home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 09/06/90 Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI GERAKAN Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan kerana sekali lagi menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan. 2. Parti Gerakan seperti lain-lain parti komponen dalam Barisan Nasional telah turut memberi sumbangan kepada kestabilan dan kekuatan Barisan Nasional. Kerjasama di antara parti-parti komponen Barisan Nasional telah memberi manfaat bukan sahaja kepada kelicinan pentadbiran Kerajaan, tetapi juga kepada rakyat Malaysia keseluruhannya. Dalam hubungan ini, saya yakin Parti Gerakan akan terus memberi sumbangannya demi keutuhan Barisan Nasional dan Kerajaan. 3. Barisan Nasional adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat berbilang kaum Malaysia. Di sinilah terletaknya keistimewaan Barisan Nasional. Dalam hubungan ini dasar-dasar yang digubal oleh Kerajaan Barisan Nasional adalah berteraskan kepada aspirasi serta kepentingan rakyat berbilang kaum di negara kita. Keputusan-keputusan adalah berdasarkan kepada prinsip konsensus. Formula secara ini jelas terbukti mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia. 4. Falsafah perjuangan Barisan Nasional adalah untuk berbakti kepada rakyat. Politik bagi kita dalam Barisan Nasional merupakan satu saluran untuk kita berkhidmat kepada masyarakat. Kita merancang dasar-dasar dan melaksanakan projek-projek demi faedah rakyat keseluruhannya. Dengan itu berbagai-bagai kemajuan telah dicapai di bawah kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyediakan kemudahan-kemudahan asas. Ini jelas terbukti di merata tempat di negara kita. 5. Malahan pertumbuhan ekonomi negara kita diakui oleh masyarakat antarabangsa sebagai salah satu yang terbaik di kalangan negara-negara yang membangun. Kalau dibandingkan dengan kebanyakan negara-negara membangun, taraf hidup rakyat Malaysia adalah jauh lebih tinggi. Kemakmuran serta kestabilan yang kita nikmati selama ini bukanlah terjadi dengan begitu sahaja. Ianya adalah hasil daripada perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar sosio-ekonomi yang baik dan teratur oleh kerajaan Barisan Nasional. Pihak- pihak yang lain hanya berjanji akan membuat itu dan ini, tetapi kita sudahpun membuatnya dan hasilnya adalah nyata. 6. Kita di dalam Barisan nasional tidak menggunakan politik sebagai alat untuk cita-cita atau kepentingan peribadi kita. Politik bagi kita adalah satu cara untuk berbakti kepada rakyat dan negara. Kerana inilah rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional di pilihanraya- pilihanraya yang lalu. Kita yakin rakyat akan terus memberikan sokongan mereka kepada kita kerana rakyat mengetahui bahawa masa depan mereka terjamin di bawah pimpinan Barisan Nasional. 7. Dalam hubungan ini, marilah kita bersama-sama mengukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman yang terdapat di dalam Barisan Nasional. Kita hendaklah terus memelihara keharmonian dan hubungan baik yang terjalin dalam Barisan Nasional supaya kita dapat menghadapi cabaran-cabaran di masa depan. 8. Memang benar, dari semasa ke semasa, mungkin terdapat perbezaan pendapat di antara parti-parti komponen Barisan Nasional. Sebagai sebuah gabungan memanglah menjadi perkara biasa jika terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara- perkara tertentu. Akan tetapi seperti yang telah terbukti, perbezaan pendapat ataupun masalah telah dapat diselesaikan dalam suasana yang harmoni dan dengan cara "non- confrontational". Di sinilah letaknya kekuatan Barisan Nasional. Tidak banyak parti-parti politik yang boleh berbuat demikian. 