home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT Tarikh/Date : 13/12/89 Tajuk/Title : SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG- UNDANG AKTA PERTUBUHAN (PINDAAN) 1989 (BACAAN KALI KEDUA) Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Pertubuhan 1966 dibacakan kali yang kedua sekarang. Tuan Yang di-Pertua, 2. Parti politik adalah pertubuhan yang berbeza daripada pertubuhan-pertubuhan lain. Ia tidak ditubuh dan diwujudkan kerana hanya kepentingan ahli-ahlinya. 3. Tujuan sesebuah parti politik ialah untuk berusaha supaya fahaman atau ideologi parti itu dapat akhirnya mempengaruhi cara dan matlamat pemerintahan sesebuah negara. Dengan itu sama ada bilangan ahli parti politik tertentu itu kecil atau besar, kesan perjuangannya akan melibatkan semua rakyat dan seluruh negara. Semua bidang kemasyarakatan, iaitu politik, sosial dan ekonomi negara akan menerima kesan kegiatan sesuatu parti politik. 4. Dalam negara demokratik, seperti Malaysia, tidak ada sekatan terhadap penubuhan parti politik melainkan jika ianya bertujuan menghapuskan sistem demokrasi atau bertujuan mencetuskan huru-hara dalam negara. Sebab itulah parti komunis tidak dibenarkan di negara kita. Jika terdapat terlalu banyak parti politik, ini juga akan menjejaskan demokrasi kerana ia boleh menjadikan keadaan dalam negara tidak stabil dengan memecah-belahkan rakyat sehingga tidak ada parti yang boleh memerintah. 5. Dalam sistem pemerintahan di negara ini tidak ada paksaan terhadap rakyat untuk menyertai mana-mana parti politik. Setiap orang bebas memilih untuk menjadi ahli mana-mana parti politik mengikut selera dan kehendaknya. Jika ideologi, dasar dan matlamat sesebuah parti diterima dan dipercayai oleh seseorang, ia boleh menjadi ahli atau penyokong parti itu. Jika ia berpendapat ideologi, dasar, perjuangan, matlamat atau urusan parti tidak seperti yang dikehendakinya ia tidak perlu menyertai atau menyokong parti itu. Jika ia sudah menjadi ahli dan kemudian tidak lagi dapat menerima perjuangan, cara atau pentadbiran parti itu, ia bebas keluar daripada parti tersebut. 6. Parti-parti politik mempunyai perlembagaan dan undang- undang kecilnya yang menentukan perjuangan serta pentadbiran parti. Jika seseorang menjadi ahli parti ia mestilah menerima perlembagaan dan undang-undang kecil parti. Seseorang itu tidak boleh memaksa sesebuah parti meminda undang-undang parti supaya ia boleh menyertainya. 7. Perlembagaan parti serta undang-undang kecilnya bukanlah sesuatu yang tidak boleh dipinda sama sekali. Ia boleh dipinda dan cara-cara memindanya boleh dibuat melalui peruntukan perlembagaan parti yang tentulah menitik-beratkan pandangan ahli-ahli. Jika ahli-ahli menerima secara majoriti atau secara konsensus, pindaan boleh dibuat. Jika ahli-ahli tidak menerima maka yang kecewa bolehlah meninggalkan parti dan membuat apa sahaja di luar parti. Tetapi tentulah tidak demokratik dan tidak adil bagi mana- mana ahli atau kumpulan minoriti untuk memaksa parti melalui proses lain supaya menerima juga pendapat mereka. 8. Seperti pertubuhan-pertubuhan lain kegiatan parti politik tertakluk kepada perlembagaannya yang juga terkandung dalamnya segala dasar dan matlamat perjuangan parti. Untuk menentukan parti dapat berjalan dengan berkesan satu badan pengurusan yang dianggotai oleh pegawai- pegawai tertentu terpaksa diadakan. Pemilihan pegawai- pegawai ini juga dibuat melalui peruntukan dalam perlembagaan parti. Demikian juga pemberhentian pegawai- pegawai ini boleh dibuat melalui peruntukan dalam perlembagaan parti. 