home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 30/07/89 Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA Yang Berhormat Dato Seri Dr. Ling Liong Sik, Presiden MCA; Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA; Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA kerana menjemput saya sekali lagi merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini. Jemputan bagi Pengerusi Barisan Nasional merasmikan Perhimpunan Agung MCA, MIC dan beberapa parti komponen lain dalam Barisan Nasional sudah menjadi satu tradisi yang penting dalam merapatkan hubungan antara parti- parti dan antara Kerajaan dengan parti. Walaupun kadangkala terdapat perbezaan pendapat antara parti-parti komponen tetapi kerana adanya hubungan rapat di peringkat kepemimpinan, kita dapat menyelesaikan masalah itu tanpa menjejaskan perpaduan dan keutuhan BN. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Pada keseluruhannya, jentera Barisan Nasional telah berjalan dengan lancar semenjak kita bertemu di Perhimpunan Agung MCA tahun lalu. Walaupun konsep Barisan Nasional ini telah selalu kita sebut-sebutkan, tetapi elok juga, sekali- sekala, kita memperkatakannya bagi mengingati diri kita sendiri tentang pentingnya konsep muafakat dan kerjasama yang terdapat dalam Barisan Nasional. 3. Konsep muafakat dan kerjasama dalam Barisan Nasional jelas tergambar apabila kita menghadapi beberapa pilihanraya kecil semenjak akhir tahun lalu. Prestasi Barisan Nasional di pilihanraya-pilihanraya kecil ini adalah memuaskan. Barisan Nasional tidak semestinya memenangi semua pilihanraya kecil yang diadakan, tetapi apa yang diperlukan ialah kemenangan di kebanyakan pilihanraya kecil tersebut. Keputusan-keputusan pilihanraya itu sekurang-kurangnya membuktikan tiga perkara -- pertama, sokongan rakyat kepada Barisan Nasional adalah kuat, keduanya, konsep muafakat dalam Barisan Nasional berfungsi dengan baik, dan ketiganya, demokrasi tetap hidup. 4. Di setiap pilihanraya kecil itu, Barisan Nasional telah awal-awal lagi dapat menentukan mana satu parti komponennya yang harus mengemukakan calon. Bukan sahaja calon BN diiringi oleh wakil-wakil berbagai parti komponen di hari penamaan calon, bahkan ahli-ahli parti-parti komponen bekerjasama rapat membantu calon BN yang bertanding. Perpaduan BN ini memang nyata dan membanggakan. 5. Dalam Barisan Nasional, kita semua harus mengakui bahawa kita pun, sekali-sekala, menghadapi halangan untuk bermuafakat. Walau bagaimanapun, dengan wujudnya semangat ingin bekerjasama, keikhlasan dan dengan mementingkan kepentingan negara dan majoriti rakyat, halangan-halangan itu dapat diatasi. Apa yang penting ialah kita dalam BN dapat bekerjasama dalam menghadapi kebanyakan perkara atau masalah. Apa-apa rintangan merupakan perkara yang sementara, yang temporary, yang akhirnya dapat kita selesaikan dengan cara yang tidak merugikan negara dan tidak membawa perpecahan di kalangan kita atau kaum-kaum di Malaysia. Tuan-tuan dan puan-puan, 6. Beberapa masa dahulu terdapat pihak-pihak yang menuduh kononnya tidak ada demokrasi di negara ini. Pilihanraya- pilihanraya kecil yang berlaku, serta keputusan- keputusannya, menggambarkan sebaliknya. Bukan sahaja proses pilihanraya-pilihanraya kecil ini berjalan dengan teratur, tetapi juga terdapat parti pembangkang yang memenangi pilihanraya kecil itu. Apabila pihak pembangkang memenangi pilihanraya kecil, dan ini menggambarkan demokrasi masih hidup, orang-orang yang heboh mengatakan demokrasi telah mati, malu pula mengatakan demokrasi masih segar. Mereka ini hanya pandai mengelirukan sahaja. Walau bagaimanapun rakyat ramai yang jarang bersuara atau the silent majority yakin yang demokrasi telah dan akan hidup berterusan di negara ini. Dan demokrasi akan terus hidup di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Ini dapat kita jamin. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Baru-baru ini terdengar juga beberapa orang pemimpin parti-parti komponen yang kurang senang dengan keputusan dua-tiga buah parti komponen Barisan Nasional yang mengadakan sejenis kerjasama di peringkat kedua di antara mereka. Barisan Nasional tidak menghalang mana-mana pihak daripada parti-parti komponen yang ingin bekerjasama sesama sendiri. Mungkin juga kerjasama seperti itu akan membawa manfaat kepada Barisan Nasional keseluruhannya. 