home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 08/07/89 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN CUEPACS Encik A. Ragunathan, Presiden CUEPACS; Ahli-ahli Jawatankuasa CUEPACS; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS kerana menjemput saya ke majlis perasmian Konvensyen CUEPACS ini. Saya percaya banyak perkara akan dibincangkan dan saya berharap Konvensyen ini akan dapat melahirkan rumusan- rumusan yang bermanfaat bukan sahaja kepada CUEPACS tetapi juga kepada perkhidmatan awam. 2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bersara kepada Encik Ragunathan yang akan menamatkan perkhidmatan awam beliau dalam beberapa hari lagi. Beliau telah berjaya memimpin CUEPACS ke arah yang dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan. Hubungan seperti ini telah membawa manfaat kepada CUEPACS dan kepada Kerajaan. Saya berharap Encik Ragunathan akan dapat meneruskan sumbangan beliau kepada masyarakat walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan Kerajaan. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Idea kesatuan sekerja dan cara-cara kesatuan bergerak untuk melindungi pekerja daripada dieksploitasikan oleh majikan dan menambah pendapatan pekerja sudah berusia lebih seratus tahun. Di masa dahulu penganiayaan pekerja oleh majikan amatlah ketara sehingga pekerja menjadi seperti hamba. Pekerja tidak dapat mempertahankan 'job security' mereka. Jika mereka membuat kesalahan walaupun sedikit, mereka akan dibuang kerja. Di masa dahulu tidak ada skim simpanan wang pekerja atau pencen. Jika pekerja jatuh sakit, ia tidak mendapat cuti atau rawatan. Kerana terdapatnya tekanan- tekanan seperti ini, maka tidak ada jalan lain bagi pekerja- pekerja melainkan berkonfrontasi dengan majikan. 4. Di masa yang sama ahli-ahli fikir Barat berpendapat bahawa masalah pekerja disebabkan oleh sistem kapitalis. Dengan itu mereka merancang sistem-sistem lain dengan tujuan menghapuskan kapitalisme dan kapitalis. Maka wujudlah sistem komunisme dengan kepercayaan kepada dictatorship of the proletariat dan sistem sosialis yang mana Kerajaan mengambilalih punca kekayaan supaya kekayaan negara dapat diagihkan kepada semua pihak secara saksama. 5. Melihat akan perkembangan ini pihak kapitalis telah memperbaiki hubungan mereka dengan pihak buruh dan membenarkan pekerja- pekerja mengadakan kesatuan-kesatuan sekerja. Pekerja- pekerja pula mencipta berbagai senjata industrial action untuk menentukan majikan melayan tuntutan-tuntutan mereka. 6. Kita tidak dapat menafikan bahawa kebolehan pekerja berkonfrontasi dengan majikan telah membawa manfaat yang banyak kepada pekerja. Malangnya, konfrontasi mengakibatkan kos yang tinggi kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Dan kos ini terpaksa dipikul bukan sahaja oleh majikan tetapi juga oleh pekerja dan masyarakat. 7. Para pekerja tentulah lebih ramai daripada majikan. Hakikat ini telah menarik oportunis-oportunis politik dalam negara- negara demokratik di mana suara ramai bererti kuasa. Parti- parti buruh pun tumbuh seperti cendawan, dipimpin bukan oleh buruh sendiri, tetapi oleh golongan terpelajar dan lain-lain pihak yang berkepentingan. Sedikit demi sedikit kepentingan pekerja diketepikan dan kepentingan politik orang-orang tertentu itu menguasai kesatuan-kesatuan. 8. Akibatnya ialah kesatuan sekerja hanya menjadi alat politik. Kepercayaan sosialis ialah pekerja akan mendapat nikmat apabila pihak sosialis berkuasa dan memilik-negarakan segala punca kekayaan. Tetapi apa yang kita lihat ialah apabila kemudahan-kemudahan awam dan syarikat- syarikat gergasi diambilalih, mereka bukan sahaja rugi setiap tahun, tetapi para pekerja masih terpaksa melakukan mogok dan mengambil tindakan perusahaan untuk mendapat layanan. Dan ini mengakibatkan beban kos yang tidak kurang daripada zaman kapitalis. Yang lebih jelas lagi ialah negara-negara sosialis semakin merosot ekonominya dan pekerja-pekerja mereka kurang mewah berbanding dengan pekerja-pekerja negara-negara kapitalis. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Di negara-negara komunis yang mengamalkan sistem ekonomi yang dirancang dan diuruskan tanpa tolak ansur, nasib pekerja-pekerja menjadi lebih buruk. Mereka sebenarnya sebagai hamba sebagai hamba kepada Kerajaan, tidak bebas berkesatuan, dibayar gaji yang rendah, dan jarang merasai kehidupan yang selesa. Sementara pekerja-pekerja di negara-negara kapitalis memiliki rumah sendiri, kereta dan lain-lain kemudahan, pekerja-pekerja di negara-negara komunis terpaksa tinggal dalam berek, berjalan kaki atau berbasikal dan terpaksa beratur untuk membeli barang-barang keperluan yang tidak pernah mencukupi. 10. Hari ini ideologi sosialis dan komunis sudah tidak memikat hati orang-orang sosialis dan komunis sendiri. Selepas 30 tahun, komunis Cina menolak sistem ekonomi komunis dan menerima sistem pasar terbuka kapitalis walaupun masih menolak demokrasi. Selepas 70 tahun Soviet- Russia juga tidak lagi percaya bahawa sistem ekonomi komunis boleh membawa kebahagiaan kepada negara dan rakyat Russia. 11. Di kebanyakan negara-negara demokratik, yang dahulu memilih Kerajaan sosialis, para pengundi berpaling tadah dan melantik Kerajaan yang percaya kepada sistem free trade dan sistem kapitalisme. Harta dan punca kekayaan yang dahulu dimilik-negarakan oleh kerajaan-kerajaan sosialis telah dikembalikan semula kepada swasta. Bahkan khidmat-khidmat yang dahulu diselenggarakan oleh kerajaan telah diswastakan. 12. Semua ini berlaku kerana setelah lebih seratus tahun didapati bahawa ideologi dan teori komunisme dan sosialisme tidak membawa kebaikan dan kebahagiaan kepada rakyat dan kaum buruh. Sesebuah negara tidak dapat dibangunkan melalui sosialisme dan komunisme. Sebaliknya ekonomi dan nasib para pekerja menjadi semakin buruk. Dalam masa yang sama, negara-negara yang bukan sosialis atau bukan komunis mencapai kemajuan yang pesat dalam semua bidang dan pekerja-pekerja semakin lama semakin mewah, jauh lebih mewah dan bahagia daripada pekerja-pekerja dalam negara-negara sosialis dan komunis. 13. Sebenarnya sistem sosialisme dan komunisme hanya menguntungkan pemimpin-pemimpin sahaja. Pekerja-pekerja tidak mendapat apa-apa. Negara tidak mencapai kemajuan. Kehidupan rakyat terdesak kerana bekalan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas tidak pernah mencukupi. Taraf hidup jauh lebih rendah daripada taraf hidup yang terdapat di negara-negara kapitalis. Tuan-tuan dan puan-puan 14. Sekarang, pemimpin-pemimpin komunis dan sosialis sudah sedar bahawa sistem mereka tidak mungkin dapat bersaing dengan sistem negara-negara perdagangan bebas. Pemimpin- pemimpin ini terpaksa membelakangkan ideologi mereka, mengakui kelemahan sistem mereka dan menerima sistem yang bergantung kepada private enterprise. Ideologi yang menjadi agama kepada mereka, terpaksa digugurkan kerana mereka tidak dapat menafikan kenyataan bahawa amalan ideologi mereka merugikan negara dan rakyat mereka dan tidak mendatangkan sebarang kebaikan. 15. Sebaliknya, lihatlah pencapaian negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Negara-negara ini mengamalkan sistem free enterprise dan dalam tempoh masa tiga dekad sudah menjadi negara yang kaya. Jepun menjadi kuasa ekonomi yang terbesar di dunia dan yang empat negara lain itu menjadi NICs. 16. Kekayaan negara-negara ini dinikmati oleh semua pihak termasuk pekerja. Dahulu gaji dan pendapatan pekerja- pekerja di semua negara ini amatlah rendah berbanding dengan negara Eropah dan Amerika Syarikat. Di empat negara NIC itu, gaji para pekerja di semua peringkat adalah rendah daripada pekerja-pekerja Malaysia. Tetapi hari ini gaji mereka tiga kali ganda lebih tinggi daripada pekerja-pekerja di Malaysia, iaitu di paras $1,000 ringgit sebulan. Di samping itu tidak ada pengangguran -- semua rakyat yang sanggup bekerja boleh bekerja dan mendapat pendapatan yang berpatutan. 