9. Kejayaan Barisan Nasional telah membuat pihak-pihak tertentu di negara ini cuba meniru kita. Melihat kejayaan sistem Barisan Nasional ini, pihak-pihak ini juga nampaknya sedang berhempas-pulas berusaha untuk menubuhkan gabungan yang mereka harap akan dapat berfungsi seperti Barisan Nasional. Tetapi usaha ini tidak akan berjaya kerana tujuan mereka hanyalah untuk mengabui mata rakyat dan mendapat undi daripada rakyat. Dengan menyatakan bahawa kerjasama selepas pilihanraya akan dirunding sesudah memenangi pilihanraya, terbuktilah niat mereka ini hanyalah untuk memperdayakan para pengundi yang mempunyai pendirian tertentu. 10. Barang tiruan adalah kurang baik daripada barang yang asal. Rakyat hendaklah berjaga-jaga tentang gabungan mereka ini. Gabungan mereka ini bolehlah kita panggil gabungan BT. BT adalah singkatan nama bagi Barisan Tiruan. Barisan Tiruan ini dipelopori oleh semangat yang juga bukan asli tetapi sebenarnya adalah semangat tiruan. Semangat yang sebenarnya ialah kepentingan diri sendiri. 11. Kerjasama antara beberapa pihak memerlukan kejujuran dan keikhlasan. Apakah ada kejujuran atau keikhlasan antara mereka daripada parti-parti pembangkang ini? Apakah ada matlamat yang sama antara mereka? Rakyat tahu bahawa yang satu kononnya hendak mendirikan Negara Islam dan yang satu lagi pula menentang sebarang unsur keIslaman dalam kerajaan atau negara. Pelekat antara dua pihak yang bertentangan haluan ini ialah satu kumpulan orang-orang yang hanya dikuasai oleh kekecewaan. Di sekeliling parti-parti ini pula terdapat banyak parti-parti oportunis termasuk mereka yang menggugurkan ideologi mereka kerana kiblat mereka telahpun menggugurkan ideologi itu. Inilah kumpulan yang cuba menggambarkan diri mereka sebagai BT atau Barisan Tiruan. If I may use English, this is a hodge-podge col- lection of political opportunists sharing a common bed with- out even the formality of a political marriage. They smell of adultery. 12. Turut menyertai kumpulan Barisan Tiruan ini ialah pemimpin-pemimpin tertentu dalam MTUC. Badan ini mendakwa bahawa mereka akan menyokong siapa sahaja yang pro-pekerja. Jika benarlah ini pendirian MTUC, maka mereka harus menggugurkan beberapa pemimpin mereka yang menyokong penarikan GSP Amerika Syarikat dari Malaysia. 13. Pada mulanya AFL-CIO dan ILRERF mendakwa bahawa mereka memperjuangkan nasib pekerja-pekerja di Malaysia. Sekarang dengan kenyataan dan petition yang dibuat oleh beberapa kesatuan sekerja di Amerika Syarikat termasuk International Brotherhood of Electrical Workers, maka adalah jelas niat mereka ialah untuk memelihara kepentingan pekerja-pekerja mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa 30,000 orang pekerja Amerika Syarikat menganggur kerana barang-barang buatan mereka tidak dapat menyaingi barang-barang elektronik dari Malaysia. Maksud mereka ialah barang-barang kita jangan dibenarkan bersaing dengan barang-barang mereka. Jika kita tidak boleh menjual barang-barang kita, maka industri berkenaan terpaksa ditutup dan pekerja-pekerja kita akan menganggur. 14. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dan parti-parti politik pembangkang yang menyokong penarikan balik GSP adalah orang yang mengancam hak pekerja-pekerja di Malaysia walaupun mereka adalah pembela pekerja-pekerja Amerika Syarikat. Ini tidaklah hairan kerana pemimpin-pemimpin tertentu MTUC tidak pernah menolong mewujudkan peluang- peluang pekerjaan bagi pekerja yang menganggur di Malaysia. Tidak ada seorang pun daripada pekerja Malaysia yang mendapat kerja kerana usaha MTUC. Yang berusaha ialah Kerajaan Barisan Nasional dengan menggalakkan pelaburan untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Pemimpin- pemimpin MTUC hanya menunggu penganggur-penganggur mendapat kerja dan kemudian mereka pun sibuk menjadi jaguh kononnya kepada pekerja-pekerja. Tetapi yang mereka utamakan ialah menggunakan kedudukan mereka sebagai pemimpin kesatuan untuk kepentingan politik mereka. 