home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SHAH ALAM, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	23/11/89 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN MATSUSHITA 
			TELEVISION CO.(M) SDN. BHD. 




 Yang Berbahagia
     Tan Sri Nasruddin Bin Mohamed,
     Pengerusi
     Matsushita Television Co. Sdn. Bhd.;
Encik Akio Tanii,
     Presiden Matsushita Electric Industrial
     Co. Ltd.;
Encik Kensuke Yokoo,
     Pengarah Urusan
     Matsushita Television Sdn. Bhd.;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada Lembaga Pengarah
dan pihak pengurusan Matsushita Television Sdn. Bhd.  kerana
menjemput  saya  merasmikan  syarikat ini.   Pembukaan rasmi
syarikat ini akan  memberi  sumbangan  ke  arah  pembangunan
sektor perkilangan di Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Sektor  perkilangan  dijangka  menyumbang satu perempat
daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau  KDNK  pada  tahun
ini.      Ini  merupakan  kali  pertama  sektor  perkilangan
mengatasi garis 25% KDNK.  Dua tahun lalu sektor perkilangan
telah mengatasi sumbangan kepada KDNK oleh sektor pertanian,
perhutanan dan perikanan.   Daripada   segi   eksport  pula,
eksport  barang-barang perkilangan dijangka berjumlah hampir
55% daripada jumlah eksport negara tahun ini.   Inilah  kali
pertama  jumlahnya melebihi daripada setengah jumlah eksport
negara.  Perkembangan ini sangatlah menggalakkan  dan  ianya
selaras  dengan  cita-cita  kerajaan untuk menjadikan sektor
perkilangan sebagai sektor utama dalam  pembangunan  ekonomi
negara.
3.   Walaupun begitu, kerajaan akan terus memberikan galakan
yang sewajarnya kepada sektor ini supaya sumbangannya kepada
KDNK  terus meningkat.   Kerajaan berharap ia akan meningkat
kira-kira 40% pada akhir abad ke  20  ini.    Keyakinan  ini
bertambah  tebal  dengan  beberapa  perkembangan yang sangat
menggalakkan.   Pertamanya,     asas     sektor  perkilangan
negara kita yang terlalu berat kepada barang-barang elektrik
dan  elektronik  serta  tekstil  beberapa  tahun yang lepas,
telah  menunjukkan  perluasan  kepada  barang-barang   lain,
seperti barang-barang getah, barang-barang kimia dan barang-
barang  berasaskan  kertas  atau paper products.  Di samping
itu pelaburan dalam sektor perkilangan ini  telah  meningkat
lebih  pesat  dari  tahun lalu.    Pelaburan yang diluluskan
oleh kerajaan untuk 7 bulan yang pertama  tahun  ini  adalah
kira-kira enam billion ringgit -- satu peningkatan kira-kira
34% lebih tinggi dari tempoh yang sama tahun lalu.
4.   Pelaburan  yang  tinggi  ini  kebanyakannya  dari  luar
negeri.  Mengikut perangkaan ekuiti  yang  diluluskan  tahun
lalu,  58%  ekuiti  adalah  dari  luar negeri.   Tidak dapat
dinafikan bahawa  peningkatan  pelaburan  asing  ini  adalah
berikutan    dengan    kemudahan-kemudahan    infrastruktur,
insentif-insentif yang ditawarkan dan promosi  yang  agresif
oleh pihak kerajaan.
5.   Baru-baru   ini   timbul  pula  satu  pandangan  bahawa
Kerajaan telah memberi kemudahan dan insentif  yang  terlalu
banyak  kepada  para pelabur asing.   Pendapat tersebut juga
menyatakan jika  kemudahan-kemudahan  dan  insentif-insentif
ini   dikurangkan   sedikit  daripada  apa  yang  disediakan
sekarang ini ianya akan juga menarik  pelaburan  asing  yang
tinggi.
