah-mudahan Duli Tuanku
berdua  sentiasa  berada  dalam kandungan sihat dengan penuh
kesejahteraan dan kedaulatan.
Ampun Tuanku,
3.   Syukur Alhamdulillah, dengan  izin  dan  limpah  kurnia
Allah Subhanahu wa Ta'ala, negara kita Malaysia terus berada
dalam  keadaan aman dan damai.  Keadaan ini dapat diwujudkan
kerana kita telah memilih cara mentadbir negara yang sesuai.
Malaysia mengamalkan sistem Kerajaan  Demokrasi  Berparlimen
dan  Raja Berperlembagaan.   Sistem ini membolehkan Kerajaan
dan rakyat yang berbilang kaum di negara  ini  hidup  dengan
penuh    perpaduan    dan     persefahaman.      Berpandukan
kepada      Perlembagaan        dan    Rukunegara   pemimpin
dan rakyat bertanggungjawab untuk menanamkan perasaan saling
hormat-menghormati  di  antara  satu sama lain.   Di samping
memegang kepada nilai-nilai  ini  rakyat  telah  membuktikan
kesediaan  untuk  berkorban demi kepentingan negara.  Rakyat
Malaysia yang berbilang kaum merupakan suatu masyarakat yang
unik  dikacamata  dunia  kerana  dapat  hidup  dengan  penuh
keharmonian  walaupun  masing-masing  mempunyai agama, adat-
resam dan budaya hidup yang berlainan.
4.   Kerajaan  akan  terus  mengekalkan   sistem   ini   dan
menentang apa-apa percubaan untuk merosakkannya.  Sungguhpun
masih  ada kumpulan-kumpulan dari luar dan dalam negeri yang
kononnya memperjuangkan  hak  asasi  kemanusiaan  yang  cuba
campurtangan  dalam urusan pentadbiran negara, Kerajaan akan
tetap teguh dengan pendirian untuk mengekalkan apa yang kita
perjuangkan.  Ada segelintir rakyat  yang  cuba  menggunakan
institusi-institusi  Raja,  mahkamah  dan  sistem  kehakiman
serta  sistem  pilihanraya  untuk  mencapai  cita-cita   dan
memenuhi  kepentingan  diri  sendiri.   Tetapi patek percaya
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja  memang  tidak  berkenan
dengan  tindak-tanduk  ini  dan  tidak  mudah  diperalatkan.
Kerajaan mementingkan rakyat yang  memerlukan  kemajuan  dan
bukan  mereka yang mementingkan diri sendiri.  Patek percaya
dengan kebijaksanaan Ke bawah Duli Tuanku memerintah  negara
dan dengan Tuanku sebagai simbol kedaulatan  dan  perpaduan,
rakyat  akan  terus menikmati hidup dengan penuh kebahagiaan
dan kesejahteraan, insya-Allah.
Ampun Tuanku,
5.   Negara  kita  mengamalkan  Kerajaan   berparti   dengan
Barisan  Nasional  menerajui Kerajaan.   Kegelisahan politik
telah wujud untuk sementara apabila UMNO diharamkan.  Tetapi
syukur  alhamdulillah  UMNO  telah  diwujudkan  semula   dan
kegelisahan   itu   telah  mulai  hilang.     Kekuatan  UMNO
menambahkan kekuatan Barisan  Nasional.    Kekuatan  Barisan
Nasional   pula   meneguhkan  pentadbiran  sistem  Kerajaan.
Sebagai Pengerusi  Barisan  Nasional,  patek  akan  berusaha
supaya  perpaduan   antara   parti-parti komponen akan terus
kekal untuk  menjaminkan  Barisan  Nasional  sentiasa  dapat
memperjuangkan   perlaksanaan   dasar-dasar  Kerajaan  untuk
rakyat.
Ampun Tuanku,
6.   Kerajaan sedang menyemak semula kecapaian Dasar Ekonomi
Baru dan dasar ekonomi negara yang perlu  diamalkan  selepas
selepas      1990.    Kerajaan   telah   membuka     peluang
kepada      para   kepada    para     cendiakawan, pemimpin-
pemimpin  politik  dan  pertubuhan,  para  professional  dan
mereka   yang   sentiasa   mengkritik   DEB   untuk   tampil
mengemukakan cadangan  melalui  Majlis  Perundingan  Ekonomi
Negara.    Kerajaan akan menimbangkan cadangan-cadangan yang
dimajukan oleh Majlis  ini  dalam  menggubal  dasar  ekonomi
selepas tahun 1990.
