home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUANTAN, PAHANG 
Tarikh/Date 	: 	02/03/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENUTUP TILAWAH AL-QURAN 
			PERINGKAT KEBANGSAAN 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob,
     Menteri Besar Pahang;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan kudrat dan  inayahNya,  kita  dapat  berkumpul
sekali  lagi  di  Majlis  Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat
Kebangsaan tahun 1990, bersamaan  dengan  1410  Hijrah  ini.
Insya-Allah, kita akan mengadakan Tilawah Al-Quran Peringkat
Antarabangsa  pada 20hb Mac ini.  Ini adalah di antara usaha
kita ke arah meningkatkan mutu  bacaan  dan  pertalian  umat
Islam dengan Al-Quran.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Tema  Tilawah  Al-Quran tahun ini -- "Bersatu Teguh" --
harus diberi keutamaan dan  perhatian  oleh  setiap  lapisan
masyarakat,  supaya konsep dan falsafah bersatu difahami dan
seterusnya menjadi amalan kehidupan harian kita.
3.   Islam amat menitikberatkan soal bersatupadu  dan  unsur
ini   ditegaskan   dalam   berbagai   aspek  syariat  Islam.
Umpamanya,  penekanan  terhadap  sembahyang  berjemaah   dan
sembahyang  sunat  Hari Raya adalah contoh-contoh jelas yang
menunjukkan   betapa   Islam   menekankan   pertalian    dan
perhubungan  antara  umat Islam.   Allah Subhanahu wa Ta'ala
berfirman dalam surah A-li 'Imraan, ayat 103 yang bermaksud:
"Berpeganglah  kamu  pada  tali  Allah  dan  janganlah  kamu
berpecah-belah".
4.   Sejarah  Islam bermula dengan perpaduan.  Kejayaan umat
Islam di zaman Rasulullah s.a.w. adalah  kerana  umat  Islam
pada  masa  itu  bersatupadu.   Mereka bersatu di atas panji
tauhid  dan  bersatu  menentang  kekufuran  masyarakat  Arab
Quraish  pada ketika itu.  Di sebaliknya pula, sejarah telah
mengajar kita bagaimana tentera Islam telah tewas di  tangan
tentera  Quraish  di  dalam peperangan Uhud, akibat daripada
sikap tentera Islam yang berpecah di antara satu sama  lain,
kerana   ada   segelintir   tentera  Islam  yang  tamak  dan
mengutamakan    kepentingan    peribadi    hingga    sanggup
mengenepikan  arahan  Rasulullah s.a.w.  Selepas episod itu,
umat Islam bersatu semula di bawah pimpinan  Rasulullah  dan
kejayaan   dicipta.      Perpaduan   juga   terdapat  semasa
pemerintahan keempat-empat Khalifah  Al-Rashidin  dan  Islam
telah berkembang di tanah Arab dan di luar rantau Arab -- di
Utara  Afrika,  Eropah barat terutamanya Sepanyol, China dan
di rantau Asia Tenggara.
5.   Islam berkembang di Sepanyol apabila orang-orang  Islam
yang  datang  dari  luar  dan  tempatan bersatupadu.   Zaman
pemerintahan Abdul Rahman Ketiga  bukan  sahaja  menyaksikan
kota-kota  seperti  Cardova atau Qurthubah menjadi terkenal,
tetapi juga  memperlihatkan  perpaduan  yang  kuat.    Walau
bagaimanapun  pemerintahan Islam di Sepanyol akhirnya hancur
apabila orang-orang Islam berpecah-belah, mula  mengutamakan
sentimen  keturunan  yang  berasal  dari  luar  Sepanyol dan
tempatan  dan  sebagainya.      Perpecahan   telah   membawa
kehancuran.   Satu demi satu daripada daerah-daerah Islam di
Sepanyol ditewas dan ditakluk semula oleh orang Sepanyol.
6.   Ramai tokoh-tokoh  Islam  pula  telah  dapat  mendalami
bidang ilmu masing-masing di zaman kecemerlangan Islam, baik
di  Baghdad,  Mesir, Sepanyol dan di negara-negara Arab yang
lain.   Marilah kita mengkaji  riwayat  hidup  Abdullah  Ibn
Sina,  Muhammad  Musa Al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Ibn Batuta
dan lain-lain.  Mereka dihormati bukan  sahaja  oleh  orang-
orang  Islam  tetapi  juga  oleh  yang bukan Islam, dan oleh
kerana mereka menganuti Islam,  Islam  juga  dihormati  oleh
orang-orang  bukan Islam.   Ini merupakan satu bentuk dakwah
yang paling berkesan.  Tidak ada sesiapa yang akan  tertarik
dengan  agama  suku-suku  kaum  yang kolot yang tidak pernah
berjaya.  Perkembangan Islam yang meluas  berlaku  di  zaman
kejayaan  orang-orang  Islam  dalam  berbagai-bagai  bidang.
Apabila orang-orang Islam tidak lagi maju, maka perkembangan
Islam pun terhenti.  Di beberapa negara tertentu agama Islam
telah  merosot   sehingga   ada   orang-orang   Islam   yang
meninggalkan agama Islam dan menerima ideologi-ideologi yang
bertentangan dengan Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Kerajaan  telah  menyusun  berbagai-bagai program untuk
memantapkan lagi perpaduan antara  umat  Islam.    Antaranya
ialah   melalui program-program takmir masjid dan penyusunan
semua pentadbiran masjid di seluruh negara  dan  sebagainya.
