home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
 
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	01/09/90 
Tajuk/Title  	: 	HARI PELANCARAN TENAGA NASIONAL 




 Assalamu  alaikum  warahmatullahi  wabarakatuh  dan  selamat
sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Seri Samy Vellu,
     Menteri Tenaga, Telekom dan Pos;
Yang Berbahagia Datuk Ibak Abu Hussin,
     Pengurus Besar LLN;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak  Kementerian
Tenaga,  Telekom  dan Pos serta pihak pengurusan LLN, kerana
menjemput saya untuk melancarkan badan  korporat  baru  bagi
menggantikan LLN iaitu Tenaga Nasional.
2.   Negara  kita  Malaysia  dikenali  sebagai  salah sebuah
negara  yang  ulung  dalam  menjayakan  dasar   penswastaan.
Kerajaan  telahpun  mengadakan  beberapa  pendekatan ekonomi
yang dianggap penting untuk membangunkan negara  ini  dengan
lebih  pesat  dan  berkesan.   Di antara pendekatan tersebut
ialah penswastaan.  Penswastaan mempunyai  objektif-objektif
yang  spesifik seperti peningkatan produktiviti, peningkatan
hasil kewangan dan pencapaian objektif Dasar Ekonomi Baru.
3.   Kerajaan   telahpun   membuat   kajian   pelan    induk
penswastaan  secara  menyeluruh  bagi  semua agensi kerajaan
yang layak diswastakan.  Dalam pelan induk tersebut, Lembaga
Letrik Negara  atau  LLN  telah  dikenalpasti  sebagai  satu
daripada  badan-badan  yang paling sesuai untuk diswastakan.
Ini  adalah  oleh  sebab  ia  berkemungkinan  menjadi  lebih
berdayamaju,  produktif  dan  mendapat  pulangan  yang lebih
tinggi melalui pengurusan secara komersial dan tidak sebagai
jabatan  kerajaan.    Di  samping  itu  penswastaan  jabatan
seperti  LLN boleh mengurangkan beban kerajaan daripada segi
modal untuk  membiayai  berbagai-bagai  kemudahan  awam  dan
penyelenggaraannya.        Penyenaraian   badan-badan   yang
diswastakan itu di  dalam  Bursa  Saham  Kuala  Lumpur  akan
memberi   pendapatan   kepada   kerajaan  untuk  menyediakan
infrastruktur-infrastruktur lain yang diperlukan oleh negara
tetapi tidak mungkin diswastakan.
4.   Walau bagaimanapun, objektif  utama  dasar  penswastaan
yang  perlu diberi perhatian ialah peningkatan produktiviti.
Produktiviti bermakna peningkatan keluaran tanpa peningkatan
kos atau  dengan  peningkatan  kos  yang  kurang  berbanding
dengan  peningkatan  keluaran.    Dengan itu maka keuntungan
akan  bertambah  tanpa  kenaikan  tarif  atau  harga  kepada
pengguna.  Oleh itu badan korporat bukan sahaja perlu kepada
pengurusan  yang  cekap tetapi juga pekerja yang berdedikasi
yang sanggup meningkatkan  daya  pengeluaran  masing-masing.
Pendapatan  atau gaji semua pihak hanya patut dinaikkan jika
produktiviti meningkat  yang  seterusnya  akan  meningkatkan
pendapatan  syarikat.    Kerajaan  tidak  lagi  akan memberi
subsidi kepada agensi yang telah diswastakan.
5.   Proses penswastaan berbeza dengan  pemindahan  syarikat
daripada  satu  pihak  kepada  pihak  lain.   Biasanya dalam
pemindahan  syarikat,  jumlah  aset  dikira  bersama   untuk
menentukan   harga  jualan.    Perkhidmatan  kemudahan  awam
seperti  LLN,  Jabatan  Telekom,  Lapangan-lapangan  Terbang
mempunyai aset yang amat besar yang telah dikumpul berpuluh-
puluh  tahun lamanya.   Jika nilai semasa aset diambil kira,
maka kos kepada pemilik  baru  akan  menjadi  begitu  tinggi
sehingga  pulangan bagi setiap ringgit modal menjadi terlalu
kecil untuk menarik pelaburan.   Oleh itu  kerajaan  sanggup
menentukan  modal  syarikat  yang  baru diswastakan mengikut
anggaran pulangan yang  wajar.    Ini  bermakna  ada  elemen
subsidi  dalam penswastaan, walaupun bagi kerajaan, ia tidak
mengeluarkan apa-apa  bayaran.    Kerajaan  sanggup  berbuat
demikian oleh kerana pemilikan aset yang besar tidak memberi
pendapatan  yang  setimpal  sebelum  ini.    Kerajaan  hanya
mendapat keuntungan operasi atau operational  profit  sahaja
yang  merupakan  satu  peratusan  yang amat kecil berbanding
dengan nilai semasa aset.