15. Jika MTUC berpendirian menyokong sesiapa yang pro- pekerja, mereka harus menyokong Kerajaan dan Barisan Nasional dan bukan pemimpin-pemimpin mereka yang menjadi ahli parti-parti pembangkang. Akan menganggurlah pekerja- pekerja Malaysia jika pemimpin-pemimpin MTUC dengan parti- parti pembangkang mendapat sokongan mereka. Sokongan kepada pekerja yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin MTUC ialah pekerja-pekerja Amerika Syarikat yang tidak senang hati melihat kejayaan industrialisasi di Malaysia. 16. Inilah parti-parti dan orang-orang yang dipelekatkan oleh Semangat 46 untuk membentuk Barisan Tiruan yang bercita-cita menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional. 17. Saya percaya rakyat Malaysia sedar akan risiko dan implikasi menyokong orang-orang seperti ini yang cuba tidur satu bantal dan bermimpi mimpi yang bertentangan. Apabila mereka terjaga, mereka akan berkelahi dan merebut apa juga harta yang mungkin mereka perolehi. Dengan itu segala kebahagiaan, kesejahteraan, kekayaan, kestabilan dan keharmonian yang ada sekarang akan hancur dan rakyat akan menderita. 18. Barisan Nasional sebagai parti yang bertanggungjawab tidak boleh membenarkan gejala seperti ini menimpa rakyat dan negara. Adalah menjadi tanggungjawab Barisan Nasional untuk mendedahkan pemalsuan yang dibuat oleh Barisan Tiruan ini. Dalam usaha kita untuk mengekalkan Kerajaan Barisan Nasional, matlamatnya bukanlah semata-mata kerana kita ingin terus menjayakan dasar-dasar kita tetapi adalah untuk memelihara dan melindungi rakyat dan negara daripada nasib yang malang yang akan menimpa kita jika cita-cita besar seorang yang ingin mendapat tempat bagi dirinya dilayan. Pada analisa yang terakhir, semua ini berpunca daripada kegagalan seorang sahaja untuk mendapat tempat yang ia idami. 19. Barisan Nasional yang mewarisi Perikatan mempunyai rekod yang tahan diuji dan yang sukar ditandingi. Malaysia sekarang stabil dan makmur, terkenal kepada para pelabur dan para peniaga antarabangsa serta kepada pemimpin-pemimpin dan bangsa-bangsa di seluruh dunia. Hasrat Kerajaan Barisan Nasional ialah untuk mengekalkan kestabilan dan meningkatkan lagi kebahagiaan hidup rakyat. Barisan Nasional percaya bahawa hanya negara yang makmur sahaja yang akan dapat mengagihkan kekayaan negara kepada semua rakyat. Negara yang miskin tidak mempunyai apa-apa untuk diagihkan. 20. Hak asasi manusia dan kebebasan bersuara dijamin oleh Barisan Nasional. Kita boleh meneka apakah jenis kebebasan yang akan dialami oleh rakyat jika parti lawan memerintah. Sementara Kerajaan Barisan Nasional membenarkan begitu banyak akhbar dan majalah mengecam Kerajaan dan melemparkan tuduhan yang tidak berasas terhadap pemimpin-pemimpin Kerajaan, parti-parti lawan sebaliknya sudah menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak suka kepada akhbar yang tidak menyokong mereka. Mereka telah membakar akhbar dan mengugut untuk membinasakan wartawan. Jikalau mereka memerintah sudah tentu New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Melayu akan ditutup dan wartawan dibuang kerja, melainkan jika wartawan-wartawan ini menyokong parti mereka. Akhbar-akhbar yang tertentu yang sanggup menjadi alat mereka sahaja yang akan mendapat kebenaran untuk mencetak jika mereka ini memerintah. 