home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 11/11/89 Tajuk/Title : UPACARA PENGISYTIHARAN SKIM PELABURAN BUMIPUTERA SELEPAS 1990 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Encik Abdul Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri; Yang Amat Berhormat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri; Yang Berhormat-Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri; Yang Berbahagia Tun Ismail Mohd. Ali, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad; Dif-Dif kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang bersama- sama menjayakan upacara Pengisytiharan Skim Pelaburan Bumiputera Selepas 1990 ini. Ia merupakan satu lagi usaha Kerajaan dalam membela masa depan masyarakat bumiputera. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Struktur ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia sudah berubah. Kini terdapat golongan kelas pertengahan yang aktif, serta pekerja-pekerja perindustrian yang memahami tentang pelaburan dan produktiviti serta kaitannya dengan imbuhan. Sektor swasta pula telah diberi peranan yang lebih dinamik dalam usaha pembangunan negara. 3. Perubahan-perubahan struktur sosial ini adalah hasil daripada pelaksanaan berbagai-bagai dasar Kerajaan termasuklah Dasar Ekonomi Baru yang telah dilaksanakan semenjak tahun 1970. Di antara strategi-strategi Dasar Ekonomi Baru ialah menyusun semula masyarakat supaya dalam dua dekad sekurang-kurangnya 30% pemilikan atau penyertaan dan pengurusan ekonomi dinikmati oleh masyarakat bumiputera. Semasa DEB digubal, pihak kerajaan mengambil kira bahawa kedudukan dan ketahanan bumiputera di bidang perdagangan dan perniagaan amatlah lemah. 4. Oleh itu, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk membantu secara langsung kumpulan Bumiputera dalam sektor ini. Selepas beberapa tahun, pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan didapati mempunyai beberapa kelemahan. Pembahagian saham-saham kepada individu bumiputera gagal meningkatkan kepentingan ekonomi mereka kerana ramai daripada mereka mencari jalan mudah untuk mendapat untung jangka pendek dengan menjual saham-saham mereka kepada bukan bumiputera. Oleh kerana ini Kerajaan terpaksa terlibat secara lebih aktif dalam sektor korporat dengan mempergiatkan lagi syarikat-syarikat yang ditubuhkan oleh agensi amanah seperti Pernas, MARA, UDA dan Perbadanan- perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri. Semasa menubuhkan agensi amanah, Kerajaan telah berjanji penglibatan Kerajaan dalam agensi dan syarikat ini adalah sementara dan akan dipindahkan kepada bumiputera apabila keadaan mengizinkan. Ini adalah untuk membolehkan bumiputera menyertai secara langsung dan aktif dalam sektor korporat. Penglibatan Kerajaan hanya dapat membantu penyertaan bumiputera tetapi tidak dapat meningkatkan sepenuhnya ketahanan mereka dalam bidang ekonomi. 5. Pada akhir tahun 70an pula masyarakat bumiputera didapati kekurangan modal untuk membeli peruntukan saham yang dikhaskan. Dengan itu mereka membeli dengan wang pinjaman dan menjual balik dengan serta merta untuk membayar hutang. Pengagihan peruntukan secara meluas dan saksama tidak dapat diusahakan. Oleh itu Yayasan Pelaburan Bumiputera yang ditubuhkan pada awal tahun 1978 telah ditugaskan untuk menerajui usaha penyertaan bumiputera di pasaran modal. Yayasan tersebut pula telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad atau PNB yang bertindak sebagai institusi pelaburan yang melabur dalam syarikat-syarikat terpilih untuk disalurkan kepada bumiputera perseorangan menerusi Skim Amanah Saham Nasional atau ASN. 6. Daripada segi prestasi, PNB telah mencatatkan rekod yang memuaskan. Semenjak ia ditubuhkan pada tahun 1978 sehingga akhir tahun lalu, PNB melalui ASN telah berjaya mengumpulkan modal bumiputera sebanyak 6,000 juta ringgit. Ini adalah satu angka yang terbesar berbanding dengan jumlah pelaburan bumiputera melalui lain-lain saluran. Lebih bermakna lagi ialah sebahagian yang tidak kecil jumlahnya adalah modal daripada kalangan bumiputera yang berpendapatan rendah termasuk yang tinggal di luar bandar. 