home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SANTUBONG, KUCHING, SARAWAK 
Tarikh/Date 	: 	15/02/90 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KAMPUNG BUDAYA SARAWAK 




 Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua
Menteri Sarawak; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana
menjemput saya untuk merasmikan Kampung Budaya Sarawak ini. Saya berharap
Kampung Budaya ini akan dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan
luar negeri.

2. Sarawak mempunyai beberapa tarikan pelancong yang asli dan terkenal
seperti taman rimba di Niah dan Mulu serta pantai yang cantik di Santubong
ini. Dengan adanya pusat- pusat dan infrastruktur pelancongan yang
bertambah, saya berharap ianya akan dapat menarik lebih ramai pelancong
tempatan dan luar negeri ke negeri Sarawak terutama semasa Tahun Melawat
Malaysia ini. Kampung Budaya ini yang mempamerkan berbagai-bagai budaya
yang terdapat di negeri ini bukan sahaja dapat menarik perhatian para
pelancong asing dan tempatan, bahkan juga perhatian generasi muda di
negeri Sarawak sendiri. Sarawak memang kaya dengan berbagai-bagai
budayanya sendiri dan melalui Kampung Budaya ini, saya percaya para
pelancong akan mendapat gambaran yang lebih jelas lagi mengenai kebudayaan
di Sarawak.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Kerajaan berharap rakyat negara ini akan dapat memahami sebab-sebab
kerajaan bersungguh-sungguh memajukan industri pelancongan. Pelancongan di
Malaysia adalah satu industri perkhidmatan atau service industry yang
masih muda daripada segi peringkat pembangunannya berbanding dengan
industri- industri lain. Sumbangan industri pelancongan ini kepada
Keluaran Negara Kasar atau KNK hanyalah kira-kira satu peratus sebelum
tahun 1980. Walaupun begitu, statistik semakin meluas, khususnya sebagai
sumber pendapatan tukaran wang asing. Kedatangan para pelancong ke
Malaysia telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam masa 17 tahun, iaitu
daripada 1.2 juta orang pada tahun 1972 kepada kira-kira 3.9 juta orang
pada tahun 1989. Dalam tempoh yang sama, pendapatan tukaran asing daripada
pelancongan ini juga telah meningkat hampir 10 kali ganda -- daripada 266
juta ringgit pada tahun 1972 kepada kira-kira 2.6 billion ringgit pada
tahun 1989.

4. Daripada angka-angka tersebut, kita dapati bahawa sumbangan industri
pelancongan kepada jumlah tukaran wang asing negara semakin
meningkat. Walaupun pelancongan berpotensi besar dan berkembang dengan
menggalakkan, kerajaan sedar bahawa negara kita masih lagi ketinggalan di
bandingkan dengan beberapa buah negara ASEAN. Mengikut angka terakhir
mengenai jumlah penerimaan tukaran wang asing daripada industri
pelancongan bagi negara-negara ASEAN, Malaysia hanya mendapat tiga belas
peratus, berbanding dengan tiga puluh lima peratus bagi Singapura dan dua
puluh lapan peratus bagi Negara Thai.

5. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1984 Kerajaan telah mengisytiharkan
bahawa pelancongan adalah satu industri yang diutamakan memandangkan
potensinya yang besar. Semenjak itu Kerajaan telah mengambil beberapa
langkah untuk meneroka dengan lebih luas lagi industri pelancongan ini. Di
samping menubuhkan sebuah kementerian khas untuk kebudayaan dan
pelancongan serta meningkatkan peranan yang dimainkan oleh Perbadanan
Kemajuan Pelancongan atau TDC dalam promosi dan pemasaran pelancongan,
berbagai-bagai galakan, kemudahan dan insentif telah diberikan untuk
pelaburan dalam industri pelancongan ini. Pelaburan untuk projek-projek
penginapan seperti hotel dan motel dan infrastruktur pelancongan yang lain
seperti pusat rekreasi, pusat kebudayaan dan pusat kraftangan telah diberi
taraf perintis atau elaun cukai dan berbagai-bagai kemudahan lain. Secara
kasarnya, insentif- insentif tersebut telah membawa perkembangan yang
sangat menggalakkan.

