home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM PERPADUAN PETRA JAYA, 
			KUCHING, SARAWAK 
Tarikh/Date 	: 	21/09/89 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PARTI 
			PESAKA BUMIPUTERA BERSATU 
			(PBB) SARAWAK 




 Yang Amat Berhormat
     Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud,
     Presiden Parti PBB;
Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat Parti PBB;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  Ketua Menteri
Sarawak yang juga Presiden Parti PBB,  Datuk  Patinggi  Haji
Abdul  Taib  Mahmud  dan Jawatankuasa Pusat Parti PBB kerana
menjemput saya untuk merasmikan  persidangan  tahunan  Parti
PBB ini.  Saya percaya berbagai perkara akan dibincangkan di
Persidangan  ini dan saya percaya bahawa keputusan yang akan
diambil kelak akan mendatangkan manfaat bukan sahaja  kepada
Parti  PBB  tetapi  juga  kepada Barisan Nasional dan negara
Malaysia keseluruhannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Barisan Nasional merupakan gabungan parti-parti politik
daripada semua kaum di Malaysia ini.  BN mewakili  penduduk-
penduduk di negeri-negeri Semenanjung dan juga di
Sabah dan di Sarawak.  Parti-parti politik yang bergabung di
bawah BN bertujuan memberi suara dan  mengukuhkan  perpaduan
dan  persefahaman  di  kalangan  masyarakat majmuk di negara
ini.   Kemampuan dan kejayaan BN  jelas  membuktikan  bahawa
rakyat  Malaysia mahukan perpaduan, pembangunan dan kemajuan
melalui sistem perwakilan yang demokratik.  Rakyat  Malaysia
juga  inginkan  kepada  keamanan,  rukun damai dan kehidupan
yang semakin baik.  Oleh kerana itu  rakyat  Malaysia  telah
menaruh harapan mereka kepada BN kerana BN telah membuktikan
kemampuan  dan kebolehan mewakili rakyat berbagai kaum untuk
mentadbir dengan cekap, berkesan dan adil.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Semenjak   tahun   1957   apabila   negeri-negeri    di
Semenanjung  mencapai  kemerdekaan dan semenjak 1963 apabila
Sarawak dan Sabah  menyertai  Semenanjung  untuk  menubuhkan
Malaysia,   negara   kita  telah  mencapai  pembangunan  dan
kemajuan yang  begitu  pesat  sekali.    Negara  kita  telah
mencapai  kemajuan  ekonomi yang jauh lebih pesat dan tinggi
dari di zaman penjajah, sesuatu yang  tidak  kerap  berlaku.
Sarawak  dan  Sabah  yang  kaya  dengan berbagai sumber alam
telah mengalami  satu  kemajuan  yang  luar  biasa  semenjak
mencapai kemerdekaan melalui Malaysia.  Di Sarawak dan Sabah
kemudahan-kemudahan    infrastruktur    seperti   jalanraya,
bekalan    air     dan    elektrik, jambatan,  klinik-klinik
dan  lain-lain lagi dibina dan kemudahan-kemudahan ini telah
membawa banyak manfaat kepada rakyat di  Sarawak  dan  Sabah
walaupun   belumlah  sama  dengan  di  Semenanjung  di  mana
penduduk lebih ramai dan keadaan memang lebih baik  semenjak
dahulu lagi.
4.   Negara  kita  juga  aman  dan  tenteram  dan rakyatnya,
secara relatif, hidup dalam  keadaan  harmoni  dan  bersatu.
Kita  dapat  menjalankan  tugas-tugas kita tanpa kebimbangan
dan  gangguan.    Setiap  rakyat  dapat  mengejar  cita-cita
mereka.  Kita bebas menyuarakan pendapat dan pandangan kita.
Dan  sebagai rakyat kita mempunyai hak untuk menentukan cara
hidup kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Memang benar apa yang saya sebutkan ini adalah  perkara
biasa  di  negara kita.   Keadaan ini memang wujud di negara
kita.  Oleh itu mungkin ada antara tuan-tuan  dan  puan-puan
yang bertanya mengapakah saya selalu menyebut hal-hal ini.
