home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOSPITAL BESAR KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 23/02/90 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TAPAK INSTITUT JANTUNG NEGARA Yang Berhormat Encik Ng Cheng Kiat, Menteri Kesihatan; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana menjemput saya merasmikan tapak Institut Jantung Negara ini. Perasmian ini menandakan satu perkembangan yang menggalakkan dalam penyediaan kemudahan kesihatan, terutama untuk penyakit jantung di negara kita. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Semenjak kemerdekaan, perkembangan yang pesat dalam bidang perubatan dan kesihatan telah dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia. Segala perkhidmatan telah diaturkan dengan teliti dan rapi. Rakyat yang miskin ataupun kaya, yang tinggal di desa atau di bandar, semuanya merasai nikmat kemudahan-kemudahan perubatan dan kesihatan yang tidak memerlukan caruman atau "non-contributory medical service" ini. Bayaran perkhidmatan perubatan di Malaysia adalah nom- inal sahaja dan boleh dikecualikan untuk yang tidak mampu. Bagi yang mampu pun bayaran untuk pembedahan jantung terhad kepada 3,000 ringgit, sedangkan bayaran biasa di klinik bukan Kerajaan ialah 25,000 ringgit. Demikianlah komitmen Kerajaan terhadap kesihatan. 3. Kerajaan sentiasa berusaha supaya rakyat mempunyai tahap kesihatan yang tinggi kerana kesihatan adalah antara asas-asas penting bagi kemajuan dan pembangunan sosial. Indikator kesihatan seperti kadar kematian ibu dan kadar kematian bayi yang kian menurun, mencerminkan pencapaian kita setakat ini. 4. Perkembangan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah selaras dengan perubahan sosial dan demografi, serta perkembangan teknologi perubatan. Antara perubahan yang ada kaitan dengan perkhidmatan perubatan dan kesihatan ialah corak atau pattern penyakit. Corak penyakit yang kita alami pada masa ini menyerupai corak yang terdapat di negara maju. Dengan ini kita harus mengubah tumpuan kita untuk menghadapi masalah baru ini. Antara perubahan yang nyata ialah peningkatan bilangan penyakit jantung atau cardiovascular diseases. Sekarang ini penyakit kardiovaskular telah menjadi penyebab utama kematian di negara ini, tidak lagi malaria, taun atau tibi. 5. Program rawatan penyakit cardiovascular ini memerlukan keupayaan teknologi moden. Kita sedar tentang keperluan ini dan berbagai kemudahan moden telah disediakan bukan sahaja di Kuala Lumpur bahkan di beberapa hospital besar lain. Sepertimana yang kita sedia maklum, segala aktiviti ini sehingga sekarang dilaksanakan oleh warganegara kita sendiri tanpa bantuan dari pakar negara asing. Pencapaian yang diperolehi adalah satu petanda bahawa jika diberi peluang, rakyat Malaysia boleh menandingi kemahiran yang terdapat di negara maju. Kita tidaklah angkuh jika kita menyatakan hakikat ini dan kita berbangga dengannya. Tuan-tuan dan puan-puan, 6. Masanya telah tiba bagi negara kita mempertingkatkan lagi keupayaan serta teknologi kita untuk merawat pesakit- pesakit yang menghidapi penyakit kardiovaskular. Dengan itu, pembinaan Institut Jantung Negara ini akan menjadi pusat rujukan utama bagi merawat penyakit-penyakit jantung dan kardiothorasik bagi seluruh negara. Segala kelengkapan dan kemudahan yang disediakan akan mengambilkira perkembangan teknologi perubatan yang termoden. Selain daripada khidmat rawatan, Institut ini juga akan digunakan sebagai pusat latihan dan penyelidikan dalam bidang kardiologi dan pembedahan kardiotorasik. Pelbagai aktiviti latihan dan pendidikan terusan untuk pakar-pakar, doktor- doktor, jururawat-jururawat dan lain kakitangan teknikal akan dilaksanakan. Institut ini juga akan memainkan peranan penting dalam pendidikan kesihatan, supaya masyarakat mempunyai pengetahuan dan pendidikan dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung. 7. Sayugia juga dinyatakan bahawa kerajaan tidak akan menumpukan kepada aspek rawatan serta pembedahan jantung sahaja. Pencegahan lebih baik dari rawatan dan dengan itu aktiviti-aktiviti pencegahan penyakit jantung akan diperhebatkan lagi. Antara lain, kempen-kempen untuk mengubah cara hidup kepada satu cara hidup yang sihat akan terus dilaksanakan. Mengikut pengalaman negara-negara maju, dengan hanya mengamal cara hidup yang sihat, bilangan yang mengidapi penyakit jantung dan kardiovaskular akan menurun. 8. Selaras dengan ini, Kementerian Kesihatan telah mengatur satu program pencegahan yang komprehensif untuk menyekat penyakit kardiovaskular dari menjadi satu wabak. Adalah menjadi harapan kita semoga dengan mempunyai program pencegahan serta program rawatan yang bermutu tinggi lagi berkesan, kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang lebih sihat dan mengalami mutu hidup yang berkualiti. 9. Selain dari projek-projek seperti ini, kerajaan sentiasa peka tentang masaalah-masaalah kesihatan di seluruh negara, sama ada di desa ataupun di bandar. Pelbagai aspek perkhidmatan perubatan dan kesihatan akan dipertingkatkan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang. Selain dari menambah bilangan kemudahan-kemudahan, taraf kemudahan- kemudahan yang sedia ada akan ditingkatkan untuk memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan menyeluruh. Penduduk- penduduk di luar bandar akan terus memperolehi kemudahan perubatan asas yang lebih lengkap dan komprehensif. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Sebentar tadi saya telah menyebut betapa kita berhak berbangga kerana rawatan dan pembedahan bagi pesakit di Malaysia dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri. Keadaan ini sekarang terancam kerana satu fenomena baru yang melanda dunia. 11. Dunia sekarang kekurangan jururawat. Kekurangan ini disebabkan oleh beberapa perkara. Pertama negara-negara yang kaya-raya tetapi kekurangan penduduk sedang mempelawa warganegara asing untuk bekerja dalam institusi perubatan mereka dengan gaji yang lumayan. Kedua, di negara-negara yang maju, rakyat mereka pula enggan bekerja sebagai jururawat kerana takut dijangkiti dengan penyakit tertentu yang boleh membawa maut yang sedang melanda negara mereka. 12. Oleh kerana sebab-sebab ini, tawaran kerja untuk jururawat dari negara-negara membangun sudah meningkat dengan pesat. Kita tidak mampu menyaingi tawaran gaji yang tinggi. Dengan itu kita mungkin kehilangan jururawat tempatan untuk mengisi jawatan-jawatan penting yang kita sedang wujudkan seperti untuk Institut Jantung Negara ini. Kita juga mungkin terpaksa mengambil jururawat dari negara- negara yang kurang maju daripada kita. Dengan itu kita tidak lagi boleh berbangga kerana kita tidak dirawati dan dibedah oleh warganegara kita sendiri. Masalah ini sedang dalam perhatian Kerajaan. Namun demikian, rakyat harus tahu masalah atau constraint yang dihadapi oleh negara dalam usaha mengadakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu. Tuan-tuan dan puan-puan, 14. Sekarang saya dengan sukacitanya merasmikan tapak Institut Jantung Negara Hospital Besar, Kuala Lumpur. |