home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SHAH ALAM, SELANGOR Tarikh/Date : 16/03/90 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN MEMECAH TANAH UNTUK PROJEK PEMESINAN KOMPONEN ENJIN DAN PEMASANGAN TRANSMISI KERETA PROTON Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Saya mengucapkan terima kasih kepada PROTON kerana menjemput saya hari ini untuk merasmikan upacara Memecah Tanah Tapak Projek Pemesinan Komponen Enjin dan Pemasangan Transmisi kereta Proton. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Upacara ini merupakan satu lagi perkembangan dan kemajuan PROTON. Ia merupakan satu bukti bagaimana usaha yang gigih dan dedikasi daripada para pekerja dan pengurusan boleh memajukan sesebuah syarikat. Saya mengucapkan tahniah kepada PROTON, Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan para pekerja PROTON kerana telah mencapai tahap ini dan saya berharap PROTON akan berkembang dan maju lebih lancar lagi untuk menjadi sebuah syarikat automotif yang utama. 3. Projek pemesinan komponen enjin ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan yang positif yang akan membawa bersamanya teknologi tinggi dan sofistikated kepada Malaysia. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Mitsubishi Motors Corpo- ration atau MMC dan Mitsubishi Corporation kerana telah memberi pertolongan dan bekerjasama dengan PROTON untuk memastikan agar usaha menambahkan bahan dan komponen tempatan untuk kereta-kereta PROTON tercapai. Pihak Kerajaan juga menyokong penuh rancangan PROTON untuk menambahkan penggunaan bahan tempatan sehingga 80% dan seterusnya menarik pelabur-pelabur asing, termasuklah dari Jepun, ke negara ini. Saya berharap pihak MMC akan sentiasa memberi sokongan mereka untuk menyegerakan penambahan bahan tempatan untuk PROTON. 4. Mengenai industri automotif pula, industri ini adalah satu industri yang berkait rapat dengan industri sampingan yang lain seperti 'forging' dan 'casting'. Saya berharap pengusaha bumiputera di bidang ini berusaha untuk meningkatkan teknologi mereka supaya dapat bersaing dengan negara-negara perindustrian yang maju dalam industri automotif ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 5. Pencapaian PROTON setakat ini sangat memuaskan. Walau bagaimanapun, untuk bertindak segera terhadap kemajuan industri kereta antarabangsa, PROTON mestilah melengkapkan diri dengan pengetahuan penyelidikan dan pembangunan serta dengan kejuruteraan pengeluaran. Saya berhadap selain dari bantuan yang diberikan oleh pihak MMC, pihak PROTON sendiri seharusnya berusaha untuk mencapai matlamat ini. 6. PROTON dan juga industri-industri lain telah berjaya meningkatkan prestasi masing-masing berikutan dengan pemulihan ekonomi negara selepas dilanda oleh kelembapan ekonomi dunia. Di PROTON sendiri permintaan yang bertambah telah membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran. Sekarang ini PROTON boleh meningkatkan pengeluaran secara besar-besaran di samping membaiki prestasinya. Meskipun pelancaran dibuat semasa kemelesetan ekonomi, kini PROTON telah berjaya memperbaiki kedudukannya. Saya merasa bangga terhadap kejayaan eksport PROTON ke United Kingdom dan juga usaha-usaha baik-pulih yang dibuat oleh PROTON untuk menampung pertambahan permintaan, bukan sahaja dalam negeri, tetapi juga untuk pasaran ke United Kingdom. Operasi dua shif telah berjalan dengan lancar dan saya percaya segala sokongan yang diberi oleh kerajaan kepada PROTON telah mencapai matlamatnya. 7. Selain daripada PROTON, pengusaha-pengusaha dan pembekal-pembekal tempatan yang lain haruslah menjangkau ke dunia luar dan bukan hanya terhad kepada pasaran tempatan agar mereka dapat menerokai pasaran yang lebih luas. Kerajaan akan terus menyokong dan membantu pengusaha- pengusaha di dalam usaha mereka untuk meningkatkan pengeluaran. Pengusaha-pengusaha tempatan mestilah mempunyai semangat perniagaan dan seharusnya tidak cepat putus asa di dalam menuju kejayaan. Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PROTON kerana menjemput saya ke upacara ini. Saya berharap dengan kejayaan PROTON hasrat dan cita-cita kerajaan untuk meningkatkan teknologi dalam perindustrian otomotif akan tercapai. Terima kasih. |