home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	15/03/90 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG 
			AKTA PILIHANRAYA (PINDAAN) 1990 




 Tuan Yang Di-Pertua,
    Saya   mohon   mencadangkan  iaitu  Rang  Undang-undang
bernama Suatu  Akta  untuk  meminda  Akta  Pilihanraya  1958
dibaca kali kedua sekarang.
2.   Rang  Undang-undang  Akta  Pilihanraya  (Pindaan)  1990
adalah bertujuan untuk meminda Akta  Pilihanraya  1958  bagi
maksud-maksud berikut:
     a)   meminda     takrif    "tempat    mengundi"    bagi
          memperluaskan penggunaannya sebagai tempat mengira
          undi;
     b)   memberi kuasa kepada Ketua Tempat Mengundi menolak
          kertas-kertas undi yang tidak sah atau tidak boleh
          diterima, dan
     c)   meminda istilah yang terdapat  dalam  teks  Bahasa
          Malaysia daripada "Pegawai Pengetua" kepada "Ketua
          Tempat Mengundi".
Tuan Yang Di-Pertua,
3.   Sukacita  saya mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini
latar belakang dan asas pindaan yang  dicadangkan  di  dalam
Rang  Undang-undang  ini.   Suruhanjaya Pilihanraya telahpun
menjalankan   sistem   pengiraan   undi   yang    dipusatkan
(centralise  counting)  semenjak  pilihanraya  dijalankan di
negara ini.  Selaras dengan kemajuan  negara  kita  daripada
segi perhubungan, pengurusan serta kemudahan-kemudahan lain,
maka  Suruhanjaya  Pilihanraya berpendapat sistem yang telah
berjalan  semenjak  beberapa  lama  ini  perlu  dipinda  dan
digantikan  dengan  sistem yang baru iaitu pengiraan undi di
tempat mengundi.
4.   Mengikut  sistem  pengiraan   undi   yang   dicadangkan
pengiraan  undi  dijalankan  di  tempat  mengundi oleh Ketua
Tempat Mengundi sendiri dan tidak oleh Pegawai  Pengurus  di
satu  pusat pengiraan undi bagi sesuatu bahagian pilihanraya
seperti yang dilakukan sekarang.   Walau  bagaimanapun  bagi
kawasan-kawasan  tertentu di mana didapati pengiraan undi di
tempat mengundi tidak  dapat  diadakan,  sistem  yang  wujud
sekarang masih boleh dipakai dengan sedikit pindaan.
Tuan Yang Di-Pertua,
5.   Dengan menggunakan sistem yang dicadangkan ini perkara-
perkara berikut akan diwujudkan:
     a)   Tiap-tiap tempat mengundi menjadi tempat mengira
          undi  dan  kakitangan  pengundian  yang  sama akan
          menjadi  kakitangan  yang  bertanggungjawab   bagi
          pengiraan  undi.   Agen-agen calon boleh mengawasi
          sepanjang pengiraan undi berjalan.
     b)   Setelah   pengiraan   undi   selesai,    keputusan
          sementara  bolehlah  disampaikan  menerusi telefon
          atau alat semboyan kepada Pegawai Pengurus.
     c)   Pegawai   Pengurus   akan   menjumlahkan   kesemua
          keputusan untuk menentukan calon yang menang.
     d)   Keputusan  muktamad  hanya  akan diumumkan setelah
          Pegawai Pengurus menerima penyata pengundian  dari
          Ketua Tempat Mengundi.
6.   Sistem mengira undi di tempat mengundi ini akan memberi
beberapa kebaikan seperti berikut:-
     a)   Keputusan pilihanraya akan dapat diperolehi dengan
          lebih  cepat  iaitu di antara jam 8 malam hingga 9
          malam.  Ketua Tempat Mengundi akan  hanya  mengira
          paling  banyak  700  kertas undi atau 1,400 kertas
          undi  sekiranya  pilihanraya  Parlimen  dan  Dewan
          Undangan  Negeri  dijalankan  serentak.   Mengikut
          sistem yang berjalan sekarang semua peti-peti undi
          mestilah sampai ke tempat pengiraan  undi  sebelum
          pengiraan  undi  dapat dimulakan.  Dengan cara ini
          pengiraan undi biasanya hanya dapat dimulakan pada
          kira-kira  jam  8.30  malam  dalam   mana   purata
          sebanyak   kira-kira   100,000  kertas  undi  bagi
          Parlimen  dan  Dewan  Undangan  Negeri  yang  akan
          dikira.   Kebanyakan keputusan pengundian biasanya
          diketahui hanya selepas  jam  satu  pagi  keesokan
          harinya.