6.   Berkenaan dengan  LLN  pula,  keuntungan  operasi  yang
tinggi  yang  dicapai  di masa yang lampau adalah kerana kos
minyak pembakar atau fuel oil telah  menurun.    Semasa  kos
minyak  pembakar  naik  beberapa  tahun  dahulu,  LLN  telah
menaikkan tarifnya.  Tetapi apabila minyak  pembakar  turun,
tarif  tidak diturunkan.  Dengan ini LLN mendapat keuntungan
yang baik.  Sudah tentu pengurusan yang baik  juga  membantu
prestasi  keuntungan LLN.  Tetapi di masa hadapan keuntungan
terpaksa bergantung kepada produktiviti, prestasi pengurusan
dan pekerja Tenaga Nasional sendiri.
7.   Namun  demikian  kerajaan  percaya  penswastaan  adalah
berfaedah  bagi  LLN dan kakitangannya.   Ini adalah berasas
kepada kejayaan kita dengan projek-projek penswastaan  lain.
Kerajaan  memberi jaminan bahawa pendapatan kakitangan badan
yang diswastakan tidak akan berkurangan daripada  pendapatan
mereka  sebelum  penswastaan.    Sebaliknya sebagai insentif
kakitangan badan yang diswastakan  berhak  membeli  5%  atau
tidak  lebih  daripada 5 juta ringgit nilai asas saham serta
mendapat bonus apabila keuntungan mengizinkan pembayaran bo-
nus.  Untuk badan-badan yang mempunyai  modal  yang  tinggi,
had  5  juta unit saham dikecualikan dan sebaliknya 5% saham
diperuntukkan kepada pekerja badan berkenaan.
8.   Walaupun  kerajaan  menjamin  bahawa  gaji  dan   elaun
kakitangan badan yang diswastakan tidak akan kurang daripada
gaji  dan  elaun  semasa  badan berkenaan menjadi sebahagian
daripada perkhidmatan kerajaan, ini  tidak  bermakna  bahawa
gaji  dan  elaun harus meningkat terlalu tinggi kerana ingin
mengimbangkan dengan skim-skim  gaji  swasta.    Amalan  ini
telah  melanda  beberapa  syarikat  kerajaan yang dibebaskan
daripada  peraturan-peraturan  dan  sistem  gaji   kerajaan.
Akibatnya syarikat-syarikat ini mengalami kerugian.
9.   Elaun   dan  gaji  kakitangan  badan  yang  diswastakan
mestilah mengimbangi kos pengurusan dan  pelaburan  di  masa
hadapan.    Sesuatu  syarikat  itu  mungkin  untung hari ini
tetapi sebahagian daripada keuntungan  mestilah  dimasuk  ke
dalam simpanan atau reserve dan sebahagian lagi diguna untuk
pelaburan  masa  hadapan.    Keuntungan tidak boleh dibahagi
kesemuanya kepada pemegang-pemegang saham atau para pekerja.
Pendek kata kita bukan sahaja ingin badan  yang  diswastakan
beroperasi  sebagai  badan  komersial daripada segi gaji dan
elaun, tetapi juga bagi segala amalan komersial yang prudent
dan  menguntungkan.    Amatlah  memalukan  jika  badan  yang
diswastakan akhirnya gagal dan memohon untuk dimiliki semula
oleh kerajaan atau meminta perlindungan kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Dengan  kenaikan  harga  minyak  akibat  krisis  Teluk,
prestasi Tenaga Nasional akan tergugat.   Margin  keuntungan
sekarang  mungkin masih boleh menyelamatkan Tenaga Nasional.
Tetapi jika harga  minyak  meningkat  lebih  daripada  harga
semasa  krisis  minyak  yang lepas, Tenaga Nasional mestilah
mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.
11.  Di samping  itu  kemajuan  proses  industrialisasi  dan
ekonomi  negara  yang  pesat  telah  merekodkan  pertambahan
permintaan tenaga elektrik yang  tinggi.    Jika  trend  ini
berterusan, Tenaga Nasional terpaksa membuat pelaburan modal
yang  tinggi  untuk  memenuhi  pertambahan  permintaan  ini.
Adalah dijangkakan Tenaga Nasional  akan  membuat  pelaburan
modal  kira-kira  $20  billion  ringgit sehingga tahun 2000.
