home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MING COURT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	15/07/89 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN 
			KESATUAN PERKHIDMATAN TEKNIK 
			SEMENANJUNG MALAYSIA (MTSU) 




 Encik Alias bin Mohd. Ali;
Encik Mohamad bin Abas;
Encik A. Ragunathan;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya   mengucapkan   terima   kasih   kepada   Kesatuan
Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia  atau  MTSU  kerana
menjemput  saya  ke  Persidangan  Perwakilan MTSU ini.   Ini
adalah kali ketiga saya merasmikan Persidangan MTSU dan saya
berharap Persidangan ini akan  menghasilkan  idea-idea  yang
akan memberi manfaat kepada semua ahli kesatuan sekerja ini.
2.   Ini  adalah  minggu  kedua  berturut-turut saya berucap
kepada kesatuan sekerja.   Hari ini saya  berhadapan  dengan
ahli-ahli   MTSU.     Pada  minggu  yang  lepas  saya  telah
menghadiri Konvensyen CUEPACS.  Seperti mana  tuan-tuan  dan
puan-puan  sedia  maklum,  sebelum itu saya telah mengadakan
perjumpaan       dengan     MTUC.    Nampaknya  bulan    ini
adalah        bulan       kesatuan       sekerja        bagi
saya.     Tetapi    apa     yang    penting   kepada    saya
ialah,  ia menunjukkan kemesraan di antara kesatuan-kesatuan
sekerja dengan pihak Kerajaan.  Saya berharap hubungan mesra
ini bukan sahaja dipelihara, tetapi juga  ditingkatkan  demi
kepentingan kita bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Kerajaan  mempunyai  hubungan  baik  dan  mesra  dengan
kesatuan-kesatuan sekerja sama ada dalam  perkhidmatan  awam
atau  swasta.    Dalam  hal  ini  MTSU  merupakan salah satu
kesatuan sekerja dalam perkhidmatan awam yang telah  memberi
kerjasama serta menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan.
4.   Sebagaimana   tuan-tuan  dan  puan-puan  sedia  maklum,
Kerajaan  mengutamakan  kerjasama  dengan  pihak   kesatuan-
kesatuan sekerja termasuklah kesatuan-kesatuan sekerja dalam
perkhidmatan  awam  di  mana  Kerajaan merupakan majikannya.
Kesatuan-kesatuan sekerja awam  telah  memberikan  kerjasama
yang  diperlukan  bagi  menyelesaikan berbagai-bagai perkara
yang  dihadapi  oleh  kakitangan  Kerajaan  dari  semasa  ke
semasa.      Walau  bagaimanapun  kadangkala  terdapat  juga
perbezaan di antara pihak Kerajaan dengan  kesatuan-kesatuan
sekerja  awam,  tetapi  pada  hemat saya, ini adalah perkara
biasa dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
5.   Pengalaman   kita   serta   sejarah   hubungan   antara
Kerajaan    dengan      kesatuan-kesatuan sekerja awam jelas
menunjukkan bahawa lebih banyak  faedah  dan  manfaat  dapat
diperolehi  daripada kerjasama antara dua pihak.  Sebaliknya
jarang dapat kita menyelesaikan sesuatu masalah itu  apabila
terdapat  konfrontasi  atau pergeseran dalam hubungan antara
Kerajaan dan kesatuan-kesatuan sekerja awam.   Pendek  kata,
kerjasama  menghasilkan  lebih banyak manfaat daripada sikap
pertentangan.   Kerajaan berharap  bahawa  kesatuan-kesatuan
sekerja awam akan mengutamakan sikap kerjasama dan bertolak-
ansur dalam sebarang perundingan dengan pihak majikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6.   Sepertimana  kita  sedia  maklum,  sektor  perkhidmatan
awam    merupakan   perkhidmatan terbesar  di  negara  kita.
Kira-kira   840   ribu  orang  kakitangan  berkhidmat  dalam
perkhidmatan   awam.       Pengwujudan   perjawatan    dalam
perkhidmatan  awam  meningkat dengan banyak pada tahun-tahun
tujuh puluhan dan awal lapan puluhan.   Selepas itu,  dengan
perlancaran   dasar  penswastaan  dan  dengan  terlaksananya
langkah-langkah   mengawal   kewangan   Kerajaan   berikutan
kemelesetan  ekonomi,  pengwujudan jawatan-jawatan awam yang
baru telah terhad kepada jawatan-jawatan yang sangat penting
sahaja.   Langkah  ini  adalah  sangat  perlu  setelah  kita
mengkaji kedudukan kewangan negara.
7.   Di  segi  mengwujudkan  peluang-peluang  pekerjaan ini,
sektor swasta hendaklah memainkan peranan yang      penting,
terutama  apabila  Kerajaan  telah  menetapkan  bahawa pihak
swasta akan menjadi jentera utama dalam pembangunan  ekonomi
negara pada masa hadapan.
8.   Dalam  hal  ini  Kerajaan  telah  melonggarkan beberapa
peraturan pelaburan bagi  menarik  lebih  banyak  pelaburan.