6.   Memanglah  benar  negara  kita maju dan memanglah benar
kita boleh menyuarakan  pandangan  dan  pendapat  kita.  Dan
memang  benar  juga kita telah mencapai kemajuan ekonomi dan
sosial.    Tetapi  oleh  kerana  perkara-perkara  ini  sudah
menjadi   perkara-perkara   biasa  kepada  kita,  kebanyakan
daripada kita tidak lagi memandang berat kepadanya.  Dan ada
pula di antara  kita    yang     tidak   menghargai  nikmat-
nikmat  ini.   Kebanyakan daripada kita, oleh kerana nikmat-
nikmat ini sentiasa wujud tidak pula berusaha memeliharanya.
Oleh kerana itu ada di antara kita yang sudah mula lalai dan
lupa akan pengorbanan yang  telah  dibuat  untuk  mewujudkan
suasana dan keadaan yang harmoni dan tenteram ini.  Ada juga
antara  kita  yang  tidak segan silu menimbulkan cakap-cakap
dan   kata-kata   yang   boleh   mengancam   perpaduan   dan
persefahaman  kaum  dan  dengan itu meningkatkan ketegangan.
Tetapi yang lebih buruk lagi ialah terdapat  pula  golongan-
golongan  tertentu  yang sengaja menimbulkan perkara-perkara
supaya keharmonian yang wujud ini akan terganggu.  Tindakan-
tindakan yang tidak bertanggungjawab ini bertujuan menggugat
perpaduan kaum dan mengganggu kestabilan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Sebenarnya tidak semua negara berada dalam keadaan aman
dan tenteram dan bukan semua negara dapat menikmati kemajuan
dan  pembangunan  terutama   apabila   penduduknya   terdiri
daripada   berbagai  kaum.     Justeru  itu  kita  hendaklah
bersyukur kerana kita sungguh bernasib baik.  Kita  mestilah
sentiasa berusaha supaya keadaan ini terus berkekalan.  Saya
percaya  rakyat  Malaysia  yang yakin kepada negara Malaysia
dan masa depan negara kita akan sanggup membendung  perasaan
dan  kepentingan  diri atau kaum untuk memelihara kestabilan
dan kemajuan negara.
8.   Memang menjadi keutamaan  Kerajaan  untuk  meningkatkan
lagi    perpaduan     nasional.   Di samping itu juga adalah
menjadi  tumpuan  utama  Kerajaan  untuk  mengukuhkan   lagi
integrasi  antara  Semenanjung,  Sarawak  dan  Sabah.   Kita
bersatu dalam tindakan dan  kegiatan  kita.    Kita  bersatu
dalam  bidang  politik sepertimana yang dibuktikan dalam BN.
Kita bersatu semasa keadaan susah dan  bersatu  semasa  kita
senang.    Kita  bersatu  dalam  sukan seperti yang terbukti
dengan kejayaan cemerlang kita  dalam  Sukan  SEA  baru-baru
ini.    Kita bukan sahaja benar-benar ingin kepada integrasi
yang lebih tinggi, tetapi juga berusaha dengan serius  untuk
mencapainya.
9.   Dalam  hal  ini,  saya  ingin  mengingatkan  bahawa ada
pihak-pihak tertentu, baik dari  dalam  mahupun  dari  luar,
yang  begitu kurang senang  dengan  perpaduan  kita.  Mereka
ini tidak ingin melihat kita maju dan bersatu.  Mereka  mahu
kita  berpecah-belah.    Oleh  kerana  itu  mereka  ini akan
melakukan apa sahaja untuk menanamkan perasaan tidak  senang
dan  syak wasangka sesama kita.  Mereka akan menggunakan apa
juga taktik untuk mengancam perpaduan kita.  Mereka ini akan
membangkitkan  perkara-perkara  yang  boleh  membawa  kepada
perasaan  irihati  sesama masyarakat Malaysia.   Mereka akan
membesar-besarkan perbezaan pendapat yang  semestinya  wujud
dalam  masyarakat  dan  negara  yang  mengamalkan demokrasi.
