home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA BANGI Tarikh/Date : 01/07/89 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN KONGRES CENDEKIAWAN MELAYU II Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat-Yang Berhormat; Yang Berusaha Datuk Profesor Ismail Hussein; Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Kongres; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Saya mengucapkan terima kasih kepada Penganjur Kongres ini kerana menjemput saya untuk merasmikan Kongres Cendekiawan Melayu Kedua ini. Saya percaya Kongres ini akan dapat memberi manfaat kepada kita semua. Saudara-saudari sekalian, 2. Struktur sesuatu masyarakat itu berubah dari masa ke masa. Masyarakat mundur akan maju sekurun kemudian dan yang maju mungkin lalai dan mundur semula. Sejarah dunia membuktikan beberapa peradaban atau civilisation yang agung wujud dan kemudian hancur pula. Sejarah turun-naik dan maju-mundur sesuatu masyarakat tetap berulang. 3. Masyarakat Melayu yang mencapai kegemilangannya di zaman Kesultanan Melaka kemudiannya mundur. Selepas itu masyarakat Melayu dan Empayar Melaka berpecah sehingga terbentuk negeri-negeri Melayu yang kecil dan tidak berwibawa. Penjajah pun senang memecah dan menakluki negeri dan masyarakat Melayu, mengeksploitasi ekonominya dan mengubah corak dan komposisi penduduk Tanah Melayu. Selepas lebih 400 tahun tanahair kita dijajah, akhirnya, kita merdeka dan bebas menyusun sendiri langkah-langkah untuk memajukan masyarakat Melayu. 4. Selepas lebih 30 tahun kita merdeka, banyak kemajuan yang telah kita capai dalam berbagai-bagai bidang terutamanya pelajaran. Dengan itu bilangan cerdik pandai Melayu pun bertambah dengan pesat. Sekarang di mana-mana sahaja kita boleh berjumpa dengan profesor, doktor, jurutera, arkitek, ahli kimia, akauntan, pengurus, pentadbir, guru dan lain-lain orang Melayu yang termasuk dalam golongan cerdik-pandai. Kalau tiga puluh tahun dahulu susah bagi kita mengadakan Kongres serupa ini, hari ini kita dapat mengadakan Kongres Cendekiawan dengan kehadiran yang ramai. Saudara-saudari sekalian, 5. Adanya golongan terpelajar di kalangan kita membuktikan kesediaan kita menerap ilmu tanpa mengambilkira puncanya. Jika kita bersikap bahawa kita hanya bersedia mempelajari ilmu daripada punca-punca di kalangan masyarakat kita sahaja, mustahil pencapaian kita dalam bidang-bidang yang saya sebutkan tadi akan berada di tahap sekarang. 6. Kita mungkin dapat meneroka dan membangunkan semua bidang ilmu dengan sendiri, tetapi tentulah ia akan mengambil masa yang terlalu panjang dan kita tetap akan ketinggalan. Dalam usaha memperkayakan ilmu di kalangan bangsa kita, kita mestilah sanggup pergi ke mana-mana sahaja tanpa mengira iklim atau bangsa. Saya percaya untuk menguasai ilmu yang bermanfaat kepada kita, kita hendaklah sanggup belajar walaupun daripada musuh kita. 7. Kesanggupan untuk belajar tanpa mengira punca amatlah penting. Tidak kurang pentingnya ialah kesanggupan mempelajari bahasa-bahasa lain supaya ilmu-ilmu yang berguna dapat dipelajari melalui bahasa- bahasa ini. Sentimen yang menghalang kita mempelajari bahasa-bahasa asing tidak secocok dengan kewujudan cendekiawan Melayu. Saudara-saudari sekalian, 8. Menuntut ilmu tidak berakhir di peringkat universiti dengan memperolehi ijazah-ijazah. Kita semua mengakui bahawa penerapan ilmu adalah proses yang bermula daripada