Strategi  ini di samping memesatkan lagi pembangunan ekonomi
keseluruhannya, adalah juga untuk  mewujudkan  lebih  banyak
lagi peluang-peluang pekerjaan di negara ini.  Kerajaan akan
terus   memastikan   sektor   swasta  diberi  galakan  untuk
mewujudkan seberapa banyak pekerjaan.    Syarat-syarat  yang
lama  yang lebih menekankan penyertaan penduduk tempatan dan
bumiputera dalam modal atau equity dikurang atau  digugurkan
sama  sekali,  kerana semasa kemelesetan bahagian  DEB  yang
diutamakan ialah pembasmian kemiskinan tanpa  mengira  kaum.
Pengwujudan   peluang-peluang  pekerjaan  memenuhi  kehendak
pembasmian kemiskinan.    Walaupun  ini  mungkin  difikirkan
tidak   ada   kena  mengena  dengan  peluang  pekerjaan  dan
pendapatan pekerja  dalam  sektor  awam,  sebenarnya  secara
tidak  langsung  ia mempunyai kaitan yang rapat.  Jika tidak
ada pertumbuhan ekonomi Kerajaan akan  menghadapi  kesukaran
membiayai jentera Kerajaan yang begitu besar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Perubahan  ekonomi  ke  arah  perindustrian  yang lebih
pesat memerlukan tambahan tenaga kerja dalam beberapa bidang
tertentu, terutama kejuruteraan,  teknikal,  pengurusan  dan
bidang  kemahiran  tertinggi.   Kerajaan telah menyelaraskan
sistem pendidikan dan  latihan  daripada  peringkat  sekolah
menengah  lagi  untuk  memenuhi keperluan baru ini.  Setakat
ini para lepasan  sistem  pendidikan  dan  latihan  Kerajaan
telah  dapat  memenuhi  keperluan itu.   Kerajaan akan terus
mempertingkatkan  keberkesanan  dalam  menghasilkan   tenaga
kerja  yang mahir, berpengalaman dan mudah menyesuaikan diri
dengan keperluan pihak swasta.
10.  Saya ingin menyentuh sedikit mengenai perkembangan yang
sedang berlaku di negara kita.   Semenjak galakan  diberikan
oleh  Kerajaan  kepada  para  pelabur  dalam  berbagai jenis
industri  peluang-peluang  pekerjaan  telah      diwujudkan.
Tiap-tiap  hari  iklan berkenaan dengan peluang pekerjaan di
pelbagai  peringkat  disiarkan dalam akhbar.   Dalam keadaan
ini sepatutnya bilangan penganggur berkurangan.
11.  Tetapi pengangguran masih menjadi masalah kerana  ramai
yang   terlalu  memilih  kerja  atau  memilih  tempat  untuk
bekerja.   Ramai yang  mungkin  tidak  sanggup  meninggalkan
kampung  halaman  untuk mengejar kerja.   Ramai yang percaya
bahawa kerja-kerja tertentu tidak sesuai bagi mereka.
12.  Pembangunan  negara  memerlukan  pertumbuhan   berbagai
bidang  ekonomi.  Pertumbuhan ekonomi juga akan meningkatkan
pendapatan pekerja.   Jika  rakyat  Malaysia  tidak  sanggup
bekerja,  ekonomi    negara    tidak  akan  tumbuh, akhirnya
pekerja juga yang akan menjadi mangsa.  Justeru itu  amatlah
penting    kaum    pekerja   diorientasikan   supaya   dapat
menyesuaikan diri dengan iklim perubahan yang  dilalui  oleh
negara di waktu ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13.  Saya   percaya   ini   adalah   kali  terakhir  Saudara
Ragunathan menyertai MTSU.  Saya mengenali Saudara Ragu buat
pertama kali apabila beliau mengetuai satu  picket  line  di
Kementerian Pelajaran semasa saya menjadi Menteri Pelajaran.
Sebagai  Menteri  yang  baru dilantik saya tidak senang hati
dengan kegiatan militant Saudara Ragu.
14.  Masa yang panjang berlalu sebelum saya mengenali dengan
rapat  Saudara  Ragu.   Saya dapati beliau  adalah  unionist
par  excellence  --  seorang yang amat dedicated kepada 'the
cause of the workers'.  Walaupun beliau kenal  dengan  saya,
beliau  tidak pernah lupa bahawa beliau mewakili kepentingan
pekerja.  Tuntutan yang dibuat oleh beliau  terutama  sekali
berkenaan  dengan  Pembantu  Teknik  tidak pernah dihentikan
walau apa pun cadangan tolak ansur daripada Kerajaan.
15.  Persaraan beliau bermakna satu  kehilangan  besar  bagi
MTSU,  dan  juga  gerakan  buruh di negara ini.   Saya ingin
mengucapkan selamat  bersara  kepada  Saudara  Ragu  sebagai
presiden MTSU.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.  Sekali  lagi  saya mengucapkan terima kasih kepada MTSU
kerana menjemput saya ke  Persidangan  ini.    Saya  percaya
Persidangan ini akan menghasilkan sesuatu yang membina bukan
sahaja   kepada   MTSU   tetapi   juga   kepada   masyarakat
keseluruhannya.
17.  Dengan   kata-kata   ini,   saya   dengan   sukacitanya
merasmikan Persidangan Perwakilan MTSU ini.

 
 



 
Google