7. Kejayaan Skim ASN pula boleh diukur daripada pulangan yang diterima oleh pelabur-pelaburnya. Skim ASN telah membayar lebih $2,446 juta kepada masyarakat bumiputera yang melabur dengannya dalam tempoh lapan tahun. Saya berasa bangga kerana Skim ASN adalah satu-satunya alat untuk mengagihkan sebahagian daripada keuntungan aktiviti ekonomi negara kepada masyarakat bumiputera semua lapisan. 8. Meskipun usaha penyusunan semula masyarakat telah giat dilaksanakan, matlamat 30% penyertaan bumiputera dalam sektor korporat tidak akan tercapai menjelang 1990. Daripada jumlah $98 ribu juta hakmilik modal saham pada nilai par syarikat-syarikat berhad pada penghujung tahun lalu, penglibatan bumiputera hanyalah $19 ribu juta atau 19.4%. Ini berbanding dengan 56% bagi rakyat Malaysia yang lain dan 24.6% bagi pemastautin asing. Perangkaan- perangkaan ini jelas menunjukkan bumiputera lebih jauh ketinggalan berbanding dengan pencapaian bukan bumiputera. Cabaran-cabaran dan perubahan struktur dalam tahun 90an akan lebih kuat daripada yang dihadapi sebelum ini. Justeru itu masyarakat bumiputera harus secara serius dan jujur lebih aktif dalam sektor korporat ini. Amalan hanya menjadi front kepada syarikat-syarikat tidak bermakna dan hendaklah digantikan dengan penyertaan yang bersungguh-sungguh melalui penanaman modal sendiri dan pengurusan harian. 9. Daripada jumlah pegangan Bumiputera ini, sumbangan daripada individu bumiputera mulai dari tahun 1985 telah melebihi sumbangan daripada agensi-agensi amanah milik sepenuh Kerajaan. Sekarang pegangan individu bumiputera telah meningkat kepada 13% berbanding dengan agensi amanah yang hanya mempunyai pegangan 6.4% dalam sektor korporat. Sebahagian besar daripada pegangan individu bumiputera itu adalah melalui tabung-tabung pelaburan seperti Skim ASN, Tabung Haji, dan Tabung Angkatan Tentera, manakala pegangan syarikat-syarikat sendirian dan awam yang mendapat pelaburan daripada individu bumiputera secara terus masih amat kecil. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Masyarakat bumiputera mesti berani menerima persekitaran yang lebih mencabar dan memahami risiko-risiko yang perlu dihadapi dalam ekonomi moden negara kita selepas 1990. Di samping penglibatan secara langsung, penyertaan bumiputera dalam sektor korporat melalui skim tabungan saham amanah perlulah diteruskan. Masyarakat bumiputera masih mempunyai sumber ekonomi yang terhad dan belum boleh lagi bergantung semata-mata kepada golongan usahawan bumiputera, atau golongan kelas pertengahan, untuk mencapai matlamat penyertaan yang menyeluruh di dalam ekonomi negara. Oleh itu, penggemblengan simpanan individu bumiputera melalui tabung-tabung amanah perlu dipertingkatkan. Melalui tabung- tabung ini, kekesanan pengurus-pengurus bumiputera yang bilangannya terhad dapat diagihkan kepada lebih ramai. 11. Namun demikian untuk mendedahkan bumiputera kepada risiko turun-naik pasaran modal komersial, Skim ASN, yang mengikut Surat Ikatan atau Deed of Trust ASN akan matang mulai dari 1hb Januari 1991 akan diniagakan mengikut pasaran harian nilai seunit. Ini bermakna pelabur ASN akan menghadapi risiko turun-naik pasaran saham. Harga unit ASN tidak lagi tetap pada $1 seunit seperti sekarang, tetapi akan diasaskan kepada nilai aset ketara portfolio Skim ASN setiap hari, yang berdasarkan harga saham-saham di dalam portfolio tersebut yang diurusniagakan di Bursa Saham Kuala Lumpur. 