home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 15/08/89 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PERSIDANGAN TAMADUN MELAYU KE II Y.B. Dato' Sabaruddin Chik, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Yang Mulia Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan, Dif-dif Kehormat; Saudara-saudara sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita berjumpa di Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu ke II ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan kerana menjemput saya merasmikan Persidangan ini. Saya juga mengucapkan selamat datang kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian terutama sarjana-sarjana dari luar negeri. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Saya diminta berucap di Persidangan Tamadun Melayu Ke-II ini atas tajuk 'Kegemilangan Tamadun Melayu, Warisan dan Cabaran Abad Ke-21'. Dalam tajuk ini, ada tiga perkara yang harus dibincangkan: pertama, kegemilangan Tamadun Melayu, kedua, warisan, ketiga, cabaran. 3. Di zaman moden ini tuntutan ilmu tidak lagi terhad kepada kumpulan ilmuan atau cerdik pandai tetapi sudah menjadi hak dan minat seluruh masyarakat. Untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang-bidang ilmu, kajian perlu dibuat melalui penyelidikan, perbincangan dan lain- lain cara. 4. Di masa-masa yang lampau terdapat minat yang tebal di kalangan kumpulan etnik Melayu untuk mengetahui dengan lebih mendalam akan zaman kegemilangan dahulu serta untuk mengenali tamadun yang menjadi asas dan warisan mereka. 5. Apabila kita menyebut tentang kegemilangan zaman dahulu, secara tidak langsung kita membuat perbandingan dengan keadaan zaman ini yang dirasai tidak begitu gemilang. Perbandingan cara ini adalah baik jika tujuannya ialah untuk mencari inspirasi dan keyakinan bahawa kegemilangan dahulu boleh dikejar dan dicapai di zaman ini. Tetapi perbandingan adalah buruk jika kita hanya ingin berkhayal dengan zaman dahulu, bagi menyedapkan hati dan mencari perlindungan daripada pandangan dunia terhadap kita sekarang. 6. Setiap bangsa atau kumpulan etnik mempunyai tamadunnya sendiri, jika ini diertikan dengan keseluruhan atau 'total sum' kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik yang digubal dan tergubal dalam masyarakat berkenaan. Walau bagaimanapun terdapat antara tamadun itu yang dianggap tinggi kerana tingkat pencapaiannya yang baik dalam keilmuan, falsafah, susunan dan keteguhan masyarakat berkenaan. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Dilihat daripada sudut-sudut tersebut, tidak dapat tidak, kumpulan etnik Melayu yang bertempat di Semenanjung dan Kepulauan Asia Tenggara, pulau-pulau Lautan Hindi dan Lautan Pasifik mempunyai tamadun yang tinggi. Walaupun tidak semua kumpulan etnik Melayu mempunyai tahap tamadun yang sama tingginya, tetapi nyata sekali ada kumpulan- kumpulan yang tamadunnya boleh menandingi tamadun Asia Tengah dan Lautan Mediterranean. 8. Pengenalan tamadun Melayu secara dekat amat penting sekali kerana kita harus tahu apa yang diwarisi oleh kita. Di sini kita perlu kepada kejujuran intelektual atau 'intellectual honesty'. Kita tidak boleh menidakkan bahawa di zaman yang gemilang juga terdapat ciri-ciri yang buruk, yang sebenarnya menjadi sebab mengapa yang gemilang menjadi pudar dan akhirnya hilang terus cahayanya. Mengenali unsur yang tidak baik yang terdapat di zaman dahulu, sama ada gemilang atau tidak, merupakan usaha yang tidak boleh diabaikan, seperti kata George Santayana: "Mereka yang tidak mempelajari daripada sejarah akan didera dengan mengulangi segala kesalahan dahulu". Sudah tentu mengulangi kesalahan akan membawa kesan buruk yang sama seperti yang berlaku dahulu. Sementara kita ghairah memperkatakan tentang zaman kegemilangan Melaka dalam tamadun Melayu umpamanya, kita tidak harus lupa bahawa zaman itu juga melahirkan orang-orang seperti Kitol dan Raja Mendaliar, pengkhianat kepada bangsa Melayu. 