home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	17/03/90 
Tajuk/Title  	: 	SEMINAR MASA DEPAN PERUSAHAAN AWAM 
			DI INSTITUT TADBIRAN AWAM 
			NEGARA (INTAN) 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Napsiah Omar,
     Menteri Perusahaan Awam;
Yang Berbahagia Encik Jaafar Abu Bakar,
     Pengerusi Gemaputera;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada Gabungan Agensi-
agensi  Amanah  Bumiputera   dan   Perusahaan   Awam,   atau
Gemaputera, kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap
dan seterusnya merasmikan Seminar Masa Depan Perusahaan Awam
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Seminar   ini   bertujuan  untuk  mengenal  masa  depan
perusahaan awam.   Untuk ini kita harus  tahu  lebih  dahulu
latar  belakang  atau sejarah perusahaan awam di negara kita
dan juga di negara-negara lain.
3.   Sebenarnya   tugas   utama   kerajaan   ialah   menjaga
keselamatan   dan  keamanan  dalam  masyarakat  dan  negara.
Pendapatan kerajaan daripada hasil dan cukai,  pada  analisa
yang  terakhirnya,  adalah  sumbangan  atau  yuran  daripada
masyarakat  untuk  mengadakan  jentera  dan   alatan   untuk
melindungi  mereka  daripada berbagai-bagai punca keganasan,
baik dari dalam atau dari luar negari.   Untuk  ini  anggota
masyarakat bukan sahaja sanggup menyumbang wang, tetapi juga
mereka sanggup memberi kuasa tertentu kepada kerajaan.
4.   Dengan  wujudnya  keselamatan  dan keamanan maka rakyat
akan  hidup  sempurna  dan  boleh  menjalankan   tugas   dan
perniagaan  dengan  selamat.    Mereka  akan dapat menikmati
hasil titik peluh, kecekapan dan kepintaran mereka.
5.   Walaupun  kerajaan  melindungi   semua   pihak   dengan
perlindungan yang sama, yang pintar dan cekap boleh mendapat
lebih  banyak  hasil  daripada  yang  lain dalam masyarakat.
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas atau free market  economy
yang  diamalkan,  jika  tidak  diawasi  perbezaan  yang amat
ketara antara yang miskin dengan yang  kaya  boleh  berlaku.
Dengan  industrialisasi,  perbezaan  ini  semakin  bertambah
kerana  punca-punca  kekayaan,   sama   ada   dalam   bidang
pengeluaran   sumber  alam  atau  pembuatan,  dimiliki  oleh
beberapa  orang  yang  pintar  sahaja.    Dan  mereka  kerap
menindas pekerja-pekerja mereka.
6.   Memandang   akan  ketidak-adilan  ini,  maka  datanglah
beberapa ahli fikir yang  mengesyorkan  sistem  komunis  dan
sosialis  --  sistem-sistem  yang  diasaskan kepada pendapat
bahawa jika kerajaan memiliki  semua  punca  kekayaan,  maka
semua keuntungan akan diperolehi oleh kerajaan dan diagihkan
secara sama rata dan lebih adil kepada semua rakyat.
7.   Dengan  itu,  beberapa  negara  memilih  kerajaan  yang
memilik-negarakan atau  nationalise  industri-industri  yang
difikirkan  boleh  memberi  keuntungan.    Malangnya setelah
dimilik-negarakan, hampir semua industri  ini  bukan  sahaja
rugi  tetapi  juga  memerlukan bantuan atau subsidi daripada
kerajaan.   Jika dahulu  sekurang-kurangnya  kerajaan  dapat
mengutip   cukai  daripada  industri-industri  ini,  setelah
industri-industri  dimilik-negarakan,  bukan  sahaja   tidak
terdapat  keuntungan dan pungutan cukai tetapi juga kerajaan
terpaksa menggunakan wang kerajaan untuk membantu  industri-
industri   ini.    Bahawa  pekerja-pekerja,  mengikut  teori
memiliki segala punca kekayaan tidak menjadikan mereka lebih
setia dan produktif.  Sebaliknya mereka lebih kerap menuntut
pendapatan lebih, mogok dan mengurangkan produktiviti.