9. Selagi pegawai-pegawai ini tidak diberhentikan mengikut proses perlembagaan parti, mereka berhak meneruskan tugas- tugas mereka sebagai pegawai. Jika mereka disekat melalui proses di luar perlembagaan parti, perbuatan ini tentulah bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan parti tetapi juga menghinakan ahli-ahli parti yang mendokong perlembagaan parti. Tindakan ini juga mencabul demokrasi dalam parti. 10. Jika sesuatu tindakan itu disokong oleh majoriti ahli- ahli parti, mustahil golongan minoriti atau seseorang individu boleh menyekat kehendak pihak majoriti. Walaupun seseorang itu memegang jawatan yang tertinggi atau kumpulan minoriti itu terdiri daripada badan yang menguruskan parti, mereka tidak mungkin membelakangkan kehendak majoriti selama-lamanya. Jika mereka cuba juga, majoriti ahli akan menyingkirkan mereka. 11. Dengan perkataan lain sesebuah parti politik mempunyai semua peruntukan untuk menentukan cara parti diperjuangkan. Jika ada penyelewengan ia tidak mungkin berlarutan. Pada akhirnya jika tidak ada jalan lain, ahli-ahli boleh bertindak dengan menarik diri daripada parti sehingga parti itu tidak lagi boleh menjadi parti yang berkesan. Tuan Yang di-Pertua, 12. Dalam sesebuah negara yang demokratik dan mengamalkan pemerintahan mengikut undang-undang, rakyat diberi hak untuk membawa segala rintihan dan masalah ke mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian. Ini memang adil dan berasas. Tetapi penyelesaian melalui mahkamah adalah cara yang terakhir, selepas cara-cara yang lain gagal. Jika semua masalah dan rintihan rakyat dibawa ke mahkamah untuk penyelesaian, pemerintahan tidak mungkin mengadakan bilangan mahkamah yang mencukupi. 13. Salah satu daripada undang-undang yang boleh diguna oleh orang-orang yang menghadapi masalah ialah dengan mendapat perintah mahkamah atau injunction untuk menyekat pihak-pihak lain daripada membuat sesuatu yang boleh merugikan atau ternampak seolah-olah merugikan pengadu. Sesuatu yang istimewa dalam amalan injunction ini ialah pihak yang didakwa tidak perlu dipanggil untuk mempertahankan dirinya. Melalui exparte injunction hukuman boleh dibuat yang tidak memberi hak kepada pihak lain untuk mempertahankan diri atau right to be heard -- sesuatu prinsip yang utama dalam sistem demokrasi dan pemerintahan mengikut undang-undang. 14. Dengan ini injunction boleh didapati tanpa pengetahuan pihak yang menjadi sasaran dan ia dihalang daripada membuat sesuatu yang belum tentu salah. Dengan ini pihak yang mendakwa akan mencapai objektifnya untuk beberapa masa tertentu walaupun akhirnya setelah mendengar penjelasan daripada pihak yang didakwa maka didapati yang didakwa tidak bersalah. 15. Seseorang boleh mendapat injunction pada hari Sabtu untuk menghalang sesuatu yang akan dilakukan pada keesokan hari iaitu hari Ahad. Pihak yang terhalang tidak berpeluang untuk membatalkan injunction kerana hari Ahad adalah hari cuti. Proses membatalkan injunction pula tidak secepat proses mendapat injunction. Ia memakan masa yang panjang dan mungkin tidak bermakna lagi bila ianya didapati. 16. Akhir-akhir ini ramai ahli politik yang membuat dakwaan di mahkamah atau meminta supaya injunction dikeluarkan untuk menyekat pihak lain. Akibatnya ialah perlembagaan parti disia-siakan dan jentera penyelesaian masalah dalam parti menjadi tidak berguna. Kesannya juga ialah seseorang ahli boleh menidakkan hak majoriti ahli yang kadang-kadang berjumlah berjuta. 17. Kesalahan teknikal, seperti kehadiran seseorang ahli yang tidak sah atau seseorang yang bukan ahli dalam sesuatu mesyuarat cawangan, boleh menjadikan sesebuah parti yang mempunyai sejuta ahli tidak sah. Dengan itu juga segala harta parti akan diambil-alih oleh pihak berkuasa, dan proses yang amat rumit perlu dilalui untuk mengesahkan semula parti. Berbagai halangan politik boleh dibuat oleh pihak yang berkepentingan semasa parti dihukum tidak sah. Jelas sekali banyak keuntungan boleh diperolehi oleh orang- orang yang ingin menghalang perjalanan sesebuah parti politik. 