     b)   Sistem baru ini akan mewujudkan suasana yang lebih
          aman  dan  tenteram dengan mengalihkan tumpuan dan
          perhatian penyokong-penyokong parti dan orangramai
          ke beberapa tempat mengira undi berbanding  dengan
          ke  satu  pusat pengiraan undi sahaja seperti yang
          berlaku sekarang.  Suasana tegang serta  gangguan-
          gangguan  seperti  yang  dihadapi  sekarang  dapat
          dielakkan.
     c)   Pergerakan peti undi sebelum  kertas  undi  dikira
          dapat  dielakkan.    Pada  masa  ini  telah timbul
          tohmahan-tohmahan yang tidak berasas  di  kalangan
          beberapa  pihak  yang  mendakwa kononnya peti undi
          ditukarganti ketika  dalam  perjalanan  ke  tempat
          mengira  undi.  Dengan pelaksanaan sistem baru ini
          maka tohmahan-tohmahan  sedemikian  dapat  diatasi
          dan  akan  memberi  lebih  keyakinan  kepada semua
          pihak.
     d)   Sistem ini akan menjelaskan kedudukan jumlah  undi
          sebenar   bagi   pilihanraya  Parlimen  dan  Dewan
          Undangan  Negeri.     Mengikut  sitem   yang   ada
          sekarang,  disebabkan pengiraan undi dijalankan di
          satu  pusat  sahaja,  ada  kalanya  telah   timbul
          keraguan  di  kalangan  beberapa  pihak  berhubung
          dengan perbezaan jumlah undi Parlimen  dan  Negeri
          dalam bahagian Parlimen yang berkenaan.
     e)   Sistem   ini   juga   akan   dapat   mengelak  dan
          mengurangkan  kesilapan  pengiraan   undi   kerana
          jumlah  kertas  undi  yang  dikira  bagi satu-satu
          tempat  mengira  undi  adalah   kecil   jumlahnya.
          Sistem  ini  juga  menggunakan  kertas pengumpulan
          maklumat  (tally  sheet)  dalam   mana   agen-agen
          mengira  undi  berpeluang  sama mencatat undi-undi
          yang  diperolehi  oleh  calon-calon.    Ini  dapat
          mengelakkan  tohmahan-tohmahan yang tidak benar di
          kalangan setengah-setengah pihak  bahawa  kononnya
          kerani-kerani    mengira   undi   dengan   sengaja
          menyalahkira kertas-kertas undi untuk faedah calon
          tertentu.
7.   Sistem  pengiraan  undi  di  tempat  mengundi  bukanlah
merupakan  satu sistem asing.  Sistem ini telah dilaksanakan
dengan jayanya di kebanyakan negara maju  dan  juga  negara-
negara  membangun.    Kerajaan memberi jaminan bahawa segala
sokongan  dan  kemudahan  akan  diberikan  bagi   memudahkan
Suruhanjaya   Pilihanraya   menjalankan  sistem  ini  dengan
jayanya.
Tuan Yang Di-Pertua,
8.   Pindaan-pindaan ke atas Akta ini  tidaklah  menunjukkan
peraturan-peraturan   pengiraan   undi   secara  terperinci.
Peraturan-peraturan secara terperinci akan  disediakan  oleh
Suruhanjaya  Pilihanraya  mengikut kuasa yang ada padanya di
bawah Seksyen 16 (i) (j) Akta Pilihanraya 1958.
Tuan Yang Di-Pertua,
9.   Satu  lagi  pindaan  yang  dicadangkan  ialah   meminda
istilah  "Pegawai  Pengetua" sebagaimana yang terdapat dalam
teks  Bahasa  Malaysia  kepada  "Ketua   Tempat   Mengundi".
Istilah  "Ketua  Tempat Mengundi" ini lebih sesuai digunakan
dan  istilah  ini  digunakan  di  dalam  Peraturan-peraturan
Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.
Tuan Yang Di-Pertua,
10.  Memandangkan   sistem   pengiraan   undi   yang  hendak
dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya adalah satu sistem
yang  boleh  mengurangkan  berbagai   masalah   yang   telah
diterangkan sebentar tadi, maka saya percaya semua Ahli-ahli
Yang  Berhormat tidak akan ragu-ragu memberi sokongan kepada
pindaan ini.  Saya percaya dengan wujudnya sistem  baru  ini
berbagai  tuduhan berkaitan dengan pengiraan undi ini dengan
sendirinya  akan  terhapus.     Dan  ini   seterusnya   akan
meringankan   beban   Suruhanjaya   Pilihanraya   di   dalam
menjalankan urusannya.
Tuan Yang Di-Pertua,
     Saya memohon mencadangkan.

 



 
Google