home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), 
			KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	08/06/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN HARI GURU 1990 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim,
     Menteri Pendidikan;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
wa  Ta'ala  kerana  dengan  izinNya  kita dapat bersama-sama
berkumpul dalam majlis perayaan Hari Guru tahun ini.
2.   Saya berasa sukacita kerana sekali lagi  dapat  bertemu
dengan para guru sekalian.  Hari Guru adalah satu acara yang
tersusun   untuk  menghargai  para  guru  dalam  masyarakat.
Sebenarnya di zaman dahulu kita tidak perlu diperingati akan
peranan dan martabat guru.  Tetapi dahulu  bilangan  cerdik-
pandai  tidak  ramai  dan  guru mungkin hanya seorang sahaja
yang terpelajar dalam sesuatu kelompok masyarakat  setempat.
Sekarang  ini  terdapat  ramai  yang terpelajar dan oleh itu
para guru menghadapi saingan sebagai punca pengetahuan.
Akan tetapi mereka yang terpelajar perlu diperingati  bahawa
mereka  meningkat  ke  taraf  tersebut  kerana guru.   Sebab
itulah kita  mengadakan  secara  formal  usaha  memperingati
masyarakat  akan peranan guru dan pentingnya kita menghargai
guru dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada kebudayaan
bangsa Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Peranan dan fungsi guru  dalam  dekad  90an  ini  sudah
tentunya  berbeza  berbanding dengan dekad-dekad sebelumnya.
Di masa dahulu guru hanya dikehendaki menyampaikan ilmu-ilmu
dan tradisi masyarakat kepada kanak-kanak yang akan mewarisi
masyarakat itu.   Tujuannya ialah      supaya     masyarakat
kekal     dengan pengetahuan dan kebudayaan yang telah sedia
ada.  Perubahan tidak menjadi matlamat masyarakat.    Dengan
penerimaan  semua  yang lama maka segala institusi lama akan
terpelihara daripada  ancaman  dan  cabaran.    Mereka  yang
berkedudukan tertentu akan dapat mengekalkan tempat mereka.
4.   Masyarakat  yang  konservatif yang wujud melalui sistem
ini  mungkin   lebih   tenang,   tetapi   ia   tidak   mampu
mempertahankan diri jika diserang oleh masyarakat yang lebih
progresif.   Kejatuhan negara-negara timur di tangan negara-
negara   Barat   adalah   disebabkan   negara-negara   Timur
ketinggalan kerana sistem pelajaran dan kerana kebudayaannya
tidak  berubah  dan sebab itu masyarakat tidak maju.  Tetapi
bukan   semua   yang   diterokai   boleh  membawa  kebaikan.
Justeru itu pemilihan yang bijak harus dibuat.
5.   Hari ini kita hidup dalam masyarakat yang bersaing atau
competitive  society.    Kita perlu bersaing bukan sahaja di
antara individu  dengan  individu,  tetapi  juga  di  antara
kumpulan dengan kumpulan, kaum dengan kaum dan negara dengan
negara.   Kita tidak dapat mengelakkan diri daripada saingan
ini.  Sudah tentu sistem pelajaran yang tidak  mengambilkira
iklim  saingan  ini  akan  menyebabkan  masyarakat berkenaan
ketinggalan.
6.   Memang  dalam  saingan  ini   kita   mungkin   mendapat
perlindungan  dan bantuan.  Benteng kita yang terkuat sekali
hari ini ialah kuasa politik.  Tetapi kuasa  politik   tidak
boleh    diharapkan    kekal    di    tangan    pihak   yang
bertanggungjawab.  Politikus yang ingin sesuatu  untuk  diri
sendiri  boleh membelakangkan kepentingan masyarakat.  Kitol
dan Raja Mendeliar ada di mana-mana sahaja sepanjang zaman.
7.   Justeru itu  ilmu  dan  kemahiran  yang  sesuai  dengan
keadaan   semasa   amatlah   penting   bagi  melindungi  dan
menjayakan sesuatu masyarakat.  Ini menjadikan peranan  guru
dewasa  ini  tidak  kurang  penting  daripada  masa  dahulu.