Masjid  akan  diperkemaskan  lagi  pentadbirannya  dan  akan
digerakkan supaya dapat memainkan peranannya  ke  arah  ini.
Masjid akan dijadikan tempat untuk menjalinkan kasih sayang,
hormat-menghormati,  tolong-menolong di kalangan orang-orang
Islam dan bukan tempat pertelingkahan dan bertikam-lidah  di
antara satu dengan lain.
8.   Begitu   juga   kerajaan   akan  terus  berusaha  untuk
menyatupadukan  kaum  di  negara  ini  supaya   wujud   satu
masyarakat yang bersatupadu dan harmoni.  Hasrat kerajaan ke
arah  menyatupadukan  kaum ini jelas seperti yang digariskan
dalam matlamat Dasar Perpaduan Negara.  Satu kemenangan yang
kita  capai  semenjak  akhir-akhir  ini  yang   boleh   kita
banggakan   ialah  perletakan  senjata  oleh  Parti  Komunis
Malaya.    Persetujuan  mereka  meletakkan  senjata   adalah
disebabkan  oleh  patahnya  keyakinan mereka untuk menguasai
rakyat  Malaysia  melalui  ideologi  mereka,   terutama   di
kalangan  umat  Islam.    Inilah natijah daripada perpaduan.
Kita rakyat Malaysia telah bersepakat menolak  secara  total
ideologi   dan   tatacara  hidup  mereka.    Perpaduan  yang
beginilah yang membawa kepada keteguhan  agama,  bangsa  dan
negara kita.
9.   Sekarang ini perkembangan dakwah kita amat membanggakan
dan   kita   bersyukur  kerana  umat  Islam  berminat  untuk
menghayati  Islam.    Badan-badan  dakwah   telah   berusaha
mengembangkan syiar Islam di seluruh pelosok negara.  Tetapi
di  celah-celah perkembangan dakwah ini, ada pula sekumpulan
pendakwah yang suka menimbulkan perkara-perkara  furu'  atau
perkara  cabang  yang  telah  selesai  diputuskan oleh ulama
silam, sama ada daripada  aspek  hukum  atau  i'tiqad  iaitu
kepercayaan.     Penonjolan  isu-isu  ini  sebenarnya  tidak
langsung mendatangkan apa-apa manfaat bahkan  boleh  membawa
kepada  kekeliruan dan perbalahan dan seterusnya perpecahan.
Oleh itu, umat Islam jangan  lagi  leka  dan  membuang  masa
membincangkan   perkara-perkara   yang   tidak  mendatangkan
manfaat tetapi penuhilah masa kita dengan  aktiviti-aktiviti
yang boleh memajukan diri, masyarakat dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Marilah kita, rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya,
berusaha  meningkatkan lagi perpaduan dan muhibah.   Sejarah
telah membuktikan bagaimana kejayaan yang telah dicipta oleh
Rasulullah  s.a.w.   menyatupadukan   golongan   Ansar   dan
Muhajirin.    Ukhwah  dan  kasih  sayang  yang  ditanam oleh
baginda Rasulullah s.a.w.  menjadikan  golongan  Ansar  rela
menerima   Muhajirin   yang  datang  mencurah-curah  sebagai
pelarian dengan hanya membawa bekalan  makanan  dan  pakaian
yang amat terhad.  Fakta sejarah ini amat mencuit hati kita.
Ukhwah  yang  dibina  di atas asas kesatuan akidah ini telah
menjayakan rancangan  pembinaan  sebuah  negara  Islam  yang
gemilang yang merupakan satu cacatan sejarah yang amat pent-
ing.    Menyedari betapa pentingnya peranan ukhwah ini, maka
semua  lapisan   masyarakat   bertanggungjawab   dan   harus
berperanan menjayakannya.
11.  Kerajaan  sekarang  giat  berusaha  untuk  membangunkan
negara.    Pembangunan  yang  dirancang  dan  dicita-citakan
adalah  pembangunan  yang  seimbang  di  antara  pembangunan
rohani dengan material.   Kita tidak mahu  sekiranya  negara
kita  maju  tetapi  penduduknya  tidak mempunyai nilai hidup
yang  tinggi  dan  hidup  lepas   bebas   tanpa   peradaban.
Sebaliknya  kita  juga  tidak  mahu  hanya  nilai  hidup dan
peradaban yang tinggi tetapi negara dan  rakyat  mundur  dan
miskin  sehingga  menghinakan  agama  kita.   Kita hendaklah
mengimbangkan di antara kedua-dua aspek  yang  penting  ini.
Kita  bersyukur  ke  hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
rakyat  Malaysia  tidak  keterlaluan  sehingga   mencetuskan
masalah yang tidak dikehendaki oleh agama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Akhir  sekali  saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada
Jawatankuasa Induk dan  semua  pihak  yang  terlibat  dengan
Tilawah  Al-Quran  Peringkat Kebangsaan ini.   Mudah-mudahan
usaha ini akan memberi makna kepada masyarakat  Islam  untuk
sama-sama  berusaha ke arah penghayatan Islam.  Dengan lafaz
Bismillahi rahmanir  rahim,  alhamdulillahi  rabbil  alamin,
dengan   rasminya   saya  menutup  Majlis  Tilawah  Al-Quran
Peringkat Kebangsaan ke-32 ini.
     Wabillahi    taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 



 
Google