home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT Tarikh/Date : 23/06/89 Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN PINDAAN KEPADA AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI, 1960 (BACAAN KALI KEDUA) Tuan Yang Di-Pertua, Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-Undang bernama suatu Akta untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dibacakan kali yang kedua sekarang. Tuan Yang Di-Pertua, 2. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang terbuka, bersikap liberal dan di mana wujudnya kebebasan, maka sudah tentulah rakyat Malaysia bebas melahirkan pendapat, pandangan dan fikiran mereka. Ini adalah bukti bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi. Demokrasi memberi berbagai-bagai kebebasan kepada individu- individu dan golongan-golongan di negara ini dalam menjalankan kegiatan-kegiatan dan tugas-tugas mereka. Malangnya, kebebasan ini kerapkali disalah-gunakan oleh individu-individu dan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka. Mereka ini menggunakan kebebasan demokrasi untuk mengancam demokrasi itu sendiri. Dalam hal ini, kita rakyat Malaysia yang mendokong demokrasi hendaklah sentiasa berjaga-jaga supaya demokrasi tidak diperalatkan untuk mengancam demokrasi itu sendiri dan kebaikan yang diharapkan daripadanya. 3. Memanglah sukar bagi kita menjamin bahawa keadaan negara sentiasa aman kerana terdapat berbagai bentuk ancaman secara berterusan. Atas dasar itu, maka Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada kewajipan mengawasi dan memelihara keselamatan dan ketenteraman awam. Justeru itu Akta Keselamatan Dalam Negeri digubal dan dirangka dengan demikian rupa untuk meliputi bukan sahaja ancaman-ancaman subversif komunis, tetapi juga apa-apa bentuk ancaman yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menimbulkan mudarat kepada keselamatan negara. Kerajaan tidaklah dapat berkompromi dengan mana-mana pihak sekalipun dalam soal melaksanakan kewajipan keselamatan negara kerana inilah yang akan menjadi asas sama ada negara terus maju dan membangun atau sebaliknya. 4. Kini kita mendapati tuduhan-tuduhan kononnya Kerajaan menyalahgunakan kuasanya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Begitu juga sering kedengaran bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak wajar wujud lagi dan sepatutnya dimansuhkan. Tuduhan-tuduhan dan kecaman-kecaman ini memang mudah dibuat oleh mana-mana pihak yang tidak melaksanakan beban dan tanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara yang menjadi kewajipan utama mana-mana Kerajaan. Tuntutan kewajipan ini lebih-lebih lagi dirasai di negara kita yang mempunyai latarbelakang masyarakat berbilang kaum, agama, kebudayaan dan adat resam dan kita tidak dapat menyangkal bahawa bentuk masyarakat majmuk sedemikian sentiasa terdedah kepada berbagai bentuk ancaman terhadap kestabilan dan keselamatannya, sama ada dari dalam atau dari luar. Kita dapat melihat sekarang ini beberapa negara berbilang kaum yang terjerumus dalam rusuhan kaum yang tidak dapat diselesaikan. Tuan Yang Di-Pertua, 5. Untuk membolehkan Kerajaan terus menjalankan tanggungjawab utamanya mengawal dan memelihara keselamatan dalam negeri bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara dengan lebih berkesan, Kerajaan mendapati adalah perlu untuk membuat beberapa pindaan kepada Akta ini. Tuan Yang Di-Pertua, 6. Tujuan utama pindaan-pindaan ini dicadangkan adalah untuk menentukan bahawa perintah tahanan yang dibuat oleh Menteri yang memutuskan bahawa seseorang itu mengancam keselamatan negara tidak dipersoalkan di mahkamah. Ini adalah kerana kebelakangan ini keputusan Menteri mengeluarkan Perintah Tahanan telah kerapkali dicabar dan dipersoalkan di mahkamah. Sekiranya mahkamah dibiar menggantikan keputusan pihak Kerajaan dengan keputusan mahkamah, ini bermakna seolah-olah tanggungjawab bagi keselamatan negara tidak lagi terletak kepada Kerajaan tetapi sebaliknya telah dipertanggungjawabkan kepada mahkamah, yang sebenarnya bukanlah ahli dan pakar dalam bidang keselamatan. Keputusan-keputusan dan aliran mahkamah di negara-negara asing yang memainkan peranan campurtangan atau, dengan izin, 'interventionist' menggantikan keputusan- keputusan Eksekutif dengan keputusan-keputusan mahkamah adalah tidak sesuai diikuti kerana ia bertentangan dengan konsep perasingan kuasa atau dengan izin 'separation of powers' antara eksekutif dan kehakiman yang menjadi pegangan kita di negara ini. Jika mahkamah boleh menukar atau dengan izin 'reverse' keputusan eksekutif, maka pihak eksekutif tidak akan dapat membuat apa-apa keputusan kerana khuatir mahkamah akan menukarkan keputusan itu. Dengan itu pihak pemerintah tidak dapat bergerak kerana menunggu keputusan- keputusan mahkamah serta rayuan-rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi. 7. Selain daripada itu, sekiranya keputusan Menteri dipersoalkan oleh hakim atau mahkamah, adalah sukar untuk pihak Kerajaan mempertahankan perintah tersebut kerana ada perkara-perkara yang rahsia yang bersangkutan dengan keselamatan negara yang tidak dapat didedahkan dalam mahkamah atas sebab-sebab kepentingan keselamatan negara dan juga perhubungan dengan negara-negara lain. Tuan Yang Di-Pertua, 8. Selama ini pihak Kerajaanlah yang bertanggungjawab terhadap perkara keselamatan negara dan ketenteraman awam. Penggunaan prinsip dengan izin 'subjective test' telah membolehkan Kerajaan bertindak dengan berkesan terhadap mereka yang mengancam keselamatan dan kestabilan negara. Adalah amat perlu kedudukan ini terus dijamin melalui undang-undang kerana pihak Kerajaanlah yang merupakan pihak berkuasa yang paling sesuai dan wajar untuk menimbang dan meneliti maklumat-maklumat tertentu yang diperolehinya dan membuat keputusan tentang tindakan pencegahan demi keselamatan dan kestabilan negara. Jika pengurusan Kerajaan mengenai keselamatan tidak memberi kebaikan kepada negara dan masyarakat, atau merupakan penindasan kepada rakyat, maka Kerajaan itu dapat digantikan melalui proses-proses demokrasi. Tuan Yang Di-Pertua, 9. Berdasarkan kedudukan yang telah saya huraikan tadi, cadangan pindaan ini dibuat semata-mata untuk menentukan dengan jelas akan peranan dan bidangkuasa Menteri Dalam Negeri, dan peranan dan bidangkuasa seorang Hakim Mahkamah. Dengan ini, perintah-perintah tahanan yang dibuat oleh Menteri tidak lagi boleh dipersoal atau dipertikaikan di mahkamah, melainkan perkara-perkara yang menyentuh soal prosedur sekiranya peruntukan undang-undang tidak dipatuhi. Tuan Yang Di-Pertua, 10. Pindaan ini juga dicadangkan kepada Seksyen 47 Akta Keselamatan Dalam Negeri yang mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong boleh mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan. Di bawah pindaan ini, sesuatu perisytiharan itu oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong hanya perlu diwartakan dan tidak perlu lagi dibentangkan di Parlimen memandangkan ianya hanya bertujuan untuk memberitahu sahaja. Adakalanya, seperti pada tahun 1969, Parlimen tidak dapat bersidang kerana rusuhan yang menyebabkan pengisytiharan dibuat. Tuan Yang Di-Pertua, 11. Dengan pindaan-pindaan yang dicadangkan ini, adalah dipercayai peruntukan-peruntukan berkenaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri akan menjadi lebih jelas lagi serta tidak menimbulkan sebarang keraguan dalam penafsirannya. Dengan yang demikian, melalui pindaan yang dicadangkan ini, Kerajaan akan dapat melaksanakan kewajipan utamanya memelihara dan mengawal keselamatan dalam negeri untuk terus menjamin bahawa keamanan dan kestabilan negara berkekalan. Tuan Yang Di-Pertua, Saya mohon mencadangkan. |