home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/12/89 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN 
			PERKHIDMATAN TADBIR DAN 
			DIPLOMATIK (PPTD) 




 Assalamu'alaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan  salam
sejahtera.
Yang Berbahagia Datuk Hassan Ibrahim,
     Presiden PPTD;
Yang Berhormat Menteri-menteri;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Alhamdulillah bersyukur kita ke  hadrat  Illahi  kerana
dengan izinNya kita dapat bersama-sama di majlis tahunan ini
sekali  lagi.    Saya  ingin mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa PPTD kerana menjemput saya dan isteri  saya  ke
jamuan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Pada  tahun  1985  kita  menghadapi kemelesetan ekonomi
yang teruk dan nada ucapan saya di jamuan makan  malam  PPTD
pada  tahun  itu  menggambarkan  usaha-usaha  Kerajaan untuk
mengatasi kedudukan ekonomi yang buruk itu.  Pada tahun 1987
dan  1988   di   perjumpaan   yang   serupa,   ucapan   saya
menggambarkan   bahawa   usaha-usaha  yang  dilakukan  untuk
memulih dan memperkukuhkan ekonomi kita  semakin    berjaya,
serta  perasaan  yakin  pihak  Kerajaan  ke  atas  pemulihan
ekonomi negara kita.
3.   Sekarang ini, empat tahun kemudian, ekonomi kita  bukan
sahaja   telah   pulih   tetapi   juga   telah   menunjukkan
perkembangan yang menggalakkan yang  dijangkakan  berlarutan
bagi  beberapa  tahun yang akan datang.  Ini merupakan usaha
kita semua -- Kerajaan dan rakyat, sektor awam  dan  swasta,
sama  ada  yang  tinggal  di  bandar  atau  di  luar bandar.
Tidaklah  keterlaluan  jika  saya  katakan  bahawa  pegawai-
pegawai  tadbir  memainkan  peranan  yang  utama dan penting
dalam proses pemulihan dan pembangunan pesat ini.
4.   Di samping kita bersyukur  dengan  kejayaan        kita
ini,   kita   juga   harus berhati-hati dan menyusun langkah
dengan   cermat  supaya  negara  kita  tidak  terlalu  mudah
terpengaruh dengan kemelesetan ekonomi  dunia  sekali  lagi.
Kita  harus  belajar  daripada  sejarah dan pengalaman orang
lain serta daripada  pengalaman  yang  kita  alami  sendiri.
Mereka  yang melupakan sejarah dan pengalaman ini akan cepat
kecewa  dengan  cabaran-cabaran  baru  pada  masa   hadapan.
Justeru  itu,  usaha-usaha  pemulihan ekonomi beberapa tahun
yang lalu yang masih berkesan hendaklah diteruskan.   Tetapi
pada  sepanjang  masa  kita harus menyoal diri kita sama ada
memadai dengan pendekatan yang ada sekarang atau apakah  ada
dasar  dan  tindakan  yang  lain  yang harus kita bentuk dan
laksanakan?
5.   Kita semua maklum bahawa struktur ekonomi  kita  sedang
berubah   mengikut  dasar  dan  perancangan  kita  --  iaitu
memperluaskan  perindustrian,  terutama  sektor  perkilangan
supaya  kita  tidak  terlalu sangat bergantung kepada turun-
naiknya harga barang-barang  komoditi  yang  lebih  dikuasai
oleh  pengguna-pengguna  besar  di  negara-negara maju.   Di
samping itu sektor swasta akan memainkan peranan yang  lebih
besar  dalam  pembangunan ekonomi negara.   Peranan Kerajaan
secara langsung dalam perkhidmatan dan  pembangunan  ekonomi
melalui   badan   korporat   dan  agensi  akan  dikurangkan.
Sebaliknya  Kerajaan  akan  menumpukan  kepada   tugas-tugas
keselamatan   dan   ketenteraman,  penyediaan  infrastruktur
serta     perkhidmatan     dan aktiviti-aktiviti  kawalselia
atau supervisory yang mustahak.
6.   Untuk  menghadkan  aktiviti Kerajaan kepada tugas-tugas
pemerintahan  dan  pentadbiran,  penswastaan  akan   menjadi
pendekatan  yang  penting.    Kita  sudah  melihat bagaimana
beberapa  agensi  atau  syarikat  Kerajaan  telah   mencapai
kejayaan   yang   baik   setelah  diswastakan  dengan  tidak
merugikan  kakitangan  agensi  dan  syarikat-syarikat   itu.
