home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PADANG MAJLIS BANDARAYA IPOH 
Tarikh/Date 	: 	24/06/90 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PELANCARAN PROGRAM BERSIH 
			DAN INDAH PERINGKAT KEBANGSAAN 




      Saya  mengucapkan   terima kasih kepada pihak Penganjur
Program Bersih  dan  Indah  kerana  menjemput  saya  berucap
merasmikan  pelancaran Program Bersih dan Indah bagi seluruh
Pihakberkuasa Tempatan di  Malaysia.    Saya  mengalu-alukan
penyertaan    semua    pihak   termasuklah   pihak   swasta,
kementerian-kementerian,    jabatan-jabatan,     badan-badan
sukarela dan seluruh lapisan masyarakat dalam program ini.
2.   Program  Bersih  dan Indah bertujuan untuk meningkatkan
mutu  dan  kualiti  hidup  kita   melalui   kebersihan   dan
pengindahan  alam  sekitar.    Kali  ini,  sebagai permulaan
sahaja, tumpuan diberi kepada Pihakberkuasa Tempatan.   Pro-
gram  ini  akan  dibuat  secara menyeluruh selama lima tahun
berturut-turut.   Ini adalah difikirkan  perlu  memandangkan
kurang   berkesannya  kempen-kempen  kebersihan  yang  telah
dilaksanakan  sebelum  ini.     Kementerian  Perumahan   dan
Kerajaan  Tempatan telah diberi tanggungjawab untuk merangka
program  lima  tahun  ini  supaya   lebih   berkesan   lagi.
Pelaksanaan   Program   Bersih   dan  Indah  dijangka  dapat
mengatasi  kelemahan-kelemahan   usaha-usaha   yang   dibuat
sebelum  ini.    Saya  berharap  program  ini yang dirancang
dengan begitu teliti dan  komprehensif  akan  membawa  kesan
yang lebih mendalam dan berpanjangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Kita  memang  sedar bahawa negara kita sedikit sebanyak
telah mencapai  peningkatan  daripada  segi  kebersihan  dan
keindahan.    Tetapi  tahapnya  masih  di  paras  yang boleh
diperbaiki lagi.  Kita masih melihat  kekotoran  dan  sampah
sarap  di  merata-rata tempat.  Kadang-kadang ini disebabkan
kurangnya  usaha  dan  penyeliaan  oleh   pihak-pihak   yang
bertanggungjawab,  dan  kerap  juga  keadaan  yang hodoh ini
disebabkan  oleh   kurangnya   minat   orang   ramai   untuk
mengurangkan  perbuatan  mengotor dan mencemarkan kebersihan
dan keindahan alam sekitar.
4.   Tema 'Rakyat Bersih  Negara  Sihat'  menekankan  bahawa
untuk  memastikan  negara  indah  dan sihat, rakyat mestilah
terlebih  dahulu  menyanjung   tinggi   kebersihan   sebagai
sebahagian   yang   penting  dalam  amalan  kehidupan  kita.
Kebersihan hendaklah dijadikan  sebahagian  daripada  budaya
bangsa,  budaya  yang  bukan sahaja diperkatakan tetapi juga
diamalkan dalam kehidupan  harian.    Sebenarnya  tidak  ada
jentera  atau  pentadbiran  yang  boleh membersihkan keadaan
sekeliling  jika  rakyat  mengotorkannya   sepanjang   masa.
Walaupun diadakan pasukan pembersih yang amat besar, keadaan
kotor   akan   terus   ada   jika  kita  selalu  mengotorkan
persekitaran  kita.    Kebersihan  alam  sekeliling   banyak
bergantung   kepada   setakat   mana   orang  ramai  sanggup
mengurangkan perbuatan yang mengotorkan sekeliling kita.
5.   Kita boleh mengadakan undang-undang demi  undang-undang
dan  juga  berbagai-bagai jenis hukuman.   Tetapi kita tidak
mungkin mengadakan jentera yang cukup untuk mengawasi  tiap-
tiap  seorang  di  mana  juga  ia berada untuk menentukan ia
didakwa dan dihukum  apabila  sahaja  ia  melanggar  undang-
undang  kebersihan.  Tidak akan ada mahkamah yang cukup atau
masa yang cukup jika kita hendak bergantung  kepada  undang-
undang untuk menentukan keadaan sekeliling kita bersih.
