home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 06/06/90 Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah, Ampun Tuanku, Dengan hormat dan penuh takzimnya, patek bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat, serta diri patek sendiri, mohon menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku hari ini. Patek sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua sentiasa berada dalam kandungan sihat dengan penuh kesejahteraan dan kedaulatan. Ampun Tuanku, 2. Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta'ala, negara kita Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan damai. Keadaan ini dapat diwujudkan kerana sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan terus terjamin. Ini membolehkan kerajaan dan rakyat berbilang kaum di negara ini berada dalam keadaan tenang dan berdayamaju. Kerajaan di bawah naungan Tuanku berasa bertuah kerana para pemimpin dan rakyat umumnya telah bersama-sama menanamkan perasaan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. 3. Kedudukan ekonomi negara dewasa ini pula terus bertambah teguh. Pertumbuhan yang menggalakkan ini jelas digambarkan melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK pada tahun 1989 yang lalu yang terus mengatasi paras 8%. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh ini digambarkan juga melalui imbangan bayaran negara yang sangat memuaskan. Dalam ucapan tahniah patek tahun lalu, patek telah menyatakan bahawa kerajaan yakin yang pelaburan swasta, baik dari dalam atau luar negeri, akan terus meningkat. Harapan kerajaan ini telah menjadi kenyataan. Pertambahan pelaburan bagi lima bulan pertama tahun ini dianggar lebih dari 12 bulan pada tahun 1989. Kebanyakan syarikat-syarikat perusahaan dan perdagangan mencatat keuntungan yang tinggi, bahkan pendapatan setengah-setengah pekerja juga telah meningkat. 4. Program-program yang disusun bagi menjadikan struktur ekonomi negara lebih berupaya menghadapi cabaran-cabaran di pasaran antarabangsa pada masa hadapan dapat dijalankan dengan baiknya. Salah satu perubahan struktur ekonomi ialah menjadikan ekonomi negara kurang bergantung kepada eksport barangan utama atau komoditi, sebaliknya menggalakkan pembangunan industri perkilangan. Usaha ini semakin berjaya dengan keluaran perkilangan terus menjadi penyumbang utama dengan sumbangan kira-kira 54% atau melebihi separuh daripada jumlah eksport tahun lalu. Industri perkhidmatan juga sedang mengalami proses pertumbuhan yang baik terutama dalam bidang perhotelan dan pelancongan. 5. Dengan adanya perubahan struktur yang baik itu, pertumbuhan ekonomi tahun 1990 ini dijangkakan sebaik tahun lalu, iaitu sekali lagi KDNK mengatasi kadar 8%. Kedudukan keseluruhan imbangan bayaran dijangka akan terus memuaskan. Ampun Tuanku, 6. Pada hujung tahun ini, genaplah tempoh Dasar Ekonomi Baru atau DEB. Walaupun objektif DEB tidak dapat dicapai sepenuhnya, negara dan rakyat boleh berbangga kerana dasar itu telah berjaya mengurangkan jurang perbezaan taraf ekonomi antara kaum dan mengurangkan kadar kemiskinan. Di samping itu kerajaan sedang mengambil langkah-langkah awal untuk merangka satu dasar ekonomi negara yang baru selepas tahun 1990. Kerajaan akan mengkaji semua cadangan, terutamanya oleh Majlis Perundingan Ekonomi Negara, sebelum mengemukakan satu rancangan ekonomi untuk tahun-tahun menjelangnya tahun 2000. Walau bagaimanapun, kerajaan berpendapat bahawa masalah ketidak-seimbangan ekonomi antara kaum haruslah terus diberi keutamaan demi perpaduan kaum dan kestabilan negara. 7. Patek bagi pihak kerajaan berasa bangga kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua telah bersama-sama patek sekalian dalam menjayakan Persidangan Kemuncak Pertama Kumpulan Perundingan dan Kerjasama Selatan-Selatan yang berakhir tiga hari yang lalu. Kerajaan yakin Malaysia kian dikenali di kaca mata dunia dan secara langsung, Persidangan ini tentu memberi sumbangan kepada program Tahun Melawat Malaysia. Usaha meningkatkan pelancongan baik dari luar atau dalam negeri telah menunjukkan kejayaan yang menggalakkan. Ampun Tuanku, 8. Malaysia telah diberi penghormatan menghantar pasukan pemerhati dan pengaman ke tiga buah negara di bawah penyeliaan Bangsa-bangsa Bersatu. Pasukan keselamatan kita telah melaksanakan tugas mereka sebagai pasukan pengaman di Namibia dan pasukan pemerhati di Iraq dan Iran dengan jayanya. Ini telah mengharumkan nama negara di samping ianya merupakan sumbangan ke arah mewujudkan dunia yang lebih aman tenteram. 9. Mengenai keadaan keselamatan pula, pada keseluruhannya kedudukan keselamatan negara adalah terpelihara. Walau bagaimanapun Kerajaan dan rakyat tidak akan lalai, bahkan akan terus berwaspada terhadap kemungkinan Malaysia diancam oleh musuh-musuh. 10. Di samping itu keadaan keamanan dan ketenteraman negara telah menempa satu sejarah baru. Parti Komunis Malaya telah meletakkan senjata mereka pada penghujung tahun lalu. Peristiwa ini menggambarkan hasil yang wajar terhadap pengorbanan dan keperwiraan pasukan keselamatan dan orang ramai dalam menentang usaha percubaan komunis untuk menumbangkan Kerajaan. Kerajaan berharap pengganas- pengganas komunis akan bukan sahaja meletakkan senjata, bahkan juga akan melupakan ideologi perjuangan mereka. Ampun Tuanku, 11. Patek, bersama-sama dengan seluruh kakitangan kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian dengan penuh semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia, insya-Allah. 12. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri patek, kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan penuh hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia yang tidak berbelah bahagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah. Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun. |