6.   Sekiranya  kita  melihat  trend  ini  dalam  perspektif
antarabangsa, kita akan  dapat  memerhatikan  bahawa  negara
kita  bersaing  sengit  dengan  negara-negara  lain terutama
beberapa  buah  negara  ASEAN  untuk  mendapatkan  pelaburan
asing.    Beberapa  buah  negara  jiran  kita  telah berjaya
mencapai perkembangan ekonomi  yang  membanggakan,  terutama
pembangunan  perindustrian.     Oleh yang demikian, sebarang
pengkajian sama ada Malaysia  telah  menyediakan  kemudahan-
kemudahan  pelaburan  yang  mencukupi,  yang berlebihan atau
berkurangan,   hendaklah   mengambil   kira    perkembangan-
perkembangan di negara-negara asing, terutama di rantau Asia
Tenggara.
7.   Mengikut   penilaian  kerajaan  dewasa  ini,  insentif-
insentif dan kemudahan-kemudahan cukai dan bukan cukai  yang
diberikan  kepada  para pelabur asing akan diteruskan kerana
ianya telah  membuktikan  hasil  yang  baik.    Apatah  lagi
kerajaan  yakin  salah  satu  langkah  efektif  mengurangkan
pengangguran di negara ini ialah melalui sektor  perkilangan
yang  berkembang  pesat.    Sektor  ini  berjaya  mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan yang tertinggi  berbanding  dengan
semua sektor lain semenjak beberapa tahun yang lalu.  Sektor
perkilangan  akan  terus  memainkan peranan yang penting dan
utama  dalam  usaha  Kerajaan   mengurangkan   pengangguran.
Sebenarnya  insentif  yang  diberi pada akhirnya adalah sama
dengan  subsidi  bagi  gaji  pekerja.     Jika  kita   tidak
menyediakan  insentif,  memandangkan kos tenaga manusia yang
lebih murah di negara-negara jiran, mungkin pelaburan  asing
tidak  akan  datang  ke  negara  kita  dan  ramai  yang akan
menganggur.   Anggapan bahawa insentif  diberi  hanya  untuk
para  pelabur  adalah tidak tepat.  Perhitungan perlu dibuat
berkenaan dengan bilangan pekerja yang akan menganggur  jika
kilang-kilang  ditutup.  Di Amerika Syarikat, United Kingdom
dan negara-negara Eropah  lain,  bantuan  modal  yang  besar
diberi   oleh   kerajaan   kepada  syarikat-syarikat  asing,
kebanyakannya Jepun, yang sanggup  mendirikan  kilang-kilang
terutamanya  di  kawasan-kawasan yang kurang maju dan kurang
peluang pekerjaan.   Demikian  insentif  oleh  negara-negara
yang  sudah  maju.    Di Malaysia kita tidak memberi subsidi
bentuk modal kepada pelabur-pelabur asing.  Kita hanya tidak
mengutip cukai.
8.   Menyentuh tentang kemajuan yang  dicapai  oleh  agensi-
agensi  awam  dalam  menyediakan  infrastruktur  dan jentera
pentadbiran bagi  meluluskan  sebarang  cadangan  pelaburan,
kerajaan   berbangga   dengan   perkembangan   yang   sangat
menggalakkan di beberapa buah negeri.  Mengikut kajian  yang
dijalankan,  kelulusan bagi tapak-tapak industri atau kilang
adalah bertambah cepat dan mudah  di  beberapa  buah  negeri
seperti  Johor, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.  Terdapat
juga penyelarasan yang semakin baik di beberapa buah  negeri
lain.    Pendek  kata,  usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dan
negeri memperbaiki pentadbiran pelaburan oleh  agensi-agensi
awam   persekutan   dan  negeri  telah  membawa  hasil  yang
menggalakkan.  Kerajaan berharap kemajuan  pentadbiran  yang
menggalakkan   ini   akan  diteruskan  supaya  daya  tarikan
pelaburan akan  meningkat,  apatah  lagi  memikirkan  bahawa
negara  kita  menghadapi saingan yang hebat daripada negara-
negara serantau.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.    Saya ingin menyentuh tentang pengetahuan Bahasa  Jepun
di  kalangan  rakyat  negara  ini.   Pada dasarnya, kerajaan
memang menggalakkan perkembangan  pengetahuan  bahasa-bahasa
asing.    Bahasa  Inggeris  diajar  di  sekolah-sekolah  dan
beberapa bahasa asing yang lain termasuk bahasa Arab juga di
ajar di   beberapa   peringkat   pembelajaran   di Malaysia.