8.   Terdapat beberapa sebab  mengapa  punca  kekayaan  yang
dimiliknegarakan  rugi  dan  akhirnya  menjadi  beban kepada
kerajaan dan negara.   Mungkin  Seminar  ini  akan  mengkaji
perkara  ini.    Tetapi  perkembangan  yang dapat kita lihat
sejak dua dekad kebelakangan ini ialah proses memilik-negara
diganti dengan proses penswastaan.  Di Malaysia  kita  telah
memulakan  proses  ini  10  tahun dahulu, semasa penswastaan
masih belum diterima  penuh  oleh  negara-negara  lain  yang
maju.
9.   Di Malaysia, latarbelakang perusahaan awam kita berbeza
sedikit  daripada  latarbelakang  di negara-negara lain.  Di
Malaysia kita tidak dipengaruhi oleh ideologi  komunis  atau
sosialis.    Kita mempunyai masalah ketidak-seimbangan taraf
pembangunan antara kaum yang boleh  menjadi  punca  ketidak-
stabilan  dalam negara.   Kerana inilah kita telah menggubal
Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Kerajaan berpendapat  proses  integrasi  bumiputera  ke
dalam  ekonomi  yang  dikuasai  oleh  bukan bumiputera ialah
melalui penubuhan perusahaan-perusahaan  awam.    Bumiputera
didapati  tidak  mempunyai modal atau kemahiran dalam bidang
perniagaan atau perusahaan  besar  dan  jika  mereka  hendak
mengejar  kaum  lain  tanpa  bantuan,  mereka  tidak mungkin
berjaya.  Bahkan jurang antara bumiputera  dengan  kaum-kaum
lain  akan  menjadi lebih luas kerana pertumbuhan adalah ge-
ometrical.  Maka akan menjadi  kenyataanlah  saranan  bahawa
"yang  miskin  bertambah  miskin,  dan  yang  kaya bertambah
kaya".
11.  Dengan penggubalan Dasar Ekonomi Baru, maka perusahaan-
perushaan awam bertambah dengan pesatnya.    Daripada  hanya
100 buah sebelum DEB, kita sekarang mempunyai lebih daripada
1000  buah  perusahaan awam dan anak-anak syarikatnya dengan
sumbangan modal daripada kerajaan sebanyak kira-kira $16,740
juta ringgit.
12.  Oleh kerana bertambahnya bilangan perusahaan  awam  ini
dengan begitu cepat, kerajaan tidak dapat mengawasi apa yang
berlaku  dalam  badan-badan  ini,  sama  ada mereka menolong
pencapaian matlamat DEB atau sebaliknya.    Sementara  ramai
yang  menolong,  ramai  juga  yang menjadi penghalang kerana
mereka bersaing dengan syarikat-syarikat  bumiputera  dengan
menggunakan  keistimewaan-keistimewaan  mereka sebagai badan
milik kerajaan.
13.  Apabila  Unit  Pusat  Pengumpulan  Maklumat  atau  CICU
ditubuhkan,  kita mendapati banyak juga daripada badan-badan
perusahaan awam  ini  yang  mengalami  kerugian.    Daripada
perusahaan-perusahaan  awam  dan  anak-anak  syarikat mereka
yang masih aktif  atau  operational,  373  atau  hampir  39%
daripada  bilangan itu menanggung kerugian.  Walaupun mereka
mempunyai tanggungjawab sosial yang berat,  kerugian  mereka
tidak dapat diketepikan.
14.  Sementara  itu, DEB telah berjaya mewujudkan sebilangan
peniaga dan usahawan bumiputera yang  berkemampuan  daripada
segi  kecekapan  pengurusan  dan  juga  kewangan.   Di dalam
badan-badan perusahaan awam juga terdapat  pengurus-pengurus
yang  berkebolehan.    Di  samping  itu  Permodalan Nasional
Berhad atau PNB yang dimiliki  oleh  rakyat  daripada  semua
golongan   telah  ditubuhkan  dan  PNB  mampu  mengambilalih
perusahaan-perusahaan awam.
