home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/10/89 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PAMERAN "KOMANWEL KINI" 




 Yang Berhormat Datuk Sabbaruddin Chik,
     Menteri Kebudayaan dan Pelancongan;
Yang Berbahagia Datuk Shahrum Yub,
     Ketua Pengarah Jabatan Muzium;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
    Persidangan   Ketua-Ketua  Negara  Komanwel  yang  akan
berlangsung di Kuala Lumpur pada 18hb  Oktober  hingga  24hb
Oktober,  1989  ini  merupakan  satu peristiwa terbesar yang
penuh bersejarah  pernah  terakam  di  negara  ini  semenjak
negara  ini  mencapai kemerdekaan dan menganggotai Komanwel.
Sebagai tuan rumah, saya percaya setiap  rakyat  negara  ini
merasa  bangga  atas kejayaan kita menganjur dan mengaturkan
pelbagai   persiapan   serta   kemudahan   bagi   menjadikan
Persidangan  Ketua-Ketua Negara Komanwel di Kuala Lumpur ini
benar-benar  berjaya,  menjadi  kenangan  yang  tidak  dapat
dilupakan oleh para perwakilan.
2.   Sebagaimana  yang termaklum, Komanwel merupakan  sebuah
pertubuhan  yang  unik dan satu-satunya  pertubuhan  negara-
negara   di   luar  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa  Bersatu  yang
dianggotai oleh negara-negara  maju,  sedang  membangun  dan
yang   miskin.    Ini  bermakna  pertubuhan  Komanwel  dapat
menemukan ratusan juta rakyat negara-negara yang terkaya  di
dunia  dan  juga  yang  termiskin.    Rakyatnya juga terdiri
daripada berbagai-bagai bangsa dan suku kaum  yang  bertutur
dalam    pelbagai    bahasa,    mengamalkan   berbagai-bagai
kepercayaan dan kebudayaan.  Rakyat di setiap negara anggota
bebas   memilih,    menetap    dan    mempraktikkan    dasar
pemerintahannya  yang  tersendiri  berasaskan  falsafah  dan
ideal  yang  terkandung  dalam   "The   Declaration  of  the
Commonwealth Principles". Sungguhpun Komanwel telah bergerak
cergas      untuk menyelesaikan berbagai masalah ekonomi dan
sosial yang  dihadapi  oleh  negara-negara  anggota  melalui
berbagai-bagai   program  sains  dan  teknologi,  kesihatan,
pendidikan, pertanian, sukan  dan  sebagainya,  namun  masih
terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa program-program
tersebut  masih belum dapat dinikmati oleh kebanyakan rakyat
negara-negara anggota yang layak menikmatinya.  Kita  sangat
mengharapkan agar Komanwel dapat memainkan peranannya dengan
lebih  aktif  dan  berkesan  lagi dalam usaha-usahanya untuk
menyelesaikan berbagai masalah kemanusiaan sejagat khususnya
masalah kemiskinan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Semenjak tertubuhnya Komanwel dalam tahun 1948  dahulu,
ribuan peristiwa yang menarik telah terakam di dalam negara-
negara  anggota.  Antaranya ialah kemerdekaan yang merupakan
detik-detik bersejarah  yang  akan  sentiasa  diingati  oleh
setiap  rakyat  negara  berkenaan pada setiap tahun.  Tetapi
terdapat juga peristiwa-peristiwa lain yang  akan  dibiarkan
begitu   sahaja  atau  hanya  tersimpan  di  dalam  khazanah
perpustakaan yang hanya  dapat  dimanfaatkan  oleh  golongan
tertentu sahaja.
4.   Dalam  hal  ini  kita  berterima  kasih kepada Urusetia
CHOGM, Commonwealth Institute dan juga  Muzium  Negara  atas
usaha-usaha yang mereka telah ambil untuk mengadakan pameran
khas   mengenai  Komanwel  sempena  Persidangan  Ketua-Ketua
Negara Komanwel di Kuala Lumpur ini.   Saya  percaya  mereka
yang  berkunjung  ke Muzium Negara untuk menyaksikan pameran
ini sekurang-kurangnya dapat memahami apakah  Komanwel  itu,
ke  arah  manakah  matlamat  yang  dituju  oleh Komanwel dan
sejauh manakah kejayaan yang  telah  dicapai  oleh  Komanwel
terhadap  rakyat dan negara-negara anggota.  Penerbitan buku
kecil  bagi  mengiringi  pameran  ini  yang  berjudul   "The
Commonwealth Now", pada hemat saya, merupakan  satu  panduan
yang boleh menyemaikan kefahaman serta menjadi bahan rujukan
umum mengenai Komanwel.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Akhir  kata  saya berharap pameran "Komanwel Kini" akan
dapat menyeri dan memeriahkan lagi suasana Persidangan CHOGM
ini.  Dengan ini, saya dengan  sukacitanya  membuka  pameran
"Komanwel Kini" dengan rasminya.
     Sekian.

 
 



 
Google