7.   Mengenai  ekonomi negara dewasa ini, Kerajaan bersyukur
kerana ekonomi negara terus bertambah pulih dan  teguh  pada
awal  tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan yang sungguh
menggalakkan semenjak dua tahun yang lalu.  Pertumbuhan yang
menggalakkan ini digambarkan melalui kadar pertumbuhan  KDNK
atau GDP tahun 1988 yang lalu yang mengatasi pencapaian pada
tahun-tahun  yang  lepas semenjak 1979.  Pertumbuhan ekonomi
yang kukuh ini digambarkan  juga  melalui  imbangan  bayaran
negara yang sangat memuaskan.  Pelaburan swasta yang penting
bagi pembangunan ekonomi negara telah meningkat semenjak dua
tahun  lalu  dan  kita  yakin  pelaburan  swasta  akan terus
meningkat  dengan  adanya  insentif-insentif   yang   sangat
menarik.    Kerajaan juga yakin bahawa pertumbuhan yang kita
capai semenjak dua tahun  yang  lalu  akan  berterusan  pada
tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang, insya-Allah.
8.   Keyakinan   Kerajaan   juga  adalah  berasaskan  kepada
kejayaan  program-program  yang  disusun   bagi   menjadikan
struktur  ekonomi  negara lebih berupaya menghadapi cabaran-
cabaran di pasaran antarabangsa pada masa  hadapan.    Salah
satu perubahan struktur ekonomi yang dirancang oleh Kerajaan
ialah menjadikan ekonomi negara kita kurang bersandar kepada
eksport    barangan    utama   atau   komoditi,   sebaliknya
menggalakkan pembangunan industri  pembuatan  yang  hasilnya
boleh    dieksport.    Untuk  ini  kita     mestilah sanggup
membelakangkan  sedikit  kepentingan  diri  supaya  barangan
buatan  kita boleh bersaing dengan jayanya di pasaran dunia.
Insya-Allah akhirnya kita akan mendapat  nikmat  yang  lebih
banyak dan lebih kekal.
Ampun Tuanku,
9.   Malaysia,  walaupun  sebuah negara kecil di peta dunia,
telah diiktiraf sebagai sebuah  negara  yang  dapat  memberi
sumbangan   yang  bermakna  kepada  kebajikan  antarabangsa.
Usaha-usaha  kita  membanteras  penyalahgunaan  dadah  telah
mendapat   pengiktirafan   apabila  Malaysia  telah  dipilih
sebagai   Pengerusi   Persidangan   Antarabangsa    Mengenai
Penyalahgunaan  Dadah  dua tahun yang lalu.  Walaupun negara
kita telah menerima banyak   desakan   daripada    kumpulan-
kumpulan     tertentu    untuk    menghapuskan  hukuman mati
ke atas pengedar-pengedar dadah, tetapi ramai pemimpin dunia
secara  peribadi  bersetuju  dengan tindakan tegas Malaysia.
Sebenarnya masalah dadah sudah merebak  di  beberapa  negara
yang tidak tegas sehingga tidak dapat dikawal.  Justeru  itu
Kerajaan akan meneruskan undang- undang yang sedia ada.
10.  Malaysia  juga  telah  dipilih  menduduki kerusi Majlis
Keselamatan Bangsa- Bangsa Bersatu.    Dengan  itu  Malaysia
telah  dan  akan  dapat  memainkan  peranannya  dengan lebih
berkesan dalam arena antarabangsa.   Malaysia  telah  diberi
penghormatan  menghantar  pasukan  pemerhati dan pengaman ke
tiga buah negara yang diseliakan oleh Bangsa-Bangsa  Bersatu
iaitu  Iran,  Iraq dan Namibia.  Malaysia juga telah dipilih
mempengerusikan Kumpulan 77 negara-negara membangun.
11.  Dalam bulan Oktober tahun ini negara kita  akan  diberi
penghormatan  menjadi tuan rumah untuk Mesyuarat Ketua-Ketua
Kerajaan  Komanwel  atau  CHOGM.    Insya-Allah,  kita  akan
menunaikan   kewajipan   kita  dengan  penuh  keyakinan  dan
dedikasi.  Dua bulan sebelum itu, Malaysia akan menjadi tuan
rumah kepada Sukan SEA yang ke-15.
12.  Rakyat negara ini berasa bertuah kerana Ke  Bawah  Duli
Tuanku  mempunyai  minat yang tinggi   dalam   bidang  sukan
dan   patek   percaya kecergasan  Tuanku  itu  akan  menjadi
dorongan serta galakan kepada kemajuan sukan di negara ini.
Ampun Tuanku,
13.  Patek,  bersama-sama  dengan  anggota Pentadbiran serta
kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan  tenaga
untuk  menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian
dengan penuh semangat dan tekad  bagi  menjamin  kemakmuran,
keselamatan  dan  kebahagiaan  rakyat  dan  negara Malaysia,
insya-Allah.
14.  Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini,  bagi
pihak  diri patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan
segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia
yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah  Duli  Yang  Maha
Mulia Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah.
Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.

 
 



 
Google