15.  Dengan perubahan-perubahan yang  terdapat  dalam  dekad
kedua  DEB,  maka  pendekatan yang baru perlu dibentuk untuk
mengurangkan kerugian kerajaan dan untuk  melibatkan  secara
langsung  bumiputera dalam alam sebenar ekonomi.  Perusahaan
awam bukanlah matlamat DEB.   Ia hanya alat  untuk  mencapai
matlamat   DEB.     Pemilikan  perusahaan  oleh  perusahaan-
perusahaan  awam  mungkin  menambah  peratusan  ekuiti  oleh
bumiputera,  tetapi  ekuiti  dalam  perusahaan yang sentiasa
rugi tidak bermakna.    Tujuan  membeli  saham  ialah  untuk
mendapat  keuntungan  atau  menikmati  kenaikan harga saham.
Saham yang tidak  mendatangkan  keuntungan  tidak  bermakna.
Penyertaan  bumiputera  dalam  perusahaan yang sentiasa rugi
tidak ada faedah.
16.  Memandangkan   kepada   lebih    ramainya    bumiputera
perseorangan  yang  bersedia  dan  berupaya  memasuki bidang
perusahaan sekarang ini, dan terdapatnya pula kerugian  yang
besar  yang  dialami  oleh  sebilangan  yang  besar daripada
perusahaan-perusahaan awam, maka  kerajaan  telah  mengambil
keputusan untuk menswastakan perusahaan-perusahaan awam yang
mungkin  lebih  berkesan dan menguntungkan jika diswastakan.
Kerajaan berpendapat seberapa yang boleh kerajaan  hendaklah
menghadkan   peranannya   kepada   tugas  asalnya  --  iaitu
mengawasi keselamatan dan keamanan melalui undang-undang dan
berbagai-bagai bentuk  perkhidmatan  penyeliaan.    Ketidak-
adilan  dan  penindasan  yang  boleh  berlaku  dalam  sistem
pasaran bebas boleh  dibendung  oleh  sistem  kerajaan  yang
demokratik.  Hubungan antara bumiputera dan bukan bumiputera
juga  boleh  diawasi  melalui  penyeliaan dan penguatkuasaan
dasar-dasar dan undang-undang.  Kerajaan yakin  lambat  laun
matlamat  DEB  dapat  dicapai walaupun perusahaan-perusahaan
awam diberi peranan yang kurang.
17.  Oleh kerana banyak juga perusahaan awam telah diuruskan
dengan baik  oleh  pengurus-pengurusnya,  pengalaman  mereka
boleh   menolong   mereka   keluar  untuk  menyertai  bidang
pengurusan di luar kerajaan.   Dalam pada itu  mereka  boleh
membuat  "management  buy-out"  jika mereka yakin akan dapat
menguruskan perusahaan milik kerajaan dengan baik.
18.  Kepentingan pekerja juga diberi pertimbangan.   Pekerja
perusahaan  awam  setelah  diswastakan  hendaklah  menikmati
layanan yang tidak kurang  baiknya  daripada  semasa  mereka
bekerja  dengan  kerajaan.    Namun, tidaklah menjadi hasrat
supaya mereka  mengeksploitasi  penswastaan  untuk  mendapat
ganjaran luar biasa.
19.  Sebilangan  daripada perusahaan awam akan kekal sebagai
perusahaan awam.   Walaupun demikian,  perusahaan-perusahaan
ini hendaklah meningkatkan kecekapan pengurusan mereka.  Ini
bukan  sahaja  untuk  kepentingan  kerajaan atau kepentingan
awam, tetapi  melatih  diri  supaya  menjadi  pengurus  yang
efisien  amatlah baik bagi pengurus-pengurus perusahaan awam
sendiri.  Pada satu hari mereka akan  bersara  atau  meletak
jawatan.      Jika   mereka   mempunyai  tabiat  yang  tidak
menguntungkan  semasa  berkhidmat  dalam  perusahaan   awam,
tabiat  ini  akan  merugikan  mereka  apabila mereka bekerja
dengan  swasta  atau  mengurus  perusahaan  atau  perniagaan
sendiri.   Mereka yang mengurus dengan baik dan cekap semasa
mengurus perusahaan awam akan memperolehi  keuntungan  bila-
bila sahaja dan di mana-mana sahaja mereka bekerja.