Mereka juga tidak  akan  teragak-agak  untuk  melaga-lagakan
kita  dan  untuk memberi gambaran bahawa kita tidak sealiran
dan sepakat.
10.  Kita mestilah  sentiasa  berjaga-jaga  terhadap  tindak
tanduk  golongan  ini.   Kadang kala mereka bertindak secara
bersendirian tetapi ada juga masanya mereka bertindak secara
berkumpulan.    Tujuan  mereka  ini  adalah  untuk  memecah-
belahkan  perpaduan  kita,  khususnya  perpaduan  di  antara
Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.  Tujuan mereka  buruk.
Janganlah kita terperangkap dengan tindak-tanduk mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11.  Banyak lagi yang perlu kita usahakan untuk membangunkan
lagi  negara  kita  Malaysia.    Kita  perlu menyusun semula
masyarakat kita, kita perlu membasmi kemiskinan, kita  perlu
mempertingkatkan   usaha   kita   supaya   negara kita lebih
maju, lebih aman dan lebih  bersatu.    Yang  lebih  penting
ialah  kita,  setiap rakyat Malaysia, mesti sanggup berusaha
dengan  bersungguh-sungguh  untuk  menentukan   masa   depan
Malaysia   yang   lebih  terjamin.     Ini  memerlukan  satu
pengorbanan yang besar daripada setiap rakyat Malaysia  yang
cintakan  negara  ini.    Pada  hemat  saya, pengorbanan ini
adalah perlu bagi masa  depan  warisan  kita.    Kita  perlu
menyerahkan  negara  kita dalam keadaan yang lebih baik lagi
kepada warisan kita.  Tanggungjawab ini mestilah kita dukung
dan pikul bersama.
12.  Saya yakin kita dapat terus  membangunkan  negara  kita
kerana kita boleh bekerjasama sebagai satu tenaga yang padu.
Kerana  kita bersatu, kita    telah    dapat   menyelesaikan
masalah-masalah kita, walaubagaimana rumit sekalipun, dengan
menyuarakannya kepada semua pihak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Dalam negara demokratik, Kerajaan dipilih  oleh  rakyat
melalui  proses pilihanraya yang tertib.  Di Sarawak, proses
ini telah berjalan dengan baik dan Kerajaan  pilihan  rakyat
telah memerintah negeri ini dengan membawa banyak kemajuan.
14.  Malangnya  ada  pihak-pihak  tertentu yang tidak senang
hati dengan proses demokrasi dan cuba merebut kuasa  melalui
cara-cara  yang  haram disisi undang-undang.  Kerajaan Pusat
tidak akan   teragak-agak    mengambil    tindakan  terhadap
sesiapa  sahaja  yang  cuba  bertindak merebut kuasa di luar
proses yang halal.  Kerajaan Pusat tetap akan menyokong  dan
membantu  Kerajaan  Negeri  pilihan rakyat daripada sebarang
percubaan untuk melemahkannya.   Kita  ingin  bersikap  adil
tetapi  janganlah  sesiapa  mentafsirkan  sikap adil sebagai
kelemahan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Saya percaya Parti PBB akan terus  meningkat  maju  dan
akan  terus memberikan sumbangan yang membina kepada Barisan
Nasional.  Dengan adanya sokongan dan  kerjasama  yang  erat
antara  parti-parti komponen Barisan Nasional, BN akan dapat
meningkatkan   usaha-usaha   untuk    membawa kemajuan  yang
lebih  lagi  yang  akan  mendatangkan manfaat kepada seluruh
penduduk Malaysia ini.
16.  Mesyuarat Parti PBB ini, saya yakin  akan  menghasilkan
sesuatu yang akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada Parti
PBB dan BN, tetapi juga kepada negara kita.  Saya juga yakin
bahawa  Parti  PBB  di  bawah kepimpinan Datuk Patinggi Haji
Taib Abdul Mahmud akan terus maju dan mencapai lebih  banyak
kemajuan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.  Dengan   kata-kata   ini,   saya   dengan   sukacitanya
merasmikan Persidangan Parti PBB ini.

 
 



 
Google