6. Walaupun pencapaian kita dalam industri pelancongan adalah baik, kita
harus berusaha dan merancang untuk meningkatkan lagi potensi industri
ini. Justeru itu Kerajaan telahpun mengisytiharkan tahun 1990 sebagai
Tahun Melawat Malaysia. Ianya bertujuan menambahkan bilangan pelancong
asing ke Malaysia, meningkatkan tempoh para pelancong tinggal di negara
ini, menggalakkan perkembangan kebudayaan dan kesenian tempatan dan
menggalakkan pelancongan dalam negeri di kalangan rakyat negara kita
sendiri. Kerajaan yakin negara kita akan lebih terkenal di kaca mata
antarabangsa dan ini akan dapat menarik lebih ramai para pelancong
mengunjungi Malaysia.

7. Kita harus menyediakan lebih banyak lagi perkhidmatan- perkhidmatan
yang lebih selesa dan inovatif serta mempunyai daya tarikan yang boleh
memenuhi kehendak para pelancong yang semakin sofistikated. Dalam hal ini,
Kerajaan mendapati bahawa tumpuan pelaburan dalam industri pelancongan ini
masih ditumpukan kepada projek-projek berbentuk penginapan seperti hotel,
motel, chalet dan sebagainya. Kerajaan berharap para pelabur akan juga
meneroka projek-projek bukan penginapan seperti kemudahan- kemudahan
rekreasi. Projek Kampung Budaya Sarawak ini merupakan satu lagi projek
pelancongan bukan penginapan dan kerajaan berharap banyak lagi projek
seperti ini akan dibina bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di seluruh
negara.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Mengikut satu kajian antarabangsa, industri perjalanan dan pelancongan,
atau travel and tourism industry, adalah industri yang terbesar di dunia
daripada segi gunatenaga, dan industri ini telah memberi sumbangan yang
penting kepada ekonomi negara-negara maju dan membangun. Fakta ini
menambahkan lagi keyakinan Kerajaan terhadap sumbangan industri ini kepada
perkembangan ekonomi negara amnya dan usaha mengurangkan pengangguran
khususnya. Kerajaan yakin industri pelancongan akan dapat menampung
sebahagian daripada keperluan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

9. Kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai latihan yang berkaitan dengan
pelancongan untuk menyalurkan tenaga kerja yang terlatih kepada industri
pelancongan. Antara latihan- latihan yang telah membuktikan kekesanannya
ialah program- program latihan yang disediakan oleh Institut Teknologi
MARA dan Pusat Daya Pengeluaran Negara. Kerajaan akan meneruskan
latihan-latihan ini untuk memenuhi keperluan tenaga terlatih itu. Di
samping itu berbagai agensi awam dan swasta yang terlibat dengan
pelancongan juga menjalankan latihan masing- masing, terutama latihan
semasa bekerja kepada seberapa ramai tenaga kerja di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

10. Tahun Melawat Malaysia melibatkan semua rakyat, sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Kakitangan di pintu-pintu masuk ke Malaysia,
kakitangan hotel dan penginapan lain, pengusaha-pengusaha pelancongan atau
tour operators dan sebagainya, bahkan rakyat keseluruhannya terlibat
secara langsung. Kemesraan, sopan santun, serta keupayaan dan kesediaan
membantu para pelancong harus diutamakan.

11. Rakyat yang lain juga turut sama terlibat. Jagalah kebersihan bandar,
pantai-pantai dan pusat-pusat pelancongan. Kebersihan tempat-tempat
tinggal dan perkampungan juga akan menggambarkan tingkahlaku, hemah serta
kemajuan kita.

12. Adakah semuanya yang dirancang dan berlaku sepanjang tahun 1990
berakhir di situ sahaja? Semestinya tidak. Ini merupakan permulaan satu
program secara pesat bagi menggalakkan pelancongan untuk tahun-tahun yang
akan datang. Sebahagian besar kesan kempen kita ini akan dapat dilihat
pada tahun-tahun selepas berlalunya Tahun Melawat Malaysia 1990
ini. Sekiranya kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam kempen ini,
insya-Allah manfaatnya kepada ekonomi negara dan rakyat amnya akan dapat
dinikmati sepanjang tahun 1990 dan tahun-tahun berikutnya.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

13. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri
Sarawak kerana menjemput saya ke upacara perasmian ini. Saya berharap
pengurusan dan kakitangan Kampung Budaya Sarawak ini akan sentiasa
bersedia memberi perkhidmatan yang cekap dan baik kepada para pelancong
yang mengunjungi Kampung ini.

14. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Kampung
Budaya Sarawak ini. 
 

 



 
Google