18. Jika demokrasi ditakrif sebagai suara ramai, maka amatlah tidak demokratik dan tidak adil jika seseorang boleh menidakkan hak sejuta orang. Mengikut undang-undang yang ada sekarang ini, kemungkinan ini berlaku bukan sahaja memang ada tetapi juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Seseorang yang berniat buruk boleh dengan sengaja menghadiri mesyuarat satu cawangan yang terpencil secara tidak sah dan kemudian menggunakan kehadirannya sebagai bukti mesyuarat itu tidak sah. Jika mesyuarat cawangan itu memilih wakil ke mesyuarat bahagian, maka mesyuarat bahagian pula menjadi tidak sah dengan tidak diketahui oleh bahagian itu. 19. Jika dari mesyuarat bahagian itu wakil-wakil dipilih ke mesyuarat agung parti, seperti yang berlaku kepada UMNO, maka mesyuarat agung itu menjadi tidak sah dan segala perlantikan oleh mesyuarat agung menjadi tidak sah. Akhirnya parti itu boleh dihukum tidak sah sepertimana yang telah berlaku kepada UMNO. Demikianlah undang-undang yang ada sekarang dan kesannya terhadap perjalanan parti politik. Tuan Yang di-Pertua, 20. Seseorang yang menjadi ahli parti politik menjadi ahli atas pilihannya sendiri. Permohonannya untuk menjadi ahli dan perasmian kemasukannya sebagai ahli parti bermakna ia membuat suatu perjanjian atau kontrak dengan parti -- iaitu akan mematuhi syarat-syarat keahlian yang sudah tentu termasuk penerimaan perlembagaan dan undang-undang kecil parti. Jika ia membelakangkan perlembagaan parti dan undang-undang kecil parti, ia sebenarnya mengkhianati kontraknya. Apakah undang-undang negara harus melindungi orang yang mengkhianati kontrak dan janji? Apakah akan jadi kepada masyarakat jika orang yang mungkir janji dipertahankan, sementara orang yang mematuhi janji dirampas hak mereka? Apakah ini yang dikatakan keadilan? 21. Undang-undang digubal untuk kebaikan dan kita mematuhi undang-undang kerana kita menerima pemerintahan berundang- undang atau rule of law. Malangnya setiap kali kita menggubal undang-undang, ada sahaja orang yang sengaja mencari peluang atau loophole dan mengambil kesempatan untuk membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan maksud dan tujuan undang-undang itu. Demikianlah ketaranya usaha ini sehingga maksud undang-undang tidak tercapai dan sebaliknya ia membawa ketidakadilan kepada pihak yang ia sepatutnya melindungi. 22. Oleh kerana kita tidak boleh membelakangkan undang- undang maka undang-undang yang menyebabkan ketidakadilan mestilah dihapus atau dipinda. Undang-undang pertubuhan yang ada sekarang ini sudah menjadi undang-undang yang tidak adil kepada parti politik dan ahli-ahlinya. 23. Pindaan yang dikemukakan ini bertujuan untuk memberi kuasa kepada parti politik menyelesaikan masalah dalam parti tanpa dirujuk ke mahkamah. Parti politik mestilah mempunyai jentera untuk tujuan mentadbir parti secara adil. Perlembagaan parti mestilah diterima dan diluluskan oleh majoriti anggota parti sama ada secara langsung atau melalui perwakilan. Sesiapa yang menjadi ahli parti mestilah menganggotai parti dengan penuh kesedaran dan penerimaan akan perlembagaan parti. Kemasukannya secara rasmi mestilah dianggap sebagai satu kontrak di antaranya dengan parti. Penarikan diri daripada parti hendaklah tertakluk kepada perlembagaan parti. 