home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/03/90 
Tajuk/Title  	: 	PERHIMPUNAN RAKSAKSA PALESTIN 




 Assalamu   alaikum  warahmatulahi  wabarakatuh  dan  selamat
petang kepada para hadirin sekalian.
Saudara Pengerusi Majlis Yang Berhormat  Menteri  Pendidikan
Encik Anwar Ibrahim;
Yang dimuliakan dan dihormati Abu Amar Saudara Yassir Arafat
Presiden  Palestin  serta menteri-menteri dan rakan-rakannya
yang telah hadir pada petang ini;
Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri dan  Menteri-Menteri
Besar serta Menteri-menteri;
Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin sekalian.
    Kita   berkumpul   pada   petang   ini   untuk  memberi
penghormatan kepada  seorang  pejuang  yang  telah  berjuang
sekian  lama  untuk  mencapai  kemerdekaan  bagi  bangsa dan
negara.  Kita anggap lawatan Presiden Palestin Yassir Arafat
sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada kita.  Kita
rakyat  Malaysia  daripada  berbagai  kaum   telah   menurut
perjuangan  rakyat  Palestin  dan kita faham akan perjuangan
mereka.
2.   Sepertimana  kita  tahu  dahulu  kita  dijajah   tetapi
sekarang  ini  kita  bebas,  bahkan  kita tentu faham betapa
mereka juga ingin melepaskan diri mereka  daripada  belenggu
penjajah.      Tetapi   sementara   kita   berjaya  mencapai
kemerdekaan 33  tahun  dahulu  mereka  masih  lagi  dijajah.
Perjuangan  mereka  untuk  mencapai  kemerdekaan adalah satu
perjuangan yang hebat yang menyebabkan kematian  beribu-ribu
daripada   rakyat   mereka,  berpuluh  bahkan  beratus  ribu
daripada  rakyat  mereka  telah  cedera,  yang   setengahnya
sehingga  sekarang  ini cedera parah, kehilangan anggota dan
lain-lain.  Namun mereka masih meneruskan perjuangan  mereka
untuk mencapai kemerdekaan.
3.   Perjuangan  mereka adalah perjuangan yang adil.  Mereka
hanya hendak supaya negara mereka  diperintah  oleh  mereka,
bukan untuk menyingkirkan orang lain.  Hanya mendapat negara
mereka  bebas  dan diperintah oleh rakyat Palestin, sama ada
mereka terdiri  daripada  orang  Arab,  ataupun  orang-orang
Yahudi.    Mereka hendak supaya negara mereka menjadi sebuah
demokrasi yang mana kerajaan  ditentukan  oleh  rakyat  yang
terdiri  daripada  kedua-dua  kaum  ini.   Mereka tidak sama
sekali berhajat untuk  menindas  kaum  Yahudi  yang  ada  di
negara  mereka.    Ini sahaja yang dipohon oleh mereka, sama
juga dengan perjuangan kita untuk kemerdekaan.  Apabila kita
menuntut  kemerdekaan  tidak  menjadi  tujuan   kita   untuk
menindas kaum-kaum yang ada di negara kita.  Sebaliknya kita
hendak supaya semua kaum berganding bahu menolong mendirikan
kerajaan berbagai kaum untuk memerintah negara kita.  Apakah
kesalahan  mereka  menuntut  kemerdekaan  bagi  diri  mereka
sehingga mereka tidak diberi penghormatan sama sekali bahkan
mereka tidak dilayan oleh kuasa-kuasa tertentu  dalam  dunia
yang menyokong penjajah Israel.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4.   Mereka adalah manusia biasa seperti orang lain juga dan
mereka  juga  mempunyai  hak kepada apa yang dikatakan human
rights, hak asasi manusia.  Malangnya sementara  ramai  yang
memperkatakan   tentang   human  rights  ataupun  hak  asasi
manusia, orang yang sama itu tidak mahu memberi human rights
ataupun  hak  asasi  mereka  kepada  orang-orang   Palestin.
Kenapakah  ada  penilaian  yang berbeza-beza ini.  Kenapakah
hak mereka tidak diiktiraf sedangkan hak orang  lain  diberi
penghormatan dan disokong.  Ramai yang datang ke negara kita
dan  bercakap berkenaan human rights tetapi mereka yang sama
tidak mahu menyebut tentang hak asasi orang-orang  Palestin.