21. Di sebuah negeri di mana mereka berpengaruh melalui pihak tertentu, pegawai-pegawai, penghulu-penghulu dan imam- imam diugut jika tidak mahu menyokong mereka. Pihak tertentu digunakan untuk mempengaruhi pegawai-pegawai Persekutuan dan pensyarah-pensyarah universiti. Demikianlah tekanan terhadap pegawai-pegawai ini sehingga mereka berasa serba salah dan tidak berani menjalankan tugas biasa mereka. Mereka tidak berani dilihat bersama dengan Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan atau anggota-anggota kerajaan Negeri. Jika mereka ternampak mendekati kerajaan atau parti Kerajaan maka tindakan diambil terhadap mereka melalui saluran tertentu. 22. Kita percaya sekiranya parti ini berjaya mengambilalih pemerintahan negeri berkenaan, ramai pegawai akan menderita termasuk juga yang menyokong mereka kerana akan ada fitnah yang akan dilemparkan oleh penyokong-penyokong yang berkepentingan dalam parti itu supaya disingkir pegawai- pegawai tertentu. Pemerintahan secara ini adalah pemerintahan berat sebelah dan akan rosaklah sistem pemerintahan kerana kebebasan pegawai-pegawai tidak akan ada lagi. Urusan kenaikan pangkat dan kenaikan gaji akan ditentukan oleh sistem pilih kasih, dan kuncu-kuncu orang- orang tertentu akan memiliki kuasa bagi menentukan nasib pegawai-pegawai. 23. Rakyat harus fikir dengan mendalam mengenai usaha untuk menggantikan kerajaan yang ada sekarang dengan kerajaan Barisan Tiruan ini. Sebelum pun mereka memerintah mereka sudah tunjuk kuku mereka. Jika mereka berjaya merebut kuasa bukan sahaja pemerintahan kuku besi akan wujud, tetapi juga negara tidak akan tenang. Kucar kacir akan berlaku dan hutang negara akan meningkat di samping kemerosotan ekonomi seperti yang berlaku pada tahun 1983 hingga 1986. Kita tidak harus lupa bahawa kerapkali nasib yang malang yang menimpa sesebuah negara adalah akibat dikuasai oleh orang- orang tertentu seperti Stalin di Russia, Mao Tse Tung di China, dan Ceausescu di Romania. 24. Barisan Nasional dan parti-parti komponennya mempunyai tanggungjawab yang berat. Kita tidak boleh mengutamakan kepentingan orang tertentu atau parti komponen sehingga menjejaskan kredibiliti kita di mata rakyat. Yang utama bagi kita di Barisan Nasional ialah pembangunan negara yang kita semua cintai ini. Untuk pembangunan ini kemenangan bagi Barisan Nasional amatlah penting. Pencapaian negara kita dalam semua bidang hari ini adalah hasil pemerintahan Barisan Nasional. Masih banyak lagi yang perlu dibuat untuk memajukan negara Malaysia. Kita mempunyai banyak idea dan rancangan dan kita tahu cara-cara melaksanakan idea-idea ini untuk kesejahteraan rakyat dan kebaikan negara. Justeru itu tidak ada tempat bagi perbezaan pendapat yang remeh-temeh di antara kita yang mungkin melemahkan kita dan mengecewakan rakyat. 25. Sehubungan dengan ini saya amat gembira dengan kemenangan tanpa bertanding empat orang pemimpin tertinggi Parti Gerakan. Ini membuktikan kedewasaan dan solidariti yang terdapat dalam Parti Gerakan. Rebutan tempat tidak harus dibuat hanya kerana pertandingan dibenarkan, sama seperti kita tidak semestinya berbelanja hanya kerana kita ada duit dan bebas untuk berbelanja. Solidariti dalam Parti Gerakan mempunyai alamat yang amat baik bagi Barisan Nasional dalam pilihanraya yang akan datang. Bersama-sama dengan lain-lain parti komponen, kita akan rapatkan barisan untuk meneruskan usaha-usaha kita menjadikan Malaysia negara yang aman, makmur dan mulia. 26. Saya ucapkan selamat bersidang kepada Persidangan Perwakilan Parti Gerakan tahun 1990 ini dan saya percaya ia akan mencapai matlamatnya. 27. Dengan ini saya dengan segala sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan tahun 1990 ini. |