20.  Proses penswastaan tidak bertujuan bagi perusahaan awam
yang   diadakan   untuk  menjayakan  DEB  terlepas  daripada
matlamat DEB, iaitu tidak memainkan  peranan  sebagai  badan
amanah bumiputera.  Selain daripada individu bumiputera atau
syarikat  bumiputera  yang  boleh  mengambilalih  perusahaan
awam, badan-badan amanah seperti PNB juga  berpeluang  untuk
mengambil  alih.    Yang  menjadi  masalah  bukan pemindahan
saham,   tetapi    kejayaan    badan-badan    ini    setelah
dipindahmilik.    Jika  badan-badan  ini  selalu  rugi, maka
kemungkinannya ialah  badan-badan  ini  akan  dijual  kepada
pihak  lain.    Amatlah  mengecewakan  jika  setelah dijual,
badan-badan ini dipulih dan membawa keuntungan  kepada  tuan
punya  yang baru.   Sebab itu pengurusan selepas diswastakan
hendaklah cekap supaya badan-badan  ini  tidak  terlepas  ke
tangan lain dan DEB gagal.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21.  Kita  tidak  dapat  memisahkan diri sepenuhnya daripada
aliran pemikiran semasa.   Di zaman ini,  yang  jelas  ialah
pemilik-negaraan  dan  perluasan  peranan pemerintahan sudah
tidak popular.  Arus pemikiran ini muncul dan diterima  oleh
kerana  di  mana-mana  sahaja  perusahaan  awam  telah gagal
membawa kejayaan ekonomi atau politik atau keadilan.
22.  Ideologi-ideologi  yang  berasas  kepada  teori  bahawa
pasaran bebas membawa ketidakadilan dan perlu diganti dengan
ekonomi  yang dirancang di peringkat pusat, iaitu centrally-
planned economy, didapati tidak dapat mencapai matlamat yang
dijangkakan.   Justeru itu  negara-negara  komunis  telahpun
menggugurkan  teori  ekonomi  mereka  dan sudah pun menerima
sistem pasaran bebas atau free market system.
23.  Yang perlu kita ingat ialah  teori  dan  sistem,  walau
bagaimana  baik  sekalipun,  tidak  boleh menjamin kejayaan.
Yang menentukan  kejayaan  ialah  manusia  yang  mengamalkan
sistem itu.  Negara komunis yang menggugurkan sistem komunis
mereka  tidak  boleh menjamin kejayaan dalam bidang ekonomi,
mahupun dalam bidang  politik  atau  keadilan  hanya  dengan
mengamalkan  sistem  free  market.    Selama 70 tahun Russia
mengamalkan  sistem  komunis,  mereka   telah   menghapuskan
usahawan  atau  entrepreneur  dan  pengurus-pengurus mereka.
Hari ini mereka tidak mempunyai para pengurus yang cekap dan
pencapaian mereka dalam ekonomi pasaran terbuka akan  terhad
sehingga   satu   generasi  pengurus  baru  dapat  diadakan.
Demikianlah faktor manusia dalam apa juga kegiatan.
24.  Oleh kerana kita terpaksa  dan  perlu  mengikut  aliran
zaman  dan  mengurangkan peranan perusahaan awam, kita tidak
boleh terlalu taksub dengan sistem.    Perusahaan-perusahaan
awam  yang  akan  terus  dikekalkan  mestilah  ingat  faktor
manusia ini.   Perusahaan awam  masih  ada  tempatnya,  jika
mereka  memperbaiki  prestasi mereka melalui pengurusan yang
cekap dan berhasil.   Walaupun mereka  mungkin  diswastakan,
pencapaian  objektif  semasa  sesuatu  perusahaan  awam  itu
ditubuhkan masih penting.  Jika pemikiran menunjukkan bahawa
adalah lebih baik  mereka  kekal  sebagai  perusahaan  awam,
mereka  akan  dikekalkan.   Kita di Malaysia tidak tertakluk
kepada apa-apa ideologi.  Kita tidak dogmatik.    Kita  akan
memilih  yang baik dan membuang yang buruk walaupun terpaksa
menentang arus pemikiran semasa.  Tetapi untuk membuat  ini,
bukti-bukti dan alasan-alasan mestilah jelas.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25.  Saya  sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak
Gemaputera kerana menjemput  saya  merasmikan  Seminar  ini.
Saya  berharap Seminar ini akan berjaya merumuskan resolusi-
resolusi yang bermanfaat kepada perusahaan awam di Malaysia.
26.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan  Seminar
Masa Depan Perusahaan Awam ini.

 




 
Google