Sebenarnya kakitangan-kakitangan syarikat-syarikat itu lebih
bernasib  baik  daripada  semasa  mereka  di bawah Kerajaan.
Tetapi  mereka  dan   pengurusan   mestilah   sedar   bahawa
perniagaan  tetap  mempunyai risiko.  Keuntungan tidak boleh
dibelanjakan sampai  habis  tetapi  sebahagiannya  hendaklah
disimpan  untuk  pelaburan  yang  diperlukan dan untuk 'hari
hujan'.  Badan dan agensi yang telah diswastakan tidak  lagi
boleh  mengharapkan  modal  dan  bantuan  daripada  Kerajaan
seperti sebelumnya.
7.   Sementara itu, kita harus memeriksa dan mengkaji semula
pendekatan-pendekatan yang  lain  yang  telah  kita  amalkan
dalam  urusan  pentadbiran  negara  selama ini.   Kita tidak
dapat menafikan bahawa ada pencapaian-pencapaian yang  tidak
memuaskan.    Di  samping  itu  kita  pula  berhasrat  untuk
menjadikan kualiti sebagai sasaran kita sepanjang masa.  Ini
bermakna kita mestilah mengejar matlamat yang  lebih  tinggi
dan baik sepanjang masa, walau apa juga pencapaian kita yang
terdahulu.
8.   Untuk     mempertingkatkan     kualiti     perkhidmatan
pentadbiran,  kita  harus  berani  menyoal  dan  menganalisa
sistem-sistem  yang  sekian  lama telah kita gunakan.  Dalam
perkara ini kita  harus  jujur  menilai  prestasi  kita  dan
mengenalpastikan  kelemahan-kelemahan  dan  pendekatan  yang
harus dibaiki atau ditukar sama sekali.   Kita  tidak  harus
mengamalkan  sesuatu  cara itu hanya kerana itulah cara yang
telah kita warisi dan yang kita tahu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Tamadun manusia tidak statik  dan  beku.    Ia  berubah
sepanjang  masa.    Kadang-kadang  perubahan  adalah ke arah
kemunduran tetapi kerapkali ia adalah ke   arah    kemajuan.
Sama  ada tamadun menjadi lebih mundur atau maju, yang pasti
ialah perubahan berlaku.   Dalam keadaan  yang  berubah-ubah
ini  kita  juga  perlu mengubahsuai pendekatan kita.   Sebab
itulah kita telah mencipta dan  melaksanakan  berbagai-bagai
dasar  dan  pendekatan  baru seperti Dasar Pandang Ke Timur,
Persyarikatan Malaysia,  Penswastaan,  perakaman  waktu  dan
lain-lain lagi.
10.  Mungkin   dasar-dasar   dan  pendekatan-pendekatan  ini
mempunyai kelemahan-kelemahan, tetapi kita harus  mencubanya
dahulu sebelum kita membuat keputusan yang ianya tidak baik.
Kita harus mencuba dengan bersungguh-sungguh dahulu.  Tetapi
jika  akhirnya  sesuatu  perubahan  itu  jelas   menunjukkan
ianya  tidak  baik,  kita tidak harus malu menyatakannya dan
kita  balik  kepada  amalan  yang  asal  atau  kita  mencuba
pendekatan yang lain pula.
11.  Sejarah   manusia   memang   memperlihatkan   perubahan
sepanjang masa.  Tetapi di zaman ini kita melihat  perubahan
berlaku   dengan   lebih  banyak  dan  dengan  lebih  cepat.
Teknologi  hari  ini  menjadi  usang  keesokan  hari.    Dan
teknologi esok akan menjadi usang sehari selepasnya.  Negara
yang  kalah dalam peperangan dan hancur musnah boleh menjadi
kuasa dunia dalam masa hanya 30 tahun  sahaja.    Sebaliknya
negara  yang maju boleh menjadi mundur.  Kita sedang melihat
keruntuhan  sistem  ekonomi  komunis,  sesuatu  yang   tidak
terfikir hanya lima atau enam bulan dahulu.
12.  Berhadapan  dengan aliran ini, kita harus tahu mengatur
langkah  dan  menyesuaikan  pendekatan  negara  kita  dengan
perubahan-perubahan yang sedang berlaku dan mungkin berlaku.