Oleh kerana kita ingin mengetahui dan ingin  belajar  dengan
berkesan   akan   etika   kerja,  cara-cara  pengurusan  dan
organisasi syarikat dan industri Jepun, yang mana semua  ini
jelas  membawa  kejayaan  kepada Jepun dalam bidang ekonomi,
maka  kerajaan  telah  memutuskan  untuk  memberi  penekanan
terhadap  penguasaan  bahasa  Jepun  oleh  kumpulan-kumpulan
tertentu di kalangan  rakyat  Malaysia.    Kumpulan-kumpulan
yang   dimaksudkan   ialah  pekerja-pekerja  dan  eksekutif-
eksekutif yang terlibat secara langsung dalam  perindustrian
negara.    Tahap  penguasaan  tidaklah perlu terlalu tinggi.
Walau bagaimanapun, bagi pihak pengurusan mereka dikehendaki
mempunyai penguasaan yang baik bagi keperluan tugas mereka.
10.  Untuk tujuan  ini  Kerajaan  akan  mengadakan  beberapa
kemudahan  untuk  mempelajari Bahasa Jepun.  Pegawai-pegawai
Kerajaan juga akan digalak mempelajari bahasa Jepun.  Adalah
diharapkan syarikat-syarikat Jepun akan membantu dalam usaha
ini dengan mengadakan kemudahan sendiri bagi pekerja  mereka
mempelajari bahasa Jepun.
11.  Pekerja  dan  eksekutif  Malaysia  hendaklah mengadakan
pandangan yang positif terhadap  usaha  ini.    Langkah  ini
bukanlah  bertujuan  menjadikan kita orang Jepun.  Jika kita
ingin maju dan  berjaya,  kita  hendaklah  belajar  daripada
orang  yang  maju  dan  berjaya.   Tidak ada cara yang lebih
berkesan dalam  mempelajari  bagaimana  orang  lain  berjaya
selain  daripada  memahami  bahasa mereka.   Kita tidak akan
rugi jikalau kita faham  Bahasa  Jepun.    Kita  akan  tetap
beruntung.
Ladies and gentlemen,
12.  The  relationship  between  Malaysia and Japan has been
strongly cemented through trade and  investment.    For  the
past one decade we have seen a tremendous spurt in bilateral
trade between Malaysia and Japan and the continued inflow of
Japanese  direct investments as well as technology transfers
into Malaysia.  This growth both in trade and investment has
been  achieved in an  environment of  close  and  harmonious
economic relations between the two countries.
13.  The  opening  of  this  eighth   Matsushita's   company
incorporated  in  Malaysia  serves  to  augment  further the
large Japanese  investment  in  this  country.  With   this,
Matsushita's   investment  in  Malaysia  exceeds  1  billion
ringgit.  In congratulating Matsushita I would like to thank
the company for its confidence in Malaysia, being as  it  is
among  the  very  first  Japanese  companies  to  invest  in
Malaysia and to keep on investing large sums of money  here.
That  confidence  and  bullishness  about  Malaysia shown by
Matsushita has now spread to many Japanese  investors,  big,
medium and small.  Japan has now become the largest investor
in  Malaysia for the past several years.  However, there are
still tremendous opportunities in Malaysia for even  greater
investment   as   the Malaysian Government is committed to a
programme   of  rapid   industrialisation    especially   in
manufacturing.  This  commitment is  inevitable  seeing that
only  industry,  particularly  manufacturing, can create the
jobs for our people, besides contributing to growth.
14.  Besides  the  Japanese,  there  is a flow of investment
from  the  rapidly  growing  Asian  economies  like  Taiwan,
Singapore  and  Hong  Kong into Malaysia.  That this flow is
motivated by enlightened self interest does not put  us  off
one  bit,  for  our  welcome too is due to enlightened self-
interest.  The people who think that  there  are  altruistic
reasons  for  doing  things  are  really  out of  touch with
reality.  The  government  will continue to make the country
as attractive as possible to investors, foreign as  well  as
local.    As a further step towards this end the Cabinet has
decided  to  set up a  small  unit in the  Prime  Minister's
Department   dedicated  to   receiving  any   complaints, or
suggestions, from investors.   They  will  soon  be  sending
questionnaires  to  all companies in strict confidence.  The
unit will be directly responsible  to  the  Prime  Minister.