buaian dan berakhir di liang lahad. Di segi penggunaan ilmu, ia bermula apabila kita tamat pelajaran teori dan memasuki bidang penggunaan secara praktikal. Apakah kita sedia meneruskan proses mempelajari ilmu ini, ilmu yang tidak lagi bercorak akademik atau teori, tetapi masih juga merupakan ilmu? 9. Bangsa yang benar-benar berjaya dalam sejarah manusia ialah bangsa yang cekap menggunakan ilmu untuk memperbaiki kehidupan mereka. Kita mungkin mempertikaikan sama ada sesuatu itu baik atau sama ada sesuatu itu tidak baik. Apakah penggunaan teori relativiti untuk mencipta bom atom merupakan satu kebaikan? Apakah mendaratkan manusia di atas bulan satu kebaikan? Ahli falsafah di kalangan cendekiawan boleh membahas perkara ini sehingga akhir zaman. Ini adalah satu soal lain. Tetapi, yang tidak dapat kita nafikan ialah kita berada di Kongres ini kerana ada manusia yang boleh menggunakan ilmu secara praktikal untuk membina dewan ini, mencipta pembesar suara ini, mendinginkan udara dan lain-lain lagi. 10. Siapakah yang membolehkan semua ini? Mereka ini ialah orang yang berjaya memperalat atau menggunakan ilmu secara praktikal. Jika kita belajar setakat menyerap ilmu yang kemudiannya kita tidak menggunakannya selain daripada menyambung penyampaian ilmu itu kepada pihak lain, maka hasil penerapan ilmu adalah terhad. Setelah memperolehi ilmu, kita harus belajar pula bagaimana menggunakan ilmu itu. 11. Di peringkat ini kita tidak ada ijazah dalam bentuk scroll dan gelaran. Ijazah di peringkat ini ialah hasil daripada penggunaan ilmu tadi atau 'practical application' kita dalam bentuk barangan atau wang keuntungan atau kejayaan kerja kita. Kita perlu menghargai 'ijazah' praktikal ini sama seperti ijazah dari universiti, atau mungkin juga lebih daripada itu. 12. Di kalangan orang Melayu, 'ijazah' praktikal ini masih berkurangan. Justeru itu, kita boleh berkata bahawa kita masih kekurangan cerdik-pandai daripada sudut ini walaupun di bidang-bidang yang lain kita sudah ramai. Saudara-saudari sekalian, 13. Sesuatu bangsa kerap menyebut tentang kegemilangan di zaman silam untuk meningkatkan semangat. Sebenarnya bangsa yang bergantung kepada kejayaan di zaman silam adalah bangsa yang sudah mundur di zaman ini. Kejayaan dahulu hanya berguna untuk meyakinkan diri akan kebolehan diri sendiri dan bukan untuk menyedapkan hati. Pada hemat saya, bagi bangsa Melayu, falsafah dan tindakan ala Hang Tuah dan Hang Jebat tidak sesuai lagi. Kita, terutamanya cerdik-pandai, harus mengetahui apakah yang kita hendak untuk kaum dan bangsa kita, dan lebih penting lagi, apakah yang harus kita lakukan untuk menjayakan hasrat kita ini. Khayalan dan bermegah- megah dengan zaman dahulu tidak boleh dibiarkan melenyapkan kenyataan masa kini. 14. Hari ini kita menghadapi berbagai cabaran dan usaha untuk menghalang pencapaian kita. Kita akan gagal jika kita membenarkan cabaran dan usaha ini membawa kepada perpecahan di kalangan kita. Dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) umpamanya, pihak lain sudah berjaya menyemaikan kepercayaan di kalangan beberapa orang cerdik-pandai Melayu bahawa DEB memberi faedah hanya kepada segelintir daripada kita. Mereka menunjuk kepada beberapa kerat orang Melayu yang sudah menjadi kaya, dan mengapi-apikan perasaan iri hati yang memang ada pada kita. Akibatnya ada cerdik-pandai kita yang mengecam pelaksanaan DEB. Saudara-saudari sekalian, 15. Apakah salahnya kalau ada beberapa orang daripada kita menjadi kaya? Apakah yang kaya sepatutnya cuma orang lain sahaja? Harus kita ingat bahawa kalau yang kaya antara kita bukanlah daripada mereka yang ditunjuk- tunjukkan hari ini, tetapi sebaliknya terdiri daripada orang lain pula, apakah tuduhan yang sama tidak akan dilemparkan? Sebenarnya, mereka yang menuduh ini tidak senang hati melihat ada antara kita yang dapat merebut peluang-peluang daripada DEB ini serta memperolehi kejayaan. 16. Tetapi ada juga antara kita yang terbawa-bawa dengan dakwaan bahawa DEB memberi kekayaan kepada segelintir manusia tertentu dan oleh itu sedia menyertai mereka yang lain ini mengecam satu dasar yang telah membawa nikmat kepada kita. Ghairah dengan emosi yang dibangkitkan, kita lupa bahawa jika pada hari ini terdapat ramai cendekiawan Melayu, sebabnya ialah adanya DEB. Benarkah semua yang mendapat peluang menuntut ilmu di peringkat yang tinggi terdiri daripada golongan tertentu sahaja? Jika benar, maka semua cendekiawan Melayu adalah daripada keluarga yang terpilih atau privileged ini. Benarkah? Kehadiran saudara-saudari sekalian membuktikan hakikat sebenarnya. Tidakkah ramai orang Melayu yang berpelajaran berasal daripada keluarga-keluarga nelayan dan petani, daripada keluarga miskin dan sederhana, walaupun ada juga daripada golongan atasan? Apakah kerana seseorang itu daripada golongan atasan, ia tidak berhak merebut peluang- peluang DEB? 17. Apakah DEB tidak menguntungkan para nelayan dan petani yang miskin dan anak-anak mereka? Apakah segala pembangunan di luar bandar tidak disebabkan oleh DEB? 18. Bagi mereka yang sanggup menerima kenyataan bahawa DEB menguntungkan semua bumiputera dan Melayu, mereka harus terus menyokong DEB. Amatlah malang jika cendekiawan yang meraih peluang daripada DEB berpaling tadah kerana kononnya ada segelintir orang Melayu yang kaya dan mengecam DEB bersama-sama dengan pihak lain yang inginkan supaya orang Melayu kekal dengan kemunduran mereka. Hasil daripada sikap ini maka berjayalah pihak yang benar-benar mengetahui bahawa hanya orang Melayu sahaja yang boleh menggagalkan usaha- usaha orang Melayu. Saudara-saudari sekalian, 19. Sekarang tanda-tanda menunjukkan bahawa Malaysia sudah sampai ke titik peralihan atau 'take off point'. Dari sekarang tahap pembangunan kita akan meningkat. Kita tidak harus membuang masa bertikam lidah dan berpolemik kerana jika kita gemar berbuat demikian dan tidak merebut peluang- peluang DEB ini, kita mungkin 'miss the boat' dan tertinggal buat selama-lamanya. 20. Saudara-saudari sekalian adalah kalangan yang boleh membantu bangsa Melayu maju ke hadapan bersama dengan kaum- kaum lain. Kita tidak berniat merebut hak orang lain, tetapi kita berhak kepada hak kita. Segala prasarana intelek sudah ada pada kita. Hanya yang diperlukan ialah penggunaan atau application dengan cara yang boleh mendatangkan hasil. 21. Saya benar-benar berharap Kongres ini akan berorientasikan realiti dan pencapaian yang nyata. Bangsa kita memerlukan sikap ini. Dan kita semua terhutang budi kepada bangsa kita yang memberi peluang kepada kita menganggotai kumpulan yang istimewa ini dengan harapan sesuatu yang baik akan berhasil daripadanya. Saudara-saudari sekalian, 22. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres Cendekiawan Melayu Kedua ini dan berharap ianya mencapai kejayaan. |