Ini  menunjuk  bahawa  orang yang memperkatakan human rights
ini sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu.   Kalau  kita
percaya  kepada  human  rights, maka hendaklah kita beri hak
asasi ini kepada semua pihak tanpa mengira sama  ada  mereka
terdiri  daripada Yahudi ataupun Arab ataupun Melayu ataupun
yang beragama Kristian ataupun yang beragama  Islam  ataupun
yang  beragama  Yahudi.    Tetapi nampaknya ada pilih-pilih.
Human rights ini diberi kepada pihak-pihak  tertentu  sahaja
yang lain tidak mempunyai hak.
5.   Apakah  yang  sedang  berlaku sekarang di dalam Wilayah
Palestin yang telah  dijajah  oleh  pihak  Yahudi.    Yahudi
mengadakan  satu  pemerintahan yang amat kejam.  Setiap hari
mereka  menyerang  rakyat  Palestin  yang  tidak   mempunyai
senjata.    Rakyat  Palestin  bukan  terdiri  daripada orang
dewasa semata-mata tetapi  kanak-kanak  juga  diserang  oleh
kerajaan  Yahudi,  kerajaan Israel.  Hari ini lebih daripada
seribu  orang  Palestin  telah  dibunuh  selama   27   bulan
Intifadah   diadakan   di  Palestin.     Pembangunan  negara
Palestin, Intifadah telah diadakan selama 27 bulan.    Dalam
masa  27  bulan ini tentera dan polis Israel telah menyerang
orang yang  tidak  berdosa,  orang  yang  tidak  bersenjata,
kanak-kanak   sehingga  yang  dalam  buaian  semuanya  telah
diserang  oleh  orang  yang  bersenjata  ini  dan   dibunuh,
dicedera,  ditembak  dengan peluru, ditembak kononnya dengan
peluru getah  yang  juga  boleh  membunuh.    Digunakan  gas
pemedih  mata,  bahkan  digunakan  chemical  weapon terhadap
orang yang tidak  bersenjata  yang  cuba  menunjuk  perasaan
mereka  untuk  mendapat  kemerdekaan, itu sahaja yang dibuat
oleh mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6.   Kalau kita renongkan, kalaulah  apa  yang  dibuat  oleh
regim  Tel  Aviv  ini  terhadap orang-orang Palestin, dibuat
oleh kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya  di  dalam  negara
kita ini, sudah tentu beribu-ribu orang akan datang mengecam
kerajaan  kita  kononnya amat zalim sekali.  Tetapi ini kita
lihat dengan terang, kita lihat di kaca TV bagaimana tentera
Israel membunuh orang yang tidak berdosa ini.  Tetapi apakah
kecaman-kecaman terhadap kerajaan Israel.  Tidak ada!   Kita
tahu  bahawa  di negara kita walaupun kita memerintah dengan
cara tertib mengikut undang-undang masih ada tuduhan  bahawa
kita  ini zalim tidak mengikut peraturan.  Kini orang Israel
membunuh dengan terang-terang  siang  dan  malam  rakyatnya,
tetapi tidak ada kecaman, tidak ada kecaman terhadap mereka.
Bukan  sahaja  daripada  kumpulan-kumpulan  Barat, kumpulan-
kumpulan Barat yang sudah tentu  tidak  begitu  suka  dengan
orang  Palestin.   Tetapi ada juga di antara kita yang mudah
kecam di sini, tetapi tidak mudah kecam orang Israel.
7.   Kenapa double standard, kalau kita kecam  kezaliman  di
mana  ianya  berlaku,  dan  tidak  ada  syak bahawa kerajaan
Israel adalah satu kerajaan yang sungguh bengis yang sanggup
menyerang negara-negara jiran dengan begitu sahaja.  Negara-
negara jirannya Lubnan, Syria, Iraq,  mereka  serang  dengan
secara bebas tidak ada siapa yang berkata.  Bahkan ada orang
yang   membekalkan  senjata  kepada  kerajaan  Israel  untuk
menyerang  jiran-jiran  mereka.    Ini  kalau  dibuat   oleh
kerajaan  Israel  adalah  baik.    Tetapi  perjuangan rakyat
Palestin hanya untuk  keadilan  bukan  lebih  daripada  itu,
keadilan  untuk  meminta  kemerdekaan  untuk  negara  mereka
sendiri, ini tidak dapat layanan.   Ini menunjuk  hipokrisi,
hipokrisi di kalangan sesetengah pihak yang tidak perlu saya
sebutkan, kita tahu siapa mereka.  Mereka bercakap berkenaan
keadilan,  tetapi  sebenarnya tidak ada keadilan yang mereka
lakukan.  Keadilan hanya ada pada mereka, kalau  kepentingan
mereka tidak terjejas.
