home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 28/07/90 Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ling Liong Sik, Presiden MCA; Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA; Para Perwakilan MCA; Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA kerana menjemput saya sekali lagi merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini. Saya berharap Perhimpunan ini akan merapatkan lagi hubungan bukan sahaja antara ahli-ahli parti MCA, bahkan antara MCA dengan parti-parti komponen Barisan yang lain yang turut menghantar wakil masing-masing hari ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Barisan Nasional sekarang hampir menamatkan tahun keempat pemerintahannya selepas diberi mandat pada bulan Ogos 1986. Pendek kata, pada bila-bila masa dalam tempoh kira-kira setahun akan datang ini kita akan menghadapi pilihanraya umum. Dalam pilihanraya umum, kekuatan BN adalah berasaskan kepada kekuatan parti-parti komponen. Oleh itu adalah penting parti-parti komponen Barisan Nasional mengemaskan parti masing-masing. 3. Adakalanya terdapat satu-dua parti komponen yang menghadapi sedikit sebanyak masalah dalaman. Walaupun parti ini mungkin kecil, tetapi kita tidak boleh memperkecilkan kesan masalah dalaman parti-parti komponen. Justeru itu, segala usaha hendaklah dibuat untuk menyelesaikan sebarang masalah dalaman parti komponen Barisan Nasional. Di masa yang sama parti-parti komponen Barisan Nasional hendaklah merapatkan lagi barisan supaya salah faham dapat dikurangkan dan kerjasama erat dikekalkan. Insya-Allah, God willing, Barisan Nasional akan mendapat kejayaan yang cemerlang dalam pilihanraya akan datang. 4. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan MCA, terutama Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik dan Datuk Lee Kim Sai, kerana berjaya menyelesaikan masalah kepimpinan parti baru-baru ini. Penyelesaian ini menjamin kekukuhan MCA. Saya percaya majoriti ahli MCA dan penyokong-penyokong parti mengalu- alukan penyelesaian itu. Kita harus mengutamakan kekukuhan parti daripada kedudukan mana-mana personaliti. Janganlah kita menang sorak tetapi kalah sabung; janganlah kita membuang tenaga untuk memenangi pemilihan dalam parti tetapi parti tewas di dalam pilihanraya. Saya berharap semangat ini akan diteladani oleh parti-parti lain dalam Barisan Nasional. 5. Saya berharap selepas pemilihan ini ahli-ahli MCA akan memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang menang. Inilah asas demokrasi yang bukan sahaja harus disemaikan di kalangan ahli-ahli MCA bahkan juga di kalangan semua ahli parti-parti komponen. Para pemimpin dan penyokong pihak yang kalah harus memberi sokongan bulat kepada pemimpin yang menang supaya perpaduan dan kekesanan tetap dijaga. Peribahasa Cina ada menyatakan bahawa 'orang tua kehilangan kudanya, entah akan membawa tuah' -- apabila seseorang itu mengalami kegagalan, janganlah berputus asa oleh kerana kegagalan itu mungkin membawa tuah atau sesuatu yang baik pada masa hadapan. Saya berharap para pemimpin dan ahli- ahli MCA akan terus memberi sokongan penuh kepada para pemimpin yang menang supaya kekukuhan parti tidak tergugat. Janganlah bertindak secara negatif dengan memburukkan pihak yang menang sehingga parti menjadi lemah kerana berbelah bahagi atau divided dan diserang oleh soal kredibiliti sepanjang masa. 6. Menyentuh tentang konsep muafakat dan kerjasama dalam Barisan Nasional pula, kita bernasib baik kerana para pemimpin parti kita semenjak dahulu lagi telah menyusun konsep sepakat ini, bermula dengan Perikatan dan kemudiannya ditingkatkan kepada Barisan Nasional. Susunan ini dibuat mengikut kejujuran setiap parti komponen yang mempunyai asas-asas perjuangan yang selari dan harmoni. Sebab itulah muafakat dalam Perikatan dan Barisan Nasional berjalan lancar dan mampu bukan sahaja untuk mentadbirkan negara, bahkan juga mampu menangkis sebarang muslihat parti-parti pembangkang. 