Mentadbirkan  sesebuah  negara  tidak semudah dahulu.   Kita
begitu terikat dengan  kejadian-kejadian  di  seluruh  dunia
sehingga  ekonomi  kita  boleh  merosot  dalam  sekejap masa
sahaja.
13.  Jika negara kita tidak  mempelbagaikan  atau  diversify
daripada  hanya dua komoditi kepada lebih enam komoditi, dan
daripada pengeluaran komoditi  semata-mata  kepada  industri
perkilangan  dan  industri  perkhidmatan,  negara  kita akan
merana di waktu getah tiruan menggantikan  getah  asli,  dan
plastik,   kertas,   kaca  dan  aluminium menggantikan sadur
timah atau tin-plate.  Kita bernasib baik kerana kita  telah
mengambil  langkah  agak awal.  Sekarang harus kita fikirkan
pula akan  langkah-langkah  yang  perlu  kita  ambil  segera
akibat tanda-tanda perubahan yang dapat kita lihat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Satu aliran yang memerlukan perhatian dan tindakan awal
oleh  pentadbiran  dan  Kerajaan  ialah pertumbuhan bilangan
penduduk di negara kita.  Ada yang berpendapat  bahawa  cara
menyelesaikan  masalah  pertumbuhan  penduduk  ialah  dengan
mengurangkannya melalui  perancangan  keluarga.    Sementara
perancangan  keluarga  ini  adalah satu cara tetapi ia tidak
dapat mengatasi masalah secara  langsung.   Ia juga  mungkin
membawa  masalah  seperti  'aging population' dan akibatnya.
Justeru itu,  kita  harus  memahami  dengan  lebih  mendalam
masalah yang berkaitan dengan mentadbirkan rakyat yang lebih
ramai.
15.  Negara  kecil  dengan  penduduk yang tidak ramai memang
lebih mudah ditadbir daripada negara yang  besar  dan  ramai
penduduknya.      Pertumbuhan   bilangan   penduduk   dengan
sendirinya boleh menjadi masalah dan menurunkan taraf  hidup
rakyat.    Perbelanjaan kerajaan pula perlu meningkat.  Jika
ekonomi tidak turut tumbuh bersama-sama  dengan  peningkatan
bilangan    penduduk,    kerajaan    tidak   mungkin   dapat
membelanjakan  peruntukan  yang  biasa      bagi      setiap
rakyat,  jauh  sekali membekalkan perkhidmatan dan kemudahan
yang lebih baik.
16.  Cara  sosialis  menghadapi masalah pertumbuhan penduduk
ialah dengan  mengadakan  peluang-peluang  pekerjaan,  tanpa
mengira  sama  ada  kerja  itu  perlu atau tidak.   Kerajaan
sosialis akan mengambil pekerja-pekerja yang  berlebihan  ke
dalam  pentadbiran  dan  perusahaan-perusahaan milik negara.
Mereka juga mewujudkan industri  yang  tidak  penting  tanpa
mengambilkira  untung-rugi.    Sepertimana  yang  kita lihat
sekarang,  negara-negara  sosialis  dan   komunis   akhirnya
menjadi   negara-negara   yang   miskin  dan  rakyat  mereka
mengalami kehidupan yang tidak selesa sehingga mereka bangun
menentang sistem itu.
17.  Kita  tidak  ingin  menjadikan   penduduk   yang   kian
bertambah  di  negara ini miskin dan kurang selesa kehidupan
mereka.   Justeru itu, kita tidak  mahu  mengadakan  jentera
kerajaan  yang  besar  hanya  untuk  memberi peluang-peluang
pekerjaan.  Penambahan bilangan kakitangan kerajaan mestilah
kerana tambahan diperlukan.  Yang harus kita tumpukan  ialah
kepada  kecekapan atau efficiency -- iaitu perkhidmatan yang
berkualiti dengan bilangan pekerja yang sekecil mungkin.
18.  Apakah pendekatan  ini  akan  menyebabkan  pengangguran
bertambah?    Ini tidak semestinya berlaku jika perkhidmatan
yang diberikan oleh  pihak  pentadbiran  dapat  memudah  dan
menjayakan   perniagaan  dan     perusahaan  swasta.    Jika
pelaburan  swasta  dapat  ditingkatkan  dengan  pesat,  maka
peluang-peluang pekerjaan akan bertambah dengan lebih banyak
lagi,  berbanding  dengan  kerajaan  semata-mata  mengadakan
pekerjaan  untuk   mewujudkan   peluang-peluang   pekerjaan.