8.   Sebab  itu  tuan-tuan  dan  puan-puan, kita di Malaysia
tidak  merasa  segan-segan  memberi  sokongan  penuh  kepada
perjuangan rakyat Palestin.  Mereka berjuang untuk keadilan,
dan   sesiapa  yang  menyokong  orang  yang  berjuang  untuk
keadilan adalah orang yang  adil.    Saudara  Yassir  Arafat
bekerja  tanpa  berhenti,  bukan  sahaja untuk menyelesaikan
masalah  Palestin,  beliau  juga  mengambil  berat   tentang
masalah-masalah  pertelingkahan  yang lain.   Walaupun sudah
berat   tanggungannya   untuk    Palestin,    beliau    cuba
menyelesaikan  masalah  di  Lubnan,  di  mana  rakyat Lubnan
daripada  berbagai-bagai  anutan  agama   berperang   sesama
sendiri.   Baru-baru ini Saudara Yassir Arafat telah berjaya
menyelsaikan  masalah  antara  dua  kaum  yang  terdapat  di
Lubnan.    Baru-baru ini saya berada di Lusaka, Zambia untuk
menyambut Nelson Mandela, pejuang Afrika Selatan.  Di undang
bersama  ialah  Saudara  Yassir  Arafat.    Dalam  kesibukan
berjuang  untuk kemerdekaan ianya masih mempunyai masa untuk
pergi melayan dan  menghormati  seorang  lagi  pejuang  yang
menjadi  hero  kepada  dunia yang bebas ini.  Pertalian yang
rapat terdapat di antara pejuang-pejuang Palestin dan Yassir
Arafat dengan pejuang-pejuang ANC  di  Afrika  Selatan  yang
juga  berlawan  dengan  penindasan.   Bersama-sama di Lusaka
juga  terdapat  beberapa  tokoh  pejuang  daripada   Afrika,
seperti Cycano, Santos, Mugabe, Kaunda dan lain-lain.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9.   Saya  dapati  diri  saya  bersama satu kumpulan manusia
yang dicap sebagai terrorist oleh Barat.   Orang ini  dahulu
dicap sebagai terrorist, tetapi tuan-tuan dan puan-puan hari
ini  terrorist-terrorist  ini  dihormati  oleh  semua dunia.
Mereka dijemput untuk  membuat  lawatan-lawatan  ke  negara-
negara  Barat sebagai pejuang-pejuang kemerdekaan, melainkan
Saudara Yassir Arafat.  Kenapakah membezakan antara  terror-
ist  yang lain dengan yang ini, yang di belakang ini.  Kalau
mereka boleh menghormati  terrorist  macam  Mugabe,  Cycano,
Santos dan lain-lain kenapa tidak menghormati Saudara Yassir
Arafat  yang juga berjuang untuk kemerdekaan.  Tetapi mereka
berkata, mereka tidak boleh duduk satu meja  dengan  Saudara
Yassir Arafat untuk berunding menyelesaikan masalah Palestin
kerana dia adalah terrorist.  Kalau tidak boleh satu terror-
ist,  dengan  lain  terrorist pun tidak boleh.   Tetapi yang
lain boleh, tetapi dengan yang  ini  tidak  boleh  berunding
sama  sekali,  kerana  kononnya  terrorist.    Siapakah yang
sebenarnya  terrorist.    Yang  sebenarnya  terrorist  ialah
kerajaan Israel.
10.  Memang  benar  dalam  usaha  orang-orang Palestin untuk
berjuang untuk kemerdekaan maka terhadap orang-orang  civil-
ian  Israel  yang  terbunuh, tetapi itu bukan dirancang oleh
high   command   pertubuhan   Pembebasan   Palestin,   bukan
dirancang.     Hari  ini  kerajaan  Israel  merancang  untuk
membunuh rakyat Palestin secara terbuka.  Siapakah yang ter-
rorist, Israel ataupun Palestin?  Malangnya tafsiran terror-
ist ini juga dipilih-pilih.  Di panggilnya terrorist  kerana
sebab-sebab  tertentu, itu yang berlaku.  Dan kita amat duka
cita dengan hipokrasi yang semacam ini.  Apa salahnya  untuk
menyelesaikan  masalah  Palestin  kalau  diadakan  rundingan
secara terus, secara langsung  antara  orang  yang  menuntut
kemerdekaan  iaitu  pemimpin-pemimpin  Palestin dengan mana-
mana pihak termasuk Israel.  Tetapi tidak dibenar berunding.
Kalau mereka tidak dibenar berunding, salahkah mereka  kalau
mereka menggunakan senjata untuk menyelesaikan masalah.
11.  Kita  percaya bahawa keadilan memerlukan rundingan yang
baik.     Kita  sendiri  menuntut   supaya   soal   Kambodia
diselesaikan  di  meja  rundingan, bukan melalui peperangan.
Demikian juga kita minta supaya perbalahan peperangan antara
Iran dan Iraq diselesaikan di meja perundingan.    Hari  ini
juga kita menuntut meminta dunia membenarkan rakyat Palestin
melalui  pemimpin-pemimpinya  seperti  Saudara Yassir Arafat
berunding untuk menyelesaikan  masalah.    Tetapi  apa  yang
berlaku  adalah sebaliknya.  Usaha dibuat untuk meningkatkan
bilangan orang-orang Yahudi di Israel.  Baru-baru ini  dalam
perbincangan  saya  dengan  Yasser Arafat beliau memberitahu
memberitahu  tentang  rancangan  ini  untuk  membawa   ramai
Yahudi-Yahudi daripada Russia untuk masuk duduk di Israel di
kawasan  orang-orang  Arab.    Di  masa  yang  sama kononnya
sekarang ini negara-negara tertentu sanggup menerima  orang-
orang  Palestin Arab menjadi warganegara mereka.  Memberikan
visa untuk berhijrah ke tempat lain.  Dengan perkataan  lain
satu  usaha yang harus dibuat untuk menambahkan orang Yahudi
di Palestin dan mengurangkan orang-orang Palestin.    Inilah
yang  sedang  berlaku,  bukan  rundingan untuk menyelesaikan
masalah,  tetapi  percubaan  untuk  menguatkan   orang-orang
Israel supaya mereka akan terus rakyat Arab yang terdapat di
Palestin.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12.  Kita  memandang  segala  perkara-perkara  ini  dan kita
berasa sedih dan kita berasa marah, marah kerana  tidak  ada
justice  bagi  orang Palestin.   Sebab itu kita berhimpun di
sini untuk menyatakan  secara  terus  terang  sokongan  kita
kepada  perjuangan ke arah keadilan.  Bukan banyak yang kita
minta, hanya rakyat Palestin ini mestilah diberi  hak  untuk
menentukan  nasib mereka.  Pemimpin-pemimpin rakyat Palestin
diiktiraf.   Tidak guna memungut orang  itu  dan  orang  ini
semata-mata  untuk  menjadi alat.  Pemimpin-pemimpin sebenar
rakyat  palestin   mesti   diberikan   pengiktirapan   untuk
berunding   menyelesaikan   masalah  Palestin.    Kita  akan
mengambil pendirian yang tegas terhadap ini.   Seperti  mana
kita   telah   mengambil   pendirian   yang  tegas  semenjak
perjuangan untuk membebaskan Palestin diadakan.    Dan  kita
meminta  supaya negara-negara Barat memberi perhatian kepada
masalah ini.   Kalau mereka mendakwa  bahawa  mereka  adalah
orang  yang  adil  belaka  yang faham akan rule of law, yang
suka akan demokrasi, apa salah menghulurkan demokrasi kepada
rakyat Palestin.
13.  Itu sahaja yang kita minta.  Itu sahaja  yang  Malaysia
ingin  lihat,  keadilan, demokrasi bukan untuk diri sendiri,
tetapi  untuk  semua  pihak.    Kita  hendak  supaya  rakyat
Palestin  merasai  demokrasi  yang  boleh  menentukan  nasib
mereka.  Jadi tuan-tuan dan puan-puan, pendirian kita adalah
jelas dan saya ingin mengucap terima kasih kepada  tuan-tuan
dan   puan-puan   yang  telah  hadir  pada  hari  ini  untuk
menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.  Dan kepada  TYT
Presiden  State  of  Palestin,  Yassir  Arafat  yang menjadi
tetamu kita pada hari ini.    Sekianlah  sahaja,  wabilllahi
taufik    walhidayah    wassalamu   alaikum   warahmatullahi
wabarakatuh.

 
 



 
Google