12. Sehubungan dengan perkembangan ini, Kerajaan, menerusi PNB, sedang menyediakan kemudahan berurusniaga melalui komputer di pejabat pos. Bagi fasa pertama menjelang Januari 1991, sebanyak 280 buah pejabat pos di seluruh negara akan mempunyai kemudahan komputer talian terus dengan ibu pejabat ASN. Ini bermakna para pelabur bumiputera di kawasan pendalaman juga akan mengetahui harga saham ASN setiap hari untuk mereka menjual dan membelinya. Tuan-tuan dan puan-puan, 13. Dengan itu kita akan menghadapi cabaran menentukan pertumbuhan dan pengekalan hak milik bumiputera dalam sektor korporat. Urusniaga saham Skim ASN mengikut harga pasaran adalah satu cara dan pengalaman baru bagi kebanyakan 2.4 juta pelabur ASN sekarang. Ia akan memperkenalkan bumiputera kepada realiti perniagaan, iaitu semua perniagaan mempunyai risiko dan bukan keuntungan yang tinggi dan terjamin selama-lamanya. Tuan-tuan dan Puan-puan, 14. Tahun-tahun 90an merupakan era yang lebih mencabar kepada masyarakat bumiputera, bukan sahaja daripada segi mempertingkatkan saiz penyertaan dalam ekonomi yang sudah dicapai, tetapi juga memastikan supaya saiz yang sedia ada ini dikekal, diusaha dan dikendalikan dengan lebih maju. Dalam konteks ini, strategi pemilikan ekuiti tidak harus dilihat sebagai satu pencapaian semata-mata daripada segi hakmilik, tetapi harus dilihat sebagai satu asas perniagaan yang boleh memberi keuntungan sama seperti pembelian dan penjualan lain-lain barangan. Yang perlu diawasi ialah perniagaan saham bukanlah sesuatu urusan yang mudah. Nasihat hendaklah didapati terlebih dahulu sebelum sesuatu penjualan atau pembelian dibuat. Jika ada kekhuatiran tentang hasil perniagaan adalah lebih baik pemilikan saham dikekalkan. Penjualan yang tidak bijak akan memisahkan bumiputera daripada bahagian kekayaan ekonomi yang telah dikumpul oleh PNB bagi pihak mereka. Tuan-tuan dan Puan-puan, 15. Masyarakat Bumiputera masih perlu diberi sokongan supaya keupayaan dan kemampuan mereka menjadi semakin kukuh dan meluas dalam proses perubahan struktur ekonomi negara. Dalam konteks inilah Kerajaan akan melaksanakan sebuah lagi skim saham amanah untuk memelihara serta memperkukuhkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera selepas 1990. Skim yang akan diwujudkan ini akan dikenali sebagai Skim Amanah Saham Bumiputera atau Skim ASB. Urusniaga Skim ini akan dibuka kepada masyarakat bumiputera mulai 1 Januari 1990. Seperti ASN kini ia adalah kekal pada harga $1 seunit, manakala had maksimum pelaburan ialah 100,000 unit, berbanding dengan had 50,000 unit untuk Skim ASN. Pengekalan urusniaga Skim ASB pada harga $1 seunit adalah kerana kebanyakan masyarakat bumiputera berminat dengan pendekatan ini yang boleh melindung mereka yang kurang mahir dalam perniagaan bursa saham. 16. Pelaburan permulaan yang digelar Unit Pokok sebanyak $10 akan dibayar oleh PNB bagi pihak semua pelabur Skim ASN sekarang. Dengan ini semua pemilik saham ASN akan menjadi pelabur dalam Skim ASB. Tetapi pelaburan sebanyak $10.00 ini tidak boleh dikeluarkan oleh pelabur selama 10 tahun. Di samping itu bonus bagi tahun berakhir 31 Disember 1989 akan dibayar dalam bentuk unit dalam Skim ASB. Dengan ini setiap orang pemegang saham ASN akan mempunyai 10 unit dan ditambah dengan 5% daripada jumlah unit ASN yang dimilikinya dalam Skim ASB. Unit bonus ini boleh dijual oleh pelabur jika ia berhajat untuk mendapat wang tunai. Dalam pada itu pihak ASN telah menetapkan bayaran sebanyak 9.5% dividen untuk tahun berakhir 31 Disember 1989. 