home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	BANGUNAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL 
			AZIZ SHAH, SHAH ALAM 
Tarikh/Date 	: 	19/08/89 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN 
			AGUNG MIC 




 Yang Berhormat Dato' Samy Vellu,
     Presiden MIC;
Dif-dif Kehormat;
Para perwakilan MIC;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kerana  sekali  lagi
dijemput  oleh  Jawatankuasa  Pusat  MIC  untuk   merasmikan
Perhimpunan   Agung   Tahunan  Parti  ini.    Saya  berharap
Perhimpunan Agung MIC ini akan berjalan  dengan  lancar  dan
ianya  akan  menandakan  satu lagi langkah ke arah kekukuhan
MIC dan Barisan Nasional amnya.
2.   Sekarang  ini  sudah  menjadi  tradisi  bagi  Pengerusi
Barisan  Nasional merasmikan Perhimpunan Agung Parti MIC dan
beberapa parti komponen Barisan Nasional yang  lain.    Saya
amat   menghargai   penghormatan  ini.    Penghormatan  yang
diberikan oleh MIC kepada Pengerusi  Barisan  Nasional  akan
merapatkan  lagi  perpaduan  yang  diperlukan  oleh  Barisan
Nasional dan membantu kewibawaan  Barisan  Nasional  sebagai
parti pemerintah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Baru-baru  ini kita telah menghadapi dengan jayanya dua
lagi pilihanraya kecil bagi Tambatan di Johor  dan  Teruntum
di  Pahang.  Saya mengambil kesempatan ini merakamkan terima
kasih kepada semua ahli Barisan Nasional yang telah  bekerja
keras   untuk   memastikan   kejayaan   calon-calon  Barisan
Nasional.
4.   Barisan  Nasional  sebagai  parti   pemerintah   memang
berharap   supaya   jangan   selalu   terdapat  pilihanraya-
pilihanraya kecil kerana  kita  mahu  menumpukan  masa  yang
lebih   banyak  untuk  membangunkan  negara  kita.    Setiap
pilihanraya kecil memerlukan perbelanjaan    yang      besar
daripada   segi pentadbirannya.  Tetapi selalunya kita tidak
mempunyai  pilihan,  terutama  apabila   pilihanraya   kecil
tersebut  diadakan  berikutan  dengan  kematian  wakil-wakil
rakyat.
5.   Walau  bagaimanapun,  pilihanraya-  pilihanraya   kecil
dapat  juga  dijadikan  barometer  kepada  Barisan Nasional,
iaitu untuk melihat sama ada  rakyat  masih  menyokong  kita
atau  sebaliknya  dalam  tempoh  di antara pilihanraya umum.
Ianya juga dapat memberi ingatan kepada kita supaya  Barisan
Nasional   tidak   lalai   atau   leka   dalam   menjalankan
tanggungjawabnya kepada kesejahteraan  rakyat  dan  keamanan
serta kestabilan negara.
6.   Sekiranya  kita  lalai  selepas  memenangi  pilihanraya
umum, kita   akan   berasa    gelisah  apabila  menjelangnya
sesuatu   pilihanraya   kecil   ataupun   pilihanraya   umum
berikutnya.  Dengan itu wakil-wakil rakyat dan para pemimpin
parti-parti  komponen  harus  sentiasa  sedar  bahawa   kita
memerlukan  sokongan  rakyat untuk memerintah.   Justeru itu
kita perlulah berdamping, mengkaji dan membantu rakyat dalam
menyelesaikan masalah mereka.
7.   Dalam  sesuatu  pilihanraya  kecil  selalunya   isu-isu
tertentu dibangkitkan oleh parti-parti lawan.  Kadang-kadang
isu-isu  yang  wajar  dibangkitkan dan ada juga isu-isu yang
sengaja diada-adakan atau diperbesar-besarkan.   Kita  harus
berbangga  oleh  kerana rakyat negara ini dapat meneliti dan
memilih  baik-buruk  dan  betul-salahnya  sesuatu  isu  yang
dibangkitkan.      Tugas   kita ialah memberi penerangan dan
penjelasan serta melaksanakan program-program untuk  manfaat
rakyat.    Setakat  ini  kita  telah  berjaya dan kita harus
berusaha lagi untuk menempa kejayaan  yang  lebih  besar  di
pilihanraya-pilihanraya akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Menyentuh  pula mengenai MIC, saya yakin parti ini akan
bertambah  kukuh  pada  tahun-  tahun  yang   akan   datang.
Walaupun  satu-dua  cabaran  dihadapi  oleh  parti ini, saya
yakin para pemimpin parti MIC akan dapat mengatasi  cabaran-
cabaran ini, apatah lagi MIC mempunyai kepimpinan parti yang
bertambah matang.
9.   Kalau  kita  renungkan kembali sejarah Perikatan dahulu
dan Barisan Nasional sekarang  pula,  nampaknya  parti-parti
komponen  BN  bersilih-ganti  atau bergilir-gilir menghadapi
cabaran dalam parti.  Dalam sesuatu tempoh itu,  ada  sahaja
parti komponen yang menghadapi cabaran dalaman atau internal
conflict.    Kadang-kadang cabaran yang dihadapi itu seolah-
olah  boleh  menghancurkan  sesebuah  parti  itu.      Walau
bagaimanapun,  sejarah telah membuktikan bahawa setiap parti
komponen  akhirnya  dapat  mengatasi  cabaran  dalaman  itu.
Sejarah  juga  telah  membuktikan  bahawa selalunya sesebuah
parti komponen itu bertambah kuat selepas berjaya  mengatasi
sesuatu   cabaran   dalaman   itu.      Pahit-maung   semasa
bertelingkah akan menjadi penawar atau tonik untuk keteguhan
atau keutuhan parti.
10.  Sebagai satu pakatan lebih daripada sepuluh buah  parti
politik,  BN telah dapat menghadapi cabaran-cabaran daripada
parti-  parti  lawan  pada  setiap  masa.    Kesanggupan  BN
menghadapi  cabaran  daripada  parti-parti lawan adalah oleh
kerana  kebanyakan  parti-parti  komponen  BN  berada  dalam
keadaan  yang  kukuh  dan  utuh.  Itulah  salah  satu  unsur
penting  BN bagi  membolehkannya  mentadbirkan  negara  yang
berbilang  kaum  dan agama ini.   BN telah dapat menyediakan
kekuatan asas atau  basic  strength  yang  diperlukan  untuk
mentadbirkan   negara  ini.    Kita  akan  dapat  menghadapi
sebarang masalah atau cabaran sekiranya wujud kekuatan  asas
itu,  dan  setakat  ini  hanyalah BN yang dapat melakukannya
untuk kesejahteraan Malaysia.
11.  Satu perkara yang kita harus  ingat  ialah  kita  telah
dapat   mewujudkan   kekuatan   asas   ini   dengan   adanya
pengorbanan.  Pengorbanan mestilah dipikul oleh semua  parti
komponen.    Anggota sesebuah parti komponen biasanya nampak
dengan jelas akan  pengorbanan  yang  dilakukan  oleh  parti
mereka.    Sebaliknya  mereka jarang nampak pengorbanan oleh
parti-parti komponen yang lain.  Perkara seperti  ini  sudah
menjadi  lumrah dunia.  Dengan itu ada baiknya kita dalam BN
dapat meneliti sebarang pengorbanan  oleh  parti-parti  yang
lain  supaya  kita  dapat  mewujudkan perasaan saling faham-
memahami dan hormat-menghormati sesama kita.    Dengan  cara
ini  kita  akan  dapat  mengekalkan kekuatan yang diperlukan
untuk mentadbir dan membangunkan negara untuk  kesejahteraan
rakyat semua.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Kita akan menyaksikan Sukan SEA yang akan bermula esok.
Persidangan  Ketua-ketua  Kerajaan  Komanwel atau CHOGM akan
bermula  dua  bulan  lagi.  Di  samping itu, sepanjang tahun
depan telah diisytiharkan sebagai  Tahun  Melawat  Malaysia.
Dengan  itu  ramailah  tetamu,  para  pelancong dan anggota-
anggota media massa luar negeri yang telah dan akan tiba  ke
negara  kita.    Seperkara  yang ingin saya tegaskan di sini
ialah pentingnya kita  menjaga  nama  baik  negara.    Tidak
kiralah  sama ada ianya seorang kakitangan Kerajaan, seorang
ahli  politik,  peniaga,  suri  rumahtangga  dan  lain-lain;
setiap orang daripada kita mempunyai peranan masing-masing.
13.  Para  tetamu  dan pelancong akan tinggal di negara kita
buat beberapa hari, sama ada di ibukota Kuala Lumpur ataupun
di tempat-tempat pelancongan yang lain.  Mereka akan bertemu
dengan kakitangan hotel, pemandu teksi, pelayan-pelayan  dan
pekedai-pekedai dan mereka akan bercampur-gaul dengan rakyat
tempatan  yang  mana  ini  akan mendedahkan kita dan memberi
gambaran mengenai negara ini dan rakyatnya.   Gambaran  baik
yang   kita   tonjolkan  akan  membawa  banyak  manfaat  dan
keuntungan kepada negara.  Sebaliknya, banyak pula  kerugian
sekiranya  kita gagal memberi perkhidmatan dan gambaran yang
baik dan tidak bersopan santun.
14.  Kerajaan berharap kita semua  dapat  mengamalkan  ciri-
ciri  yang  baik  semasa  negara menjadi tuan rumah bagi dua
upacara yang penting tahun ini.   Ianya  juga  menjadi  asas
untuk kita bersedia menganjurkan Tahun Melawat Malaysia pada
tahun   depan.     Mungkin  beberapa  agensi  awam  telahpun
ditugaskan supaya  memainkan  peranan  utama  bagi  menyusun
aktiviti-aktiviti   untuk   tahun  tersebut,  tetapi  setiap
agensi, baik awam atau swasta, dan orang-orang  perseorangan
adalah  bertanggungjawab  untuk  menjayakan  program-program
ini.   Hasil daripada layanan yang  kita  berikan  ini  akan
dinikmati secara langsung oleh kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Menyentuh   tentang   ekonomi  negara,  Malaysia  telah
mengalami perkembangan ekonomi  yang  menggalakkan  semenjak
dua  tahun yang lalu.  Tanda-tanda pada awal dan pertengahan
tahun  ini  menunjukkan   bahawa   kita   akan   mencatatkan
perkembangan  ekonomi  yang  berterusan untuk beberapa tahun
yang akan datang.    Kerajaan  sekali  lagi  menyeru  setiap
sektor  dan  golongan  supaya  bekerjasama  untuk memastikan
perkembangan ini tidak tergendala.  Bagi kita yang  terlibat
secara   aktif  dengan  aktiviti-aktiviti  politik,  kitapun
mempunyai  peranan  yang  penting  bagi  menentukan  suasana
politik dan sosial adalah sesuai untuk perkembangan ekonomi.
Kita  memerlukan  suasana  stabil  dan  aman  tenteram  bagi
memudahkan perkembangan ekonomi.  Dengan itu, para  pemimpin
parti-parti  politik, terutama daripada parti-parti komponen
Barisan Nasional, hendaklah      memastikan    kita    tidak
menjadi  punca  bagi  sebarang  kekecohan,  termasuklah yang
berbau politik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.  Saya berharap Perhimpuan Agung MIC  ini  akan  berjalan
dengan  baik dan menghasilkan resolusi dan program yang akan
menjayakan bukan sahaja MIC, tetapi juga Barisan Nasional.
17.    Dengan  ini,  saya  dengan   sukacitanya   merasmikan
Perhimpunan Agung MIC ini.

 




 
Google