6.   Hanya  yang  boleh menjamin kebersihan ialah sikap kita
terhadapnya.    Jika  kebersihan  sudah  menjadi  sebahagian
daripada  budaya  kita  iaitu satu tabiat yang ada pada tiap
seorang daripada kita, jika kita  pandang  serong  dan  keji
akan  amalan  yang  tidak bersih, maka tanpa apa-apa jentera
penguatkuasa keadaan alam sekeliling  akan  menjadi  bersih.
Di  samping  itu,  kita akan menyelamatkan puluhan juta wang
negara yang boleh kita  gunakan  untuk  lain-lain  rancangan
bagi manfaat kita semua.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Kebersihan   dan   keindahan   juga  mempunyai  dimensi
ekonomi.    Ia  bukan  sahaja   boleh   mewujudkan   peluang
perniagaan  tetapi juga peluang pekerjaan yang banyak kepada
negara dan rakyat.  Sampah sarap yang  kita  buang  sebanyak
0.7  kilo  seorang  sehari,  ataupun  10,500 tan sehari bagi
seluruh Malaysia, boleh melahirkan satu industri  penggunaan
semula atau 'recycling industry' yang menguntungkan.  Adalah
dianggarkan  barang-barang yang dibuang seperti logam, kaca,
kertas dan lain-lain lagi sekiranya diproses  dan  digunakan
semula  akan  dapat  melahirkan  peluang perniagaan sebanyak
lebih daripada satu billion ringgit setiap  tahun.    Selain
daripada  itu ia boleh mengurangkan kos berbagai-bagai jenis
barang melalui pemerosesan semula atau recycling.
8.   Salah satu daripada aktiviti Program Bersih  dan  Indah
ini  melibatkan  kempen  nasional mengenai penggunaan semula
barang-barang logam yang terbuang seperti  kereta  terbuang,
botol,  barang-barang  aluminium dan sebagainya.  Kempen ini
memerlukan orang ramai  menjual  kereta-kereta  dan  barang-
barang  besi  yang  terbiar  kepada  kilang-kilang besi waja
seperti Syarikat Perwaja di Terengganu.    Sekiranya  kempen
ini  berjaya,  ianya  sudah  pasti akan dapat membantu bukan
sahaja Syarikat Perwaja dalam mendapatkan bahan mentah  besi
yang  mencukupi  tetapi juga dapat menjimatkan beratus-ratus
juta ringgit matawang asing untuk  membeli  scrap-iron  dari
luar,   di   samping   mewujudkan   peluang  perniagaan  dan
pendapatan kepada rakyat.   Perkara  yang  sama  juga  boleh
dibuat dengan bahan yang terbuang seperti kayu-kayan, botol-
botol,  kertas-kertas  kad-board  dan  lain-lain  lagi  yang
kesemuanya boleh digunakan semula.  Dalam keadaan  tertentu,
sampah    boleh    digunakan    sebagai    bahanapi    untuk
menjanakuasakan elektrik.
9.   Satu  amalan  yang  perlu  dipupuk  ialah  suri   rumah
mengasingkan bahan-bahan yang boleh diproses semula daripada
lain-lain  sampah,  dan  memasukkannya  ke dalam beg plastik
yang berasingan.  Di negara-negara maju kutipan sampah tidak
akan dibuat jika pengasingan seperti ini tidak dilakukan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10.  Pelaksanaan Program Bersih dan  Indah  ini  juga  boleh
mempertingkatkan   permintaan   kepada   barang-barang  yang
dikeluarkan  oleh  kilang-kilang   yang   berkaitan   dengan
industri  kebersihan  dan  keindahan  seperti  kilang-kilang
membuat karung plastik, tong  sampah,  mesin-mesin  pemotong
rumput,  jentera-jentera lori pembersih sampah di pantai dan
kilang-kilang rawatan sisa-sisa pepejal.  Dengan  permintaan
yang   bertambah,   kilang-kilang  berkenaan  akan  berupaya
mempertingkatkan pengeluaran  masing-masing.    Kesemua  ini
akan  menambah  peluang-peluang  perniagaan,  pekerjaan  dan
pendapatan rakyat Malaysia di samping  menurunkan  kos  sara
hidup secara am.