Tetapi para guru hendaklah sanggup memikul beban  ini  bukan
semata-mata  kerana  menampung  sara  hidup,  tetapi sebagai
tanggungjawab kepada bangsa dan negara.   Sudah  tentu  jika
negara  maju  nikmatnya akan dinikmati juga oleh para  guru.
Negara   yang miskin kerana pendidikan  yang  tidak  bermutu
tidak mungkin memberi saraan yang baik kepada guru.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Salah  satu  daripada  tugas  guru  yang utama di zaman
dahulu ialah memupuk budi  pekerti  yang  baik  di  kalangan
pelajar-pelajar.    Memang  benar  ibu bapa bertanggungjawab
terhadap pembentukan peribadi yang baik ini.  Tetapi apabila
ibu bapa  menyerahkan  anak  mereka  kepada  guru  di  zaman
dahulu,  mereka berharap dan guru juga sedar bahawa peribadi
anak mereka akan dibentuk oleh guru.  Ini adalah oleh kerana
guru dianggap lebih terpelajar daripada kebanyakan ibu  bapa
dan  ibu bapa tidak begitu yakin mereka mengetahui perbezaan
antara  yang  baik  dan  yang  buruk  dalam   sistem   nilai
masyarakat.
9.   Di  zaman  sekarang juga peranan guru dalam pembentukan
peribadi murid, iaitu bakal warganegara  dewasa,  masih  ada
dan diperlukan.  Perbahasan sama ada guru atau ibu bapa yang
bertanggungjawab  dalam  hal  ini tidak harus berlaku.   Ibu
bapa mempunyai tanggungjawab mereka dan guru juga  mempunyai
tanggungjawab.
10.  Sementara  ibu bapa tidak mungkin diberi latihan khusus
berkenaan dengan cara pembentukan peribadi mulia, guru boleh
diberi latihan ini kerana tidak semestinya setiap orang yang
menjadi guru tahu secara tersendiri   semua   sistem   nilai
masyarakat, terutama yang mana yang baik yang harus dipupuk,
dan  yang  mana  tidak  harus diberi tekanan atau dihapuskan
sama sekali.   Sebenarnya didikan yang  bertujuan  membentuk
peribadi  yang  mulia  lebih  penting daripada ilmu.   Dalam
masyarakat dewasa ini, penyalahgunaan ilmu oleh mereka  yang
berpengetahuan semakin meluas.  Sebab itulah senjata-senjata
yang  kejam dicipta dan jenayah-jenayah yang besar dilakukan
oleh  orang-orang  yang  terpelajar.    Sebab  itulah   juga
penipuan yang besar berlaku dalam perniagaan dan perusahaan.
11.  Keadaan  yang ideal ialah apabila kita wujudkan melalui
pendidikan satu masyarakat yang sopan  dan  mulia  dan  yang
mempunyai  cukup  ilmu    pengetahuan     untuk    membangun
dan memajukan diri sendiri dan masyarakat.  Walaupun  unsur-
unsur  keturunan  atau  'heredity'  mempunyai  peranan dalam
menghadkan kebolehan seseorang, pendidikan moral dan  ilmiah
yang sesuai dan mencukupi akan dapat membangunkan potensinya
ke  tahap  yang  maksima  sehingga  dalam kerjayanya ia akan
dapat menggunakan segala kebolehannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Sebagai seorang anak kepada  seorang  guru  yang  tidak
pernah  lupa  bahawa  ianya adalah guru walaupun dirumahnya,
dan sebagai murid dalam sistem pendidikan lama, di mana guru
merupakan orang yang amat  terpelajar  dan  terhormat  dalam
masyarakat,  saya  sedar  tentang    peranan    yang    amat
berkesan   yang dimainkan oleh guru.  Saya hari  ini  adalah
hasil   daripada   hubungan   dan  didikan  guru-guru  dalam
kehidupan saya, terutama semasa  di  bangku  sekolah  selain
daripada  didikan  di  rumah  oleh ibu bapa, abang-abang dan
kakak-kakak.  Saya berpendapat kesan didikan oleh  guru-guru
tidak  kurang  tetapi  mungkin  lebih daripada kesan didikan
oleh keluarga.  Dan masyarakat di mana-mana sahaja  menerima
hakikat  peranan  guru  dalam  pembentukan  peribadi  selain
daripada penyampaian ilmu tertentu.
