home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BUKIT GENTING 
Tarikh/Date 	: 	11/08/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-25 
			KUMPULAN GENTING 




 Yang Berbahagia Tan Sri Lim Goh Tong,
     Pengerusi Kumpulan Genting Berhad;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  mengucapkan  terima  kasih kepada Yang Berbahagia
Tan Sri Lim Goh Tong yang menjemput  saya  ke  majlis  makan
malam   ulangtahun   ke-25  Kumpulan  Genting  ini.    Pusat
Peranginan Bukit  Genting  ini  bermula  dengan  daya  usaha
seorang  usahawan yang gigih dan berkeyakinan.  Beliau telah
menempoh berbagai-bagai rintangan dan halangan sebelum cita-
cita beliau untuk membina sebuah pusat peranginan yang besar
di atas banjaran Titiwangsa ini tercapai.   Dengan itu  saya
mengucapkan  tahniah  kepada  Tan  Sri  Lim  Goh  Tong  atas
kejayaan beliau membina pusat peranginan Bukit Genting ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2.   Negara kita  telahpun  mempunyai  beberapa  buah  pusat
peranginan   pergunungan   atau   highland   resorts.     Di
Semenanjung sahaja, di samping pusat peranginan Bukit  Gent-
ing  ini,  terdapat  juga pusat-pusat peranginan pergunungan
seperti Bukit Fraser, Cameron Highlands dan Bukit Larut atau
Maxwell Hill.
3.   Pusat-pusat peranginan yang dingin di  banjaran  gunung
semakin popular kepada penduduk-penduduk tempatan.  Kerajaan
berpendapat  dengan adanya kemudahan-kemudahan jalanraya dan
pengangkutan  yang  baik,  pusat-pusat  seperti   ini   akan
bertambah  maju  dan  semakin  terkenal.    Bagi mereka yang
berupaya, mereka mungkin  dapat  ke  negara-negara  beriklim
dingin  untuk  melancong.   Bagi kebanyakan rakyat Malaysia,
bahkan bagi mereka yang berupaya pun, pusat-pusat peranginan
di kawasan pergunungan semestinya dapat menarik minat mereka
untuk melancong dan untuk  menikmati  cuaca  dingin  sekali-
sekala.     Ini  akan  juga  memenuhi  objektif  kita  untuk
menggalakkan pelancongan dalam negeri.
4.   Dengan itu, banjaran pergunungan di  negara  kita  akan
dimajukan    lagi    dan    kerajaan    sudahpun   mempunyai
perancangannya.    Kerajaan  sedang   mengkaji   kemungkinan
membina   jalanraya   yang   melintasi   beberapa   bahagian
pergunungan  kita  termasuklah   menghubungkan   pusat-pusat
peranginan  yang sedia wujud.  Pembinaan ini akan dijalankan
secara penswastaan setelah didapati kawasan-kawasan tersebut
mempunyai potensi untuk menjadi pusat  peranginan.    Kerja-
kerja awal untuk membuat kajian sedang dijalankan.
5.   Pembinaan   jalanraya   di   banjaran  pergunungan  ini
mempunyai beberapa manfaat kepada ekonomi negara.   Beberapa
pusat  peranginan  mungkin  dapat  dibina  bagi meningkatkan
pertumbuhan industri pelancongan di negara kita.    Penduduk
tempatan  pun  mungkin sekali-sekala ingin berehat di pusat-
pusat peranginan di banjaran gunung.
6.   Di   samping   membina   pusat-pusat   peranginan   dan
pelancongan,  kerajaan  juga berharap tanah-tanah di kawasan
pergunungan ini akan dimajukan, terutama sekali untuk jenis-
jenis pertanian yang tidak akan  mencemarkan  alam  sekitar.
Sudah  pasti  terdapat  tanaman  yang  memerlukan cuaca yang
dingin dan kawasan-kawasan di pergunungan akan lebih  sesuai
untuk   tujuan  ini.     Beberapa  jenis  buah-buahan  iklim
sederhana akan ditanam secara percubaan  di  kawasan-kawasan
pergunungan ini.
7.   Saya  ingin  menekankan  sekali  lagi  bahawa  cadangan
pembinaan jalanraya  pergunungan  ini  adalah  di  peringkat
kajian   dan   sekiranya   didapati  ekonomikal  dan  wajar,
perlaksanaannya adalah di bawah skim penswastaan.   Kerajaan
masih  memerlukan wang yang banyak untuk memajukan berbagai-
bagai  projek  lain,  terutama  bagi  kawasan-kawasan   luar
bandar,  pembinaan  infrastruktur  yang  lebih  penting  dan