11.  Kebersihan  dan  keindahan boleh memberi sumbangan yang
besar kepada pertumbuhan industri pelancongan  di  Malaysia.
Negara  kita  yang lebih bersih dan indah akan dapat menarik
lebih  ramai  pelancong,  terutamanya  pelancong  dari  luar
negeri.   Kedatangan pelancong dengan ramai sudah pasti akan
meningkatkan  pendapatan  rakyat  kita  yang  berada   dalam
industri  pelancongan,  dan  menambahkan pengaliran matawang
asing ke dalam negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Sukacita saya menyatakan bahawa Bandaraya Kuala  Lumpur
telah   menjadi  bandar  yang  paling  bersih  di  Malaysia.
Apabila berada di  Bandaraya  Kuala  Lumpur  sekarang,  kita
merasakan  ada  satu  kelainan  daripada segi kebersihan dan
keindahan jika dibandingkan dengan  keadaan  beberapa  tahun
dahulu.    Pencapaian cemerlang pihak Bandaraya Kuala Lumpur
daripada segi kebersihan dan keindahan sepatutnya  dicontohi
oleh   pihak   berkuasa   tempatan  yang  lain  dalam  usaha
meningkatkan kebersihan dan  keindahan  di  kawasan  masing-
masing.  Rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Kuala Lumpur,
sekarang  berbangga  dengan ibukota negara.  Keadaan seperti
ini sepatutnya juga wujud  di  semua  bandar  lain.    Pihak
penguasa   tempatan   hendaklah  berusaha  supaya  penduduk-
penduduk boleh berbangga dengan bandar-bandar di mana mereka
tinggal.
13.  Saya percaya dengan  adanya  penglibatan  semua  pihak,
segala usaha yang telah kita lakukan untuk menjadikan negara
kita  sebagai  pusat  pelancongan yang terkenal akan menjadi
kenyataan dalam  masa  yang  singkat.    Kita  telah  banyak
berbelanja  untuk  mengiklankan  negara  kita di luar negeri
untuk  menarik  para  pelancong.    Kita  tidak  mahu   pula
pelancong-pelancong  yang datang ini merasai bahawa Malaysia
hanyalah merupakan sebuah negara yang indah khabar  daripada
rupa.    Sekiranya  iklan-iklan  kita mengatakan yang negara
kita adalah sebuah negara yang bersih dan indah, maka itulah
gambaran yang  perlu  kita  semua  perlihatkan  kepada  para
tetamu luar negeri semasa mereka berada di Malaysia.
14.  Daripada  segi  kesihatan  pula,  umum  mengetahui akan
peranan kebersihan dalam mencegah merebaknya  berbagai-bagai
jenis  penyakit.   Lalat dan nyamuk yang menjadi vector bagi
penyakit-penyakit yang boleh membawa  maut,  membiak  dengan
mudah dalam sampah sarap dan tin-tin kosong yang berisi air.
Berbagai-bagai  jenis  kuman  muncul dan kembang subur dalam
sampah yang reput dan busuk.
15.  Tentulah jelas daripada apa yang  telah  saya  sebutkan
bahawa  kebersihan membawa banyak manfaat kepada kita semua.
Kehidupan kita bukan sahaja menjadi  lebih  selesa  daripada
segi  pemandangan  dan  iklim  yang nyaman, tetapi juga kita
akan menjadi manusia yang lebih sihat.  Seseorang yang sihat
mempunyai kemampuan berdayamaju lebih  daripada  yang  letih
dan  yang  selalu  diganggu  oleh  bermacam-macam  penyakit.