8. Apa yang diharapkan ialah sekiranya kerjasama di peringkat kedua ini membawa rasa sangsi di kalangan parti- parti komponen yang lain, parti-parti komponen yang terlibat dengan kerjasama peringkat kedua ini harus cuba mengelakkan timbulnya perasaan tersebut dengan mengutamakan kerjasama di peringkat BN. Pada hemat saya kerjasama BN secara menyeluruh, seperti yang terdapat sekarang ini, adalah cara yang paling sesuai untuk mengatasi apa juga masalah dalam mentadbir dan membangunkan negara. Di samping itu juga kerjasama secara menyeluruh di kalangan parti-parti komponen BN ini telah berjalan semenjak begitu lama dan telah membawa banyak manfaat kepada BN. Justeru itu, pada pendapat saya, apa yang diperlukan ialah usaha-usaha yang lebih bagi meningkatkan lagi kerjasama BN yang menyeluruh ini. Walau bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa ini adalah pandangan peribadi saya. Ia bukanlah pandangan para pemimpin BN keseluruhannya. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Dengan usaha-usaha dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan, ekonomi negara kita kini telah pulih dan pesat berkembang. Tanda-tanda menunjukkan bahawa pertumbuhan ini akan berterusan. Walaupun kadar pertumbuhan 8.7 peratus yang kita capai tahun 1988 mungkin susah diatasi, Kerajaan yakin ekonomi negara akan mencapai pertumbuhan melebihi 6 peratus bagi beberapa tahun yang akan datang. Langkah-langkah yang telah diambil bagi memulihkan ekonomi negara selepas menghadapi akibat kemelesetan ekonomi dunia akan terus dilaksanakan supaya kekukuhan ekonomi sekarang ini akan dapat dilanjutkan pada tahun-tahun yang berikutnya. Rakyat berbagai kaum yang secara langsung mendapat nikmat daripada kemajuan ekonomi sekarang, harus diberi ucapan tahniah kerana mereka tidak bertindak liar tetapi menjaga kestabilan politik yang menolong pertumbuhan ekonomi. 10. Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai ekonomi negara pada masa depan. Seperti mana yang kita sedia maklum, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara atau MPEN untuk membuat perakuan dan cadangan tentang ekonomi negara selepas tahun 1990. 11. Kerajaan sebenarnya mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk merangka dasar ekonomi selepas 1990, tetapi Kerajaan mahu memberi peluang kepada orang-orang perseorangan dan pertubuhan-pertubuhan menyatakan pendapat dan pandangan mereka. MPEN ditubuhkan untuk memberi peluang tersebut. Majlis Perundingan ini mempunyai bidang rujukan yang luas bagi membolehkan setiap ahlinya memainkan peranan yang bermakna. Kerajaan akan meneliti setiap perakuan oleh Majlis ini sebaik sahaja ianya selesai menjalankan tugasnya. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Setiap daripada kita hendaklah memastikan bahawa kita tidak melakukan sesuatu yang negatif yang boleh menjejaskan ekonomi negara. Pernah saya katakan dahulu bahawa terdapat sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia yang menjadi salah satu daripada punca keburukan ke atas ekonomi negara. Kerana tindak-tanduk golongan kecil ini, seluruh negara dan rakyat menanggung akibahnya. Perkara seumpama ini pernah berlaku. Kita hendaklah mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berasas dan menjalankan tindakan- tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh mengurangkan keyakinan terhadap kestabilan dan keutuhan negara kita. 13. Di samping itu pula kita hendaklah berhati-hati apabila menyebut tentang statistik-statistik terutamanya statistik- statistik yang mempunyai berbagai andaian atau assumptions. Perbuatan seumpama ini boleh mengelirukan orang ramai dan sudah tentu tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa pun. Malahan ia akan menimbulkan perasaan iri hati dan syak wasangka. Sebenarnya, menyebut di khalayak ramai statistik tanpa asas-asas yang kukuh dan kajian yang menyeluruh adalah merupakan satu disservice kepada masyarakat kita. Kita hendaklah mempelajari daripada kesilapan kita dahulu. Janganlah kita ulangi kesilapan yang lalu kerana buruk kesannya kepada negara. Tuan-tuan dan puan-puan, 14. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA yang telah memberi peluang kepada saya untuk berucap pada hari ini. Saya berharap Perhimpunan tahun ini akan menandakan perkembangan yang lebih kukuh untuk parti MCA. Kekukuhan MCA semestinya memberi sumbangan yang bermakna kepada keutuhan Barisan Nasional dan Kerajaan. 15. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini. |