Potensi  pihak swasta meningkatkan bilangan pekerjaan adalah
lebih besar daripada kerajaan.    Pihak  swasta  juga  lebih
mampu memperbaiki taraf hidup pekerja.
19.  Memandangkan  kepada  hakikat ini, maka amatlah penting
jentera kerajaan diperbaiki sepanjang  masa  supaya  menjadi
lebih  efisien.    Tambahan  bilangan kakitangan dan pegawai
hendaklah  dibuat  apabila  perlu  sahaja.    Konsep     dan
semangat   dasar   Persyarikatan Malaysia hendaklah diterima
baik dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh.
20.  Di masa yang sama, kerajaan yang bertanggungjawab untuk
menyediakan rakyat yang terlatih hendaklah menentukan bahawa
latihan  dan  pelajaran  yang  diberikan  adalah bersesuaian
dengan dasar yang memberi pihak swasta  peranan  yang  lebih
besar   dan  penting.    Bumiputera,  terutamanya,  mestilah
didorong melalui biasiswa dan lain-lain kemudahan  pelajaran
supaya  bidang-bidang  pelajaran  yang  dipilih  oleh mereka
tidak lagi terhad untuk berkhidmat dengan kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21.  Orientasi  pegawai  dan  kakitangan  kerajaan  sekarang
mestilah   ditujukan   kepada   pembangunan  perniagaan  dan
industri milik swasta.   Kejayaan  swasta  ada  kaitan  yang
rapat  dengan  kehidupan  kakitangan  dan  pegawai kerajaan.
Kita tidak boleh lupa sama sekali  bahawa  pembiayaan  semua
perbelanjaan  kerajaan  adalah  daripada kutipan cukai dalam
berbagai bentuk daripada rakyat.  Rakyat yang  berpendapatan
rendah tidak mungkin membayar cukai yang banyak.  Sebaliknya
jika  ramai  rakyat  yang  berada  dan  taraf  hidup  rakyat
keseluruhannya  meningkat  tinggi,  kewangan  kerajaan  akan
menjadi  lebih  baik.    Kerajaan  pula  mungkin lebih mampu
menaikkan  gaji  dan  lain-lain        kemudahan        bagi
kakitangannya,   selain  daripada  menunaikan  tanggungjawab
kerajaan kepada rakyat amnya.
22.  Dasar dan matlamat  Kerajaan  Barisan  Nasional  adalah
jelas.      Para   pentadbir   yang  bertanggungjawab  untuk
melaksanakan  dasar-dasar  ini  akan  memperolehi   ganjaran
daripada dasar-dasar ini.  Justeru itu, peningkatan bilangan
penduduk  dan  lain-lain  fakta  yang  menyebabkan  kerajaan
membentuk dasar-dasar baru  mengenai  perkhidmatan  Kerajaan
hendaklah   dilaksanakan  dengan  bersungguh-sungguh  supaya
ianya berjaya membangunkan negara kita ini dengan pesat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23.  Pada keseluruhannya, Kerajaan menyedari bahawa terdapat
peningkatan kualiti dan kesungguhan di  kalangan  kakitangan
awam  dalam  menjalankan tugas-tugas mereka.   Terdapat juga
perubahan sikap yang menggalakkan, termasuklah perkhidmatan-
perkhidmatan untuk orang ramai di kaunter-kaunter dan  untuk
melaksanakan projek-projek pembangunan.  Kerajaan menghargai
setiap sumbangan, dedikasi dan usaha berkualiti setiap orang
kakitangan   awam.    Tetapi  sepertimana  yang  telah  saya
jelaskan semasa pelancaran Gerakan Budaya  Kerja  Cemerlang,
kualiti  tidaklah  statik.    Ia  meningkat  sepanjang masa.
Dengan itu,      kita      semua    hendaklah       berusaha
meningkatkan kualiti perkhidmatan kita sepanjang masa.
24.  Akhirkata, sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan
terima  kasih  di  atas jemputan ini, dan berdoa semoga kita
sentiasa mencapai kejayaan  dalam  menunaikan  tanggungjawab
kita.
     Wabillahitaufik       walhidayah      wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 



 
Google