Pendekata, persekitaran yang bersih  membawa  kejayaan  yang
lebih tinggi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16.  Memang  tidak dapat dinafikan bahawa walaupun berbagai-
bagai kempen telah diadakan oleh kerajaan  berkaitan  dengan
kebersihan  dan  keindahan, masih terdapat ramai lagi rakyat
Malaysia yang  tidak  mengambil  berat  perkara  ini.    Ini
mungkin  kerana  terdapat  segolongan  rakyat yang mempunyai
tabiat tidak mempedulikan kebersihan dan keindahan.    Kalau
sukapun,  ada pula mereka yang menggunakan 'double-standard'
-- mementingkan kebersihan  dan  keindahan  di  dalam  rumah
masing-masing  tetapi  di luar rumah, mereka tidak mengambil
berat tentang kebersihan dan membuang  sampah  di  mana-mana
mereka suka.  Tabiat ini perlu dikikis dan dibendung mungkin
melalui  program-program  yang bercorak didikan yang memberi
kesedaran kepada mereka.
17.  Ada  kalanya  kerajaan  terpaksa   mengambil   tindakan
undang-undang  untuk  mendisiplinkan  rakyat  supaya menjadi
bersih dan sihat.  Mungkin sudah sampai  masanya  bagi  kita
memperkenalkan  satu undang-undang anti kekotoran yang baru.
Mungkin di bawah undang-undang ini, sesiapa  yang  melakukan
kekotoran  akan  didenda dan dihukum menjalankan kerja-kerja
membersihkan kawasan-kawasan yang mereka kotori.   Cara  ini
bukan  sahaja  memberi  pengajaran kepada orang ramai tetapi
juga  akan  dapat  mengubah  sikap  mereka  secara  positif.
Tindakan  ini bukanlah satu tindakan yang agak melulu kerana
di negara-negara maju sekalipun, undang-undang  seperti  ini
telahpun dilaksanakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18.  Saya  sekali  lagi  ingin  menekankan  akan  pentingnya
kebersihan  menjadi  sebahagian   daripada   budaya   bangsa
Malaysia.    Untuk  mencapai tujuan ini, didikan dan semaian
nilai yang baik berkenaan dengan  kebersihan  dan  keindahan
perlu  dibuat  oleh  ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah
dan  ketua-ketua  di  tempat  kerja.    Didikan  dan  asuhan
hendaklah  dibuat  sepanjang  masa  sehingga rakyat Malaysia
memandang jijik sebarang kekotoran dan amalan yang kotor.
19.  Apabila kebersihan  sudah  menjadi  darah  daging  atau
sebati dengan kita rakyat Malaysia, apabila kita tidak boleh
'tolerate' bau busuk dan kekotoran, apabila kita berasa malu
jika kita kotor dan mengotorkan alam sekeliling, maka dengan
sendirinya  kekotoran  akan berkurangan dan pencemaran tidak
lagi akan menjadi masalah  serta  beban  yang  berat  kepada
masyarakat.
20.  Justeru   itu,   tumpuan   hendaklah  diberikan  kepada
penyemaian  sikap  yang  bersih  di  kalangan  kita  melalui
didikan  dan teladan.   Tiap seorang daripada kita, terutama
apabila kita mengetuai sesuatu kumpulan, kecil  atau  besar,
harus  menunjukkan  teladan  yang baik sepanjang masa.  Jika
kita sendiri tidak kotor dan tidak pula mengotorkan,  insya-
Allah  anak-anak  buah  kita  akan mengikuti amalan kita dan
akan menjunjung tinggi kebersihan serta segala  amalan  yang
menjaga kebersihan sekeliling kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21.  Sekali  lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur  kerana  menjemput  saya  ke  majlis  ini.    Saya
berharap  Program  Bersih  dan  Indah yang akan dilaksanakan
selama lima tahun berturut-turut ini akan disambut baik oleh
rakyat dan mencapai matlamatnya.
22.  Dengan  ini,  saya  dengan   rasminya   mengisytiharkan
pelancaran  Program  Bersih  dan  Indah Peringkat Kebangsaan
ini.
     Wabillahi    taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google