17. Yang anehnya kenaikan pendapatan pekerja yang pesat ini bukan disebabkan oleh desakan para pekerja atau kesatuan- kesatuan mereka. Sebenarnya di negara-negara ini hampir tidak ada kesatuan sekerja yang efektif dan sehingga baru- baru ini tidak ada mogok dan lain-lain tindakan perusahaan. Mungkin ada yang akan berkata pekerja-pekerja di negara- negara ini tidak bebas -- not free. Tetapi hakikatnya ialah pekerja-pekerja mendapat pendapatan yang lebih baik dan hidup lebih bahagia daripada pekerja-pekerja yang dikatakan bebas. Apakah maknanya kebebasan jika tidak ada hasil yang baik daripadanya? Di Malaysia pekerja- pekerja bebas tetapi kemajuan pekerja-pekerja kita tidak seperti kemajuan pekerja-pekerja di negara-negara NIC. 18. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja di Barat selalu menekankan mengenai kebebasan para pekerja. Mereka amat suka jika kebebasan ini membawa kepada tindakan-tindakan perusahaan. Apakah ini kerana mereka ingin mempertahankan pekerja-pekerja di negara-negara membangun? Sebenarnya mereka tahu dan kita juga tahu bahawa mereka ingin melihat ketenteraman perusahaan di negara-negara membangun diganggu supaya keluaran kita tidak dapat bertanding dengan barang-barang keluaran mereka. Sebab itu, mereka bercakap mengenai kebebasan, mereka merapatkan diri dengan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja di negara-negara membangun dan mereka memberi bantuan kewangan kepada kesatuan-kesatuan sekerja di negara-negara membangun. 19. Jika benar mereka bersimpati dengan pekerja-pekerja kita, mereka harus menolong menjayakan pemasaran barang- barang kita di negara mereka yang kaya. Tetapi merekalah yang mendesak supaya dikenakan sekatan terhadap barang- barang kita, ditarik balik GSP dan lain-lain lagi. 20. Kesatuan sekerja di negara-negara maju mahukan kesatuan kita bebas bertindak melulu, mogok dan mengambil lain-lain tindakan supaya perusahaan kita tidak kompetitif dengan mereka. Simpati yang mereka tunjukkan kepada kita adalah sebenarnya untuk kepentingan mereka. Sebab itulah di Amerika Syarikat mereka menyokong penarikan balik GSP daripada eksport negara kita. 21. Kita percaya kepada kebebasan pekerja-pekerja tetapi bukannya kebebasan untuk membinasakan diri sendiri atau kebebasan untuk menolong negara yang sudah mewah. Kebebasan mestilah membawa kebaikan kepada kita. Kebebasan hanya kerana berbangga dengan kebebasan tidak berguna dan tidak bermakna. 22. Saranan saya ialah kebebasan berkesatuan dan mengambil tindakan perusahaan tidak semestinya membawa kebaikan kepada pekerja- pekerja. Pendirian bahawa majikan-majikan adalah musuh pekerja-pekerja dan mereka mesti berkonfrontasi dengan majikan-majikan tidak semestinya membawa keuntungan kepada pekerja-pekerja. 23. Sebenarnya jika kita mengambil empat negara NIC tadi sebagai contoh yang akan memberi pendapatan yang lebih kepada pekerja-pekerja ialah pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pertumbuhan ekonomi akan menambah peluang-peluang pekerjaan sehingga permintaan tenaga kerja melebihi bekalan -- iaitu bilangan kekosongan melebihi bilangan pekerja. Di waktu itu majikan terpaksa bersaing menaikkan menaikkan gaji untuk mendapatkan pekerja-pekerja. Majikan yang sudah ada pekerja pun terpaksa menaikkan gaji supaya pekerja-pekerja tidak lari ke syarikat-syarikat lain. 24. Jika daya pengeluaran pula ditingkatkan kerana kerajinan bekerja, kos pengeluaran tidak akan meningkat walaupun gaji naik. Dengan ini barang-barang yang dikeluarkan masih kompetitif dan laris dijual. Ekonomi akan berkembang lagi dan permintaan tenaga kerja akan bertambah dan gaji juga akan terus naik. 25. Inilah yang berlaku di negara-negara NIC. Kenaikan pendapatan secara ini lebih cepat daripada kenaikan melalui tuntutan dan ancaman tindakan perusahaan Sebab itu dalam jangkamasa yang sama, kenaikan pendapatan pekerja-pekerja di negara-negara NIC lebih cepat daripada negara-negara lain di mana majikan dan pekerja berkonfrontasi dan mogok diadakan. Tuan-tuan dan puan-puan, 26. Masanya sudah tiba untuk kita memikirkan semula tentang peranan dan cara-cara bertindak kesatuan sekerja. Sepertimana ideologi komunis dan sosialis sudah didapati tidak dapat membawa kebaikan, sepertimana konfrontasi di antara Barat dengan Timur sudah tidak lagi berkesan dalam memperluaskan pengaruh masing-masing, mungkin sudah tiba masanya untuk kita memikirkan semula mengenai kesatuan- kesatuan sekerja dan peranannya sebagai pelindung dan alat kebajikan para pekerja. 