13.  Saya yakin semua guru sedar akan hakikat ini.    Tetapi
masyarakat  di  Malaysia tidak menganggap didikan yang boleh
membentuk peribadi yang  mulia  sebagai  sama  penting  atau
lebih  penting  daripada   ijazah   keilmuan.  Masanya sudah
tiba  untuk kita menentukan keutamaan kita dan kita tekankan
latihan kerohanian yang  sesuai  dengan  zaman  bersama-sama
dengan  didikan  dalam  bidang-bidang  ilmu yang juga sesuai
dengan pembangunan bangsa dan negara.  Jika masyarakat sudah
dapat menyusunkan keutamaannya dan percaya  bahawa  peribadi
yang  mulia  adalah  penting  dalam  menentukan kejayaan dan
kebahagiaan, maka guru-guru patutlah  diberi  peranan  utama
dalam menyebar nilai-nilai ini kepada generasi muda.  Insya-
Allah  akan terbentuklah satu masyarakat yang lebih baik dan
lebih berjaya daripada yang ada sekarang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Tema Hari Guru  tahun  ini  ialah  'Pendidikan  Bermutu
Masyarakat  Sejahtera'.    Pendidikan Bermutu bukan bermakna
jenis ilmu tetapi penyampaian  ilmu  secara  yang  berkesan.
Sungguhpun  Pusat-Pusat  Latihan  Perguruan  memberi latihan
tentang cara-cara mengajar, tetapi ada  guru  yang  terkenal
dan  disayangi oleh murid kerana cara ia mengajar memudahkan
penyerapan ilmu oleh murid-murid.  Ada juga guru yang  tidak
begitu  diminati  oleh  murid.   Setiap guru harus tahu akan
kualiti-kualiti dan  cara-cara  yang  menjadikan  sesetengah
guru berkesan.  Mereka seharusnya mengamalkan cara itu.  Ini
akan  menjamin  mutu  pendidikan  di negara ini berkesan dan
tinggi.
15.  Tetapi yang terpenting sekali untuk mengadakan  didikan
yang  bermutu  ialah dedikasi dan semangat guru itu sendiri;
dedikasi dan  semangat  yang  mengenepikan  soal-soal  lain,
termasuk  soal-soal  peribadi,  semasa mengajar.   Walau apa
sekalipun masalah  peribadi  atau  kumpulan  yang  dihadapi,
semuanya  harus  diketepikan  semasa  menyampaikan pelajaran
kepada murid.
16.  Murid  adalah  sensitif   terhadap   segala-gala   yang
mempengaruhi  fikiran  dan sikap guru.   Tumpuan murid-murid
kepada pelajaran akan terpesong jikalau  faktor-faktor  lain
mengganggu  guru.    Justeru itu untuk mewujudkan pendidikan
yang bermutu, guru  harus  mengasingkan  faktor-faktor  lain
daripada fikiran mereka semasa mengajar.
17.  Ini  tidak  mudah  dilakukan  tetapi  mutu atau kualiti
memang pun tidak mudah dicapai.   Hanya  mereka  yang  teguh
peribadi  dan  berdisiplin  yang  boleh  mencapai  mutu yang
tinggi.  Yang harus kita ingat  ialah  mereka  yang  berjaya
mencapai  mutu yang tinggi dalam mendidik murid akan berjaya
dalam kehidupan mereka sendiri, insya-Allah.
18.  Ini bermakna bukan sahaja  Pendidikan  Bermutu  membawa
kepada  Masyarakat  Sejahtera, tetapi juga guru yang memberi
pendidikan bermutu  akan  mendapat  ganjaran  bagi  dirinya.
Tidak siapa yang akan rugi kerana dedikasi dan semangat yang
berjaya menghasilkan Didikan Bermutu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19.  Akhirnya  saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada Yang
Berhormat Encik Anwar dan Jawatankuasa  perayaan  Hari  Guru
kerana  menjemput  saya  ke majlis ini.   Saya berdoa semoga
perayaan Hari Guru ini akan mengeratkan lagi silaturahim dan
hubungan  baik  di  antara  para  guru   dengan   masyarakat
keseluruhannya.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 

 



 
Google