home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA 
			PUTRA, KUALA LUMPUR                     
Tarikh/Date 	: 	24/01/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-15 
			RUKUN TETANGGA 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Dr. Sulaiman bin Hj. Daud, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri dan Menteri Kehakiman; Yang Berhormat Menteri-Menteri dan
Timbalan-Timbalan Menteri; Yang Berusaha Encik Mohd. Jawhar Hassan, Ketua
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana di atas limpah
kurniaNya dapat kita berjumpa di majlis yang bersejarah ini. Saya
mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara kerana menjemput
saya menyertai Majlis ini dan seterusnya merasmikan Sambutan Ulangtahun ke
15 Rukun Tetangga.

2. Kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Rukun Tetangga yang akan diumumkan
sebagai yang terbaik nanti, saya terlebih dahulu mengucapkan
tahniah. Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang terlibat, dan juga kepada
semua Jawatankuasa Rukun Tetangga yang telah dibentuk di seluruh negara
selama 15 tahun ini, saya mengucapkan terima kasih atas segala usaha dan
khidmat yang telah diberi demi mengukuh semangat perpaduan dan memelihara
keadaan keselamatan. Sesungguhnya jasa dan bakti tuan-tuan dan puan-puan
kepada rakyat dan negara sentiasa dikenang dan disanjung tinggi. Semoga
berkat khidmat dan sumbangan sukarela yang cemerlang daripada
Jawatankuasa-jawatankuasa Rukun Tetangga di masa yang akan datang,
perpaduan dan pembangunan negara akan terus terpelihara dan bergerak maju.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Kita berada sekarang di permulaan dekad 90an, dan tidak lama lagi akan
memasuki abad ke 21. Wajarlah kita renung sejenak pencapaian kita selama
ini dalam membentuk sebuah negara yang bersatupadu, dan mengenalpasti
perkara- perkara yang masih perlu diusahakan di masa yang akan datang,
demi mencapai perpaduan yang lebih erat.

4. Semenjak Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957 dan Malaysia
dibentuk enam tahun kemudian, kita telah mencapai kemajuan yang nyata
dalam membentuk sebuah negara yang kukuh dan makmur. Pada keseluruhannya
hubungan antara kaum dan keturunan berada dalam keadaan yang baik dan
stabil. Rakyat majmuk negara ini telah dapat menjalinkan kerjasama yang
baik dalam kehidupan politik, sosial dan ekonomi, dan memajukan
kepentingan dan kesejahteraan masing- masing dalam suasana muhibah, aman
dan tenteram. Bibit- bibit kelahiran satu identiti Malaysia bersama juga
dapat dikesan. Ianya sedang menjadi semakin teguh dengan berkembangnya
penggunaan satu bahasa yang sama dan sistem pendidikan yang sama.

5. Kemajuan yang telah kita capai ini adalah hasil kerjasama dan sumbangan
Kerajaan dan rakyat, yang telah berjaya menghasilkan iklim politik dan
ekonomi yang menggalakkan bagi pemupukan perpaduan. Kemajuan ini tidak
dapat dicapai jika rakyat sendiri tidak inginkan perpaduan, dan jika
rakyat sendiri tidak menghargai dan mengamalkan nilai-nilai kesederhanaan,
toleransi, tolak ansur dan keperluan menghormati hak dan sensitiviti kaum
dan kumpulan yang lain. Begitu juga, kemajuan ini tidak mungkin jika
Kerajaan tidak kukuh dan stabil, jika Kerajaan tidak mewakili semua kaum
dan negeri, dan jika Kerajaan tidak benar-benar berusaha memelihara dan
memajukan kepentingan rakyat daripada semua kaum dan segenap lapisan
masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

6. Janganlah kita memperkecilkan kemajuan yang kita telah capai selama
ini, kerana jika kita berbuat demikian ini menunjukkan bahawa kita kurang
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Banyak negara lain yang
tidak pun menghadapi masalah yang serumit di Malaysia telah kecewa dalam
usaha membentuk satu negara yang bersatupadu. Jika mereka tidak terbahagi
kepada kaum-kaum, mereka sengaja membahagikan diri mereka mengikut
ideologi dan sebagainya. Keadaan di negara-negara tersebut sering menjadi
kucar-kacir, pertumpahan darah berlaku, pembangunan ekonomi tergugat,
penindasan golongan minoriti berleluasa, dan rakyat hidup dalam suasana
ketakutan dan derita. Tetapi di Malaysia, pada keseluruhannya, keadaan
adalah tenteram, kedudukan politik stabil, ekonomi membangun pesat, sistem
demokrasi berparlimen berjalan lancar, hak-hak asasi terpelihara,
kepentingan semua kaum dan golongan diambilkira, dan rakyat hidup dalam
suasana aman dan harmoni.