Whatever   action  that  needs to be  taken  as a  result of
complaints  or  suggestions  will be taken.  So please avail
yourself of the new facility.  Do  not wait to be  asked  by
the unit.  It is there to serve you.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Saya  difahamkan  bahawa  para  pekerja di syarikat ini
berikrar bekerja dengan  bersungguh-sungguh,  serta  menjaga
kualiti  barang-barang  yang  dikeluarkan.   Ini adalah satu
sikap yang baik dan terpuji.
16.  Para pekerja tempatan adalah satu komponen  yang  dapat
menarik  pelaburan ke negara kita.  Para pelabur sudah tentu
memerlukan para pekerja yang dapat menyumbangkan tenaga yang
membawa kebaikan  kepada  para  pelabur  dan  para  pekerja.
Dengan  itu mereka mahukan kumpulan pekerja yang berdedikasi
dan berdisiplin.   Insya-Allah, secara langsung  atau  tidak
langsung  pekerja  akan mendapat   tambahan   ganjaran  bagi
diri sendiri hasil dedikasi dan produktiviti mereka.
17.  Apabila  kita  mengadakan  promosi  menarik  pelaburan,
salah  satu  yang  diterangkan  kepada  para  pelabur  ialah
Malaysia mempunyai tenaga kerja yang cekap dan mahir,  serta
mempunyai  tingkat  pelajaran  yang  baik  untuk membolehkan
mereka menjalani sebarang latihan dan kemahiran.    Sekarang
ramai  pelabur  sudah  pun  membawa  modal  ke  negara kita.
Ingatlah  jika  tidak  kerana  kesanggupan  mereka  melabur,
peluang-peluang  pekerjaan  tidak akan bertambah.   Sekarang
masih ramai  daripada  rakyat  Malaysia  sedang  menganggur.
Mereka  menanti-nanti peluang pekerjaan yang akan diwujudkan
daripada pelaburan.   Janganlah kita     hampakan    harapan
mereka.     Satu     hari  nanti  bilangan  penganggur  akan
berkurangan sehingga akan ada  majikan  yang  akan  berebut-
rebut  untuk  mendapat pekerja.   Pada ketika itu saya yakin
majikan sendiri akan meningkatkan layanan  terhadap  pekerja
mereka.
18.  Bagi  syarikat ini, saya difahamkan salah satu objektif
jangka panjangnya ialah memastikan kemajuan dan  pembangunan
kerjaya  bagi  kakitangan  pengurusan  dan pekerja tempatan.
Program tempatan atau localisation  programme  syarikat  ini
harus diterima dengan baik.  Kakitangan dan pekerja tempatan
haruslah  belajar  bersungguh-sungguh;  jangan tunggu diajar
sahaja, sebaliknya mencari kemahiran dan pelajaran di tempat
kerja.    Bersama-samalah  kita  bergerak  menuju  ke   arah
pembangunan  yang   lebih  pesat  lagi  melalui kesungguhan,
disiplin dan  nilai-nilai  murni  di  tempat  kerja.    Saya
berharap  para  pekerja kita akan sentiasa menjaga nama baik
negara melalui  keupayaan  masing-masing  menjalankan  tugas
dengan baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19.    Sekali  lagi  saya  mengucapkan  terima  kasih kepada
Lembaga Pengarah Matsushita Television Co Sdn.  Bhd.  kerana
menjemput   saya  merasmikan  kilang  ini.    Saya  berharap
keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat ini akan meyakinkan
syarikat-syarikat lain untuk meningkatkan  pelaburan  mereka
di Malaysia.
20.  Dengan  harapan  ini,  saya  dengan sukacitanya membuka
Syarikat Matsushita Television Sdn. Bhd. dengan rasminya.

 
 



 
Google