27. Apakah nasib pekerja hanya boleh diperbaiki dengan cara berkonfrontasi dan mendesak sesuatu daripada majikan, dan jika tidak, tindakan perusahaan akan diambil? Atau apakah kesatuan-kesatuan sekerja harus menumpukan perhatian kepada peningkatan daya pengeluaran oleh para pekerja agar perusahaan lebih berjaya, dan dengan itu, pekerja akan mendapat layanan yang lebih baik? Tuan-tuan dan puan-puan, 28. Bagi Kerajaan Malaysia, kita berpendapat nasib para pekerja dan penganggur hanya boleh diperbaiki dengan adanya pertumbuhan ekonomi yang pesat. Kita yakin bahawa jikalau ekonomi kita maju, maka tidak dapat tidak, pekerja-pekerja akan mendapat nikmat yang lebih. Ke arah ini kita akan memberi galakan kepada pelabur-pelabur supaya mereka berjaya dan dengan ini menarik lebih ramai pelabur, sama ada dari dalam atau dari luar negeri. 29. Jika para pekerja dan kesatuan mereka memberi kerjasama, bekerja keras dan meningkatkan lagi daya pengeluaran, ini akan menolong usaha negara meningkatkan ekonomi dengan lebih pesat lagi. Akhirnya, para pekerja akan menikmati pendapatan seperti yang dinikmati oleh negara-negara NIC dan Jepun. Tuan-tuan dan puan-puan, 30. Sudah lebih seratus tahun konsep dan peranan kesatuan sekerja dianggap sebagai kumpulan pendesak dengan senjata- senjata tertentu. Tetapi zaman sudah berubah. Majikan bukan lagi satu kumpulan yang terlalu tamak yang memperhambakan pekerja-pekerja mereka. Majikan memainkan peranan yang penting mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Mereka memberi cuti yang berpatutan, membiayai pencen dan mengadakan kemudahan rawatan dan riadah bagi pekerja- pekerja. Jika mereka tidak berlaku adil, ada undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka. 31. Sepanjang masa, Kerajaan yang dipilih oleh rakyat, yang termasuk pekerja, akan mengawasi layanan majikan terhadap pekerja. Oleh kerana dalam demokrasi pekerja lebih ramai daripada majikan, Kerajaan tidak boleh membelakangkan pekerja. Jika Kerajaan melayan pelabur-pelabur dan majikan, sebabnya ialah kerana kita mengutamakan kepentingan pekerja dan pengwujudan peluang-peluang bagi pekerja-pekerja. 32. Saya berharap kesatuan-kesatuan sekerja dan para pekerja tidak memikirkan hanya tentang keuntungan jangka pendek. Memang benar tindakan perusahaan boleh membawa keuntungan segera, tetapi ia menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang akan menghadkan keuntungan jangka panjang pekerja. Kajikanlah pencapaian pekerja-pekerja melalui tindakan perusahaan dan bandingkannya dengan pencapaian pekerja-pekerja di negara- negara yang mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat. Perhatikanlah bagaimana negara yang kaya raya pun mengalami kemerosotan ekonomi akibat tindakan perusahaan, dan pekerja- pekerja mengalami kemerosotan pendapatan. 33. Kita tidak hendak menghapuskan kesatuan-kesatuan sekerja atau membelakangkan para pekerja. Tetapi, seperti kata pepatah Inggeris "There are many ways to skin a cat". Apakah di zaman ini nasib pekerja-pekerja hanya boleh diperbaiki dengan tindakan perusahaan? Atau apakah jalan- jalan lain seperti menolong meningkatkan pertumbuhan ekonomi tidak lebih berkesan dalam usaha memperbaiki nasib pekerja-pekerja? Sama-samalah kita memikirkannya. Tuan-tuan dan Puan-puan, 34. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS kerana menjemput saya ke Majlis ini. Saya percaya Konvensyen ini akan mendatangkan manfaat kepada CUEPACS khususnya, kepada kaum pekerja dan kepada negara amnya. 35. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen CUEPACS ini. |