24. Jika parti berpendapat ia tidak lagi layak menjadi ahli, parti, melalui badan-badan tertentu yang diberi kuasa oleh parti, bolehlah menyingkirkannya. Jika ia berpendapat tindakan terhadapnya tidak adil, ia mesti menggunakan saluran parti untuk mendapat keadilan. Penyingkirannya oleh pihak yang berkuasa dalam parti mestilah diterima sebagai tindakan yang sah. Jika badan yang berkuasa dalam parti membuat tindakan yang tidak dipersetujui oleh majoriti daripada ahli, maka pihak majoriti berpeluang melalui cara- cara tertentu dalam parti menggantikan badan yang berkuasa dalam parti itu dengan orang-orang lain yang boleh membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh badan tersebut dan melucutkan kuasanya. 25. Dengan cara ini, seseorang yang menjadi ahli boleh mendapat keadilan tanpa merosakkan parti dan mengenepikan hak ahli-ahli lain. Cara ini adalah lebih demokratik dan lebih adil kepada semua pihak. Jika seseorang berpendapat ia tidak mungkin mendapat keadilan daripada sesebuah parti politik, maka ia tidak harus menyertai parti itu. Parti yang tidak ada perlembagaan yang adil tidak akan menarik ramai ahli. Dengan itu ia tidak akan berkesan dan penyertaan di dalamnya tidak berguna kepada sesiapa. 26. Sebaliknya perlembagaan parti boleh dipinda oleh mana- mana ahli melalui saluran yang ada dan cara-cara yang ditentukan. Jika ia tidak berjaya meminda perlembagaan parti, ia harus menerima kegagalannya itu. Jika ia tidak dapat menerima kegagalan itu, maka ia boleh menarik diri daripada parti. Jika ia mempunyai pengikut, ia boleh menubuhkan sebuah parti baru dengan bentuk perlembagaan yang ia suka. 27. Pindaan undang-undang Pertubuhan ini akan menolong proses keadilan bagi pihak-pihak lain juga. Sekarang ini terdapat lebih daripada setengah juta kes yang perlu didengar oleh mahkamah. Oleh kerana kes-kes politik dan injunction biasanya mendapat priority, kes-kes lain terganggu dan lewat dibicarakan oleh mahkamah. Perpatah Inggeris berkata 'Justice delayed is justice denied' atau 'keadilan yang dilewatkan bererti ketidakadilan berlaku'. Kes-kes parti politik yang banyak bermakna kes-kes lain dilambat-lambatkan dan ketidakadilan berlaku. 28. Dengan pindaan ini mahkamah-mahkamah bolehlah menumpukan tenaga dan masa kepada perbicaraan kes-kes lain dan dapat mengurangkan kes-kes yang tertangguh. Dengan itu pihak-pihak lain yang menunggu begitu lama untuk penyelesaian kes-kes mereka akan mendapat keadilan. Tuan Yang di-Pertua, 29. Pindaan ini tidak menyelamatkan parti politik daripada undang-undang lain. Jika parti politik melakukan jenayah atau melanggar undang-undang negara, tindakan undang-undang boleh dikenakan. Jika pemimpin-pemimpin parti politik menyalahgunakan kuasa atau terlibat dengan rasuah atau melakukan apa-apa jenayah, tindakan boleh dan akan diambil. Pindaan ini hanya menghalang ahli-ahli parti daripada memperalatkan proses kehakiman untuk mencapai tujuan politik dirinya atau kumpulannya dalam urusan dan masalah parti semata-mata. Ahli-ahli parti masih boleh melaporkan kepada pihak berkuasa sebarang jenayah sekiranya ia mempunyai bukti perkara itu berlaku dalam parti oleh mana-mana anggota parti. Pihak berkuasa tidak kehilangan hak untuk menyelidik dan memeriksa parti atau anggota-anggotanya jika ada tuduhan yang berasas dan munasabah bahawa undang-undang negara telah dicabul. 30. Pindaan kepada undang-undang Pertubuhan ini terhad hanya kepada pentadbiran dan perjalanan parti politik sebagai parti politik. Ia akan menghalang penggunaan proses kehakiman untuk kepentingan politik ahli-ahli atau pemimpin- pemimpin parti politik. Ia akan membebaskan mahkamah daripada membuat keputusan-keputusan politik. Mahkamah dan sistem kehakiman tidak lagi dapat diperalatkan oleh orang- orang politik untuk mencapai kepentingan diri mereka sendiri. Tuan Yang di-Pertua, 31. Saya mohon mencadangkan. |