kawasan-kawasan lain yang kurang  maju.    Penswastaan  bagi
projek-projek  seperti  jalanraya  pergunungan ini akan juga
meningkatkan peranan pihak swasta dalam pembangunan  ekonomi
negara.    Insentif  khas akan diberikan kepada pihak swasta
yang   membina   jalanraya   pergunungan   ini   supaya   ia
berdayamaju.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
8.   Firma-firma  perniagaan  di  negara  kita tumbuh dengan
baiknya dua tiga tahun yang lalu.    Firma-firma  besar  pun
turut  menempa  pertumbuhan yang baik.  Wujudnya firma-firma
besar di negara kita  ini  akan  melipatgandakan  pembayaran
cukai   kepada  kerajaan.    Kerajaan  baru-baru  ini  telah
mengenal-pasti  beberapa  buah  syarikat  besar  yang  telah
membayar  cukai yang tinggi kepada kerajaan.  Kumpulan Gent-
ing ini merupakan salah  satu  daripada  syarikat  tersebut.
Syarikat-syarikat  ini  akan  menerima  hadiah  khas sempena
sambutan Hari Kebangsaan tidak berapa lama lagi.
9.   Pembayaran  cukai  yang  tinggi  merupakan  salah  satu
rasional   bagi  kerajaan  melancarkan  dasar  Persyarikatan
Malaysia beberapa tahun yang lalu.   Pihak awam  dan  swasta
haruslah   bekerjasama   untuk   objektif  yang  sama  iaitu
memajukan negara dan meningkatkan kebajikan penduduk  negara
ini.    Pihak  awam  harus membantu sektor swasta untuk maju
supaya sektor swasta yang maju  pula  dapat  membayar  cukai
yang   lebih   tinggi   kepada  kerajaan.     Kerajaan  akan
menggunakan pendapatan daripada hasil yang  meningkat  untuk
membayar gaji dan elaun yang meningkat, melaksanakan projek-
projek  pembangunan  dan  membina infrastruktur untuk faedah
rakyat semua.  Jika bidang swasta adalah kecil, sering  rugi
dan  menjadi  muflis,  Kerajaan  bukan  sahaja  tidak  dapat
membangunkan  negara  tetapi  mungkin  sukar  membayar  gaji
kakitangan  Kerajaan.  Perkara seperti ini sering berlaku di
di negara-negara lain dan boleh  berlaku  dalam  negara  ini
jika  kita  tidak  mengerti  akan  hubungkait  swasta dengan
Kerajaan.
10.  Di   samping   itu   syarikat-syarikat   besar    telah
membuktikan  bahawa  mereka  sedia  memberi  sumbangan serta
derma bakti untuk projek-projek sosial  dan  kebajikan  yang
memberi  manfaat  kepada  masyarakat  sekeliling.   Kerajaan
sedar bahawa kita semua dan rakyat jelata memberi  sumbangan
masing-masing  setakat  yang  terdaya  untuk sebarang projek
sosial  dan  kebajikan  yang  dijalankan  oleh   badan-badan
kebajikan  dan sukarela.  Walaupun begitu, kita sedar bahawa
sumbangan  ikhlas  kita  mungkin  tidak   dapat   menandingi
sumbangan-sumbangan  besar  oleh  syarikat-syarikat besar di
negara kita.   Dengan itu  bertambahnya  bilangan  syarikat-
syarikat  ini  di  negara kita, saya yakin kemungkinan untuk
kita  mengumpulkan  sumbangan-sumbangan  derma  yang   lebih
banyak lagi adalah bertambah.
11.  Sehubungan  dengan  sumbangan  syarikat-syarikat  besar
ini, mereka  juga  memberi  sumbangan  yang  bermakna  untuk
menaja  beberapa  siaran  secara langsung di televisyen.  Di
samping memberi  sumbangan  kepada  kerja-kerja  sosial  dan
kebajikan, mereka juga memberi sumbangan yang bermakna untuk
perkembangan  sukan  di negara ini.   Sebenarnya hiburan dan
laporan berita oleh televisyen dinikmati hampir percuma oleh
rakyat  kerana  pembiayaan  siaran  oleh   syarikat-syarikat
melalui iklan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12.  Sekali  lagi  saya  mengucapkan terima kasih kepada Tan
Sri Lim dan pihak pengurusannya kerana  menjemput  saya  dan
isteri  ke  majlis  makan malam ini.  Saya berharap Kumpulan
Genting akan terus maju dan  saya  yakin  kemajuannya  bukan
sahaja  membawa kebaikan kepada kakitangannya seramai 13,000
orang, bahkan memberi manfaat kepada masyarakat  sekeliling.
Selamat menyambut Ulangtahun Ke-25 Kumpulan Genting.

 



 
Google