7. Tetapi walau apa pun kemajuan yang telah dicapai selama ini, kita harus
selalu memandang ke hadapan, ke dekad 90an dan berikutnya. Pembentukan
bangsa atau nation building melibatkan satu proses yang lama, dan tidak
boleh dicapai dalam waktu dua puluh atau tiga puluh tahun
sahaja. Perpaduan yang wujud sekarang perlu ditingkatkan lagi, ke tahap
yang lebih mantap dan kukuh, supaya mampu menghadapi berbagai-bagai
tekanan dan cabaran tanpa mudah tergugat. Selagi tahap ini belum dicapai,
perpaduan negara akan terus mendapat pertimbangan utama daripada Kerajaan
di dalam pembentukan dasar-dasarnya, supaya segala pendekatan dalam
bidang-bidang seperti bidang politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa,
pendidikan, agama, sukan dan keselamatan akan membantu memantapkan
perpaduan di kalangan rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Untuk membina satu negara yang bersatupadu, rakyat perlu mempunyai satu
visi yang sama mengenai negara yang hendak dibentuk itu. Sekiranya rakyat
mempunyai visi yang berlainan dan yang bercanggah pula, dan masing-masing
pihak hanya mementing dan memperjuangkan visi masing-masing, maka
penyatu-paduan matlamat akan sukar dicapai dan perpecahan akan
berlaku. Bagi Malaysia, kita telah dan hendaklah terus memperjuangkan visi
bersama ini berlandaskan Perlembagaan dan Rukunegara.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

9. Salah satu punca utama masalah etnik dan ketegangan antara kaum dan
kumpulan ialah perbezaan taraf sosio-ekonomi mereka. Itulah sebabnya
semenjak Peristiwa 13 Mei yang pahit itu, Kerajaan telah mengutamakan
program-program untuk mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dan
wilayah dan di antara miskin dan kaya. Oleh kerana matlamatnya belum
tercapai sepenuhnya, Kerajaan akan meneruskan usaha ini sehingga semua
keturunan rakyat berpeluang menikmati bersama kekayaan negara secara adil
dan saksama. Peningkatan taraf sosio-ekonomi mereka ini akan diusahakan
menerusi dua cara, iaitu pendidikan dan langkah-langkah dalam bidang
ekonomi.

10. Satu aspek penting yang menyentuh perpaduan di negara ini ialah
perpaduan daripada segi agama dan kepercayaan. Kita sangat bernasib baik
kerana rakyat berbagai agama hidup bersama dalam keadaan aman
sentosa. Walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara ini, kebebasan
diberi kepada semua agama dan kepercayaan lain. Kedudukan dan kepercayaan
agama masing-masing dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan dan
undang-undang. Di negara ini, kita telah lama menghormati dan mengamalkan
toleransi antara berbagai-bagai agama. Walaupun agama Islam adalah agama
rasmi, ia tidak dipaksakan ke atas masyarakat bukan Islam. Sebaliknya,
agama-agama lain dan rumah-rumah ibadat mereka dibenarkan wujud dan
berkembang. Kita patut berbangga dan bersyukur dengan keadaan
ini. Sebenarnya kebebasan beragama di Malaysia adalah lebih baik daripada
negara-negara maju yang kononnya mengamalkan kebebasan
beragama. Perselisihan dan masalah yang timbul dari semasa ke semasa
hendaklah diselesaikan sebaik-baiknya dengan menggunakan jentera dan
saluran yang telah disediakan dan tidak digembar-gemburkan sehingga
menjadi isu besar dan menggugat suasana keharmonian dan ketenteraman awam.

11. Pembentukan bangsa dalam konteks negara kita juga melibatkan aspek
integrasi wilayah. Integrasi di antara negeri-negeri di Semenanjung tidak
lagi menjadi masalah besar sebab rakyat negeri-negeri ini telah lama
berkenalan dan bercampur gaul. Integrasi yang perlu kita usahakan dengan
lebih gigih lagi ialah integrasi di antara Sabah dan Sarawak dengan
negeri-negeri di Semenanjung. Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama
Kerajaan-kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah mengambil berbagai-bagai
langkah untuk memajukan integrasi ini. Namun proses integrasi tidak boleh
disempurnakan dalam waktu yang singkat. Ianya memerlukan masa dan Kerajaan
akan terus berusaha sehingga kita berjaya.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

12. Pengalaman kita dan juga pengalaman negara-negara lain telah
membuktikan betapa padahnya jika isu-isu perkauman, keagamaan dan
sebagainya tidak diawasi dan dibendung sebaik-baiknya. Dalam hal ini
pendekatan Kerajaan ialah, lebih baik kita mencegah daripada membiarkan
sesuatu perkara buruk itu berlaku dan mengorbankan nyawa dan harta
benda. Peristiwa 13 Mei adalah satu pengajaran kepada kita
semua. Pencegahan adalah jauh lebih baik daripada pemulihan, dan ini telah
dibuktikan pada bulan Oktober 1987 apabila kita telah berjaya mententeram
dan menyelamatkan keadaan dengan mengambil tindakan tegas di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri.

13. Oleh itu sehingga rakyat dapat membendungkan diri sendiri, Kerajaan
akan mengekalkan Akta ini dan juga undang- undang lain yang berkenaan dan
bertindak apabila keadaan memerlukan. Undang-undang ini akan terus dipakai
selagi isu-isu perkauman, keagamaan dan sebagainya mempunyai potensi untuk
menjadi ancaman terhadap keselamatan rakyat dan negara.

14. Saya yakin dalam dekad 90an dan tahun-tahun berikutnya kita dapat
terus memantapkan proses pembentukan bangsa dalam segala bidang. Sudah
pasti kita akan terus menghadapi berbagai-bagai cabaran dalam usaha ini,
tetapi kalau kita mempunyai komitmen yang kuat, matlamat dan visi yang
sama, berpegang teguh kepada Perlembagaan dan Rukunegara, dan mengamalkan
nilai-nilai yang baik, saya yakin negara Malaysia yang lebih mantap dan
utuh akan wujud dan ia akan menjadi satu kenyataan tidak lama lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan
Negara kerana menjemput saya ke majlis ini. Saya berharap Rukun Tetangga
akan terus menempa kemajuan demi memupuk perpaduan rakyat pada masa depan.

16. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Ulang Tahun
Ke-15 Rukun Tetangga
 
 



 
Google