9. Walau bagaimana tinggi sekalipun tamadun Melayu dahulu, hakikatnya ialah ia tidak mampu mempertahankan dirinya daripada serangan dan pengaruh tamadun Barat. Bukan sahaja secara fizikal Barat dapat merampas wilayah-wilayah Melayu, tetapi ciri-ciri tamadun Melayu sendiri telah diserang dan dimusnahkan sehingga orang Melayu tidak lagi kenal akan aspek-aspek tertentu tamadun mereka dan menganggap semua yang ada pada mereka adalah tidak baik. 10. Soalnya ialah apakah serangan tamadun Barat ini ke atas tamadun Melayu baik ataupun tidak? Hakikat yang perlu kita terima ialah sesuatu tamadun itu tidak terbentuk dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa yang lama, mungkin beratus tahun lamanya untuk memperolehi cara, nilai dan amalan yang unggul atau distinctive. Sepanjang masa cara, nilai dan amalan yang secara keseluruhan menjadi 'sum total' sesuatu tamadun bertukar kerana pemikiran baru atau tekanan alam sekeliling. Hanya dengan adanya pertukaran-pertukaran ini tidak bermakna sesuatu tamadun itu telah hancur. Setiap tamadun yang berdayamaju mempunyai sifat-sifat dinamis dan ianya berubah apabila perubahan diperlukan. Tamadun yang tidak berubah, yang beku dan tidak dapat membentuk cara, nilai dan amalan yang baru, demi penyesuaian dan keperluan masa dan tempat, akan mati dan luput. Demikian dengan tamadun Egypt lama, Assyria, Phoenicia, Greece, Mongol dan lain-lain. Demikian juga di Dunia Baru atau New World iaitu apa yang dipanggil sebagai The Americas, tamadun Incas dan lain-lain, tiada lagi merupakan tamadun yang tinggi. 11. Walaupun dikalahkan oleh tamadun Barat, dan ada aspek- aspek tertentu daripada tamadun Barat yang mengambil tempat sebagai sebahagian daripada tamadun Melayu, kita harus bersyukur kerana tamadun Melayu masih tidak hilang kesemua ciri-cirinya. Tamadun Melayu tidak luput dan tidak mati. Ia masih hidup walaupun kadang-kadang sukar untuk mencari persamaan antara tamadun Melayu sekarang dengan tamadun Melayu yang dikatakan asli di zaman gemilang dahulu. 12. Perbezaan antara tamadun lama dan baru ini bererti tamadun Melayu adalah dinamik dan berdaya hidup. Kita masih boleh mengenali tamadun Melayu yang mempunyai ciri-ciri lama sehingga ianya dapat diasingkan daripada tamadun-tamadun lain di zaman ini. Tetapi pengekalan ciri-ciri ini tidaklah sampai menjadikan tamadun Melayu tidak sesuai dengan zaman ini. 13. Minat untuk menghidupkan semula segala ciri tamadun Melayu yang lama biasanya didorong oleh keinginan mengembalikan zaman kegemilangan dahulu. Untuk ini kadang- kadang tumpuan diberikan kepada perkara titik-bengik yang tidak membawa banyak manfaat, selain daripada meningkatkan perbezaan antara yang Melayu dengan yang bukan Melayu. Sebenarnya tamadun yang membawa kejayaan dalam satu zaman tidak semestinya membawa kejayaan yang sama di zaman yang lain. Lebih tepat lagi, tamadun lama yang tidak berubah tetap akan membawa kegagalan jika diteruskan. 14. Tamadun yang berjaya di zaman ini tidak seratus peratus mencerminkan segala nilai, ciri dan amalan tamadun yang menjadi asas kepadanya. Jika ada aspek tamadun yang berjaya dikekalkan dari dahulu hingga sekarang, ini ialah oleh kerana kesanggupan membuat penyesuaian dengan peredaran zaman. Kajian menunjukkan bahawa tamadun yang berjaya ini amat fleksibel, mudah dilenturkan dan adalah berdayacipta atau innovative. 15. Jika kita tidak mahu tamadun Melayu dijadikan sebagai satu kajian zaman silam sahaja, jika kita tidak taksub dengan rupabentuknya dan keinginan untuk mengembalikan rupabentuk ini, maka kita harus menerima daya penyesuaian atau adaptability sebagai sebahagian daripada ciri tamadun Melayu. Ianya tidak akan menghapuskan tamadun Melayu. Sebaliknya ia akan membantu mengekalkan tamadun Melayu, walaupun akan terdapat sedikit sebanyak perbezaan antara dahulu dan sekarang. 16. Kajian terhadap tamadun Melayu biasanya mengambil corak penyelidikan sejarah. Kita akan menyebut tentang aspek itu dan ini yang menjadi sebahagian daripada tamadun Melayu dalam sejarah kumpulan etnik Melayu. Kita akan berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan zaman-zaman tertentu sebagai bukti ketinggian tamadun di zaman berkenaan. Yang penting bukanlah pemilikan sejarah yang gemilang, tetapi kejayaan semasa yang gemilang. 