7. Konsep muafakat dan kerjasama dalam Barisan Nasional jelas tergambar apabila kita menghadapi beberapa pilihanraya umum dan pilihanraya kecil sehinggakan ianya membawa kejayaan satu demi satu. Kejayaan kita di pilihanraya- pilihanraya yang lalu, terutamanya dalam beberapa pilihanraya kecil dua-tiga tahun kebelakangan ini, membuktikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional adalah kuat dan muafakat dalam Barisan Nasional adalah kukuh. 8. Dalam Barisan Nasional, kita semua harus mengakui bahawa kita pun sekali-sekala menghadapi halangan untuk bermuafakat. Walau bagaimanapun, dengan wujudnya semangat ingin bekerjasama dan keikhlasan, dan dengan mementingkan kepentingan negara dan majoriti rakyat, halangan-halangan itu dapat diatasi. Apa yang penting ialah kita dalam BN dapat bekerjasama menghadapi kebanyakan isu atau masalah. Apa-apa rintangan merupakan perkara yang sementara, yang temporary, yang akhirnya dapat kita selesaikan dengan cara yang tidak merugikan negara dan tidak membawa perpecahan di kalangan masyarakat Malaysia. 9. Kejayaan muafakat Barisan Nasional membuatkan parti- parti pembangkang terkocoh-kocoh untuk menirunya. Tetapi muafakat dalam BN ada asasnya. Kita adalah parti-parti yang bersikap sederhana, yang memahami bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia tidak mungkin mana-mana kaum mendapat semua yang dituntut oleh mereka. Setiap kaum mesti mengambilkira kepentingan kaum lain. Mereka yang tidak menerima sikap sederhana dan toleransi ini tidak seharusnya berada dalam Barisan Nasional. Parti lawan menjadi parti lawan kerana mereka tidak sanggup bertolak ansur, bersikap toleran dan sederhana. 10. PAS tidak ada dalam Barisan Nasional kerana mereka begitu ekstrim sehingga menganggap kerjasama dengan orang bukan Islam akan menjadikan mereka bukan Islam atau kafir. Sebaliknya DAP tidak langsung mahu menerima kedudukan orang Melayu dan lain-lain bumiputera dan sebarang unsur Islam dalam negara. Dengan itu, mereka juga tidak boleh masuk Barisan Nasional. Tetapi sekarang ini PAS dan DAP dengan perjuangan yang bertentangan ini mengadakan kerjasama hanya kerana mahu menang pilihanraya. Tujuan mereka ialah untuk memperdayakan pengundi kerana mereka tidak mungkin meneruskan kerjasama selepas pilihanraya tanpa membelakangkan perjuangan mereka masing-masing. Jika mereka membelakangkan perjuangan mereka, maka ahli-ahli dan penyokong-penyokong mereka pula akan tertipu. Pemimpin- pemimpin PAS dan DAP sudahpun memberitahu ahli masing-masing bahawa kerjasama mereka adalah satu helah untuk mendapat undi penyokong-penyokong rakan mereka sahaja. Sebenarnya kata pemimpin mereka kepada penyokong mereka, mereka tidak berganjak daripada perjuangan masing-masing. Dengan mengamalkan "double-face" ini, jelaslah pakatan mereka adalah pakatan sementara yang cetek yang tidak mampu menghasilkan sebuah Kerajaan yang kukuh untuk menggantikan Kerajaan Barisan Nasional. 11. Jika mereka mendirikan kerajaan campuran, ianya tidak akan stabil dan negara akan menghadapi keadaan kucar-kacir. Perniagaan dan perusahaan tidak akan dapat berkembang maju dan keselamatan rakyat tidak boleh dijamin. Zaman yang gelap akan menimpa negara ini kerana pertelingkahan antara parti-parti Barisan Tiruan ini dan rebutan tempat yang akan berlaku. Amat malanglah nasib negara kita ini jika pengundi tertipu oleh strategi yang dicipta oleh Parti Semangat 46 untuk membentuk Barisan Tiruan dalam mana parti yang kecil ini dapat "ride to power on the backs of PAS and DAP". Hakikat ini diakui oleh pemimpin 46 kepada penyokong- penyokong kuat mereka untuk meyakinkan penyokong-penyokong yang terdiri daripada bekas ahli UMNO bahawa kerjasama mereka dengan PAS dan DAP hanyalah untuk memenangi pilihanraya dan mereka tidak akan menerima negara Islam PAS atau Malaysian Malaysia DAP. 12. Daripada penipuan-penipuan secara besar-besaran yang dibuat oleh parti-parti yang bercita-cita untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional, adalah nyata bahawa Barisan Tiruan anjuran Tengku Razaleigh bukanlah alternatif kepada Barisan Nasional. Kononnya gabungan mereka akan mewujudkan sistem dua parti di Malaysia, iaitu Barisan Nasional dan Barisan Tiruan. Ini adalah satu lagi strategi untuk mengabui mata rakyat yang idealistik supaya tercapai cita-cita besar seorang yang kecewa. 