Keupayaan Tenaga Nasional untuk mencari sumber kewangan  dan
pelaksanaan  projek-projek  penjanaan  dan penghantaran yang
besar adalah merupakan satu cabaran.
12.  Kemajuan  teknologi  kejuruteraan   yang   pesat   juga
merupakan   satu   cabaran   dan   Tenaga   Nasional   perlu
melengkapkan semua tenaga  pekerja  dengan  tahap  kemahiran
industri   yang   kemaskini.      Bidang   penyelidikan  dan
pembangunan  hendaklah  diperkukuhkan  supaya  inovasi   dan
ciptaan    baru    dapat   dihasilkan   untuk   meningkatkan
produktiviti dan prestasi korporat.   Kesimpulannya  cabaran
terbesar   Tenaga   Nasional   ialah   keupayaan  memberikan
perkhidmatan bekalan tenaga elektrik  yang  bermutu  tinggi,
selamat  dan  dengan  harga yang berpatutan.  Inilah harapan
pengguna-pengguna  elektrik  iaitu  dasar  penswastaan  akan
membolehkan  mereka  menikmati  perkhidmatan yang lebih baik
daripada sekarang.
13.  Kita harus  bersama-sama  sedar  bahawa  faktor  sumber
tenaga  manusia  adalah  faktor  terpenting  dalam mana-mana
organisasi.  Semua kakitangan Tenaga Nasional akan sama-sama
bertanggungjawab menentukan perkembangan seterusnya industri
bekalan  tenaga  elektrik  di  negara   ini.      Masyarakat
antarabangsa  terutama  pelabur-pelabur  utama akan meneliti
dan mengikuti perkembangan dan pencapaian syarikat ini  dari
masa  ke  masa.    Oleh  itu,  sebagai  sebuah  agensi besar
kerajaan yang telah diswastakan, Kerajaan  yakin  kakitangan
Tenaga  Nasional  ini  tidak akan menghampakan harapan semua
pihak terutama pengguna dan negara.    Para  pengguna  sudah
tentu  mengharapkan bahawa mutu perkhidmatan akan meningkat,
manakala  kadar  tarif  pula  berada   di   peringkat   yang
berpatutan.    Tenaga Nasional perlu memastikan bahawa tarif
yang dikenakan kepada pengguna-pengguna adalah stabil, tidak
membebankan, dan terus dapat menggerak pembangunan negara.
14.  Kerajaan   akan   terus   bertanggungjawab   menentukan
perkembangan  industri bekalan tenaga elektrik tetap bermutu
dan tarif yang dikenakan kepada pengguna  munasabah.    Oleh
itu  Kerajaan telah menubuhkan Jabatan Bekalan Elektrik yang
berfungsi  sebagai  agensi  kawalselia  industri  perbekalan
elektrik  seluruh negara.  Kerajaan ingin menekankan di sini
bahawa hubungan  di  antara  Jabatan  Bekalan  Elektrik  dan
Tenaga  Nasional  hendaklah  dijalin untuk kepentingan semua
pihak iaitu pengguna, syarikat dan negara.
15.  Sungguhpun industri bekalan elektrik telah diswastakan,
hubungan kerjasama serantau  dan  antarabangsa  di  kalangan
utiliti-utiliti   hendaklah   diteruskan  untuk  kepentingan
syarikat dan juga negara.
16.  Kejayaan dan pencapaian Tenaga Nasional di masa hadapan
akan menjadi teladan bagi meneruskan lagi dasar  penswastaan
Kerajaan.   Tenaga Nasional juga mungkin boleh mengembangkan
perkhidmatannya dalam  bidang-bidang  yang  berkaitan,  sama
seperti  penglibatan utiliti-utiliti tenaga elektrik negara-
negara asing.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.  Saya mengucapkan  tahniah  atas  kejayaan-kejayaan  LLN
yang  lalu dan mengucapkan selamat maju jaya untuk masa yang
akan datang.  Penswastaan LLN dan munculnya Tenaga  Nasional
telah  memberi nafas dan tenaga baru untuk membolehkan badan
ini menghadapi cabaran-cabaran di masa  depan.    Pengurusan
komersial   yang   lebih   peka  kepada  kehendak  pengguna,
teknologi semasa dan  mutu  perkhidmatan  yang  tinggi  akan
meningkatkan   lagi  produktiviti  dan  menyumbang  ke  arah
pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18.  Saya ingin mengambil kesempatan ini  untuk  mengumumkan
perlantikan  Yang  Berbahagia  Datuk Ibak Abu Hussin sebagai
ketua eksekutif Tenaga Nasional.
19.  Sekarang saya dengan sukacitanya merasmikan  Pelancaran
Tenaga Nasional ini.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google