17. Justeru itu kajian mendalam perlulah dibuat tentang tamadun Melayu semasa dan di abad ke-21. Tumpuan harus diberikan kepada perkembangan ciri-ciri tertentu yang ada kaitan dengan maju-mundurnya bangsa Melayu. Di sini juga kejujuran intelektual atau 'intellectual honesty' amat diperlukan. Janganlah kita menidakkan keburukan sesuatu unsur tamadun kita hanya kerana sesuatu unsur itu mencerminkan peribadi tamadun kita. Jika sesuatu unsur itu buruk, kita mestilah berani mengatakan ianya buruk. Tidak ada sesuatu yang lebih buruk daripada mengekalkan yang buruk kerana sentimen, kebongkakan atau false pride. Yang buruk mestilah dihapuskan walaupun ianya sebahagian daripada identiti kita. Sudah tentulah unsur yang menjadi penghalang kepada kejayaan kita harus dikikis. Tuan-tuan dan puan-puan, 18. Di sini kita perlu membincangkan soal warisan. Sudah tentu yang kita ingin warisi ialah tamadun yang gemilang. Tetapi apakah maknanya warisan? Oleh kerana kita berhak menjadi waris kepada tamadun Melayu, maka apakah dengan sendirinya kita akan memperolehi kegemilangan? Atau apakah kita hanya ingin berbangga sebagai orang yang memiliki tamadun yang dahulunya gemilang? 19. Bagi saya warisan ini tidak bermakna jika ianya tidak membawa kegemilangan di zaman ini dan zaman yang akan datang. Yang penting bukan sejarah. Yang penting ialah pengaruh sejarah yang boleh membawa kebahagiaan kepada kita. 20. Dengan itu kita dihadapi dengan cabaran sama ada mampu atau tidak menggunakan aspek-aspek tamadun kita di zaman yang gemilang itu untuk kemajuan dan kegemilangan kita sekarang. Jika ditanya sudah tentu kita akan berkata kita mampu, tetapi dakwaan kita sahaja tidak menjamin pencapaian kita. Dakwaan ini mestilah disusuli dengan tindakan dan dengan usaha yang nyata ke arah kegemilangan. 21. Sementara kita harus mengekalkan beberapa aspek tamadun kita, kita juga harus berani menggugurkan aspek-aspek yang tidak sesuai dengan peredaran zaman dan kegemilangan yang kita kejar. Kita juga harus berani menerapkan unsur-unsur tamadun lain jika ianya boleh menolong kita mencapai kejayaan. 22. Sebenarnya maju-mundur sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup yang menjadi sebahagian daripada tamadun bangsa itu. Jika hari ini kita berpendapat bahawa tamadun kita tidak gemilang seperti tamadun di masa yang lain, sebabnya ialah kerana ada nilai-nilai yang tidak baik dalam tamadun yang kita warisi sekarang. Cabaran yang kita hadapi ialah apakah oleh kerana kita ingin mencapai kegemilangan seperti di zaman silam, maka kita berani menukar nilai-nilai hidup yang menjadi sebahagian daripada tamadun kita yang jelas menghalang kejayaan kita? Keberanian kita bertindak mengatasi cabaran ini juga akan menjadi sebahagian daripada tamadun kita. 23. Perbezaan pencapaian berbagai tamadun di zaman ini lebih ketara dari zaman silam. Tidak ada lagi mana-mana masyarakat yang boleh mengasing dan memulaukan dirinya daripada dunia luar. Sistem perhubungan yang ada sekarang sudah menjadikan dunia yang dahulu begitu luas sebagai hanya sebuah kampung atau 'global village'. Sebagaimana kita maklum tidak ada sesuatu yang berlaku dalam sebuah kampung yang boleh disembunyikan daripada masyarakat kampung itu sendiri. Semuanya akan terdedah, termasuklah segala keburukan dan kelemahan seseorang, atau sesuatu keluarga. 24. Memandang kepada hakikat ini, maka amatlah penting agar pengekalan tamadun lama tidaklah sehingga melemahkan kita dan menyebabkan kita ketinggalan di belakang. Apa gunanya tamadun jika kita tidak memperolehi kebahagiaan hidup? Tamadun yang tidak membawa kejayaan akan menjadi bahan bacaan sejarah dan kajian seperti tamadun Egypt, Greece dan Roma di zaman dahulu. 25. Sebaliknya kita perlu bersedia menerima warisan kita dengan kesanggupan menghadapi segala cabaran serta menerapkan unsur-unsur baru yang baik, walaupun unsur-unsur baru ini akan menjadikan tamadun kita di zaman ini berbeza sedikit dengan yang dahulu. Tuan-tuan dan puan-puan, 26. Saya percaya penglibatan para sarjana dari lebih 20 buah negara di Persidangan ini akan memberikan suatu peluang untuk kita bertukar-tukar pandangan, maklumat dan fikiran di dalam segala bidang disiplin ilmu. Sesungguhnya kegemilangan tamadun banyak bergantung kepada warisan kita. Warisan kita tidak akan memberi makna kalau pewarisnya tidak bersedia menghadapi cabaran. Cabaran itu mestilah kita hadapi dengan bijak dan tanggungjawab. 27. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu Ke-II 1989 ini. |