13. Adalah menjadi tanggungjawab anggota-anggota Barisan Nasional mendedahkan penipuan-penipuan ini. Rakyat Malaysia mesti diberitahu tentang rancangan tipu helah ini supaya mereka dapat menyelamatkan diri mereka. 14. Sekarang negara kita aman dan maju. Dengan kestabilan yang dihasilkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan kerjasama parti-parti dalam Barisan Nasional, rakyat daripada semua kaum, sama ada di bandar atau di luar bandar, telah mendapat nikmat daripada kemajuan dan pembangunan. 15. Hari ini ekonomi negara mencapai pertumbuhan yang pesat. Dalam tiga bulan pertama tahun 1990, pertumbuhan adalah luar biasa, iaitu 10.4%. Ini bermakna peluang- peluang pekerjaan sudah bertambah. Kilang-kilang mengiklankan jawatan-jawatan setiap hari. Calon-calon tidak perlu menulis surat permohonan. "Walk-in interviews" diadakan untuk bermacam-macam jenis kerja. Perniagaan kecil dan besar bertambah dengan pesatnya. Keuntungan syarikat- syarikat berlipat ganda. Pembelian barang-barang adalah laris kerana para pengguna mempunyai wang untuk berbelanja. Peningkatan KDNK atau GNP bukan satu angka statistik tetapi adalah sesuatu yang mempunyai kesan kepada setiap orang rakyat Malaysia di mana juga mereka berada. 16. Pertumbuhan ekonomi yang pesat ini adalah hasil pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Tidak banyak negara dapat mengatasi kemelesetan ekonomi seperti Malaysia. Demi kepentingan rakyat dan negara, kita perlu menentukan Barisan Nasional terus berjaya dan kekal sebagai Kerajaan. Parti- parti dalam Barisan Nasional mestilah bersikap bertanggungjawab. Kita tidak boleh membenarkan masalah menimpa parti-parti kita, terutama masalah yang boleh memecah-belah dan mengurangkan kekesanan atau effectiveness kita. Jika ada masalah, ianya hendaklah diselesaikan secara rundingan dengan fikiran terbuka. Setelah selesai, semua pihak hendaklah merapatkan balik barisan dan meneruskan usaha menjayakan parti sendiri dan Barisan Nasional. Tolak- ansur, seperti yang dibuat oleh MCA baru-baru ini, hendaklah dijadikan teladan dan contoh untuk semua parti komponen Barisan Nasional. 17. Selain daripada itu, kerjasama yang erat hendaklah diadakan antara parti-parti komponen Barisan Nasional terutamanya dalam pilihanraya akan datang. Kita sedar sementara kita semua setia kepada konsep Barisan Nasional, ada juga perselisihan pendapat di antara parti-parti komponen Barisan Nasional. Oleh kerana perselisihan ini, kadang-kadang penyokong-penyokong sebuah parti komponen tidak sanggup menyokong calon daripada parti komponen tertentu. Mereka ini tidak menganggap calon itu sebagai calon BN tetapi sebagai calon parti tertentu dan mereka berusaha untuk mengalahkannya. Kadang-kadang calon bebas ditaja untuk mengalahkan calon BN daripada parti yang tidak digemari. 18. Perbuatan ini amat bahaya kerana jika kita berbuat demikian kepada parti komponen lain, parti itu pula akan membuat tindakan yang sama kepada calon daripada parti kita di kawasan lain. Dengan itu kedua-dua pihak mungkin gagal dan Barisan Nasional akan kalah. Oleh itu kita mestilah ikhlas dan jujur menyokong parti Barisan Nasional dalam pilihanraya. Penipuan oleh satu pihak hanya akan menghasilkan penipuan oleh pihak yang lain. Akhirnya semua pihak akan rugi. Tuan-tuan dan puan-puan, 19. Dalam Perhimpunan Agung MCA hari ini pemimpin-pemimpin akan dipilih bagi memimpin MCA untuk masa depan dan semasa pilihanraya yang akan datang. Saya tidak ingin campurtangan dalam hal dalaman MCA. Tidak seperti Parti DAP yang pemimpinnya tidak boleh ditukar, Parti MCA sebagai parti demokratik boleh dan biasa menukar kepimpinannya. Penukaran pemimpin boleh dibuat tetapi setelah penukaran dibuat, adalah amat penting pihak yang gagal menerima keputusan secara demokratik dan merapatkan barisan di belakang yang menang. Ini sahaja nasihat yang ingin saya berikan, bukan sahaja kepada MCA tetapi juga kepada UMNO dan parti-parti komponen lain Barisan Nasional. 20. Saya berharap Perhimpunan Agung MCA ini akan berjalan dengan baik dan akan mengekalkan MCA sebagai parti yang gagah dan berkemampuan di masa depan. 21. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MCA tahun 1990 ini. |