17. Sebagaimana yang terdapat di negara-negara lain dalam menggalakkan penggemblengan simpanan orang perseorangan, Kerajaan akan memberi pelepasan cukai kepada Skim Amanah Saham Bumiputera. Ini bermakna dividen Skim Amanah Saham Bumiputera yang berjumlah $5,000 ke bawah adalah dikecualikan dari cukai pendapatan. Kerajaan juga akan meneruskan pelepasan cukai kepada Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad dan Skim ASN. 18. Skim Amanah Saham Bumiputera ini bertujuan mengekalkan pemilikan modal dalam perniagaan dan perusahaan oleh bumiputera hasil daripada skim ASN. Adalah dikhuatiri apabila sahaja unit ASN dinilai mengikut harga pasaran maka kebanyakan daripada bumiputera akan menjual unit-unit milik mereka untuk mengambil keuntungan jangka pendek. Dengan ini segala usaha untuk meningkatkan penyertaan bumiputera melalui DEB akan merosot sejurus selepas tamatnya DEB pada 31 Disember 1990. Tuan-tuan dan Puan-puan, 19. Alat dan jentera untuk menjayakan DEB telah disediakan oleh Kerajaan. Kerajaan juga telah menyediakan modal untuk memesatkan pemilikan hasil ekonomi oleh bumiputera. Dengan agensi Kerajaan mengambilalih beberapa syarikat besar dan kecil, sebilangan kecil bumiputera telah memperolehi peluang mendapat pengalaman dan kecekapan dalam bidang pengurusan syarikat. 20. Tetapi akhirnya yang akan memberi kejayaan yang bermakna kepada DEB dan keadilan sosial ialah sikap dan peningkatan pengetahuan bumiputera sendiri dalam selok-belok perniagaan di zaman ini. Kelemahan yang akan menggagalkan matlamat DEB dan lain-lain dasar ialah sikap kebanyakan bumiputera untuk merebut keuntungan jangka pendek dan keengganan mereka menghadapi risiko perniagaan. Jika saham- saham syarikat yang disusun semula dijual kepada individu bumiputera, besar kemungkinan mereka akan menjualnya dengan serta-merta untuk mendapat untung segera. Dengan itu jumlah saham milik bumiputera tidak akan meningkat dan mereka tidak akan menikmati kenaikan nilai saham atau keuntungannya. 21. Dengan adanya PNB maka kelemahan bumiputera yang menyebabkan mereka merebut keuntungan jangka pendek dapat dikawal. Tetapi kawalan ini tidak akan menjadikan bumiputera lebih mampu menyertai bidang perniagaan. Mereka akan terus lemah, dan matlamat DEB yang sebenar tidak akan tercapai sepenuhnya. 22. Oleh sebab inilah maka bumiputera patutlah menyingkirkan kecenderongan untuk mendapat keuntungan cepat. Kecekapan mengurus boleh ditingkatkan melalui latihan dan pengalaman. Modal yang berpatutan boleh diadakan dan dipinjam jika perlu. Peluang, tempat, lesen dan lain-lain boleh diadakan dengan pertolongan Kerajaan. Tetapi selagi kelemahan yang disebut tadi tidak diatasi, DEB dan apa juga dasar tidak akan berkesan. Sepertimana juga sistem tanah simpanan Melayu dan native land tidak menjamin kedudukan ekonomi bumiputera, demikian juga pergantungan kepada Kerajaan sebagai pelindung bumiputera sepanjang masa tidak akan mengukuhkan ekonomi bumiputera dan mengimbangkan prestasi mereka dengan bukan bumiputera. 23. Oleh itu, saya menyeru semua golongan bumiputera supaya menyambut Skim Amanah Saham Bumiputera sebagai benteng sementara bagi mereka, menjelang pembentukan sifat-sifat dan nilai-nilai yang benar-benar boleh memberi tempat yang saksama kepada mereka dalam ekonomi negara. 24. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Skim Amanah Saham Bumiputera dan juga memperkenalkan logonya. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |